RAIHANPAHIMI

publish your book for free?AFF=9142

Monday 23 April 2018

BUKU FIKRAH MURABBI - BAB 20 : PEMBANGUNAN ASPEK PENDIDIKAN DI KELANTAN


BAB 20 :    PEMBANGUNAN ASPEK PENDIDIKAN DI  KELANTAN

 
 https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhL2vDUN_JBbOM83Cs3VFarg8_CU-lW7dYkwrDE2zcP-4uhWuDMMF8qAgdP4h3IyWoFdppw_vmTDVYUtMdKJy9bvyQH6tzvBmwbWWIVenQkh2xHnmKeJbuE2603jBTHm8bzcjfCeKRlkrU/s1600/Cover-Proof%25281%2529.jpg

  Allah  berfirman dalam Surah al-Alaq ayat 1-5 (al-Alaq 96: 1-5) yang bermaksud:
Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”
Turunya ayat pertama ini  memberi isyarat dan perintah yang amat jelas dalam bidang pendidikan. Perkataan iqra’ (bacalah) yang disebutkan oleh malaikat Jibrail a.s berulang-ulang kali kepada Rasulullah s.a.w. menegaskan supaya umat manusia belajar, mengkaji dan menuntut ilmu. Ayat ini juga memberi isyarat bahawa untuk menjadi umat yang beriman dan bertaqwa mestilah mempunyai ilmu.
Islam tidaklah melihat pendidikan dari skop yang sempit, ia tidak terbatas kepada pendidikan duniawi semata-mata bahkan meliputi dua lapangan iaitu di dunia dan akhirat. Dalam konteks ini, Ibn Khaldun (2000) telah membahagikan ilmu kepada dua bahagian yang utama. Pertama, ilmu yang berbentuk fardhu ain yang dituntut ke atas setiap orang supaya mengetahui dan mempelajarinya dalam melaksanakan tuntutan agama seperti ilmu tauhid, fiqh, akhlak, akidah dan sebagainya manakala yang kedua pula ialah ilmu fardhu kifayah iaitu ilmu yang mesti ada pada sekumpulan orang dalam masyarakat tanpa melihat kepada individu tertentu seperti ilmu pertukangan, kemahiran, perniagaan, kedoktoran, ekonomi, fizik, astronomi dan sebagainya yang boleh mandatangkan manfaat kepada manusia. Ini membuktikan bahawa agama Islam tidak mementingkan pencapaian intelektual yang tinggi semata-mata bahkan perlu dilengkapi dengan kefahaman yang jelas mengenai agama Islam itu sendiri bagi menghasilkan manusia yang cemerlang di dunia mahupun di akhirat.
Jelasnya pendidikan Islam dijadikan sebagai satu proses mengasuh dan mendidik, membela, melatih, menyucikan, membaikkan, mengawal hawa nafsu, membentuk ketaatan kepada Allah s.w.t. membentuk sikap sopan dan beradab (mempunyai akhlak yang baik) dan memadamkan semua sifat tercela yang ada dalam diri manusia. Ini memberikan kefahaman bahawa  pendidikan yang dikehendaki dalam Islam ialah merujuk kepada pendidikan rohani manusia selaku hamba Allah di muka bumi ini bagi memancarkan kejernihan akhlak dan budi pekerti yang tinggi selain untuk perkembangan ilmu pengetahuan itu sendiri yang merupakan medium yang amat penting dalam membangunkan ketamadunan manusia yang hidup di dunia ini.
Al-Quran telah diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui perantaraan Jibrail a.s untuk dijadikan panduan bagi umat manusia. Al-Quran juga diturunkan untuk mendidik manusia khususnya masyarakat Islam dalam menjalani kehidupan di dunia dengan sebaik mungkin kerana mereka yakin adanya hari pembalasan di akhirat kelak. Al-Quran juga mengajak manusia supaya sentiasa memerhati serta merenungi tanda-tanda kekuasaan Allah yang ada di langit dan di bumi. Alam ini merupakan bahan untuk berfikir, sebagai lembaran buku pengetahuan di samping menjadi bukti bagi kesatuan pentadbiran dan peraturan (Muhammad Shadid 1994).
Secara umumnya, proses pendidikan terhadap manusia berlaku sejak azali lagi apabila Allah s.w.t. menciptakan Nabi Adam a.s. seperti firman-Nya (al- Baqarah 2: 31) yang bermaksud:
 “Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam akan segala nama benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu ia berfirman “Terangkanlah kepadaKu nama benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar.””
 Ayat ini jelas mengambarkan bagaimana Allah s.w.t. mengajar Nabi Adam segala nama benda yang terdapat di dalam dunia ini yang bakal dihuninya. Tujuan pengajaran ini ialah untuk kemudahan Nabi Adam dan zuriatnya tinggal di dunia sehingga hari kiamat (Ashraf 1985; Kamarul Azmi dan Ab. Halim, 2007).
Menurut Mahyuddin (2001), al-Asma ialah nama-nama sesuatu benda atau perkara yang mana dengan mengenali atau mengetahui nama sesuatu perkara atau benda merupakan kunci atau asas kepada pembentukan ilmu kepada seseorang manusia. Oleh yang demikian, manusia dipertanggungjawab sebagai khalifah atau pemimpin untuk memakmurkan bumi ini kerana manusia dibekalkan dengan akal yang berpotensi untuk berfikir dan mencari ikhtiar bagi mengatur kehidupan mereka di dunia ini (Ashraf 1985).
Sehubungan dengan itu, paradigma pendidikan dalam al-Quran juga tidak lepas dari tujuan Allah menciptakan manusia itu sendiri iaitu penyerahan diri secara ikhlas kepada Pencipta yang terarah kepada tercapainya kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat sebagaimana firman Allah (al-Zariyyat 51: 56) yang bermaksud:
 “ Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.”
Di samping itu, Islam adalah agama yang amat mementingkan dan menggalakkan umatnya menuntut ilmu. Bahkan al-Quran telah memainkan peranan yang cukup penting dalam pembinaan tamadun Islam agar umatnya terus belajar dan belajar serta sering menyelidiki sesuatu perkara.
Para ulama membuat kesimpulan bahawa belajar atau mencari ilmu itu adalah wajib terutamanya ilmu-ilmu yang berkaitan dengan agama Islam (Mohd. Yusuf 2002). Kejadian Allah yang sangat luas memerlukan kajian yang mendalam, memerlukan manusia menggunakan akalnya dan memperoleh pengetahuan yang tinggi. Penguasaan ilmu adalah amat dituntut oleh Islam. Justeru itu, Islam mewajibkan setiap umatnya, lelaki atau perempuan menuntut ilmu. Kewajipan ini juga bertujuan supaya umat Islam itu tergolong dalam umat Islam yang cerdas dan terhindar dari kejahilan.
Tok Guru Nik Abdul Aziz yang merupakan seorang ulamak yang sememangnya sentiasa menjagar untuk mempertingkatkan ilmu dikalangan masyarakat di Negeri Kelantan telah memberi satu fokus utama sepanjang beliau memegang jawatan Menteri Besar Kelantan.
Betapa Tok Guru begitu ambil berat tentang ‘pendidikan’ dalam kehidupan. Beliau yang sememangnya telah mengajar semenjak pulang dari menuntuk ilmu dari Mesir semenjak tahun 1960an lagi telah meneruskan tradisi ‘ilmu’ kepada rakyat Kelantan. Pada setiap pagi jumaat Tok Guru telah mengajar kitab tafsir dan hadis di Medan Ilmu di bandar Kota Bharu. Disamping mengajar ilmu agama dalam pelbagai bidang, beliau juga sentiasa mengupas beberapa ‘isu semasa’ yang terdapat didalam masyarakat dan diberikan panduan bagaimana ‘Islam’ telah memberi cara untuk mengatasi sesuatu isu itu bagi kebaikan manusia sejagat sebagaimana telah diterangkan oleh Al Quran dan hadis Nabi.
Mengikut lapuran oleh satu kajian yang dijalanakn oleh beberapa pensyarah dari UMK yang terdiri dripada Dr. Noor Hisham Md Nawi, Dr. Nur Azuki Yusuff, Mohd Binyamin Che Yaacob, Nasrul Hakim Salleh, di Pusat Pengajian Bahasa & Pembangunan Insaniah, Universiti Malaysia Kelantan. Telah merakamkan  penemuan kajian mereka seperti berikut:-
Pihak Kerajaan Negeri Kelantan mula mengambil inisiatif untuk membangunkan pusat pengajian tahfiz secara sistematik. Antara inisiatif awal ialah penubuhan  Maahad  Tahfiz al-Quran Wal Qiraat  (MTAQ) pada tahun 1992 oleh Kerajaan Negeri Kelantan di bawah pengelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK).  Ia adalah hasil cetusan idea Y.A.B Tok Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat  yang telah diberi mandat sebagai Menteri Besar Kelantan pada tahun 1990.
Kemudian Yayasan Islam Kelantan (YIK) mengorak langkah baru dengan  menubuhkan Maahad Tahfiz Sains pada tahun 2004 yang  juga hasil dari cadangan Tok Guru dengan  hasrat untuk menyepadukan ilmu wahyu dengan ilmu waqi’e. Maahad Tahfiz Sains yang pertama ialah Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah dengan pengambilan pelajar pertamanya seramai 120 orang.
Langkah  tersebut  kemudiannya  diikuti oleh  Kerajaan Negeri lain seperti penubuhan Sekolah Menengah IMTIAZ di Terengganu, Sekolah Integrasi Maahad Tahfiz Sains Bandar Istana Selangor (2008), Institut Tahfiz al-Quran Negeri Sembilan (ITQAN) dan Maahad Tahfiz Pahang (1996). Pihak MARA turut mengambil langkah yang sama dengan memperkenalkan Maktab Rendah Sains MARA Tahfiz di Besut Terengganu.  


Matlamat Utama Pengajian Tahfiz. 
Matlamat utama pengajian tahfiz adalah untuk melahirkan para huffaz yang berketerampilan dalam semua bidang atau melahirkan para huffaz yang mahir isi al-Quran, berilmu, beramal, bertakwa dan cekap tentang ilmu al-Quran serta dapat merealisasikannya dalam masyarakat (Muhammad Ismail 2004). Walaupun terdapat banyak pusat tahfiz di negara ini, tetapi semuanya mempunyai satu objektif dan matlamat yang sama iaitu untuk memelihara kesucian 30 juzuk al-Quran dan melahirkan para huffaz yang mempunyai kualiti hafazan yang mantap dan lancar. Menurut Azmil Hasyim (2013), kewujudan institusi tahfiz al-Quran di seluruh negara bukan sahaja berperanan melahirkan golongan penghafaz al-Quran semata-mata, bahkan turut dilihat sebagai pemangkin ke arah melahirkan golongan profesional yang telah ditunjangkan jiwanya dengan al-Quran di samping mewujudkan sistem hafazan dan pengajian al-Quran yang bersistematik dan efisyen.  
Menghafaz al-Quran juga merupakan satu usaha untuk mencegah terputusnya jumlah kemutawatiran al-Quran dan juga mengelak dari sebarang usaha untuk menyeleweng dan memalsukan al-Quran (Al-Suyuti 1987). Allah telah memuji dan menyanjung tinggi  individu-individu yang menghafaz al-Quran dengan memberi penghormatan dan gelaran yang mulia seperti pilihan Allah (Fathir 35:32), orang yang telah diberi ilmu (al-Ankabut 29:45) dan penjaga keaslian al-Quran (al-Hijr 15: 9).
Semua pelajar muslim perlu menghafaz al-Quran mengikut kemampuan masing-masing kerana ia mempengaruhi keperibadian seseorang muslim sebagaimana Hadith Rasulullah s.a.w. :
 “Seseorang yang tiada sebahagian al-Quran dalam hatinya adalah seumpama rumah yang ditinggal kosong”.
Menghafaz al-Quran adalah suatu keperluan kepada umat Islam sepanjang zaman untuk melahirkan insan rabbani dalam kalangan masyarakat meskipun hanya diwakili oleh seseorang individu muslim.
Satu kajian yang dijalankan oleh beberapa orang pengkaji dari university tempatan terhadap tiga institusi maahad tahfiz utama di Kelantan yang merupukan cetusan idea Tok Guru  iaitu  Maahad Tahfiz Al-Quran Dan Qiraat (MTAQ), Maahad Tahfiz Sains (MTS) dan Maahad Tahfiz al-Ikhlas (MTI).
1. Maahad Tahfiz Al-Quran Dan Qiraat (MTAQ).  
Pencetus atas penubuhannya adalah Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, semasa beliau memegang jawatan Menteri Besar Kelantan. Hasrat asal beliau adalah untuk melahirkan ulama’ dan profesional yang menghafaz al-Quran. Falsafah penubuhan MTAQ adalah berdasarkan falsafah Yayasan Islam Kelantan iaitu : Pendidikan Islam sebagai yang diterangkan pengertiannya dalam istilah-istilah ta'dib, irsyad dan tadris adalah satu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu muslim sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya di bumi secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, aqliah, emosi, aqidah dan jasmani berdasarkan kepada ajaran Islam.
Objektif penubuhan MTAQ adalah untuk melahirkan ulama hafiz yang mempunyai ciri- ciri berikut :
1.   Mampu memahami isi kandungan al-Quran dan menjadi rujukan masyarakat.
 2. Memelihara isi kandungan al-Quran dan keaslian bacaannya dari sebarang penyelewengan. 
3.  Mempunyai ilmu pengetahuan, beramal soleh, bertakwa kepada Allah s.w.t. dan berakhlak mulia.
Objektif ini dirumuskan melalui misi penubuhannya iaitu melahirkan huffaz yang mahir ilmu-ilmu al-Quran, beramal, bertakwa serta dapat merealisasikan dalam masyarakat.
Secara keseluruhan fokus MTAQ adalah melahirkan para huffaz. Berdasarkan hasrat asal tersebut, kurikulum MTAQ digubal secara khusus untuk memenuhi cita-cita tersebut. Kurikulum MTAQ terhasil dari gabungan beberapa model pengajian tahfiz di beberapa buah negara seperti Mesir, Indonesia, Malaysia (Jakim) dan Madinah. Orientasi model kurikulumnya banyak mencontohi Maahad Syubra di Mesir kerana pengiktirafan dunia terhadapnya sebagai pusat kajian al-Quran yang terbaik.
MTAQ menawarkan kurikulum hafazan al-Quran, qiraat, dan KBSM termasuklah matapelajaran matematik tambahan. Subjek ini sengaja dimasukkan untuk membolehkan pelajar menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan, senibina, perakaunan dan lain-lain. Ini bermakna pelajar MTAQ yang ingin melanjutkan pengajian dalam bidang professional turut mempunyai peluang yang sama. Oleh itu penubuhan MTAQ bukan terhad untuk melahirkan  ulama semata-mata bahkan juga para profesional yang menjiwai al-Quran.
Menurut pengetua  pertama, hafazan al-Quran sewajarnya disusuli dengan pengajian ilmu qiraat untuk melengkapkan ilmu hafalan tersebut. Menurutnya lagi, MTAQ adalah model terbaik untuk melahirkan ulama atau profesional yang menghayati al-Quran. Tokoh yang sering dijadikan contoh teladan di MTAQ adalah Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu mantan Menteri Besar Kelantan.

2. Maahad Tahfiz Sains (MTS).  
Sebagaimana sebelumnya. Maahad Tahfiz Sains (MTS) adalah juga cetusan idea dari Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa beliau menjadi Menteri Besar Kelantan. Beliau berhasrat untuk melahirkan profesional mukmin yang berketrampilan dan menghafaz serta menghayati Al-Quran (saintis berjiwa Islam).Tok Guru juga ingin mengubah kefahaman masyarakat yang silap mengenai sains yang dikatakan tidak Islam. Ringkasnya Tok Guru ingin menyepadukan sains dengan Islam.
Falsafah penubuhan MTS juga berdasarkan falsafah pendidikan YIK. Manakala antara objektif penubuhannya adalah untuk melahirkan :
 1. Saintis dan profesional al–Quran yang menghafaz al–Quran dan menghayati kandungannya.
2. Generasi al–Quran yang mampu menghayati dan menghafal al–Quran, menguasai ilmu waqie dan syarie serta memiliki sahsiah terpuji di samping mempunyai kecerdasan mental dan fizikal.
Pengajian di MTS adalah selama lima tahun. Ia menggunakan tiga kurikulum utama iaitu Kurikulum Tahfiz al-Quran, Pengajian Agama dan Bahasa Arab serta KBSM.
Fokus utama MTS adalah untuk melahirkan profesional mukmin. Justeru, penumpuannya adalah kepada kesepaduan antara ilmu-ilmu syarie (agama) dengan ilmu waqie (KBSM) seperti matapelajaran fizik, biologi dan dan lain-lain.
Menurut pengetua pertama, pelaksanaan kesepaduan masih lemah dan belum  mencapai objektif. Setakat ini MTS tidak mempunyai modul atau model tertentu untuk menyepadukan ilmu syarie (al- Quran) dan waqie (sains).
Antara permasalahan utama ialah kelemahan guru yang tidak mampu untuk menyepadukan antara keduanya. Kini penekanan pihak sekolah adalah kepada hafazan al-Quran berbanding dengan pengajian sains. Sukar untuk menjadi guru yang menguasai kedua-dua bidang ilmu tersebut. Pihak sekolah mengharapkan agar pelajar MTS yang telah berjaya agar kembali semula ke MTS untuk membantu pihak sekolah. Menurutnya pendidikan bersepadu belum berlaku sepenuhnya. Apa yang berlaku hanyalah pengajian yang berjalan secara serentak. Tokoh-tokoh Islam terdahulu seperti al-Khawarizmi, Ibnu Hayyan, al–Farabi sering dijadikan model oleh pihak sekolah. Manakala tokoh-tokoh moden pula ialah Tok Guru Nik Aziz Nik Mat dan Dr. Daniel.  

3. Maahad Tahfiz al-Ikhlas (MTI). 
Ia adalah institusi pengajian persendirian yang ditubuhkan di atas tanah waqaf atas kesedaran untuk mengembangkan ilmu agama khususnya al-Quran. Institusi ini tidak berdaftar dengan pihak kerajaan negeri (Majlis Agama Islam Kelantan) tetapi berdaftar dengan pertubuhan PERMATA negeri.
Tiada falsafah atau matlamat atau objektif penubuhan secara tersurat. Melalui wawancara dengan pengasas dan pentadbirnya, objektif penubuhan institusi adalah untuk melahirkan insan soleh yang menguasai ilmu asas agama (fardhu ain), celik al-Quran dan para huffaz yang menjadikan al-Quran sebagai teras kehidupan sebelum menyambung pengajian di tempat lain atau mencari pekerjaan di luar sana. Tiada syarat khusus dikenakan kepada pelajar.
Misi institusi ini secara tersirat ialah menunaikan fardhu kifayah untuk melahirkan para huffaz. Di samping itu, institusi ini juga berperanan untuk melahirkan masyarakat yang soleh, boleh membaca dan menghayati al-Quran seterusnya melahirkan ulama Islam.
 Ramai ibubapa yang menghantar anak-anak yang menghadapi masalah akhlak dan disiplin di sekolah. Pihak pengasas bersikap realistik dengan para pelajar. Beliau tidak meletakkan harapan yang tinggi kepada setiap pelajar untuk menjadi seorang hafiz tetapi mendidik mereka agar menghayati agama dan menjadi insan yang taat pada Allah.
Institusi ini menggunakan sistem pengajian tradisional (kaedah Pakistan) dengan memberi penumpuan kepada hafazan al-Quran semata-mata secara sepenuh masa. Tiada sebarang dokumen  dan tiada peperiksaan secara formal kecuali tasmi hafalan. Di samping itu pelajar juga mempelajari ilmu fardhu ain tanpa kitab yang khusus. Model rujukan dalam pendidikan di insitusi ini ialah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat. Ulama’-ulama’ sekarang tidak dijadikan contoh utama kerana pandangan masyarakat yang pelbagai terhadap mereka.  
Penubuhan ketiga-tiga institusi Pusat Pengajian Hafiz diatas telah membuktikan bahawa Tok Guru begitu mengambil berat untuk membangunkan sistemp pendidikan yang seimbangan untuk kepetingan dunia dan juga akhirat. Usaha ini juga membuktikan Tok Guru sebgai seorang ulamak telah bertindak untuk melahirkan para profesiobnal yang hafiz bagi membolehkan mereka ini menjadi pemimpin pelapis yang boleh meneruskan konsep pembangunan yang berteraskan Islam “ Membagun Bersam Islam” yang telah dipolopori oleh Tok Guru untuk tempoh hampir 25 tahun lalu.
Dari segi falsafah, tujuan terakhir pendidikan adalah untuk melahirkan individu muslim yang seimbang, menyeluruh dan bersepadu berdasarkan ajaran Islam sesuai dengan misi penciptaannya sebagai hamba dan khalifah di muka bumi. Salah satu ciri yang penting untuk mencapai falsafah tersebut ialah menghafaz al-Quran yang menjadi sumber rujukan tertinggi bagi umat Islam. Untuk melahirkan para huffaz secara sistematik, institusi yang sesuai ditubuhkan.

Semua maahad tahfiz di Kelantan adalah untuk melaksanakan konsep pendidikan bersepadu bagi menghapuskan sistem pendidikan umat Islam  yang  masih bersifat dualis  dan  sekular. Umat Islam perlu keluar dari sistem pendidikan yang meneruskan dikotomi antara ilmu agama/naqli dan ilmu sains moden/aqli.
Justeru, kefahaman mengenai konsep hierarki ilmu sangat penting untuk meletakkan sistem pendidikan pada landasan yang tepat. Tidak semua pelajar perlu menjadi hafiz tetapi kita memerlukan sejumlah para huffaz yang dianggap mencukupi dalam sesebuah kawasan atau tempat yang berperanan sebagai tempat rujukan untuk menjaga keaslian al-Quran. Walau bagaimanapun Islam menuntut semua umatnya menjadi insan solih yang seimbang, sepadu dan menyeluruh.
Oleh itu, konsep pendidikan bersepadu adalah sesuatu yang sangat asas dan diperlukan di semua peringkat pengajian termasuklah di maahhad tahfiz. Hasil sebenar dan terakhir dari agenda pendidikan bersepadu ialah pada orangnya. Orang yang dimaksudkan itu seharusnya individu yang  berilmu,  mempunyai  pandangan  hidup yang jelas terhadap Islam, komited beramal  dengannya secara konsisten  dan  meletakkan  Islam sebagai matlamat dan wadah perjuangan dalam kehidupannya. Moga Islam kembali berdaulat dan menjadi suatu sistem yang diamalkan sepenuhnya oleh umat Islam.  
Disamping itu Kerajaan Negeri Kelantan telah menubuhkan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) adalah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang dikendalikan oleh KIAS Darulnaim Sdn Bhd (KDSB) anak syarikat Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN).
Idea Penubuhan KIAS adalah merupakan salah satu inspirasi Kerajaan Negeri yang bercita-cita memusatkan Kelantan sebagai serambi perkembangan ilmu Islam terkenal di rantau ini khususnya menerusi penyediaan institusi-institusi pengajian dalam pelbagai jurusan.
Penubuhan KIAS merupakan kesinambungan dari Pusat Pengajian Tinggi Islam (PPTIK) Nilam Puri yang telah ditubuhkan pada tahun 1965. Pusat ini kemudiannya dikenali dengan nama Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) sehinggalah pada 1 April 1981 YPTIK telah diambil alih oleh Universiti Malaya dan ditukar nama kepada Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Usaha dan kesedaran peri pentingnya pengajian Islam tidak pernah luntur apabila sekali lagi Kerajaan Negeri melalui Yayasan Islam Kelantan (YIK) telah menubuhkan Maahad Ad-Dakwah Wal Imamah pada 1994 di mana idea penubuhannya dicetuskan oleh YAB Tok Guru  Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.
Menyahut perkembangan pendidikan kontemporari yang kian pesat, Maahad Ad-Dakwah Wal Imamah dirangka semula dalam kombinasi yang lebih dinamik dengan penubuhan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) pada tanggal 24 Ogos 1999 yang dirasmikan oleh KDYMM Al-sultan Kelantan.
KIAS diawal operasinya menawarkan tiga program pengajian peringkat Diploma iaitu Diploma Al-syariah, Diploma Usuluddin dan Diploma Al-Dakwah Wal Qiadah. Walau bagaimanapun, mulai sesi 2002/2003 KIAS telah menambah program pengajiannya kepada dua peringkat Ijazah Sarjana Muda iaitu Sarjana Muda Al-Syariah dan Sarjana Muda Usuluddin (2+2) dengan Universiti al-Azhar, Mesir. Kemudian diubah kepada Ijazah Sarjana Muda Al-Syariah dan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (3+1) dengan Universiti al-Azhar, Mesir.
KIAS sentiasa berusaha untuk membuka ruang kepada para pelajar yang tidak mendapat tempat di mana-mana IPT samada IPTA atau IPTS dengan menawarkan beberapa program pengajian lagi pada tahun 2009 iaitu Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (4+0) dengan KUIN dan Ijazah Sarjana Muda Syariah (4+0) dengan KUIN seterusnya pada tahun 2010, KIAS menawarkan pula beberapa program di peringkat Diploma iaitu: Diploma Qiraat dan Tarannum, Diploma Tahfiz Al-Quran serta Diploma Kewangan Islam.
Untuk memberi ruang kepada pelajar-pelajar yang hanya mendapat 1 kredit di peringkat SPM, pihak KIAS menawarkan program Sijil Pengajian Islam setelah mendapat kelulusan daripada pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, lepasan daripada program Sijil Pengajian Islam ini layak untuk menyambung pengajian mereka di peringkat Diploma atau bagi mereka yang ingin terus bekerja selepas menamatkan pengajian di peringkat Sijil Pengajian Islam, mereka layak untuk ditawarkan SKIM gaji setara dengan lepasan STPM sebagaimana surat yang dikeluarkan oleh pihak JPA kepada pihak KIAS.
Sejak ditubuhkan sehingga kini, KIAS terus-menerus mengorak langkah dengan kemasukan pelajar dari seluruh Malaysia dan juga antarabangsa yang sentiasa meningkat dari setahun ke setahun serta dipayungi oleh barisan staf akademik yang berjumlah seramai 52 orang pendidik dan staf pentadbiran seramai 42 orang. Seramai 11 orang daripada barisan pensyarah adalah berkelulusan Doktor Falsafah, 21 orang berkelulusan Sarjana dan bakinya Sarjana Muda dalam pelbagai jurusan yang giat mendidik para pelajar KIAS yang menjangkau hampir 1000 orang pelajar.

PEMBANGUNAN SEKOLAH AGAMA.
Sekolah Menengah Agama yang dikelolakan oleh Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan (MAIK)  dan Yayasan Islam Kelantan (YIK) terus diberi sokongan oleh Kerajaan Kelantan dibawah pimpinan Tok Guru. Setiap tahun disediakan peruntukan yang mencukupi bagi memboleh semua sekolah-sekolah Agama berkembang maju dari masa ke semasa. Malah sekolah agama dibawah kelolaan MAIK  dengan kerjasama YIK merupakan diantara sekolah-sekolah agama yang terbaik di Malaysia.
Sebagai contoh pada tahun 2016, Keputusan SPM para pelajar di sekolah kelolaan MAIK dan YIK memperolehi keputusan cemerlang dimana Seramai 91 memperolehi keputusan cemerlang di dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2016 dengan mendapat 9A hingga 12A. Daripada jumlah tersebut, seramai 33 pelajar telah memperolehi semua A dalam semua mata pelajaran.
Ketika mengumumkan keputusan tersebut, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi YB Ustaz Muhammad Awang berkata seramai 5399 pelajar daripada Yayasan Islam Kelantan telah menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun 2016 dengan pertambahan 418 calon berbanding tahun 2015. Sebanyak 10 sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) telah mencatat keputusan 100 peratus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016.
Sekolah-sekolah tersebut ialah Maahad Muhammadi Perempuan, Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah dan Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas mewakili kategori Maahad Kawalan YIK. Manakala Maahad Muhammadi Tumpat, Maahad Pengajian Islam, dan Maahad Muhammadi Pasir Pekan Tarbiah Diniah Bunut Sarang Burung mewakili kategori Maahad Pilihan YIK. SMU (A) Tarbiah Diniah Bunut Sarang Burung pula mewakili kategori Sekolah Menengah Ugama YIK. Manakala Sekolah Agama Bantuan Kerajaan pula diwakili oleh SMU (A) Al-Kauthar Peringat, SMU (A) Tarbiah Islamiah, Kuala Kajang dan SMU (A) Mardziah Jabo.
2 orang pelajar diantara 91 pelajar cemerlang YIK telah mendapat 12A di dalam keputusan SPM 2016. Mereka ialah adik Siti Ameerah binti Fauzi dari Maahad Muhammadi Perempuan Kota Bharu dan adik Amir bin Abdul Basit dari Maahad Tahfiz Al-Quran Pulai Chondong.
Berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS), Maahad muhammadi Perempuan memperolehi GPS 3.15 diikuti Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah memperolehi GPS 3.26 dan Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas memperolehi GPS 3.85.
Daripada jumlah calon SPM 2016, seramai 4957 calon atau 91.81% layak mendapat sijil iaitu lulus minima matapelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah mengalami penurunan sebanyak 1.74% berbanding tahun 2015. Jumlah calon yang menerima Pernyataan Keputusan ialah seramai 400 calon meningkat berbanding tahun 2015 seramai 268 calon. Sementara itu, jumlah calon yang gagal semua mata pelajaran pula ialah seramai 42 calon berbanding 58 calon pada tahun 2015.
Melalui keputusan yang diumumkan itu, semua yang terlibat sama ada para guru, ibu bapa dan pelajar diharap dapat meneruskan momentum kecemerlangan pada masa-masa akan datang.  Tahniah kepada semua pelajar yang memperolehi keputusan cemerlang dan terima kasih kepada pengetua, guru- guru serta semua pihak yang terlibat samada secara lansung dan tidak lansung atas pencapaian itu. Ia membuktikan usaha Tok Guru untuk menyedikan kemudahan pendidikan yang terbaik melalui Yayasan Islam Kelantan  telah tercapai dan sekalong tahniah kepada Kerajaan Negeri Kelantan yang sentiasa mendokong agenda memartabatkan pendidikan agama dan semua yang terlibat meneruskan usaha yang berterusan membangun dan memajukan sistem pendidikan di Negeri Kelantan.
 PENDIDIKAN PRA SEKOLAH.
Kerajaan Negeri dibawah kepimpinan Tok Guru juga tidak mengabaikan penyediaan pendidikan pra sekolah melalui Pusat Tunas Islam (PASTI) yang diekolalakan oleh PAS. Di setiap kawasan DUN dan Parlimen di adakan kelas Pasti sekurang-kurangnya sebuah. Malah dikebanyakan
DUN mempunyai lebih daripada dua atau tiga PASTI untuk memberi pendidikan pra sekolah kepada  anak-anak yang berumur 3 hingga 6 tahun.
Kerajaan Negeri menyediakan bantuan kewangan kepada pengurusan kelas PASTI ini setiap tahun.

Kesimpulanya Tok Guru yang menerajui pemerintahan di Kelantan selama 23 tahun telah memainkan peranan utama untuk mengembangkan sistem pembelajaran dan pendidikan di negeri Kelatan bermula dari pra sekolah hinggalah ke peringtkat Universiti. Walaupun Kerajaan Negeri mempunyai kemampuan kewangan yang amat terbatas tetapi ianya tidak menghalang usaha Kerajaan Negeri untuk mengembangkan sistem pembelajaran. Ini memperlihatkan bahawa seorang ulamak yang bertaraf murrabi begitu perihatin dengan keperluan pendidikan kepada rakyat yang dibwah kempimpinanya. Ianya merupakan satu tanggung jawab yang di amanahkan oleh Allah sebagau sebagai seorang pemimpin yang telah diberi mandat memerintah oleh rakyat melalaui sistem demokrasi.

Perkembangan pendidikan di Kelantan boleh dibanggakan kerana ianya meliputi semua peringkat dari pra sekolah hinggalah ke peringkat Universiti.  Kempimpinan ulamak yang sememangnya begitu kemited dalam menyebarkan ilmu sudah pasti memberi tumpuan utama untuk memajukan sistem pendidikan kepada rakyatnya. Yang lebih penting sistem pendidikan yang dikembangkan itu dalah sistem yang dapat melahirkan insan yang bertaqwa untuk meraih kejayaan dalam semua bidang kehidupan di dunia dan yang lebih pentinag untuk memperlohi keredaan Allah setelah disediakan dengan sistem pendidikan yang mengikuti keperluan syariat Allah dan moga mereka semua akan memperolehi keredaan Allah di akhirat kelak. Ini amat sesuai sekali dengan doa yang kita semua baca setiap kali solat 5 waktu untuk memperolehi kejayaan di dunia dan juga kejayaan di akhirat. Amiin. Insya Allah.