Friday, 22 August 2025

PENCAPAIAN PAS DI KELANTAN

Apakah pencapaian terbesar PAS sepanjang lapan penggal memerintah Kelantan sejak tahun 1990 hingga hari ini? Apa yang benar-benar berubah dan dirasai oleh rakyat? Daripada sudut pandang Islam, saya melihat ada empat kejayaan besar yang telah dibuktikan oleh kerajaan negeri sepanjang tempoh ini. Pertama, PAS berjaya menunjukkan kepada seluruh negara bahawa Islam bukan sekadar sesuai untuk urusan ibadah dan masjid, tetapi mampu menjadi asas kepada pentadbiran sebuah kerajaan yang moden dan stabil, dalam konteks masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia. Dahulu ramai yang meragui kebolehlaksanaan prinsip Islam dalam urus tadbir sebuah negeri. Ada yang menyangka Islam tidak boleh mengurus ekonomi, masyarakat majmuk, atau kehendak semasa. Tetapi selama lebih tiga dekad, dasar ‘Membangun Bersama Islam’ bukan sahaja kekal, malah semakin kukuh dan diterima oleh rakyat. Islam dilaksanakan bukan secara kaku atau paksaan, tetapi melalui pendekatan yang mendidik, lunak dan bersesuaian dengan keperluan rakyat. Dari pengurusan ekonomi hingga pembangunan insan, daripada hubungan antara kaum hingga pendidikan, segalanya berteraskan nilai Islam yang menyeluruh dan seimbang. Inilah yang membolehkan Kelantan kekal aman, teratur dan utuh walau diuji pelbagai cabaran sepanjang pemerintahan. Yang kedua, PAS membuktikan bahawa ulama bukan sekadar mampu memberi panduan agama, tetapi juga mampu memimpin negeri dengan penuh kebijaksanaan dan integriti. Selama ini, imej ulama sering dikaitkan dengan mimbar, bukan pejabat pentadbiran. Tetapi Tok Guru Nik Abdul Aziz telah mengubah persepsi itu. Beliau menjadi contoh terbaik seorang tokoh agama yang bukan sahaja disegani dalam kalangan umat Islam, tetapi juga dihormati oleh masyarakat bukan Islam. Hari ini, kesinambungan itu diteruskan oleh kepimpinan yang turut lahir daripada latar pendidikan agama, yang bukan sahaja memahami nas, tetapi juga mahir dalam mengurus realiti. Inilah kelebihan model kepimpinan berteraskan ilmu, taqwa dan kejujuran. Ketiga, PAS membuktikan bahawa keadilan Islam merangkumi semua. Ia tidak terbatas kepada satu bangsa atau satu agama sahaja. Di Kelantan, masyarakat Cina, India, Siam dan Orang Asli terus hidup dalam keadaan yang damai, bebas mengamalkan budaya dan kepercayaan masing-masing tanpa rasa terancam. Mereka bukan sahaja diterima, bahkan turut diberi ruang menyumbang dalam ekonomi dan kehidupan masyarakat. Keadilan yang Islam janjikan itu diterjemah dalam bentuk pentadbiran yang tidak menindas sesiapa. Inilah bukti bahawa Islam, apabila dilaksana dengan benar, menjadi pelindung kepada semua insan. Keempat, Kelantan menjadi contoh bahawa Islam dan pembangunan bukan dua jalan yang bertentangan. Sebaliknya, apabila pembangunan dibina di atas asas agama, hasilnya lebih lestari dan berkat. Ramai yang menyangka negeri berasaskan Islam akan ketinggalan. Tetapi Kelantan membuktikan sebaliknya. Dalam keterbatasan dana dan pelbagai sekatan, kerajaan negeri tetap mampu membangunkan sistem pentadbiran, infrastruktur, pengurusan tanah, pendidikan dan kebajikan rakyat secara konsisten. Jika dibandingkan dengan zaman sebelum tahun 1990, ketika negeri ini diperintah oleh UMNO dan Barisan Nasional, kemajuan yang dicapai hari ini jauh lebih tersusun dan jelas arahnya. Inilah legasi yang ingin kita tinggalkan, bahawa rakyat Kelantan boleh hidup dalam suasana yang berteraskan Islam, dan dalam masa yang sama mampu maju dan moden. Islam bukan penghalang kepada pembangunan. Bahkan, Islam menjadi asas kepada pembangunan yang lebih seimbang, bermaruah dan berkekalan. Inilah wajah sebenar pemerintahan Islam yang ingin kita tunjukkan kepada negara yang telah dibuktikan sejak sekian lama di bumi Kelantan. Kredit penulis : #SiriTiga #BukuDNA #PASForAll

No comments:

Post a Comment

Thanks for your comments, I will reply soon.