RAIHANPAHIMI

publish your book for free?AFF=9142

Monday, 17 July 2017

Kajian Keberkesanan Program Membangun Bersama Islam - TGNA di Kelantan (1990 - 2000)



Keberkesanan  Program  Keislaman  yang  dijalankan oleh  Majlis  Perbandaran  Kota  Bharu (MPKB)  dari Tahun  1990  Hingga  Tahun  2000:
(Kajian  di Kalangan Kakitangan  MPKB )
Pendahuluan 
Kerajaan Kelantan telah mengemukakan satu gagasan politik baru yang bertunjangkan Islam selepas pilihanraya umum kelapan. Di bawah kepimpinan Angkatan Perpaduan Ummah, kerajaan Kelantan telah memperkenalkan falsafah pentadbiran Islam dengan slogan “Membangun Bersama Islam”. Bertolak dari falsafah itu, kerajaan pimpinan Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat melaksanakan beberapa pembaharuan Islam dalam pelbagai sektor pentadbiran seperti urustadbir, kebudayaan, dakwah dan pembangunan insan, ekonomi dan kewangan, pendidikan, perundangan dan sebagainya. Majlis Perbandaran Kota Bharu merupakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang diberi tanggungjawab besar untuk menjayakan pelbagai bentuk program keislaman tersebut kerana ia merupakan nadi kepada perkembangan politik dan pentadbiran di Kelantan.
Prof. Dr. Muhammad Shukri Salleh dari Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengkaji persepsi rakyat Kelantan terhadap Kerajaan “Membangun Bersama Islam” dan program keislamannya iaitu lebih kurang tiga bulan sebelum pilihanraya  umum ke-10. Aspek yang dikaji termasuklah kepimpinan kerajaan, program kerajaan dan prestasi kerajaan. Kajian beliau yang berbentuk soal selidik itu telah memberikan beberapa petunjuk bahawa secara keseluruhannya masyarakat menerima dan mengalu- ngalukan pembaharuan  yang dijalankan.  
Merujuk kepada rekod pembaharuan yang telah dijalankan, jelas menunjukkan MPKB mengambil peranan yang besar dalam merealisasikan konsep pembaharuan Islam di negeri Kelantan melalui beberapa pendekatan semasa seperti penerapan nilai- nilai Islam dalam pentadbiran, bimbingan remaja, penghayatan ibadat, peningkatan kefahaman Islam, pencegahan maksiat, menjaga kebajikan wanita dan warga kota dan sebagainya.  
Setelah berlalu dua puluh tahun pelaksanaan program tersebut, maka amat wajar satu kajian khusus yang melibatkan MPKB yang merupakan nadi utama kepada perlaksanaan pembaharuan Islam, lebih-lebih lagi bandar Kota Bharu pula merupakan Ibu Negeri Kelantan. Untuk tujuan tersebut, kajian menggunakan soalan soal selidik di kalangan kakitangan MPKB sendiri dijalankan bagi mengukur sejauhmana kejayaan dan keberkesanan program  keislaman tersebut dalam urusan politik dan pentadbiran.  

Sejarah Ringkas Bandar Kota Bharu 
Bandar Kota Bharu bermula perkembangannya pada tahun 1844 sebagai sebuah penempatan Diraja apabila ia telah dirasmikan sebagai pusat pemerintahan Negeri Kelantan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia al-Marhum Sultan Muhammad ke-2. Kota Bharu dibina bagi menggantikan kota atau bandar di Pulai Saba’ dan Kebun Menggesta yang terancam akibat keruntuhan tebing sungai.4 Kota tersebut dikenali sebagai Istana Balai Besar. Sejarah Kota Bharu sangat menonjol dengan ciri-ciri budaya keilmuan yang begitu hebat samada di istana  atau pondok-pondok dan madrasah-madrasah.

Budaya keilmuan merupakan tunggak budaya yang telah diwarisi oleh bandar Kota Bharu zaman berzaman.  Dari segi pentadbiran dan pengurusan, Kota Bharu telah melalui beberapa peringkat perkembangan sebagai memenuhi tuntutan semasa. Pada tahun 1896, pentadbiran bandar Kota Bharu diletakkan di bawah Kelolaan Pejabat Tanah Jajahan Kota Bharu iaitu pejabat tanah yang pertama ditubuhkan di Kelantan. Pada tahun 1903 pula, pejabat tanah dipindahkan ke bawah pentadbiran Ketua Pejabat Kerjaraya. Namun begitu pentadbiran bandar telah dikembalikan semula kepada Pentadbiran Ketua Pejabat Tanah yang mempunyai kakitangannya sendiri di bawah kelolaan Merinyu pertamanya En. Muhammad dari Singapura pada tahun 1913.
Pada tahun  1927 pula Majlis Mesyuarat Bandaran telah ditubuhkan di bawah pentadbiran Pejabat Tanah.  Semenjak tahun 1928 bermulalah bandar Kota Bharu sebagai sebuah Kerajaan Tempatan di bawah Undang-undang The Municipal and Health Enactment 1928. Seterusnya Kota Bharu telah dinaikkan taraf sebagai Majlis Bandaran Kota Bharu di bawah Seksyen 51 (1) “The Local Authorities Election Ordinance 1950”.
Serentak dengan itu, Majlis Bandaran Kota Bharu telah diberikan taraf autonomi kewangan di bawah Seksyen 64 “Kelantan Municipal Enactment 1938”. Pentadbiran bandar Kota Bharu terus berjalan berpandukan perlembagaan yang diwujudkan di bawah Local Autorities Election Ordinance 1950 sehingga tahun 1961 apabila satu perlembagaan diberikan di bawah The Local Government Election Act 1960 yang mengekalkan taraf Majlis Bandaran Kota Bharu.6 Pada tahun 1971 perubahan pentadbiran dibuat dengan memansuhkan Majlis Bandaran Kota Bharu dan ditukar kepada Lembaga Bandaran di mana ahli-ahli mesyuarat dilantik oleh Kerajaan Negeri. Pada masa itu, keluasan kawasan bandaran ialah 4.4 batu persegi dengan penduduk seramai 55,124 orang.
Lembaga Bandaran Kota Bharu telah disusun semula pada tahun 1978 dan dinaikkan taraf kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) melalui warta kerajaan negeri Kelantan P.U.I.S. Pada tahun tersebut, pemakaian akta 171 akta Kerajaan Tempatan 1976 mula dikuatkuasakan. Keluasan kawasan pentadbiran diperluaskan kepada 44.65 batu persegi (134 KM persegi) dengan jumlah penduduk seramai 186,000 orang.
Sehingga tahun 2000, keluasan kawasan pentadbiran meliputi 136.74 KM persegi dengan jumlah penduduk mencecah angka hampir 400,000.7 Lokasi MPKB  terletak di Timur Laut Negeri Kelantan di kelilingi oleh kawasan perairan iaitu Laut Cina Selatan di utara, Sungai Pengkalan Datu dan Sungai Pengkalan Chicha di Timur, Daerah Pendek di Selatan dan Sungai Kelantan di sebelah Barat.8 Dari segi sempadan, Kota Bharu disempadani oleh Jajahan Pasir Mas di sebelah Barat, Jajahan Bachok di sebelah Timur, Jajahan Tumpat di sebelah utara dan Machang di Selatan.
Sebagai sebuah pihak Berkuasa Tempatan yang ditubuhkan mengikut Akta 171, Akta Kerajaan Tempatan 1976, fungsi utama MPKB ialah:
 a) Menyediakan perkhidmatan perbandaran yang sempurna kepada warga kota supaya dapat mewujudkan persekitaran yang bersih dan selesa didiami.
b) Merancang dan menyusun pembangunan bandar supaya ianya tumbuh dengan kemas dan teratur serta tidak menimbulkan masalah kepada warga kota.
 c) Mengurus dan mengadakan projek-projek infrastruktur dan sosio ekonomi serta kemudahan-kemudahan riadah dalam kawasan Majlis.
d) Menguatkuasakan undang-undang bagi menjamin keselesaan penghuni dan pengunjung bandar Kota Bharu. 
Dalam usaha untuk mempertingkatkan kualiti hidup warga kota Kota Bharu, mulai tahun 1990 MPKB telah merangka strategi bertindak berdasarkan visi yang dibentuk iaitu “Ke arah Mengujudkan Sebuah Bandaraya Islam yang berdikari dan sempurna”.
Dalam usaha merealisasikan visi ini, tiga matlamat utama telah digariskan iaitu:
 a) Menjadikan MPKB sebuah organisasi yang melaksanakan pentadbiran secara Islam.
b) Menjadikan MPKB sebagai Penguasa Tempatan yang bersih, indah dan selesa di diami.
c) Menjadikan MPKB organisasi yang teguh dari segi kewangan dan mampu melaksanakan dasar-dasar kerajaan.  
Ke arah mencapai visi dan matlamat yang digariskan, enam objektif dikenalpasti untuk dilaksanakan:
 a) Memperkemaskan jentera pentadbiran Majlis supaya menjadi pihak Berkuasa Tempatan yang melaksanakan segala tindakan berasaskan perancangan yang teratur dan tersusun.
b) Memperkukuhkan kewangan Majlis dengan mempertingkatkan keupayaan jentera pungutan  hasil dan mengenal pasti punca hasil baru.
 c) Mempertingkatkan perkhidmatan perbandaran dengan memberi penekanan kepada aspek kebersihan dan keindahan bandar. d) Mempertingkatkan program pembangunan insan untuk melahirkan warga kota yang berwibawa seterusnya menyumbang ke arah pembanguan fizikal dan rohani.
e) Mengutama dan menggalakkan penglibatan masyarakat di dalam aktiviti dan program  pembangunan Majlis.
f) Mempertingkatkan langkah-langkah pencegahan aktiviti maksiat dan kemungkaran dalam kawasan Majlis.  
Rekod Pembaharuan Islam oleh MPKB 
MPKB merangka pelbagai program pembaharuan Islam setelah bermulanya era kepimpinan Ulama yang dibawa oleh Kerajaan Angkatan pada penghujung tahun 1990. Rangka kerja perubahan tersebut telah dimulakan di MPKB di bawah kepimpinan YB Dato Hj. Halim Bin Mohamad iaitu Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan,  Perumahan dan Alam Sekitar, merangkap Yang DiPertua Majlis pada masa itu. Untuk merealisasikan dasar Islam yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri melalui slogan "Membangun Bersam Islam", banyak perubahan dasar telah dilakukan oleh pihak MPKB, khususnya dalam aspek pelesenan, hiburan dan lain-lain yang menekankan pengawalan kegiatan judi dan sebarang bentuk maksiat atau yang bertetangan dengan ajaran Islam.
Setelah empat tahun pembaharuan Islam diperkenalkan oleh Kerajaan Angkatan, Akhbar Harakah bertarikh 28 November 1994 telah membuat satu liputan penuh yang menyentuh pelbagai perubahan yang berjaya dilaksanakan oleh MPKB.  Di antara rekod pembaharuan Islam yang telah dilaksanakan oleh MPKB ialah seperti berikut:  
A. Penubuhan Unit/Bahagian Pembangunan Islam 
Bahagian Pembangunan Islam merupakan bahagian yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam aspek dakwah dan kerohanian di bawah MPKB. Bahagian ini telah ditubuhkan pada awal tahun 1994 sebagai menyahut seruan kerajaan untuk membentuk masyarakat bandar yang berilmu dan bertakwa. Pada masa yang sama, bahagian-bahagian lain juga terlibat secara langsung dalam merealisasikan dasar-dasar Islam yang diperkenalkan oleh kerajaan melalui slogan "Membangun Bersama Islam".

Banyak program pembaharuan dalam aspek dakwah dan kerohanian telah dijalankan oleh Bahagian Pembangunan Islam (BPI) MPKB khusus untuk warga kota selaras dengan dasar Islam yang digariskan oleh kerajaan negeri semenjak tahun 1990. BPI bertanggugjawab penuh dalam aspek keislaman seperti berikut:
a) Menerapkan penghayatan nilai-nilai Islam ke dalam pentadbiran  MPKB.
 b) Mempastikan semua program dan pelaksanaan Pembangunan Majlis berlandaskan kehendak Islam.
c) Menambahkan kefahaman Islam kepada masyarakat dan meningkatkan kesedaran mereka terhadap keunggulan serta kewibawaan sistem pentadbiran Islam.
 d) Meningkatkan pembangunan rohani dan jasmani masyarakat secara Islam.
 e) Membina sebuah masyarakat yang penyayang dan cintakan Islam.
f) Menyuruh yang makruf dan mencegah  kemungkaran. 
BPI mengandungi tiga unit kecil iaitu unit operasi, unit pentadbiran dan unit kursus. Setiap unit kecil tersebut memegang tanggungjawab masing-masing bagi melicinkan kegiatan bahagian ini sebagaimana berikut:
a) Unit operasi bertanggungjawab menyusun jadual operasi, menyediakan laporan kes-kes, menerima laporan dari orang ramai dan membuat tindakan segera, urusan penghantaran pulang kumpulan /individu terlibat.
 b) Unit pentadbiran pula menjalankan tugas yang berkaitan dengan urusan pentadbiran pejabat-pejabat dan rekod.
 c) Unit kursus menyelia kursus motivasi Islam, menyelia kursus bina insan dan tazkirah jabatan, menyelia kelas tajwid, menyelia program sudut syar’ie, mengatur kuliah pengajian di masjid al-Bara’ah, pasar pusat Kota Bharu.  
Di antara program keislaman yang telah dijalankan oleh BPI adalah seperti berikut: 
1) Program Penghayatan Islam/Kursus Bina Insan kepada Kakitangan MPKB 
Kursus ini diadakan pada hari Rabu dan berakhir pada pagi Khamis pada setiap minggu. Ia bermula jam 5.00 petang dan tamat jam 1.00 tengahari hari Khamis dengan latihan dan aktiviti qiamullail, bacaan ma'thurat dan riadah pada waktu pagi. Semua kakitangan lelaki MPKB diwajibkan mengikutinya. Tiga kertas kerja akan dibentang oleh penceramah jemputan dari Unit Dakwah Halaqat dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) berhubung dengan fardhu ain dan tauhid. Peserta juga dibawa keluar meninjau realiti dalam bandar pada waktu malam dan bertindak sebagai penasihat, memberi teguran atau membuat laporan kepada pihak atasan. 
2) Kursus Kefahaman/Motivasi Islam Sektor Perkilangan dan Pasaraya.  
Kursus ini dijalankan pada hari Jumaat sebanyak dua minggu sekali dari jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengahari. Tumpuannya ialah kepada pekerja-pekerja wanita dari kilang, restoran makanan segera, pasaraya dan lain-lain. Biasanya dua kertas kerja berkaitan dengan ilmu feqah dan tauhid akan dibentangkan oleh penceramah jemputan dari Yayasan Islam Kelantan (YIK) atau Unit Dakwah Halaqat. Dari segi sambutan, kursus ini sangat menggalakkan dengan jumlah kehadiran melebihi 100 orang. Peserta disediakan sedikit minuman ringan. Sepanjang tahun 1993, MPKB  berjaya membimbing 600 orang pekerja wanita membabitkan 15 kilang. 
3) Kursus Khas Muslimat MPKB 
Kursus bulanan ini adalah khusus untuk anggota wanita MPKB yang berkaitan dengan pengajian feqah dan tauhid. Ia disampaikan oleh penceramah dari JAHEAIK. 
4) Ceramah Agama di Bengkel MPKB Jalan Kuala Krai 
Program ini dijalankan pada hari Khamis sebelum masuk waktu Zohor di bengkel MPKB jalan Kuala Krai, khusus untuk kakitangan rendah. Ia berkaitan aspek hukum fardhu ain dan penceramah adalah dari Unit Dakwah Halaqat. 
5) Majlis Usrah 
Ahli-ahli majlis MPKB, ketua-ketua jabatan/bahagian serta anggota perkhidmatan kumpulan "B" akan menjalankan usrah bulanan di kaunter bayaran MPKB. Ia bermula selepas solat Maghrib berjemaah sehingga jam 11.00 malam dengan dipimpin oleh naqib dari JAHEAIK atau ketua UPI/BPI. Liputan awal tentang perancangan program usrah ini telah dibuat oleh Harian Metro pada 11.10.1994. Menurut pegawai perhubungan awam MPKB, Azman Mohd Dahan, 60 pegawai atasan akan menerima pendedahan mengenai pentadbiran Islam mulai awal tahun 1995 melalui kursus berbentuk usrah. 
6) Sudut Syar`ie atau Speaker's Corner 
Para pelajar sekolah sekitar MPKB dihidangkan dengan program perbincangan secara bebas, tetapi tidak menyentuh politik, seperti syarahan, nasyid, bacaan sajak dan sebagainya. Program ini pada awalnya diadakan pada petang Sabtu dari jam 2.00 petang hingga 5.00 petang, bertempat di Taman Hijau. Ia kemudiannya diubah ke sebelah pagi bermula jam 10.00 pagi  hingga 12.00 tengahari.17 Ia telah dimulakan pada bulan April 1994. Majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh Dato’ Nik Aziz Nik Mat pada awal tahun 1995.18 Harian Metro telah membuat liputan penuh berkenaan program ini setelah ia berjalan selama lima bulan.19 Namun begitu, kelemahan program ini ialah ia hanya mampu menarik pelajar sekolah dari Yayasan Islam Kelantan (YIK). Menurut pegawai perhubungan awam MPKB, Azman Mohd Dahan, penyertaan pelajar sekolah lain terutama sekolah bantuan penuh kerajaan kurang menggalakkan. 
7) Majlis Tazkirah MPKB 
Majlis ini dijalankan pada pagi Ahad jam 8.00 pagi dan akan disampaikan oleh ketua- ketua jabatan/bahagian atau pegawai kanan majlis yang lain. 
8) Program Solat Maghrib  Berjemaah di Pasar-pasar Malam  
Beberapa lokasi pasar malam yang mempunyai kemudahan tempat solat telah diarahkan menghentikan jualan dalam tempoh 15 minit untuk menunaikan solat Maghrib secara berjemaah. Penguatkuasaan akan dijalankan oleh beberapa pegawai khas yang diilantik untuk mengambil tindakan ke atas orang yang tidak mematuhi peraturan tersebut. Pada peringkat permulaan, Unit Pembangunan Islam MPKB telah menggunakan empat langkah untuk memberikan pendedahan secukupnya kepada para peniaga seterusnya mereka bersedia melaksanakan peraturan solat jemaah dengan menghentikan sementara kegiatan perniagaan. Langkah pertama; memberikan penerangan secara langsung tentang kebaikan peraturan ini melalui pertemuan dengan para peniaga. Kedua; mendengar dan meneliti masalah yang dibangkitkan berkaitan dengan pelaksanaan peraturan baru itu. Ketiga; menggunakan sistem pembesar suara untuk menghebahkan peraturan baru itu secara terperinci dan keempat; mengedarkan risalah yang mengandungi  panduan khas  kepada peniaga dan pembeli berhubung dengan peraturan baru itu.21  Pada 1 Ogos 1995, tercetuslah suasana baru apabila para penjaja dan peniaga gerai pasar malam Parit Dalam dalam bandar Kota Bharu bersepakat meninggalkan gerai dan jualan mereka menjelang azan Maghrib. Solat Maghrib berjemaah ditunaikan di masjid al-Bara'ah. Pada masa yang sama, sepasukan kira-kira 10 orang kakitangan Penguatkuasa MPKB mengambil tempat di kawasan pasar malam. Orang ramai tidak dibenarkan masuk dan pengunjung Islam dimaklumkan bahawa pasar malam ditutup sementara  kerana menunaikan solat Maghrib. Kelihatan pelancong orang kulit putih yang agak ramai terpinga-pinga, tetapi mereka telah diberitahu peraturan itu dengan hormat. Ada di kalangan mereka yang terus berada di situ berbual-bual sesama mereka.
9) Aktiviti Keagamaan pada Bulan Ramadhan 
Pada bulan Ramadhan, pihak MPKB menyediakan air-air soya dan kurma untuk berbuka puasa. Pihak swasta seperti Mydin, pasaraya, restoran A&W dan McDonald juga menghulurkan juadah berbuka puasa termasuk peniaga pasar malam Parit Dalam dan orang ramai dari kawasan berhampiran. Manakala aktiviti ibadat malam, MPKB menganjurkan solat Maghrib dan Isyak berjemaah di dataran MPKB, seterusnya diikuti dengan solat Tarawih, tazkirah dan qiamullail pada 10 malam terakhir Ramadhan. Solat Aidilfitri juga diadakan di dataran MPKB. Penghayatan Ramadhan telah dijadikan sebagai agenda penting dalam bandar Kota Bharu terutamanya bagi menarik pelancong menjadikan Kelantan sebagai distinasi bercuti sambil beribadat. Antara keistemewaan yang disediakan ialah tempat berbuka puasa serta solat sunat Terawih di kawasan lapang dalam bandar Kota Bharu, perkhidmatan beca roda tiga untuk aktiviti lawatan, tawaran istimewa jualan batik di Pasar Besar Buluh Kubu, peluang menunaikan solat Terawih di Masjid Pulau Melaka dan sebagainya. Menurut Yang Dipertua MPKB, Haji Hassan Abdullah, para pelancong tidak menghadapi masalah, malah dapat menghayati roh Ramadhan melalui program yang disusun. Katanya, MPKB melalui Unit Pembangunan Islamnya mendapat kerjasama pemilik hotel dan pusat penerangan pelancong (TIC) menyediakan peluang bercuti yang menarik di Kelantan pada bulan Ramadhan. 
10) Operasi Fakir Miskin 
Fakir miskin tidak dibenarkan berada atau tidur di kawasan-kawasan masjid, stesen bas, kawasan taman hijau, kawasan padang bank dan lain-lain tempat. Mereka ditempatkan di Taman Orkid dan disediakan juadah untuk berbuka puasa. Pengumuman akan dibuat kepada orang ramai yang ingin mengeluarkan zakat mereka menerusi suara MPKB ketika mengadakan solat Tarawih. Pihak Public Bank dan Hong Kong Bank pernah menjemput fakir miskin untuk diberikan zakat. 
11) Tabung Ihya’ Ramadhan 
Tabung ini bertujuan menguruskan majlis berbuka puasa dan pemberian duit kepada kanak-kanak pada pagi 1 Syawal di Dataran. Untuk itu, beberapa buah tabung diletakkan di dataran, di bank-bank perniagaan, restoran-restoran makanan segera dan pasaraya-pasaraya. 
12) Aktiviti Pengajian di Masjid al-Bara’ah, Pasar Pusat Kota Bharu 
Masjid ini terletak di hadapan Bazar Buluh Kubu, telah didirikan oleh MPKB dalam rangka menjana dan menonjolkan penghayatan Islam dalam bandar Kota Bharu. Ia menjalankan aktiviti solat jemaah secara berterusan dan memberi kemudahan beribadat kepada para peniaga berdekatan dan para pengunjung. Aktiviti pengajian yang dijalankan di masjid ini termasuklah pengajian tauhid, feqah, al-Quran, sambutan Maulid al-Rasul, Israk Mikraj dan lain-lain. Kuliah dan ceramah disampaikan oleh tenaga yang dipilih oleh MPKB seperti Unit Dakwah Halaqat dengan pemberian saguhati hasil daripada kutipan tabung masjid al-Bara'ah dan kutipan bayaran bilik air al-Bara'ah (tandas awam MPKB). Bilik air tersebut telah diberi pajak oleh MPKB kepada jawatankuasa Masjid al-Bara'ah dengan harga RM1300.00 sebulan dengan purata pendapatan sebanyak RM3,000.00. 
13) Kun mustami‘an (Dakwah Bergerak) 
Kegiatan dakwah MPKB diperluaskan kepada sistem dakwah bergerak menggunakan alat pembesar suara pada setiap pagi hari bekerja, dari jam 8.30 pagi hingga 10 pagi, di beberapa  kawasan yang menjadi tumpuan awam. Lokasi tumpuan antaranya ialah Pasar Borong Jalan Hamzah, Pasar MPKB, Stesen Bas Kota Bharu, Pasar Berek 12, Pasar Kubang Pasu, Dataran MPKB, Pasar Siti Khadijah, Pasar Tani Wakaf Che Yeh dan lain-lain. Ia telah bermula pada awal Oktober 1994. Program ini bertujuan memperluaskan lagi sasaran dakwah kepada orang ramai terutamanya golongan remaja, di kawasan stesen bas, pasar, stesen teksi, kedai kopi, pusat membeli belah dan sekitar kaki lima. Menurut pegawai perhubungan awam  MPKB, Azman Mohd Dahan, dakwah bergerak ini dilaksanakan oleh Unit Hal Ehwal Agama Islam MPKB  dengan kerjasama JAHEAIK.24  Para penceramah yang terlibat dalam dakwah bergerak ini dikehendaki mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh MPKB, seperti ceramah tidak boleh menyentuh politik, perkauman atau isu semasa. Mereka dibenarkan bercakap mengenai persoalan semasa  Islam seperti  soal pergaulan dalam Islam, ekonomi, akhlak, ibadah atau isu semasa. 
14) Siar raya/Suara MPKB 
Program ini menyiarkan syarahan-syarahan YAB Datuk Menteri Besar, azan solat dan sebagainya dalam kawasan bandar Kota Bharu. 
15) Operasi Nasihat Harian 
Operasi ini bertujuan memberi nasihat dan teguran kepada dua aspek iaitu aurat di premis-premis MPKB dan masalah sosial di taman-taman, wakaf-wakaf, pusat membeli belah dan kawasan tumpuan para remaja. Ia dikendalikan oleh dua orang petugas dari UPI, seorang dari Bahagian Penguatkuasa dan seorang dari Jabatan Perlesenan. Masa operasi bermula pada pukul 10.30 pagi hingga pukul 12.00 tengahari dan jam 2.30 petang sehingga jam 4.00 petang setiap hari. 
16) Operasi Nasihat Hari Sabtu 
Operasi ini dijalankan setiap hari Sabtu bermula jam 2.00 petang hingga 6 petang, bagi menangani masalah sosial seperti lepak dan pergaulan bebas di kalangan para remaja. Petugas akan memberi nasihat dan menghantar mereka pulang. 
17) Operasi Dataran 
Operasi ini bermula dari jam 9.00 malam hingga jam 12 malam, bertujuan mencegah kemungkaran terutama di Dataran MPKB serta kawasan lain. Biasanya mereka akan diberi nasihat supaya tidak mengulangi perbuatan yang tidak sopan dan dimurkai Allah. 
18) Operasi Bersepadu antara Jabatan Kerajaan dalam kawasan MPKB  (Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Polis, Imegresen dan Kastam)   
Operasi ini diadakan mengikut keperluan, terutamanya pada hari menyambut kedatangan Krismas, malam menyambut Tahun Baru Cina dan malam menyambut Tahun Baru Masihi. Ia melibatkan banyak pihak seperti polis, kastam, imegresen, bahagian penguatkuasa bahagian agama dan sebagainya. Manakala jabatan MPKB yang terlibat ialah Jabatan Perlesenan, Bahagian Penguatkuasa dan BPI/UPI. Operasinya ini bertujuan membenteras kegiatan tak bermoral. 
19) Operasi Siok  
Dengan kerjasama JAHEAIK, MPKB melancarkan operasi benteras kegiatan maksiat seperti khalwat, pelacuran, pondan di sekitar bandar Kota Bharu, terutama Jalan Hamzah  dan bahagian belakang bangunan MARA Kota Bharu di Jalan Dato’ Pati.
Pasangan muda yang ditangkap  dalam operasi itu akan disoal siasat dan jika mereka  sedia berkahwin, MPKB akan menyediakan bayaran maskahwin sebanyak RM32.00. Manakala perbelanjaan lain perlu ditanggung oleh keluarga masing-masing.

B. Pengharaman Judi Kedai TOTO dan 4 Nombor Ekor 
Selaras dengan dasar “Membangun Bersama Islam” yang diperkenalkan dalam pentadbiran, Kerajaan Negeri Kelantan telah mengeluarkan beberapa perintah mengharamkan kegiatan judi yang telah beroperasi semasa kerajaan yang terdahulu. Serentak dengan itu, keputusan diambil untuk membatalkan lesen dan permit yang berkaitan dengan kegiatan perjudian di Negeri Kelantan serta menghentikan pengeluarannya atau pembaharuan lesen tersebut.  Dengan itu, MPKB telah membatalkan semua lesen premis kedai TOTO dan Kedai 4 Nombor Ekor yang beroperasi di bandar Kota Bharu. Pembatalan ini melibatkan 17 buah kedai TOTO dan 2 buah kedai  4 Nombor Ekor.26 Menurut pihak MPKB, tindakan membatalkan lesen premis ini adalah untuk memberi kesedaran dan menghindarkan orang ramai daripada sebarang bentuk kegiatan judi kerana ianya bertentangan dengan ajaran Islam. Kegiatan ini adalah merugikan golongan yang terlibat dan akan melemahkan masyarakat. Langkah tersebut selaras dengan dasar kerajaan menghapuskan semua bentuk judi di Negeri Kelantan. Menurut Menteri Besar Kelantan, pengharaman judi sepatutnya tidak hanya dilihat dalam konteks ajaran Islam sahaja, tetapi harus dipandang sebagai satu pemikiran global, meliputi pelbagai kepentingan yang menganggap judi sebagai satu gejala sosial yang buruk dan membawa banyak kerosakan kepada masyarakat. Perkara ini dihuraikan oleh Menteri Besar ketika mengemukakan peraturan mengharamkan segala bentuk judi dalam belanjawan Negeri Kelantan 1991 pada 11 Disember 1990.27 Beliau menjelaskan:  “Pengharaman judi ini hendaknya tidak dilihat dari sudut agama semata- mata. Ianya hendaklah dipandang dari sudut ekonomi dan sosial. Kegiatan judi adalah satu pembocoran kepada aliran modal, satu penyelewengan penggunaan sumber-sumber, dan kegiatan kaunter-produktif yang sia-sia. Sebelum nasib pembeli tiket judi ini berubah, nasib para pengusaha judi ini lebih terdahulu dijamin. Ketagihan judi akan menyebabkan seseorang mungkin akan menghabiskan pendapatan harian yang diperolehinya dengan mengharapkan keuntungan berganda, dengan melupakan anak dan isteri yang mungkin sedang kelaparan di rumah. Bayangkan jutaan ringgit setahun mungkin mengalir dari wang rakyat negeri ini, tanpa membuahkan apa-apa nilai hasil”.  
Langkah ini memperlihatkan bahawa kerajaan negeri berazam melahirkan rakyat yang berusaha mengubah nasib mereka melalui usaha dan kerja keras, melalui kegiatan produktif dan bukannya pengharapan kepada nasib yang tidak menentu. Ia juga sebagai langkah awal untuk menunjukkan adanya batasan halal dan haram dalam semua urusan belanjawan dan kewangan negeri. Dari segi material/pendapatan, pengharaman judi ini adalah satu kerugian kepada MPKB dan kerajaan sendiri, kerana kehilangan sumber cukai daripada lesen judi tersebut. Namun begitu, ia dikira satu cabaran yang perlu dihadapi dalam usaha membebaskan masyarakat daripada belenggu kemungkaran dan maksiat. Syaitan selalu menakutkan manusia dengan kemiskinan lantaran melaksanakan sedekah atau kerana meninggalkan kegiatan mungkar seperti judi. Sebab itu pada peringkat awal langkah kerajaan ini ditentang oleh beberapa golongan yang mempunyai kepentingan dalam industri perjudian.

Pengharaman judi ini telah memberikan kesan positif kepada seluruh masyarakat termasuk orang bukan Islam, kerana ia dapat menghindarkan pelbagai gejala buruk yang dikaitkan dengan kegiatan judi seperti pelacuran, kongsi gelap, rompakan, pembunuhan, keruntuhan rumahtangga, pergaduhan, tekanan hutang dan sebagainya. Perkara ini telah dinyatakan oleh al-Quran sejak sekian lama sebagaimana firman Allah Taala:    
ٟMaksudnya: Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan sembahyang; Maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu). (Sural a-MÉ’idah:  91)  
Perkara ini diakui sendiri oleh masyarakat bukan Islam bahawa kehidupan rumahtangga mereka lebih selesa tanpa kegiatan judi.  
C. Peraturan Baru Kedai Gunting Rambut 
Bandar Kota Bharu telah mengalami perubahan seperti bandar-bandar lain, termasuklah kewujudan kedai-kedai gunting yang dikenali sebagai unisex salon. Ia dianggap sebagai satu “gaya hidup moden” yang membawa Ê baru kepada masyarakat sekarang. Kebanyakan pekerja di unisex salon adalah dari kalangan wanita. Samada disedari atau tidak keadaan ini melahirkan suatu fenomena sosial bagi setengah pihak yang suka mengambil kesempatan keseronokan bersama tukang gunting wanita yang dirasakan sebagai suatu kepuasan diri. Situasi ini ditegah oleh Islam kerana boleh membuka jalan kepada perkara mungkar dan kesempatan yang ada boleh disalahgunakan oleh sesiapa sahaja.  
Pihak MPKB telah dapat mengenalpasti bahawa kegiatan maksiat juga berlaku di sebilangan kedai gunting dalam kawasan MPKB. Pada tahun 1990, terdapat 144 buah kedai gunting yang beroperasi dalam kawasan MPKB iaitu 55 Melayu, 85 Cina, 3 India dan 1 Siam. Daripada jumlah ini, 52 daripadanya adalah kedai gunting Unisex. Pihak MPKB membuat keputusan membatalkan lesen kedai gunting Unisex dan pengusaha terlibat diberi pilihan menentukan jenis kedai gunting yang dikehendaki samada lelaki atau perempuan. Terdapat enam kedai gunting yang gagal mematuhi arahan tersebut dan masih terus menjalankan aktiviti unisex pada peringkat awal penguatkuasaan ini dijalankan. Kesemuanya telah dibatalkan lesen kerana melanggar peraturan dan disahkan menjadi sarang maksiat.28 Utusan Malaysia hari Rabu, 15.4.1992 melaporkan tindakan MPKB menurunkan papan iklan di empat buah  kedai gunting unisex. Menurut ketua Jabatan Undang-undang MPKB, Encik Afandi Hamzah, tindakan itu diambil setelah penguasaha kedai tersebut masih meneruskan kegiatan mereka walaupun diberi amaran beberapa kali. Jika mereka berdegil tindakan mahkamah akan diambil ke atas mereka. Menurut sisatan MPKB, kedai-kedai berkenaan juga menyediakan ruang-ruang yang boleh berlakunya kejadian maksiat. Ada di antaranya mempunyai bilik-bilik yang tidak mendapat kelulusan MPKB.29 Selaras dengan tindakan tersebut, MPKB telah mengenakan syarat-syarat untuk memperbaharui lesen bagi semua kedai gunting sebagaimana berikut:

 a) Kawasan perniagaan hendaklah lapang dan tidak berbilik. b) Pekerja hendaklah berpakaian sopan dan berpakaian seragam. c) Memakai kad pengenalan. d) Pekerja tidak boleh melebihi sekali ganda dari jumlah kerusi. e) Minuman adalah tidak dibenarkan. f) Waktu berniaga tidak melebihi jam 10.00 malam. g) Pengambilan pekerja hendaklah tertakluk kepada undang-undang buruh. h) Tidak dibenarkan menjalankan perniagaan pada malam jumaat.  
Syarat-syarat yang dikenakan ini bertujuan untuk menghindarkan gejala maksiat di premis-premis kedai gunting khususnya kedai gunting rambut wanita. Menurut MPKB, masih terdapat kedai-kedai gunting yang melanggar syarat-syarat. Oleh itu, pada Julai 1995, MPKB telah membekukan permohonan untuk lesen premis kedai gunting rambut wanita dan mempertingkatkan operasi ke atas premis-premis sedia ada serta mengambil tindakan tegas termasuk membatalkan lesen kepada mereka yang didapati melanggar syarat-syarat yang ditetapkan. Walau bagaimanapun, mulai Oktober 1999, pengeluaran lesen ini diberi kelonggaran dan diluluskan oleh MPKB khususnya bagi kawasan-kawasan di luar bandar. Dalam usaha melaksanakan dasar Islam yang mulia ini, pihak MPKB menghadapi banyak cabaran dan tekanan dari pihak yang mempunyai kepentingan. Melalui laporan akhbar menunjukkan betapa sukarnya pihak MPKB menjalankan kerja penguatkuasaan  peraturan baru tersebut, kerana banyak pihak yang melakukan perlanggaran terhadap peraturan itu, sehingga MPKB terpaksa mengambil tindakan tegas.31Namun begitu, pelaksanaan dasar ini ditangani dengan baik, termasuk memberikan nasihat supaya arahan kerajaan dipatuhi demi kepentingan ramai. Yang jelas, pihak MPKB telah menutup satu ruang yang boleh mendorong berlakunya mungkar dan maksiat di kalangan warganya bagi melahirkan suasana yang terbaik dan selamat kepada semua waga kota dan pengunjungnya daripada perangkap maksiat.   
D. Pembatalan Lesen Pusat Hiburan dan Permainan Seperti Video Games, Snooker dan Karaoke:
Kagiatan ekonomi dan perniagaan dalam bandar Kota Bharu tidak terlepas dari arus perubahan, di mana semasa kerajaan terdahulu memerintah, pusat hiburan dan permainan seperti video games, snooker dan karaoke menjadi tumpuan masyarakat bandar terutama golongan remaja/belia, termasuk pelajar-pelajar sekolah. Situasi ini telah memberi  cabaran yang besar kepada umat Islam kerana meningkatnya gejala sosial seperti lepak, pergaulan bebas, ponteng sekolah dan sebagainya. Malah ada pengusaha pusat permainan tersebut menjalankan aktiviti judi dan maksiat. Menurut pengerusi Jawatankuasa Perlesenan dan Peniaga Kecil MPKB, Haji Wan Hassan Wan Othman, MPKB dengan kerjasama polis pernah menahan beratus-ratus pelajar sekolah di pusat-pusat hiburan termasuk ketika dalam pakaian sekolah.33 Menjadi tanggungjawab pihak kerajaan untuk melindungi masyarakat terutama para remaja daripada gejala negatif kerana ia melibatkan kepentingan negara. Kerajaan amat menyedari bahawa golongan remaja amat mudah terperangkap dengan kegiatan hiburan dan permainan yang melalaikan, sehingga pihak pengusaha dapat mengeksploitasi keadaan ini demi keuntungan perniagaan mereka, tanpa menghiraukan berlakunya keruntuhan moral di kalangan anggota masyarakat.  Pada peringkat permulaannya, kerajaan mengarahkan pusat video memasang papan peringatan yang melarang kanak-kanak di bawah 18 tahun daripada memasuki pusat tersebut. Jika berlaku perlanggaran syarat, tindakan akan diambil.34 Beberapa peraturan/syarat dikenakan untuk mengelakkan unsur negatif seperti tidak melebihi pukul 12 malam, melarang kanak-kanak bawah umur dan lain-lain. Menurut ketua Bahagian Penguatkuasa MPKB, Encik Afandi Hamzah, MPKB mempertingkatkan operasi bagi mempastikan pusat hiburan di bandar Kota Bharu mematuhi syarat yang dikenakan.
Bermula pada 1/1/1993, MPKB telah membatalkan semua lesen premis pusat video games dan snooker. Pusat permainan ini dibatalkan kerana terdapat kegiatan perjudian dan maksiat. Tindakan ini adalah selaras dengan keputusan jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar Bil.4/91 pada 22/6/1992. Di samping itu, pusat ini juga telah dikenalpasti menjadi tumpuan pelajar-pelajar  yang ponteng sekolah dan meningkatkan lagi gejala sosial.36 Manakala pusat karaoke juga telah dihentikan operasinya apabila MPKB membatalkan  lima lesen karaoke pada tahun 1995 kerana melanggar syarat-syarat MPKB. Setakat ini, tidak ada lagi lesen karaoke dikeluarkan oleh MPKB. Pada peringkat awal pelaksanaan peraturan baru ini, pelbagai halangan dan cabaran dihadapi oleh MPKB dan kerajaan sendiri kerana menyentuh kepentingan ekonomi para pengusaha dan beberapa pihak lain yang mempunyai kepentingan sendiri termasuk Dewan Perniagaan Cina.37 Kerajaan dituduh tidak demokratik dan ketinggalan zaman. Namun begitu, ketepatan tindakan MPKB dan kerajaan itu terserlah kebelakangan ini apabila Kerajaan Pusat sendiri telah mengambil tindakan mengharamkan mesin permainan video pada 4hb Oktober 2000 bagi tujuan menghapuskan kegiatan judi melalui mesin-mesin slot. Media masa tanah air telah membuat liputan besar-besaran dan memberi sokongan kepada langkah Kerajaan Pusat kerana dianggap dapat mengurangkan gejala sosial di kalangan para remaja. Para ibu bapa pernah melahirkan rasa lega dan senang hati dengan peraturan yang dibuat oleh Kerajaan Kelantan kerana dilihat dapat menghindarkan para remaja dari terjebak dalam gejala keruntuhan moral dan budaya negatif. Menteri Besar juga pernah menyuarakan matlamat tersirat dari peraturan itu dalam ucapannya di Tumpat pada 17 April 1995, katanya:  
“Tempat video games kita tutup, walaupun mengurangkan hasil kita. Tempat billiard kita tutup, tempat snooker kita tutup. Ini semua menyebabkan budak- budak muda samada dia duduk di rumah, samada dia pergi ke sekolah, samada dia pergi berniaga, samada dia pergi ke masjid. Itu saja tempat- tempat dia. Alhamdulillah, dengan cara ini harapan kitanya perangai lepak akan berkurangan di Kelantan, dan keputusan peperiksaan di sekolah akan meningkat, kerana peluang bagi anak-anak kita buang masa di tempat-tempat itu sudah tidak ada”.
 
E. Pelaksanaan Peraturan  Baru  Lesen Hiburan 
Kerajaan Kelantan era kepimpinan ulama mempunyai persepsi sendiri tentang konsep hiburan. Secara dasarnya kerajaan menerima konsep hiburan dan seni sebagai elemen yang dapat membangunkan manusia dari segi sikap dan perwatakan. Oleh itu, mana- mana bentuk hiburan yang merosakkan sikap dan perwatakan Islam tidak diterima seperti hiburan yang melalaikan, atau yang mempunyai unsur syirik, pendedahan aurat atau unsur khayalan secara berlebihan, lucah dan sebagainya. Sehubungan dengan itu, pihak MPKB  tidak lagi mengeluarkan lesen hiburan bagi permainan makyong, menora dan wayang kulit. Walau bagaimanapun, lesen hiburan dikir barat dibenarkan dengan syarat ianya tidak melibatkan kaum wanita mengambil bahagian serta tidak menggunakan kata-kata lucah, mencela, memaki hamun, unsur- unsur syirik dan fitnah. Menteri Besar telah membuat beberapa kenyataan berhubung peraturan baru tersebut di mana beliau menekankan bahawa nilai hiburan yang terdapat dalam permainan-permainan yang diharamkan itu terkeluar dari kehendak Islam kerana wujudnya unsur syirik, pendedahan aurat, khayalan, percampuran lelaki perempuan tanpa kawalan dan sebagainya. Mengenai wayang kulit beliau ada menyatakan:  
“Walaupun saya tahu ini mainan orang Melayu yang paling disukai oleh orang Kelantan, tetapi dengan sebab barang ini barang khayal, barang tidak ada, maka kerana apa kita biar rakyat kita pergi duduk di tanah tengah malam buta tengok barang tidak ada? Barang ada banyak, mengapa tidak buat”.   
Hiburan pentas yang melibatkan penyanyi seperti konsert rock juga diharamkan kerana mengandungi unsur yang bercanggah dengan ajaran Islam. Dari aspek material dan pendapatan, Kerajaan Negeri kehilangan satu sumber cukai yang besar daripada penganjuran konsert. Mengikut kaca mata ekonomi kapitalis, langkah ini adalah satu kerugian kepada kerajaan. Namun begitu, kerajaan mengambil tanggungjawab keislaman yang mengatasi aspek yang lain.  Walaupun hasrat kerajaan untuk merealisasi kemuliaan Islam, tetapi sekali lagi pihak kerajaan menghadapi kecaman kerana dituduh memusuhi seni dan budaya. Bagi menjawab tuduhan tersebut, Menteri Besar sendiri telah menunjukkan sikap terbuka dengan menghadiri majlis permainan yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam seperti permainan wau dan kertok. Di samping itu, beliau membuat beberapa kenyataan bagi menjelaskan sikap kerajaan terhadap konsep seni dan budaya yang dipegang oleh kerajaan.

Beliau menyebut:  
“…Bola sepak kita beri. Main sepak (sepak raga) tidak apa. Hendak main kertok tidak apa... Begitu jugalah main wau apa semua sekali. Setengah kita berasa tidak sedap tengok Menteri Besar Kelantan pergi Tumpat, rasmi naik wau bulan. Saya pun tebal muka juga naik wau, tapi pergi juga tu dengan tujuan hendak memperbetulkan pemikiran masyarakat tentang Islam, kerana orang dok kata kalau Islam naik, semua tak boleh: go tu tak leh, go ni tak leh. Kita hendak royat ke orang, ada benda boleh dan ada benda tak boleh. Wau bulan boleh, tetapi kena sembahyang asar. Serupa juga bola boleh, kena sembahyang asar, kena jaga ajaran Islam”. 
 
Kenyataan seperti ini juga telah ditegaskan berulang-ulang kali oleh Timbalan Menteri Besar dan para Exco yang lain.41 Jelasnya, Kerajaan Negeri berhasrat untuk memurnikan lagi penghayatan budaya hiburan dan seni dalam masyarakat Kelantan, supaya tidak ada unsur yang negatif dalam persembahan-persembahan yang dijalankan.  
F. Penghapusan Cukai Jalan Beca Roda Tiga 
Pihak MPKB amat bersimpati dengan nasib pengayuh beca roda tiga di bandar Kota Bharu yang berjumlah seramai 1,100 orang. Bagi meringankan bebanan kewangan yang ditanggung oleh mereka, maka mulai 1.1.1991 MPKB telah menghapuskan bayaran cukai jalan yang dikenakan sebelum ini sebanyak RM24.00/setahun bagi sebuah beca. Walau bagaimanapun, bagi tujuan untuk memudahkan kawalan dibuat ke atas pengayuh beca berkenaan, bayaran lesen sebanyak RM2.00 setahun masih dikekalkan bagi  memastikan:42 a) Pemiliknya sendiri yang mengayuh beca tersebut. b) Peralatan beca mencukupi dan selamat digunakan untuk penumpang. c) Pemilik/pengayuh mematuhi undang-undang jalanraya. d) Mengawal beca roda tiga yang beroperasi di Kota Bharu. 
G. Perkhidmatan Letak Kereta Percuma43 
Mulai awal tahun 1991 MPKB telah mengisytiharkan bayaran perkhidmatan letak kereta percuma pada hari jumaat bagi seluruh kawasan letak kereta MPKB. Perkhidmatan percuma ini bertujuan memberi kemudahan dan keselesaan kepada orang ramai yang datang untuk membeli belah di pasar atau menghadiri majlis-majlis keagamaan. Bagi maksud yang sama, MPKB telah menawarkan kemudahan bayaran letak kereta secara bermusim dengan kadar yang lebih rendah sebagaimana berikut:  
Bil Perkara Kadar Asal Kadar Semasa 1 Sticker  a) 1 Bulan - RM 70.00 b) 2 bulan – RM130.00 c) 3 bulan -  RM180.00 d) 6 bulan  - RM330.00 e) 1 tahun – RM600.00 2 Petak Pusat Bandar RM 260.00 a) 1 bulan – RM230.0 b) 1 hari – RM10.00 Luar Pusat Bandar RM208.00 a) 1 bulan – RM165.00 b) 1 hari – RM8.00  
Mulai tahun 1997, MPKB melaksanakan sistem letak kereta bermeter di kawasan pusat bandar. Sistem ini berjaya memberi kemudahan kepada orang ramai khususnya pengguna petak letak kereta di samping menigkatkan hasil letak kereta MPKB daripada purata RM1.2 juta kepada RM3 juta setahun. 
H. Kempen Kesedaran Menutup Aurat, Kuatkuasa Pakaian Menutup Aurat dan Pakaian Bersopan di Pejabat Kerajaan dan  di Premis Perniagaan.
Kerajaan Kelantan telah menganjurkan kempen kesedaran menutup aurat yang bertujuan menggesa kaum wanita menutup aurat sebagai mematuhi perintah Allah. Kempen ini meliputi semua bidang kerja samada di pejabat kerajaan atau premis perniagaan, termasuk juga para jururawat. Selaras dengan dasar kerajaan negeri, MPKB telah melaksanakan beberapa program bagi menyedarkan masyarakat Islam mengenai tuntutan menutup aurat. Di antara langkah yang telah diambil ialah mengadakan beberapa siri penerangan dan kursus kepada pekerja kilang dan peniaga-peniaga dalam bandar Kota Bharu. Penerangan ini dibuat secara berperingkat-peringkat  dan berterusan sehingga kini.  Menurut Dato’ Haji Abdul Halim Mohamad, kerajaan negeri mengambil masa satu tahun memberi penerangan dan kesedaran bahawa Islam menuntut wanita supaya menutup aurat dan menutup kepala.44 Arahan untuk menguatkuasakan pakaian menutup aurat bagi anggota perkhidmatan awam semasa bertugas telah dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan melalui pekeliling Perkhidmatan Bil 1/1993 bertarikh 5 Syakban 1413 bersamaan dengan 28 Januari 1993. Kerajaan negeri juga telah menetapkan kuatkuasa pakaian menutup aurat kepada pekerja-pekerja di premis perniagaan pada 1 Januari 1992.
Untuk itu, tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana premis termasuk menarik balik lesen-lesen premis perniagaan sekiranya didapati pekerja-pekerja tidak mematuhi peraturan menutup aurat. Kuatkuasa etika pakaian Islam (menutup aurat) menetapkan bahawa ianya menjadi syarat pengeluaran lesen premis oleh pihak berkuasa tempatan. Ketua bahagian penguatkuasa MPKB, Nik Aman Nik Mohamad memberitahu dalam gerakan yang dibuat sejak awal September 1992 hingga laporan ini dibuat, terdapat seramai 31 wanita Islam yang bekerja dipelbagai jenis kedai dikenakan kompaun kerana tidak memakai pakaian menutup aurat. Sekiranya kesalahan yang sama berulang, pengusaha kedai pula akan dikenakan tindakan tertentu.45 Dalam laporan akhbar Berita Harian pada 2 Jun 1994 pula menyebut seramai 100 pekerja wanita Islam di Negeri Kelantan didenda oleh MPKB kerana enggan mematuhi peraturan memakai pakaian menutup aurat. Setiap kesalahan dikenakan denda RM10. Namun begitu mereka terlebih dahulu diberi nasihat, jika masih engkar, barulah tindakan undang-undang diambil. 
 
I. Penggantungan Sementara Urusniaga Waktu Solat. 
Mulai tahun 1995, MPKB telah mengarahkan semua pasaraya menggantung urusniaga masing-masing waktu solat jumaat. Di samping itu, 3 kawasan/tempat pasar malam diarah supaya menghentikan sementara urusan jual beli untuk menunaikan solat Maghrib secara berjemaah, iaitu pasar malam Parit Dalam, Kubang Kerian dan Pengkalan Cepa. MPKB bercadang memperluaskan lagi pelaksanaan solat ini ke pasar-pasar malam yang lain yang mempunyai kemudahan tempat solat berjemaah. Untuk tujuan pelaksanaan, MPKB melantik pegawai khas yang akan mengambil tindakan ke atas orang yang melanggar peraturan. Beberapa penguatkuasa ditugaskan memberi peringatan sebelum masuknya waktu solat Maghrib, supaya para peniaga dan orang ramai yang berada dalam kawasan pasar malam tersebut menunaikan solat Maghrib. 
J. Penyusunan Semula Penjualan Arak
Kerajaan Kelantan telah mengambil langkah menyusun semula penjualan arak pada 1hb Julai 1993 dalam rangka mengawal kegiatan minum arak di kalangan orang Islam. Dengan penyusunan semula tersebut, hanya 19 premis penjualan arak diberikan kebenaran seluruh Kelantan berbanding 32 buah premis sebelum itu. Dari jumlah itu, 12 buah di Kota Bharu, 3 di Gua Musang, 2 di Kuala Krai, 1 di Tanah Merah dan 1 di Pasir Mas. Serentak dengan itu, bahagian pelesenan MPKB tidak lagi memperbaharui lesen perniagaan arak yang telah tamat tempohnya. Langkah kerajaan ini bukan bermaksud menafikan hak orang bukan Islam kerana mereka tidak dihalang untuk minum arak ditempat yang sesuai asalkan bukan tempat awam. Malah kelonggaran tetap diberikan kepada mereka ketika meraikan majlis agama, perkahwinan, hari jadi dan kebudayaan, dengan syarat terlebih dahulu memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan. Ini adalah satu pengecualian yang istimewa kepada penduduk yang bukan Islam, kerana kerajaan menghormati hak-hak mereka yang memang diakui oleh Islam sejak sekian lama. Bagi memastikan penjualan arak lebih tersusun dan terkawal, MPKB menetapkan beberapa peraturan kecil iaitu setiap kedai yang menjual minuman keras hendaklah menyediakan tempat minum yang khusus iaitu yang terlindung daripada pandangan orang ramai. Kedai-kedai tersebut juga tidak dibenarkan menjual barang-barang atau makanan-makanan lain. Berdasarkan peraturan di atas, MPKB memastikan tiada lagi penjualan arak secara terbuka  termasuk di hotel-hotel, restoran dan kedai-kedai makan. Seperti yang diketahui umum, peraturan baru ini telah mendapat tentangan daripada beberapa pihak, termasuklah MCA bahagian Kota Bharu telah merancang satu pesta minum arak untuk menunjukkan bantahan terhadap peraturan kerajaan negeri melarang orang ramai minum arak di tempat awam. Namun begitu, rancangan tersebut tidak diteruskan oleh pihak MCA.49 Menjawab persoalan yang timbul ini, pihak kerajaan menjelaskan bahawa peraturan baru itu sangat berfaedah kepada semua lapisan masyarakat, terutamanya golongan remaja dapat dibendung dari terjebak dengan ketagihan alkohol dan minuman keras yang telah menjadi budaya baru masyarakat bandar masa kini, sekaligus dapat menghindarkan pelbagai bahaya yang berpunca daripada penagihan arak/alkohol.
 
K. Pencegahan Maksiat Pelacuran 
Kerajaan negeri Kelantan telah mengambil satu tanggungjawab yang serius dalam mencegah maksiat walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah. Salah satu bentuk maksiat yang dikenalpasti dalam bandar Kota Bharu ialah kegiatan pelacuran yang kebiasaannya berjalan pada waktu malam di beberapa kawasan tertentu seperti di Jalan Hamzah. Pondok-pondok kecil yang didirikan untuk tujuan tersebut, pada siang harinya dipenuhi dengan kegiatan perniagaan, tetapi bertukar menjadi pusat pelacuran pada sebelah malam, terutamanya pada malam minggu.
Menyedari gejala buruk yang dianggap terlalu keji oleh Islam itu, maka MPKB telah mengambil langkah tegas merobohkan tempat-tempat yang menjadi sarang maksiat tersebut. Operasi pembersihan kawasan sarang maksiat itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Imegresen, Jabatan Agama Islam, Unit Dakwah Halaqat serta di bantu oleh pihak polis.
Namun begitu kerja-kerja merobohkan rumah kotak yang menjadi sarang pelacur itu menghadapi banyak halangan dan kesukaran sebagaimana yang dinyatakan oleh Yang Dipertua MPKB, Dato' Halim Mohamad.53 Selain daripada itu, MPKB dengan kerjasama pihak Jabatan Agama Islam telah mengadakan sebanyak 20 kali operasi untuk membasmi kegiatan pelacuran ini. MPKB telah menahan seramai 39 orang dalam tempoh tersebut, dengan tumpuan operasi di Pantai Cahaya Bulan, kawasan Jalan Hamzah, kawasan perindustrian Pengkalan Chepa, hotel-hotel dan rumah-rumah tumpangan pelancung. Bahagian perlesenan dan penguatkuasaan MPKB juga bersedia untuk bertindak menarik balik lesen premis sebuah hotel di bandar Kota Bharu kerana dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran. Ini adalah langkah-langkah tegas MPKB dalam membenteras pelacuran.
Menteri Besar Kelantan memberikan reaksi spontan terhadap hasrat pihak yang ingin mengadakan pesta minum arak dengan berkata: Biarkan mereka berarak dan mabuk sehingga pecah perut. (Lihat Buletin Kelantan, Keluaran Khas, April 1995,
Mungkin dengan itu menimbulkan rasa gerun lalu mereka membatalkan rancangan mengadakan pesta arak tersebut. 
Perlaksanaan operasi di atas berjaya membersihkan bandar Kota Bharu daripada kegiatan pelacuran yang sangat dibenci oleh Islam, malah agama-agama lain. Dengan itu, pihak kerajaan dan MPKB sebenarnya telah menyelamatkan anggota masyarakat daripada satu penyakit masyarakat yang sangat bahaya kerana perbuatan zina membawa kesan buruk kepada seseorang samada di dunia atau di akhirat. Nabi Muhammad SAW menyatakan dalam hadisnya yang bermaksud:  
Wahai manusia, takutlah pada perbuatan zina kerana perbuatan ini akan mengakibatkan enam perkara, tiga perkara di dunia dan tiga perkara di akhirat. Adapun yang akan menimpa mereka di dunia ialah menghilangkan wibawa, mengakibatkan kefakiran dan mengurangkan usia. Tiga lagi akan dijatuhkan di akhirat iaitu mendapat kemurkaan Allah, hisab yang menghinakan dan siksa api neraka.  
L. Mengawal Kegiatan Khalwat atau Berdua-duaan Tanpa Kahwin 
Perbuatan khalwat merupakan satu bentuk maksiat yang ditegah oleh Islam berdasarkan keterangan al-Quran dan al-Sunnah. Ia termasuk dalam kategori muqaddimah kepada perbuatan zina kerana pergaulan bebas yang dilakukan oleh pasangan lelaki dan perempuan yang belum berkahwin akan mendorong kedua-duanya tergoda dengan bisikan hawa nafsu. Gejala ini akan menjadi faktor utama kepada perlakuan zina yang sangat dimurkai Allah Taala sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini. Oleh itu, perbuatan berdua-duaan atau khalwat yang boleh membawa kepada terjadinya zina merupakan sesuatu yang ditegah oleh Islam. Dalam usaha menangani gejala buruk tersebut supaya dapat dikawal daripada meruntuhkan masyarakat, pihak MPKB telah memainkan peranan yang penting membantu JAHEAIK menjalankan operasi-operasi pembersihan maksiat khalwat tersebut. MPKB telah menyertai operasi-operasi yang dijalankan dalam kawasan pentadbirannya. Sebagai contoh, sepanjang tahun 1992, MPKB dengan kerjasama JAHEAIK dan Unit Halaqat telah mengadakan 20 kali operasi bersama dan menahan seramai 39 pasangan yang terlibat. Tindakan susulan akan diambil ke atas pesalah yang ditahan dengan pelbagai cara. Antaranya, memberi nasihat dan bimbingan di samping denda yang tertentu.  
M. Peraturan Papan Tanda (iklan) yang Melibatkan Wanita 
Satu lagi aspek yang diberi tumpuan oleh kerajaan melalui MPKB ialah berkaitan dengan iklan atau papan tanda yang menggunakan wanita mendedahkan aurat. Perhatian diberikan kepada papan tanda berkenaan kerana ia dapat melindungi kesucian dan maruah wanita di samping dapat mengurangkan rangsangan ke arah unsur negatif yang berkait dengan gejala seksual.55 Kebanyakan iklan yang menggunakan wanita ini meletakkan gambar wanita yang tidak menutup aurat dan mengghairahkan. Golongan peniaga pada zaman ini terlalu banyak mengeksploitasi wanita bagi mendapatkan keuntungan berlipatganda dalam urusan perniagaan mereka sehingga wanita menjadi alat golongan tersebut. Perkara ini telah disedari oleh kepimpinan kerajaan negeri dan mengambil langkah melindungi kehormatan wanita yang sangat diambil berat oleh ajaran Islam. Untuk tujuan tersebut, papan iklan (billboard) yang memaparkan wajah wanita sekitar bandar Kota Bharu ditutup dan dipadamkan sebagai mematuhi arahan Menteri Besar Kelantan. Ini merupakan tindakan awal kerana selepas itu papan iklan berkenaan telah ditukar dengan yang baru yang tidak lagi memperagakan wanita mendedahkan aurat. Sebab itu didapati gambar-gambar wanita yang menutup aurat menghiasi billboard. Rata-rata masyarakat memberikan sokongan kepada langkah tersebut kerana benar-benar menepati kehendak Islam dan dapat melindungi kepentingan wanita.  
N. Panduan bagi Majlis-majlis Rasmi Kerajaan, Bacaan al-Fatihah Memulakan Majlis, Masa Memulakan Majlis, Menutup Majlis, Amalan Menyemat Bunga atau Rozet. 
Kerajaan Negeri Kelantan telah menetapkan satu peraturan yang dapat menonjolkan syiar Islam dalam pengendalian urusan rasmi seperti majlis-majlis rasmi kerajaan dengan beberapa amalan yang diajar oleh Rasulullah SAW. Kerajaan Negeri telah mengeluarkan arahan tersebut melalui pekeliling pentadbiran Islamiah Bil 1 Tahun 1994 yang bertajuk: Garis Panduan Bagi Majlis-majlis Rasmi Kerajaan, bertarikh 1 safar 1415 bersamaan 10 Julai 1994. Arahan tersebut ditujukan kepada jabatan-jabatan kerajaan negeri, termasuk juga MPKB sebagai sebuah kerajaan tempatan. Garis panduan tersebut menetapkan: Pertama: Memulakan sesuatu majlis dengan membaca surah al-Fatihah dan mengakhirinya dengan membaca surah al-Asr dan Tasbih Kaffarah. Bacaan doa tidak diperlukan selepas itu. Kedua: Susunan tempat duduk lelaki dan wanita diasingkan jika ruang mencukupi, pengasingan secara sebelah menyebelah. Jika ruang sempit maka wanita ditempatkan di belakang. Ketiga: Amalan menyemat bunga/rozet dihentikan. Jika hendak diadakan, hendaklah wanita menyemat wanita dan lelaki untuk lelaki. Keempat: Menghentikan amalan memberikan cenderamata kecuali buku-buku, risalah-risalah dan penerbitan-penerbitan serta hasil keluaran sendiri. Kelima: Memulakan majlis selepas solat Zohor dan ditamatkan sebelum Asar. Jika majlis sebelah pagi, hendaklah ditamatkan sebelum waktu solat Zohor serta beberapa perincian lain. 
 
 Keberkesanan Program Keislaman MPKB Menurut Perspektif Kakitangan MPKB  
Pelbagai program Islam telah diperkenalkan oleh MPKB bagi merealisasikan dasar “Membangun Bersama Islam” seperti yang dinyatakan di atas. Persoalan yang menarik di sini ialah sejauhmana pencapaian dan keberkesanan program keislaman tersebut. Untuk melihat persoalan ini secara lebih dekat, satu kajian dibuat di kalangan kakitangan MPKB untuk meninjau penerimaan mereka terhadap pembaharuan Islam tersebut dengan menggunakan satu set soal selidik yang dirangka bagi memenuhi tujuan kajian ini. Analisis penerimaan yang diperolehi ini dianggap sebagai jawapan kepada sejauhmana keberkesanan program keislaman yang telah dijalankan.  
Hasil Analisis Deskriptif 
Bilangan soal selidik yang dihantar ke MPKB adalah sebanyak 1000 soal selidik dan diterima sebanyak 349 soal selidik. Walau bagaimanapun, hanya 319 soal selidik sahaja yang diisi dengan lengkap. Jumlah keseluruhan maklum balas memberikan peratus yang mencukupi iaitu 31.9 peratus. (Peratusan maklum balas minimum yang diterima pakai ialah 30 peratus).   
1. Latar Belakang Responden 
Hasil kajian mendapati responden daripada kalangan lelaki adalah 52.2 peratus, perempuan adalah 43.8 peratus,  berumur dalam lingkungan 25 hingga 35 tahun sebanyak 45 peratus, 36-45 tahun sebanyak 30.3 peratus, 45-56 tahun sebanyak 7.8 peratus, beragama Islam 76.6 peratus, bukan Islam 13.8 peratus. Responden yang mempunyai tahap pendidikan peringkat SPM adalah paling ramai iaitu 55.3 peratus, diikuti tahap diploma/STPM sebanyak 18.8 peratus, ijazah sebanyak 10 peratus, SRP ke bawah sebanyak 11.3 peratus dan lain-lain sebanyak 4.8 peratus. Dari segi aliran pendidikan, yang pernah mengikut aliran umum ialah 59.1 peratus dan yang mempunyai pengajian agama ialah 39.1 peratus. Dari segi skim perkhidmatan, kakitangan sokongan adalah paling ramai iaitu 50.3 peratus, pengurusan tertinggi 0.9 peratus, pengurusan dan profesional 10 peratus. Dari segi tempoh perkhidmatan, yang mempunyai pengalaman bekerja dalam lingkungan lima hingga sepuluh tahun  adalah 43.1 peratus, lima tahun ke bawah 15.9 peratus, sebelas hingga lima belas tahun 13.8 peratus dan pengalaman lebih dari dua puluh tahun 16.9 peratus. 
2. Islam sebagai Dasar Pentadbiran MPKB 
Kerajaan negeri Kelantan di bawah pimpinan Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadikan Islam sebagai dasar pentadbiran. Islam adalah akidah perjuangan Kerajaan Kelantan. Ianya adalah kesinambungan daripada yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW yang ditegakkan dalam diri individu, keluarga dan masyarakat sehinggalah menegakkan negara Islam yang mendaulatkan hukum Allah secara menyeluruh. Hasil kajian mendapati seramai 98.1 peratus responden menyatakan persetujuan mereka bahawa MPKB telah melaksanakan pembaharuan Islam selaras dengan dasar kerajaan negeri semenjak tahun 1990 hingga sekarang.   
3. Penerapan Nilai-nilai Islam dalam Pentadbiran 
Hasil kajian menunjukkan peratusan responden berkenaan penerapan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran MPKB adalah tinggi. Seramai 87.2 peratus dan 77.7 peratus responden mengatakan keberkesanan kursus bina insan pada hari Rabu dan Khamis kepada semua kakitangan lelaki MPKB dan kursus khas kepada kakitangan wanita pada akhir setiap bulan. Manakala program ceramah agama pada setiap Khamis sebelum solat Zohor di bengkel MPKB untuk kakitangan peringkat rendah, usrah bulanan bagi kakitangan bermula waktu Maghrib, dan kelas tajwid kepada kakitangan wanita sekali seminggu, kebanyakan responden mengatakan bahawa langkah-langkah yang dijalankan adalah sangat wajar dan memberi kesan yang positif kepada kakitangan MPKB. Walau bagaimanapun, ada sebahagian kecil responden yang tidak mengetahui dengan kewujudan program-program ini.   
4. Membimbing Remaja 
Remaja merupakan aset negara. Penglibatan remaja dalam aktiviti yang tidak bermoral akan memberikan kesan negatif kepada negara. Oleh itu, MPKB telah melakukan beberapa program bagi mengurangkan penglibatan remaja dalam aktiviti yang tidak bermoral. Dalam kontek ini, seramai 79.7 peratus responden mengatakan bahawa kursus motivasi Islam kepada pekerja wanita dari kilang, pasaraya, restoran dan lain- lain pada setiap pagi Jumaat memberi kesan yang positif dalam membendung remaja daripada terlibat dengan aktiviti yang tidak bermoral. Operasi nasihat hari Sabtu untuk mengatasi masalah sosial seperti lepak dan pergaulan bebas mendapat persetujuan ramai (72.4 peratus) begitu juga operasi dataran MPKB dari jam 9 malam hingga jam 12 malam untuk mengatasi budaya buruk muda mudi (79.7 peratus).  Bagi mengelakkan aktiviti pergaulan bebas antara muda mudi, MPKB menguatkuasakan larangan berdua-duaan antara lelaki dan perempuan yang belum kahwin dan menguatkuasakan peraturan memasang lampu dalam pawagam semasa tayangan dijalankan. Kebanyakan responden mengatakan bahawa perkara ini sangat wajar dilakukan bagi membendung remaja daripada terlibat dengan aktiviti yang tidak bermoral.   
5. Penghayatan Ibadat  
Usaha MPKB meningkatkan penghayatan ibadat telah mendapat perhatian yang baik daripada responden. Mereka merasa sangat senang hati dan menyokong program- program tersebut dapat menghidupkan suasana ibadat sehingga mampu menjadi syiar yang menonjol dalam kehidupan. Hasil kajian menunjukkan semua program yang dianjurkan mendapat lebih daripada 70 peratus responden yang menyatakan bahawa ia dapat menghidupkan penghayatan ibadat. Ia menggambarkan keberkesanan program penghayatan ibadat yang dijalankan oleh MPKB.  
6. Kegiatan Dakwah dan Keilmuan 
Bagi meningkatkan kefahaman Islam dan penghayatannya di kalangan warga kota, MPKB telah melaksanakan beberapa pembaharuan. Kajian menunjukkan bahawa sebahagian besar responden menyatakan keberkesanan program yang dianjurkan oleh MPKB. Seramai 76.1 peratus responden menyokong aktiviti pengajian secara tetap di Masjid al-Bara’ah dan majlis sambutan hari kebesaran Islam kerana ia memberi kesan yang positif kepada warga kota. Begitu juga dengan dakwah bergerak (Kun Mustami’an) melalui alat pembesar suara pada setiap pagi hari bekerja, seramai 78.7 peratus responden menyetujui program tersebut.  
7. Mencegah Kemungkaran  
 Oleh kerana MPKB mahu membersihkan masyarakat daripada kekotoran maksiat dan kemungkaran, ia telah mengambil langkah tegas mencegah atau menyekat perkara- perkara tersebut. Hasil kajian mendapati responden menyokong baik program-program tersebut kerana dikira berkesan dalam mengatasi gejala mungkar dan maksiat yang dibenci oleh Islam. Ini terbukti apabila tidak ada sokongan yang kurang daripada 70 peratus diberikan oleh responden terhadap program-program tersebut. Malah ada program yang mencapai 80 peratus sokongan seperti program larangan iklan wanita mendedahkan aurat dan Enakmen Kawalan Hiburan.  
8. Pengharaman Judi dan Kelab Malam 
Kajian menunjukkan bahawa responden sangat bersetuju pengharaman judi dapat mengurangkan gejala sosial iaitu sokongan 88.3 peratus. Begitu juga responden sangat menyokong kuat tindakan pengharaman kelab malam dapat mengurangkan gejala sosial iaitu sebanyak 86.5 peratus.   
9. Kebajikan Warga Kota 
MPKB sedar bahawa tanggungjawab menjaga kebajikan warga kota amat besar. Oleh itu pelbagai langkah diambil untuk memberikan khidmat dan menjaga kebajikan mereka. Kajian menunjukan rata-rata responden menyatakan sokongan yang tinggi bahawa program kebajikan masyarakat adalah berkesan dan memberangsangkan di mana semua program tersebut mendapat lebih daripada 70 peratus sokongan.  
Penutup 
MPKB telah mengambil satu pendekatan pentadbiran yang telus dengan menjadikan Islam sebagai landasan pembaharuan melibatkan berbagai-bagai sektor pentadbiran dan pengurusannya. Langkah ini memberikan impak yang besar kepada kesejahteraan masyarakat dan telah mendapat perhatian yang mendalam daripada anggota masyarakat terutama kakitangan MPKB sendiri  yang mengakui bahawa program- program tersebut begitu berkesan dan dapat memenuhi tujuan yang telah digariskan oleh pihak MPKB sendiri, di mana MPKB merupakan badan pelaksana utama kepada polisi kerajaan negeri Kelantan yang memperkenalkan dasar “Membangun Bersama Islam” sejak tahun 1990 lagi. Semoga pencapaian keislaman dalam pentadbiran dan pengurusan ini dapat dipertingkatkan oleh MPKB dan dapat diambil manfaat oleh pihak berkuasa tempatan yang lain. Amin