RAIHANPAHIMI

publish your book for free?AFF=9142

Saturday, 26 September 2015

HANTARAN KAHWIN : ANTARA ADAT DAN BERKAT



 HANTARAN KAHWIN : ANTARA ADAT DAN BERKAT


Sekarang ini adalah musim perkahwinan, yang menjadi perbualan pada masa ini antara lain hantaran kahwin yang dikatakan agak mahal di kebelakangan ini. Hal ini telah menjadi tekanan kepada pihak teruna yang ingin berkahwin dengan dara idamannya. Yang lebih mendukacitakan lagi adalah tabiat masyarakat Melayu yang suka bermegah dan menunjuk-nunjuk dalam mengadakan Majlis Kahwin.
Saya terpanggil untuk memberi sedikit komen tentang budaya ego masyarakakt di Malaysia amnya dan bangsa Melayu amnya. Kini majlis kahwin anak dijadikan sebagai satu wadah untuk
menunjukkan kekayaan, kedudukan dan kemegahan. Hantaran kahwin diletakkan dengan harga yang agak tinggi , sebagai contoh jika anak gadis yang tinggal di Bandar dan anak kepada mereka yang bergelar Dato’. Tan Sri dan sebagainya kadar hantaran mesti melebihi RM10 ribu. Manakala anak orang biasa yang tinggal di kampung pun telah mencecah lebih RM5 ribu. Ini satu fenomina yang patut di fikir bersama untuk mengatasinya. Kerana jika majlis kahwin disertai dengan sifat ria’ dan membanggan diri dikhuari akan kurang kebekatannya.
Untuk melihat isu ini telah menjadi satu fenomina dalam masyarakat saya terbaca satu blok di bawah ini dan ustaz ini memberi pendapat peribadi beliau. Cuba kita teliti pendapatnya ini……….?

 “ Berlagak kaya ini telah merebak kepada masyarakat melayu dalam menetapkan mas kahwin dikala anak perempuan mereka dipinang oleh si jejaka. Disamping itu juga, dilihat kepada artis-artis yang berkahwin yang mendapat liputan media massa yang agak meluas dengan “hantaran” yang agak mengejutkan, menyebabkan ramailah orang melayu Islam mahu meniru.
Dengan keadaan sedemikianlah, maka berlakulah penetapan “hantaran” yang kadangkala mengejutkan sedangkan si jejaka tidak mampu untuk menyediakan semua itu melainkan perlu kepada bekerja bertahun-tahun terlebih dahulu, atau terpaksa berhutang.
Keadaan inilah menyebabkan, ramailah si jejaka yang telah meletakkan perasaan yang terlalu ingin berkahwin melakukan apa sahaja tindakan agar dapat memperisterikan kepada si dara yang dicintainya itu, yang kadangkala, tindakannya sebenarnya mengaibkan sehingga berita tindakannya itu masuk kedalam akhbar bacaan harian yang dimuatkan pula di muka surat hadapan.
HANTARAN YANG MEMBEBANKAN
Aku tidak menafikan fungsi “hantaran” yang diamalkan dikalangan masyarakat melayu. Ada sebilangan ulama-ulama melayu menyatakan, amalan itu perlu dilakukan disebabkan bersandar kepada kaedah fiqh yang berbunyi;
 الْعَادَة مُحَكَّمَةٌ
Maksudnya;
          “adat yang dijadikan hukum” (Al-As’bah wa An-Nazair : 1/164)
Bermakna, apabila amalan “hantaran” ini menjadi kebiasaan dikalangan masyarakat melayu, maka hantaran itu perlu disediakan. Padaku, kaedah itu tidaklah salah, tetapi yang salah pada cara penyesuaian hukum yang hendak dilaksanakan di kalangan masyarakat.
Apa yang pasti, kaedah ini disandarkan kepada satu hadis yang mauquf, iaitu hadis dari Abdullah bin Mas’ud yang mengatakan;
 مَا رَآهُ الْمُسْلِمُونَ حَسَنًا فَهُوَ عِنْدَ اللَّهِ حَسَنٌ
Maksudnya;
          “Apa yang orang islam lihat cantik, maka ianya pun cantik disisi Allah SWT” (Al-Mustadraq ‘Ala Sahihain : 4439)
Dari itu, apabila dilihat kepada budaya masyarakat melayu, mas kahwin tidak dijadikan isu sangat, disebabkan mas kahwin telah menjadi sesuatu yang telah ditetapkan di setiap negeri-negeri, yang kadarnya tidaklah membebankan. 

Tetapi, apa yang pastinya, masyarakat kita bermain dengan “hantaran” yang agak lumayan. Ianya diletakkan kepada pengantin lelaki dengan kadar yang membebankan.

Dengan keadaan itulah menyebabkan, ramailah si jejaka yang ingin  memperisterikan si dara terpaksa menunggu untuk mencari kewangan bagi menampung “hantaran” yang ditetapkan itu.
dalam keadaan itulah, mereka sudah tidak “tahan” menyebabkan kadangkala berlaku zina diantara mereka, berpasang-pasangan ke hulu dan ke hilir, berkhalwat ditasik-tasik dan sebagainya.

Melihat keadaan inilah, adakah dikira cantik lagikah disisi Allah hantaran yang membebankan itu? jika baik, masakan Allah mengizinkan maksiat sebegini berlaku?

Inilah persoalan yang perlu bermain di kepala setiap ibu bapa yang mempunyai anak gadis yang akan dipinang oleh jejaka yang bakal menjadi suami anak gadis mereka.

MAS KAHWIN MURAH ADALAH BERKAT


Tidak dinafikan, memang diizinkan kita hendak memahalkan mas kahwin mengikut kadar yang kita mahu. 
Firman Allah;
 وَآَتَيْتُمْ إِحْدَاهُنَّ قِنْطَارًا فَلَا تَأْخُذُوا مِنْهُ شَيْئًا
Maksudnya;
          “kamu telah memberikan kepada seseorang di antara mereka (isteri) harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil kembali dari padanya barang sedikitpun”

(Surah An-Nisa’ : 20)

Juga tidak dinafikan, Saidina Omar pernah meminta agar para muslimat di zaman beliau menurunkan harga mas kahwin serendah 400 dirham, tetapi dibantah oleh seorang muslimat dengan katanya;

يا أمير المؤمنين، نَهَيْتَ الناس أن يزيدوا النساء صداقهم  على أربعمائة درهم؟ قال: نعم. فقالت: أما سمعت ما أنزل الله  في القرآن؟ قال: وأي ذلك؟ فقالت: أما سمعت الله يقول: { وَآتَيْتُمْ إِحْدَاهُنَّ قِنْطَارًا

Maksudnya;
          “Wahai Amir Al-Mu’minin, adakah kamu melarang manusia bahawa perempuan menaikan harga mas kahwin mereka melebihi 400 dirham? Berkata (Omar) : benar. Berkata (perempuan), adakah kamu tidak mendengar firman Allah dalam Al-Quran? Berkata (Omar) : apakah ia? Berkata (perempuan) : adakah kamu tidak mendengar firman Allah (yang bermaksud) “kamu telah memberikan kepada seseorang diantara mereka (isteri) dengan harta yang banyak”. (Tafsir Ibni Kathir : 2/243)

Dari ayat al-Quran dan athar yang dinyatakan ini merupakan hujjah untuk menyatakan dibenarkan kepada kita untuk memahalkan kadar mas kahwin. Pun begitu, apa yang ingin dinyatakan dalam tulisan ini adalah, apakah lebih baik si perempuan memilih jalan yang menyenangkan kepada si jejaka. Iaitu jalan senang yang membawa kepada keberkatan.

Memudahkan mas kahwin merupakan jalan kemudahan yang membawa kepada keberkatan seperti yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW;

إن أعظم نساء أمتي بركة أقلهن مهرا

Maksudnya;
“Sebesar-besar berkat perempuan dikalangan umatku adalah serendah-rendah mas kahwinnya” (Musnad As-Syihab Al-Qida’ii : 1065)

Dan juga sabda nabi SAW;

أيسرهن مهرا أكثرهن بركة

Maksudnya;
          “semuda-mudah mereka mas kahwin, sebanyak-banyak mereka berkat” (Fatawa Muasarah : 1/447)

Begitujuga, melihat kepada amalan salaf soleh yang mengahwinkan anak mereka dengan tidak melihat kepada kadar kemampuan si jejaka membayar mas kahwin, tetapi melihat kepada kadar ketaqwaan si jejaka kepada Allah SWT.

PENUTUP

Pernah aku bersembang dengan sebilangan “orang-orang tua” tentang perkara ini, tetapi responnya agak negative. Mereka menimbulkan cerita omar untuk menegakkan amalan mereka itu.

Aku berfikir, mereka berhujjah dengan kisah omar untuk hendak dimahalkan hantaran atau mas kahwin, tetapi dalam masa yang sama, apabila melihat kepada anak-anak gadis dan anak jantan mereka, masakan aurat, bahkan ke hulu ke hilir bersama dengan pasangan masing-masing pun mereka tidak endahkan.

Kalau keadaan inilah berlaku, padaku, membiarkan keadaan anak-anak mereka yang bercampur lelaki dan perempuan merupakan perkara haram. Dan sekiranya percampuran itu berpunca dari melambatkan mereka kahwin lantaran mas kahwin atau hantara yang terlalu mahal yang di tetapkan, maka penetapan mas kahwin dan hantara yang mahal itu adalah perkara yang haram.
Akhir dari tulisan ini, aku ingin berpesan kepada diriku dan pembaca-pembaca sekelian dengan satu hadis Nabi SAW;
 إِذَا أَتَاكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ خُلُقَهُ وَدِينَهُ فَزَوِّجُوهُ إِلَّا تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الْأَرْضِ وَفَسَادٌ عَرِيضٌ
Maksudnya;
          “Apabila datang kepada kamu orang yang kamu suka akhlak dan agamanya, maka kahwinilah dia, jika tidak, kamu telah membiarkan berlakunya fitnah di bumi dan kerosakan yang terbentang” (Sunan Ibni Majah : 1957)

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani

http://al-bakistani .blogspot. com

Kesimpulan daripada cerita di atas memperlihatkan majlis perkahwinan anak dijadikan satu wadah untuk memperlihatkan ego para ibu bapa. Anak-anak yang sedang dilamun cinta menjadi mangsa, terutamanya si peria terpaksa menyimpan duit dalam tempoh yang agak lama bagi menuhi keperluan keluarga wanita yang dicintainya. Ini menimbulkan perasaan tertekan.
Situasi yang kurang baik ini perlulah difikirkan oleh semua masyarakat. Ingatlah bahawa perkahwinan yang paling baik dan berkat itu adalah yang ‘maha’ nya paling murah (berpatutan) dan perbelanjan majlis perkahwinan yang serba sedehana , dipenuhi dengan kesedaran keagamaan yang tinggi bukanya bermegah-megah untuk memperlihatkan kekayaan dan kebesaran diri. Marilah kita berasa menghisbah diri terutama bagi ibu dan bapa yang mempunyai anak dara yang telah layak untuk bersuami. Permudahkanlan majlis perkahwinan dan pecepatkanlah perkahwinan anak kita bila mereka telah menemui bakal suami yang telah memenuhi syarat asas yang ditetapkan oleh agama Islam.

Wallahu’alam.



HUKUM AKAD NIKAH DI MASJID




APAKAH HUKUM AKAD NIKAH DI MASJID ?

Pada musim cuti umum sepanjang perayaan Aidil Adha dan cuti persekolahan hujung tahun, merupaka masa yang paling banyak majlis kenduri kahwin. Boleh dikatakan setiap hari ada dua hingga tiga jemputan untuk majlis kenduri kahwin. 

Mesa saya bersembang dengan seorang rakan, dia ada menegemukan persoalan “ Ada pendapat mengatakan majlis akad nika yang diadakan di masjid adalah satu perbuatan yang meniru perbuatan orang Kristian dan yahudi “ 

Untuk mendapat kepastian saya cuba mendapatkan beberapa pendapat tentang isu ini. Dibawah ini saya kemukakan contoh jawapan yang diberikan oleh seorang usataz :

Assalamualaikum

Moga ustaz sentiasa di bawah rahmat Allah. Ana nak tanya ustaz, kat Malaysia ni ada pendapat yang mengatakan tak boleh akad nikah di masjid, kerana menyerupai Yahudi dan Kristian, ada hadith katanya. Apa pandangan Islam tentangnya?

Baha Al-Fatih

Jawapan

Waalaikumussalam, Allahumma ameen. Terima kasih kepada saudara Baha di atas soalan yang dikemukakan, yang menggambarkan keperihatinan saudara terhadap hukum sesuatu. Untuk memberi respon tentang soalan ini, saya perlu menyemak berita tersebut dan saya menjumpainya dalam laporan akhbar KOSMO online hari ini (21 Mac 2011).

Sebagai mukaddimah, Allah SWT menyebut tentang masjid dalam al-Quran antaranya menerusi surah an-Nur ayat 36-37 yang bermaksud:

Di rumah-rumah Ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan dan disebut namaNya di dalamnya, bertasbih kepadaNya pada waktu pagi dan petang. (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta mengeluarkan zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang hati dan pandangan menjadi goncang.

Membina masjid tujuannya adalah untuk mengagungkan Allah di dalamnya dengan mengerjakan ketaatan seperti solat, bertasbih, bertahmid dan bertakbir sama ada siang atau malam. Jadi, kedudukan masjid sangat mulia dalam Islam, kita perlu menjaga dan menghormatinya. Dilarang sama sekali membuat kotoran, membuat bising dan segala yang mencemarkan kemuliaan masjid.
Terdapat hadith yang menyebut secara jelas tentang isu yang sedang dibincangkan, ia juga menjadi perdebatan para ulama’ iaitu, daripada ‘Aisyah diriwayatkan bahawa nabi bersabda yang bermaksud:

Hebahkan pernikahan ini dan jadikannya di masjid, dan pukullah gendang. (Riwayat Tirmizi, Ghorib Hasan)

Imam Tirmizi menyatakan bahawa ini adalah Ghorib Hasan dalam bab ini, kerana Isa bin Maimun al-Ansari adalah seorang yang lemah dalam hadith.

Dalam hal ini, kita perlu bezakan di antara dua perkara:

Pertama: Hukum akad nikah di dalam masjid

Sebahagian ulama’ menyatakan hukumnya digalakkan (mustahab) dan sebahagian yang lain menyatakan hukumnya adalah harus dan dibenarkan. Jumhur Fuqaha’ menyatakan bahawa hukum akad nikah di masjid adalah digalakkan. Antaranya ialah:

Imam al-Jaziri menyimpulkan bahawa ulama’ al-Hanafiah, al-Malikiah dan al-Hanabilah menyatakan hukum akad nikah di dalam masjid adalah digalakkan, antara kata-katanya bermaksud:

Al-Hanafiah berkata bahawa makruh melakukan akad pertukaran (muamalat) seperti jual beli dan sewa-menyewa di dalam masjid. Adapun hibah dan seumpamanya tidak makruh, bahkan digalakkan akad nikah di dalamnya (masjid). (lihat al-Jaziri, al-Feqh ala al-Mazahib al-Arba’ah, hlmn 385)

Ibn Taimiyah pula berkata:

Dan oleh kerana nikah itu tergolong daripada perkara ibadah, maka digalakkan akad (nikah) di dalam masjid. (Majmu’ al-Fatawa, Darul Ma’rifah, Beirut, jilid 3, hlmn 122).
Manakala Ibn al-Qaiyyim sewaktu mengulas tentang permainan dan gurauan yang dibenarkan, menyatakan:

Sesungguhnya akad nikah adalah seumpama ibadat-ibadat lain, bahkan ia lebih utama dari aspek sunat, dengan itu ia digalakkan dibuat di dalam masjid, sedangkan jual beli pula dilarang di dalamnya. (I’lam al-Muwaqqi’iin, Kaherah, jilid 3, hlmn 153)
Bahkan beliau menyatakan sepatutnya dilakukan di masjid jika ingin dilakukan pada hari Jumaat, katanya yang bermaksud:

Sepatutnya (akad nikah) dilakukan di dalam masjid juga kerana menghimpunkan dua kemuliaan iaitu kemuliaan masa dan kemuliaan tempat.

Manakala ulama’ yang menyatakan hukum harus, mereka berhujjah bahawa perkahwinan itu adalah ketaatan dan ibadah, maka ia digalakkan untuk dilakukan di dalam masjid yang merupakan tempat beribadah kepada Allah, kerana tempat yang paling mulia di atas muka bumi ini adalah masjid.

Kedua: Hukum majlis kahwin di masjid

Harus jika menjaga adab dan tidak berlaku ikhtilat antara lelaki dan wanita serta tidak mengotorkan masjid dengan makanan dan minuman. Imam Nawawi berkata yang bermaksud:

Imam Shafie dan al-Ashab berkata: Diharuskan bagi orang yang beriktikaf dan selainnya makan, minum dan menghidangkan makanan di dalam masjid, begitu juga mencuci tangannya asalkan tidak menyakiti orang lain, jika cucian di dalam bekas maka ia lebih afdhal. (al-Majmu’, jilid 6, hlmn 535-536)

Namun, jika dapat dielakkan maka lebih baik. Kerana majlis perkahwinan tidak sunyi daripada bunyi bising, paluan gendang dan muzik, kanak-kanak dan sebagainya yang menyebabkan objektif sebenar pembinaan masjid akan ternafi. Bahkan jika menyebabkan melanggar perintah Allah seperti berlakunya ikhtilat maka hukumnya adalah diharamkan. Masjid punyai fungsi yang tersendiri. Sulaiman bin Buraidah daripada ayahnya meriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud:

Sesungguhnya dibina masjid-masjid itu berdasarkan (tujuan) ia dibina. (Riwayat Muslim).
Berkaitan hadith ini, imam Nawawi berkata maksudnya:

Terdapat banyak faedah menerusi hadith ini, di antaranya ialah larangan daripada menyanyikan lagu yang menyesatkan di dalam masjid, dan apa sahaja yang sama makna dengannya termasuk jual beli, sewa menyewa dan sebagainya. Begitu juga makruh meninggikan suara di dalam masjid. (al-Mubarakfuri, Tuhfat al-Ahwadzi, jilid 4, hlmn 458)

 Hadith wanita dinikahkan oleh nabi di dalam masjid

Manakala hadith seorang wanita yang dikahwinkan oleh nabi SAW di dalam masjid tidak sepatutnya ditolak hanya kerana dia datang menyerahkan dirinya kepada nabi. Hadith ini dianggap muhkam dan boleh beramal dengannya. Diriwayatkan bahawa Sahl bin Sa’ad al-Sa’idi menyatakan bahawa telah datang seorang wanita kepada nabi SAW lalu berkata yang bermaksud:

Ya Rasulullah SAW aku serahkan (tawarkan) diriku kepadamu (untuk dikahwini). Nabi memerhatikannya kemudian menganggukkan kepalanya. Apabila wanita itu melihat nabi SAW tidak melakukan apa-apa, dia pun duduk. Bangun seorang lelaki daripada kalangan para sahabat dan berkata: Ya Rasulullah SAW, jika engkau tidak berhajat kepadanya, maka kahwinkanlah aku dengannya. Nabi bersabda: Adakah engkau punyai sesuatu?. Lelaki itu menjawab: Demi Allah, tiada ya Rasulullah. Nabi bersabda: Baliklah kepada keluargamu dan carilah sesuatu jika kamu menjumpainya. Lelaki itu pun beredar dan datang semula sambil berkata: Tiada, demi Allah aku tidak jumpa apa-apa. Nabi bersabda: Carilah walaupun sebentuk cincin daripada besi… (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadith ini menjadi dalil bahawa nabi SAW melakukan akad nikah di dalam masjid. Ibn Hajar al-'Asqolani ketika menghuraikan hadith ini berkata:

Di dalam riwayat Sufiyan al-Thauri pada al-Isma’ili “Datang seorang wanita kepada nabi SAW, ketika nabi di dalam masjid”, maka ia menunjukkan secara tepat tempat berlakunya kisah tersebut. (Fath al-Bari, jilid 14, hlmn 415)

Oleh itu, berdasarkan perbincangan di atas, kenyataan menyatakan bahawa ‘Rasulullah SAW pernah mengingatkan umat Islam supaya tidak melakukan akad nikah dalam masjid kerana ia meniru penganut Kristian yang menikah dalam gereja dan Yahudi di rumah ibadat mereka’ perlulah bersumberkan dalil yang sohih, apatah lagi membuat kesimpulan bahawa ia menyimpang daripada amalan Rasulullah SAW.

Kesimpulannya
1. Hukum akad nikah di dalam masjid adalah harus dan dibenarkan.
2. Manakala pendapat yang mengatakan hukumnya digalakkan (mustahab), tidak boleh ditolak, lebih-lebih lagi ia merupakan pendapat para ulama’ yang muktabar.
3. Masjid punyai fungsi yang besar dalam Islam dan kita perlu menjaga adab-adabnya.

Darpada artikel yang dituliskan oleh ustaz di atas jelaslah bawa Nabi SAW pernah mengadakan akad nikah di masjid. Perkara ini adalah di haruskan. Tetapi dalam pemerhatian saya kebanyakan kita yang inginkan mengada majlis akan nika di masjid banyak melakukan perka-perkara yang tidak sepatutnya di lakukan di rumah Allah yang suci itu, contohnya, tidak ramai yang datang mengerjakan solat tahayatul masjid, berpakaian tidak menutup aurat, banyak yang berbual hal-hal dunia semasa menunggu masa majlis akad nikah.

Begitu juga aktiviti bergambar oleh ahli keluarga di majlis akad nikah di masjid untu di post ke fb atau twitter menjadikan suasana yang tidak elok dilakukan di dalam masjid. 

Kesimpulan saya walaupun harus mengadakan majlis akad nikah  di masjid tetapi banyak perbuatan di kelangan mereka yang jahil tentang adab-adab berada di masjid telah menjadikan perkara harus ini kepada suasana yang banyak tidak elok dan melangari adab-adab yang ditetapkan semasa berada di dalam masjid. Oleh itu adalah lebih baik para pengajur yang ingin adakan akad nika di masjid berfiki secara lebi mendalam tentang baik buruknya. Jika kita fikirkan banyak perkara yang tidak baik akan berlaku lebih baik tidak diadakan majlis berkanaan di masjid.

Wallahu’alam/

Sumber;  hjanhar.blogspot.com.