RAIHANPAHIMI

publish your book for free?AFF=9142

Friday, 17 July 2015

Adab Ziarah Menziarahi Menurut Islam


Assalamualaikum semua pembaca diluar sana, Sempena hari raya ke dua, saya  mengucapkan Selamat Hari  Raya Aidilfitri, maaf zahir batin.

firman Allah SWT bermaksud:
“Wahai orang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi, kecuali kamu diizin untuk menghadiri jamuan, bukan dengan menunggu masa sajiannya; tetapi apabila kamu dijemput maka masuklah; kemudian setelah kamu makan maka hendaklah kamu bersurai dan janganlah dengan berbual-bual. Sesungguhnya yang demikian itu mengganggu Nabi sehingga ia merasa malu kepada kamu, sedang Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran.” (Surah al-Ahzab, ayat 53)

Saya percaya masih ramai diantara kita yang ziarah-menziarahi sanak- saudara dan rakan untuk beraya dan memohon maaf diantara satu sama lain. Amalan ziarah menziarahi ini ialah suatu amalan yang terpuji dan memberi manfaat besar dalam konteks persaudaraan dan perpaduan ummah. Amalan ziarah membolehkan yang jauh menjadi dekat, renggang menjadi rapat, bersengketa menjadi damai dan susah menjadi mudah. Maka dengan amalan ziarah akan terbentuklah ikatan kasih sayang yang mengeratkan sesama insan.

Asal keturunan manusia berpunca daripada ibu bapa yang sama iaitu Nabi Adam AS dan Hawa. Sebab itulah Islam mengajak manusia saling mengenali, menghormati, bekerjasama dan memahami sesama insan. 

Firman Allah pula  bermaksud: “Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, oleh itu, damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.” (Surah al-Hujuraat, ayat 10)

Diantara  adab-adab yang digariskan oleh Islam  ketika  menziarahi ialah seperti,

 1. Sebelum bergerak dari rumah mestilah berniat ziarah untuk mengeratkan siratuhrahim kerana Allah, kalau tak hanya menjadi ziarah biasa. Kita pula jangan dibezakan antara orang kaya atau miskin.

2. Semasa berkunjung  hendaklah memilih waktu yang sesuai dan cuba elakkan berkunjung pada awal pagi, tengah hari dan larut malam kerana kebiasaan waktu itu tuan rumah ingin beristirahat atau membuat persiapan keperluan keluarga.

3.  Kita  sangat digalakkan supaya berjabat tangan dengan tuan rumah seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak ada dua orang Muslim yang bertemu, lalu saling berjabat tangan, kecuali kedua-duanya diampuni Allah SWT sebelum berpisah.”

4. Sebagai tetamu juga, tidak sepatutnya bebas melakukan apa saja di rumah orang lain kerana perbuatan itu akan mengganggu dan tidak disenangi tuan rumah.

5. Hendaklah menziarah rumah ahli keluarga/saudara-mara yang lebih tua dari kita. Adalah lebih baik kalau kita membawa sedikit `buah tangan' untuk diberikan kepada Tuan rumah.
  
Bagi pihak tuan rumah, Islam turut menggariskan beberapa adab yang perlu dipelihara serta dihayati antaranya menghormati dan memuliakan tetamunya. Pada masa sama, tuan rumah juga disarankan menghidangkan jamuan yang terbaik mengikut kadar kemampuan.

Janganlah ada maksud untuk berbangga-bangga tetapi tujuannya adalah merapatkan seluruh kawan serta memberikan kegembiraan dalam jiwa tetamu. Memuliakan dan melayan tetamu dengan baik adalah amalan para nabi dan rasul terdahulu.

Satu lagi adab penting yang ada kaitan dengan ziarah ialah menjaga adab makan-minum seperti memulakan makan dengan membaca Bismillah, mengakhiri dengan Alhamdulillah serta menghindari diri daripada kenyang yang melampau batas.
Jika tuan rumah menyediakan banyak menu, janganlah kita amabil semua jenis makanan yang dihidangkan jika kita tidak dapat memkannya. Pilihlah menu yang kita suka sahaja, jangan ambil menu yang kita tidak gemar memakannya, nanti membazir, ingatlah membazir itu adalah amalan syaitan.

Wallahu’alam.

Sumber: melayubistariku.

Ziarah & Puasa Sunat Syawal


Kini sudah masuk bulan syawal,  kita di sunatkan untuk berpuasa 6 hari dalam bulan syawal. Disamping itu juga kita masih dalam suasana menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri. Kebiasaanya dari kalangan kita juga akan mengadakan rumah terbuka di sepanjang bulan syawal. Sebagai tanda persahabatan kita biasanya akan menziarahi keluarga dan sabahat handai untuk beraya dan bermaaf maafan.

Puasa sunat ini juga tidak sewajarnya menjadi penghalang menerima jemputan rakan-rakan yang membuat rumah terbuka.

Isu Keutamaan Antara Sunat Syawal & Qadha

Selain itu, satu isu yang kerap ditimbulkan berkenaan hal ini adalah tentang penggabungannya dengan puasa ganti ramadhan dan puasa yang mana satu lebih perlu diutamakan.

Jika ada yang bertanya manakah yang lebih baik di antara puasa sunat syawal dan puasa qadha?. Jawapannya sudah tentu adalah puasa Qadha. Ini terbukti dari hadis Qudsi yang sohih
وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي مما افترضت عليه وما يزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه
Ertinya : "..dan tidaklah hampir kepadaku seorang hambaKu dengan apa juapun, maka yang lebih ku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardhu/wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepadaKu dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya..." (Riwayat Al-Bukhari, no 6021)

Hadis tadi sebagai asas keutamaan, walau bagaimanapun dari sudut praktikal jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang.

Maksudnya begini, jika seseorang itu perlu Qadha puasanya selama 30 hari, berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan Ramadan sebagai contoh) dan tubuhnya juga sihat dan di yakini masih kuat. Eloklah ia mengerjakan puasa sunat Syawal terlebih dahulu di ketika itu . Ini adalah kerana waktu sunnat puasa Syawal yang singkat berbanding Qadha (sepanjang tahun).

Bagaimanapun harus di ingat, walaupun waktu bagi puasa Qadha adalah panjang, kita tetap tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu atau ajal menjelang dahulu.

Seseorang yang mati sebelum mengganti puasa Ramadannya tetapi sudah berpuasa sunat Syawal akan pasti bermasalah kerana ia dikira masih berhutang dengan Allah SWT.

Bagaimanapun seseorang yang mati setelah berjaya menggantikan puasanya tetapi tidak sempat berpuasa sunat Syawal, pastinya tiada sebarang masalah pun, malah mungkin ia juga mungkin boleh mendapat pahala sunat syawal itu sekali. Berdasarkan sabda Nabi SAW

‏إن الله كتب الحسنات والسيئات ثم بين ذلك فمن هم بحسنة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له عنده عشر حسنات إلى سبع مائة ضعف إلى أضعاف كثيرة ومن هم بسيئة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له سيئة واحدة
Ertinya " ... barangsiapa yang beringinan melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, telah di tuliskan oleh Allah baginya pahala penuh, maka jika ia beringinan dan kemudian melakukannya, di tuliskan 10 pahala sehingga 700 kali ganda.." ( Riwayat Al-Bukhari, no 6010)

Kita harus memahami bahawa darjat puasa Qadha adalah lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih besar dari sunat Syawal, ini kerana puasa qadha adalah puasa wajib dan merupakan ‘hutang' ibadah dengan Allah berbanding puasa syawal yang hanyalah sebagai tambahan pahala.

Isu Gabung Sunat & Qadha

Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya amat popular, pandangan ringkas saya adalah seperti berikut :-

Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang specifik membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk menggabungkannya.

Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.
Malah terdapat juga hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang yang mengharuskan penggabungan ‘qadha dan ganti' itu dipersoalkan, iaitu :-

1. Jika seseorang mengatakan boleh gabung puasa qadha (yang wajib) dengan puasa syawal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan ‘tahiyyatul masjid' atau dengan solat sunat fajar, atau solat jumaat dengan solat sunat ‘tahiyyatul masjid'. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu subuh campur istikharah dan lain-lain.

2. Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa'dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a'lam.

3. Tindakan A'isyah r.a yang melewatkan Qadha pula boleh di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa Qadha dan Syawal. Maka inilah yang terpilih sepatutnya. (tidak gabungkan kerana Aisyah r.a tidak menggabungkannya) . Aisyah menyebut :                                                                                                                                                               
Ertinya : Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang sya'ban" ( Riwayat Muslim, no 101)

4. Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam' (tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun syawal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya.

Bagaimanapun, ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat syawal ini kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)

5. Malah ada pula yang berhujjah bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad 'Aayish al-'Utaibi dan juga di sebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awlawiyyat. Ini ada asasnya kerana berdasarkan hadith Nabi SAW.

من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر

Ertinya: "Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)" (Riwayat Al-Bukhari, no 6502).

6. Kita dapat melihat penggunaan ‘fe'il madhi' iaitu ‘past tense' bagi puasa Ramadan, mungkin sahaja
 boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadannya perlulah melengkapkan dahulu, kemudian barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawal.

7. Hujjah ulama yang mengharuskannya adalah hadith
" Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan." (Riwayat Bukhari, no 1, 1/12)

Ia dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting, tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya seperti niat solat yang di cadangkan di dalam mazhab Syafie dimulakan semasa lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak dikira. (Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin, An-Nawawi, cet Baytul Afkar, hlm 103).

Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh dibuat sesuka hati di dalam ibadah.

Kesimpulan

Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang terbatas ini : Elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan yang wajib (qadha) daripada sunat (syawal);

Pandangan yang membolehkan saya anggap sebagai rukhsah "keringanan" bagi mereka yang mempunyai kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya.

Antara ulama yang membolehkan untuk menggabungkannya adalah beberapa ulama dari mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar, panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.

Wallahu’alam.

Sumber :  Zaharuddin Abd Rahman


Thursday, 16 July 2015

Amalan Pada Malam Hari Raya


Kelaziman bagi kebanyakan umat Islam bila tiba malam Hari Saya mereka akan menyibut dengan aktiviti mengemas rumah dan juga menyediakan pelbagai juadah untuk berhari raya pada esok pagi. Kesibukan ini menyebabkan mereka tidak sempat melakukan perkara yang disunatkan untuk dilakukan pada malam hari raya sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah saw.
Mengikut sunnah, 10 amalan sunat aidilfitri, amalan sunnah rasulullah, amalan-amalan bulan syawal, kemuliaan hari 1 syawal, hadis kelebihan solat sunat aidilfitri, kelebihan amalan hari raya puasa, hadis berkenaan aidilfitri, fadhilat/fadilat berkaitan hari raya aidilfitri, kisah di hari raya, amalan terbaik, doa solat sunat, lafaz takbir raya, bolehkah ucap selamat hari raya.
Kala Kemeriahan Syawal, marilah kita berkongsi sedikit ilmu berkenaan 10 amalan sunat berkaitan Aildilfitri yang diamalkan Nabi kita Muhammad SAW sebagai sunnah baginda dan para sahabatnya. Semoga sedikit maklumat ini menjadi pendorong kepada kita semua untuk memaknakan Aildilfitri dari sambutan adat kepada menjadi sebuah ibadah yang di situ terdapat keredhaan Allah.

1. Bertakbir
Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya anak bulan dan berakhir setelah selesainya imam membaca khutbah. Disunatkan juga  untuk kita bertakbir di sepanjang perjalanan dari rumah menuju ke masjid untuk menunaikan solat aidilfitri.
2. Lafaz ucapan selamat 

Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaaran dengan ucapan ‘selamat hari raya, Maaf zahir batin’. Namun diceritakan al-hafiz Ibn Hajar al-Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair Nufair r.a katanya :- ” Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari Raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain “taqabbalullah minna waminka”(semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu [waminka di atas boleh ditukar kepada waminkum untuk diucapkan kepada orang ramai] ).”

3. Meneruskan Qiamullail
Jika sepanjang Ramdahan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah contohnya melalui solat tarawih, maka ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud.

4. Mandi sunat pagi hari raya
Disunatkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat aidilfitri.

5. Makan sebelum solat Aidilfitri
Disunatkan kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya.  Kebiasaannya Rasullullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Namun, tidak bermakna umat islam perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada hari raya Aidilfitri.Mereka bebas memakan apa sahaja.

6. Memakai pakaian yang indah
Disunatkan kamu muslimin memilih pakaian yang terbaik serta indah-indah mengikut kemampuan masing-masing untuk menuju tempat solat. Disunatkan juga kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunatkan kepada kaum wanita.

7. Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat hari raya
Berjalan kaki menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding menaiki kenderaan. Disunatkan juga mengikut jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya. Ada pendapat menyatakan ia dilakukan agar dapat bersalam dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu. Selain itu, orang yang berjalan ke masjid, salah satu langkah kakinya akan meninggikan darjat.

8. Mengerjakan solat aidilfitri
Syiar yang paling utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlaksanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat islam.

9. Bergembira pada Hari Raya Aidilfitri
Setelah sebulan umat islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah s.w.t, makan tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat. Bagi kita di Malaysia, kegembiraan sambutan hari raya aidilfitri dapat dilihat dengan memakai baju-baju baru yang indah , seltruh ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarah sesama umat Islam.

10. Puasa sunat 6 hari pada bulan Syawal
Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadahan lalu diiringi dengan puasa 6 hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.

Cara paling afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah hari raya secara berturut-turut (bermula pada 2 syawal. Namun seseorang bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan syawal samada secara berturut-turut atau berpisah-pisah.


Wallahu’alam.


Sumber :  hamba illahi

LAFAZ TAKBIR HARI RAYA

Tuesday, 14 July 2015

AMALAN MENZIARAHI KUBUR PADA HARI RAYA

Budaya Menziarahi Kubur Pada Hari Raya adalah amalan yang lazim di dalam masyarakat Melayu di nusantara. Saya sendiri semenjak kecil lagi didedahkan dengan amalan menziarahi kubur pada pagi raya. Kebanyakan dari kita menganggap ianya adalah salah satu “sunnah” walahal amalan ini bukannya amalan yang di anjurkan oleh Rasulullah saw.  Marilah kita sama-sama memperbetulkan kefahaman yang agak bercanggah dengan ajaran Islam ini dengan kembali kepada konsep sambutan hari raya yang di anjurkan oleh Islam.

Untuk mendapat kupasan yang lebih lanjut marilah kita sama-sama menghayati kupasan yang pernah di beri oleh Dr MAZA.

1. Hari raya adalah hari membesarkan Allah dan bersyukur atas kurniaanNya. Kita bertakbir tanda kemenangan, bukan tanda kesedihan. Irama takbir ala melayu agak sedih. Jika kita dengar takbir yang dilaung di dunia Islam yang lain, khususnya di dunia Arab, kita akan tahu irama takbir mereka lebih bersemangat dan lebih mendekati perasaan kemenangan. Firman Allah:

“..dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur”. (Surah al-Baqarah: 185).

Ayat ini menjelaskan tentang kedatangan hari raya sebagai tanda syukur atas nikmat kurniaan Allah. Maka kita disuruh bertakbir membesarkan Allah pada hari raya. Ini semua menzahirkan kejayaan dan kegembiraan.

2. Hari raya bukan hari menzahirkan suasana sedih, sebaliknya hari raya menzahirkan suasana kekuatan, kegembiraan dan perpaduan umat Islam. Kata Ummu Atiyyah r.aha:

“Rasulullah s.a.w memerintahkan kami (kaum wanita) keluar pada hari raya fitri dan adha; termasuk para gadis, wanita haid, anak dara sunti. Adapun mereka yang haid tidak menunaikan solat tetapi menyertai kebaikan dan seruan kaum muslimin” (Riwayat al-Bukhari).

Suasana sebegini menimbulkan perpaduan, kekuatan dan kegembiraan. Wanita haid pun ke suruh untuk keluar ke tempat solat, sekalipun bukan untuk solat tetapi untuk menyertai suasana kemeriahan kaum muslimin.

3. Justeru itu, Nabi s.a.w bersolat di tempat lapang atau musolla (tempat solat). Baginda tidak bersolat di masjid baginda, sekalipun masjid Nabi sangat mulia. Ini bagi menzahirkan suasana gembira dan menggambarkan kepada masyarakat kekuatan umat Islam. Kata Abu Sa’id al-Khudri:

“Rasulullah s.a.w itu pada Hariraya Fitri dan Adha keluar ke musolla. Perkara pertama yang dilakukannya adalah solat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kata al-Hafizd Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari:
“Musollah itu tempatnya diketahui di Madinah, di mana antaranya dan masjid sejauh seribu hasta”.
Maka afdal solat di tempat lapang untuk lebih menzahir suasana tersebut. Melainkan tempat lapang sukar didapati, atau hujan atau memberikan kesusahan yang lain kepada orangramai. Al-Imam al-Nawawi (wafat 676H) ketika mensyarahkan hadis Nabi s.a.w bersolat di tempat lapang itu menyebut:
“Hadis ini menjadi dalil untuk mereka yang berpendapat disunatkan keluar bersolat hari raya di musolla. Ia lebih afdal dari ditunaikan di masjid. Inilah amalan orangramai di pelbagai negara. Adapun orang Mekah, mereka sejak dahulu bersolat di masjid (al-Masjid al-Haram)”. (al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 6/483. Beirut: Dar al-Khair).

4. Betapa suasana kegembiraan digalakkan pada hari raya, maka Nabi s.a.w mengizinkan atau menggalakkan hiburan seperti nyanyian, pertunjukan dan sukaria yang lain selagi tidak melanggar syariat. Dalam hadis daripada isteri Rasulullah s.a.w Ummul Mukminin ‘Aishah r.aha:
bahawa pada hari raya Fitri atau Adha, Abu Bakr masuk ke rumahnya (rumah ‘Aishah) dan Nabi s.a.w berada di sisinya. Ketika itu ada dua orang gadis sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu‘ath (peperangan antara Aus dan Khazraj). Abu Bakr berkata: “Suara syaitan” (sebanyak dua kali). Nabi s.a.w bersabda: “Biarkan mereka wahai Abu Bakr! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat Muslim yang lain menyatakan mereka memukul gendang sebagai alatan muzik iringan nyanyian mereka. Banyak hadis lain menunjukkan keizinan atau galakan hiburan pada hari-hari kegembiraan seperti hari raya, hari perkahwinan dan seumpamanya. Maka, dendangan lagu hari raya yang menimbulkan suasana kegembiraan adalah digalakkan. Adapun lagu-lagu yang menimbulkan kesedihan ia bertentangan dengan konsep hari raya dalam Islam.

5. Kata Ummul Mukminin ‘Aishah r.ha:
“Pada hari raya orang Sudan membuat pertunjukan permainan perisai dan lembing. Aku tidak pasti sama ada aku yang meminta, atau baginda yang berkata: “Apakah engkau ingin menontonnya?” Jawabku: “Ya”. Lalu baginda menjadikan aku berada belakangnya, pipiku menyentuh pipinya sambil baginda berkata: “Teruskan wahai Bani Arfidah (orang-orang Sudan)”. Sehinggalah aku jemu. Kemudian baginda berkata kepadaku: “Sudah cukupkah (jemukah)?”. Jawabku: “Ya”. Kata baginda: “Kalau begitu, pergilah”. (Riwayat al-Bukhari).

Hadis ini menunjukkan apa-apa pertunjukan, permainan atau gurau senda yang tidak melanggar syariat adalah digalakkan pada hari raya. Bukan satu kecacatan untuk orang yang kuat agama menyertainya, kerana Nabi s.a.w sendiri menonton pertunjukan pada hari raya.

6. Maka, jika berdasarkan kepada hadis-hadis di atas, hiburan kanak-kanak atau dewasa pada hari raya seperti permainan bunga api atau selainnya adalah tidak menyalahi syariat, bahkan digalakkan jika dapat menimbulkan kegembiraan. Begitu juga jamuan pada hari raya, duit raya, hadiah raya dan apa sahaja yang boleh menimbulkan suasana gembira. Namun kesemuanya hendaklah dipastikan dengan kadarnya yang tidak melampaui hukum-hakam syarak.

7. Menziarahi kubur itu pada asalnya disunatkan pada bila-bila masa bagi mengingatkan kita pada hari akhirat. Sabda Nabi s.a.w:

“Aku dahulu melarang kamu menziarahi kubur, namun ziarahi sekarang kerana ia boleh mengingatkan kamu pada hari akhirat” (Riwayat Muslim).

Pada peringkat awal Nabi s.a.w melarang kerana bimbang kesan jahiliah dahulu masih mempengaruhi masyarakat. Apabila kefahaman Islam sudah kukuh, baginda mengizinkan kerana ia membantu mengingatkan hari akhirat. Ertinya, jika sesiapa yang apabila ke kubur akan terpengaruh dengan amalan khurafat, maka mereka ia sepatutnya mengelakkan diri dari menziarahi kubur. Jika ia menyebabkan mengingatkan hari akhirat, maka ia digalakkan.

8. Walaupun menziarahi kubur itu pada asalnya sunat, namun baginda Nabi s.a.w tidak pernah mengkhususkan supaya diziarahi khubur pada hari raya. Perbuatan mengkhususkan hari raya sebagai hari ziarah kubur tidak bersumberkan dari ajaran Nabi s.a.w. Apatahlagi dengan pelbagai upacara yang menyanggahi sunnah Nabi s.a.w yang diadakan oleh sesetengah masyarakat di kubur pada hari raya. Bahkan, jika kita melihat kepada konsep hari raya yang diterangkan, maka perbuatan bersedihan di kubur adalah menyanggahi tujuan hari raya.

9. Pada hariraya disunatkan mandi, berwangian, berpakaian cantik dan berjumpa orang ramai. Dalam hadis Jabir r.a berkata:

“Rasulullah pada hari raya mengambil jalan yang berbeza” (Riwayat al-Bukhari).
Maksudnya, jalan pergi ke tempat dan pulang yang berbeza. Kemungkinan antara hikmahnya untuk berjumpa orang ramai. Maka, berjumpa orang ramai pada hari raya adalah digalakkan dan itu patut menjadi tumpuan, bukan pergi menemui yang telah meninggal dan bersedih di kubur.

10. Pertemuan pada hariraya bukan untuk mencurahkan airmata, tetapi untuk mengucapkan ucapan kejayaan. Para sahabah apabila bertemu pada hari raya mengucapkan TaqabbalaLlah minna wa minka (semoga Allah menerima amalan kami dan kamu)” (lihat: al-Albani, Tamam al-Minnah 354-356). Ucapan-ucapan lain tidak salah selagi mengandungi maksud yang baik dan bukan membawa kepada kesedihan dan kedukaan.

11. Maka, jadikanlah hariraya sebagai hari kegembiraan dan kesyukuran, bukan hari kesedihan.

Kesimpulannya amalan mengadakan program ziarah kubur pada hari raya pertama ( Aidil Fitri atau Aidil Aha) adalah perlu kita ubah dan tinggalkan, kerana Hari Raya adalah hari untuk bergembira setelah kita menjalani puasa Ramadan selama sebulan. Malah kita di sunatkan untuk berkunjung ke rumah sanak saudara, sahabat handai untuk  sama-sama menyambut kegembiraan dan saling maaf bermaaf-maafan.

Untuk itu program menziarahi kubur boleh di atur pada hari-hari berikut selepas hari raya pertama atau pada hari-hari lain di sepanjang tahun.

Wallahualam.


Sumber: Dr. MAZA

Monday, 13 July 2015

TAUBAT PENZINA

Taubat seorang wanita penzina..

Sebagai manusia yang hidup di alam fana ini, kita tidak akan terhindar dari melakukan dosa. Terutamanya dosa-dosa kecil. Kadangkala kita mungkin terlanjur melakukan dosa besar secara tidak sengaja kerana di nodai oleh nafsu serakah dan hasutan syaitan. Sungguhpun begitu Islam mengajar umatnya supaya tidak berputus asa keran Allah Maha Penganpun dan Maha Penyayang. Maka kita diberi peluang untuk bertubat.
                                                                       
Imam Muslim dalam Shahihnya, dan juga para penulis kitab sunnah telah meriwayatkan sebuah kisah taubat yang paling mengagumkan yang diketahui oleh manusia. Pada suatu hari Rasulullah duduk di dalam masjid, sementara para sahabat beliau duduk mengelilingi beliau. Beliau mengajar, mendidik dan mensucikan (hati) mereka.

Tiba-tiba datanglah seorang wanita berhijab masuk melalui pintu masjid. Melihat wanita itu Rasulullah pun diam, dan begitu juga para sahabat beliau. Wanita tersebut menghadap dengan perlahan, dia berjalan dengan penuh gentar dan takut, dia lemparkan segenap penilaian dan pertimbangan manusia, dia lupakan aib dan keburukan, tidak takut kepada manusia, atau mata manusia dan apa yang akan dikatakan oleh manusia.

Dia menghadap untuk mencari kematian. Kematian lebih ringan, jika disertai oleh pengampunan dan penghapusan dosa. Menjadi ringan jika setelah kematian tersebut terdapat keredhaan dan penerimaan dari sisi Allah. Dia berjalan sampai kepada Rasulullah, kemudian dia berdiri di hadapan beliau, dan mengkhabarkan kepada beliau bahawa dia telah berzina!

Dia berkata, "Wahai Rasulullah, aku telah melakukan (maksiat yang mewajibkan adanya) hukuman had (atasku), maka sucikanlah aku!"

Apa yang diperbuat oleh Rasulullah s.a.w.? Apakah beliau meminta persaksian dari para sahabat atas wanita tersebut? Tidak, bahkan merahlah wajah beliau hingga hampir-hampir menitiskan darah. Kemudian beliau mengarahkan wajah beliau ke arah kanan, dan diam, seakan-akan beliau tidak mendengar sesuatu. Rasulullah berusaha agar wanita ini mencabut perkataannya, akan tetapi wanita tersebut adalah wanita yang istimewa, wanita yang solehah, wanita yang keimanannya telah tersusuk di dalam hatinya. Maka Nabi bersabda kepadanya, "Pergilah, sehingga engkau melahirkannya."

Berlalulah bulan demi bulan, dia mengandung puteranya selama 9 bulan, kemudian dia melahirkannya. Maka pada hari pertama nifasnya, dia pun datang dengan membawa anaknya yang telah diselimuti kain dan berkata, "Wahai Rasulullah, sucikanlah aku dari dosa zina, inilah dia, aku telah melahirkannya, maka sucikanlah aku wahai Rasulullah!"

Maka Nabi pun melihat kepada anak wanita tersebut, sementara hati beliau tercabik-cabik kerana merasakan sakit dan sedih, dikeranakan beliau menghidupkan kasih sayang terhadap orang yang berbuat maksiat, rahmat kepada burung, dan menyayangi haiwan.

Sebahagian ahli ilmu berkata, "Bahkan beliau, memberikan rahmat hingga kepada orang kafir. Allah berfirman tentang beliau, "Dan tidakklah aku utus kamu Muhammad, kecuali sebagai rahmat bagi alam semesta." Siapa yang akan menyusui bayi tersebut jika ibunya mati? Siapakah yang akan mengurusi keperluannya jika had (hukuman) ditegakkan atas ibunya? Maka Nabi bersabda, "Pulanglah, susuilah dia, maka jika engkau telah menyempurnakannya, kembalilah kepadaku."

Maka wanita itu pun pergi ke rumah keluarganya, dia susui anaknya, dan tidaklah bertambah keimanannya di dalam hatinya kecuali keteguhan, seperti teguhnya gunung. Tahun pun bergilir berganti tahun. Kemudian wanita itu datang dengan membawa anaknya yang sedang memegang roti. Dia berkata: "Wahai Rasulullah, aku telah menyempurnakan memberinya susu, maka sucikanlah aku!"

Dia dan keadaannya sungguh sangat menakjubkan! Iman yang bagaimanakah yang membuatnya berbuat demikian. Tiga tahun lebih atau kurang, yang demikian tidaklah menambahnya kecuali kekuatan iman.

Nabi mengambil anaknya, seakan-akan beliau membelah hati wanita tersebut dari antara kedua lambungnya. Akan tetapi ini adalah perintah Allah, keadilan langit, kebenaran yang dengannya kehidupan akan tegak.

Nabi bersabda, "Siapa yang mengkafil (mengurusi) anak ini, maka dia adalah temanku di syurga seperti ini…" Kemudian beliau memerintahkan agar wanita tersebut direjam (dilempari dengan batu hingga mati).

Maka manusia pun berkumpul, dan merejamnya. Memancutlah darah dari kepala wanita tersebut mengenai Khalid bin Walid, maka dia pun mencacinya pada jarak pendengaran Nabi. Maka beliau bersabda kepadanya, "Tenang wahai Khalid, demi Allah, dia telah bertaubat dengan pertaubatan yang seandainya penarik pajak bertaubat dengannya pastilah akan diterima darinya."

Dalam sebuah riwayat bahawa Nabi memerintahkan agar wanita itu direjam, kemudian beliau mensolatinya. Maka berkatalah Umar, "Anda mensolatinya wahai Nabi Allah, sungguh dia telah berzina." Maka beliau bersabda, "Sungguh dia telah bertaubat dengan satu taubat, seandainya taubatnya itu dibahagikan kepada 70 orang dari penduduk Madinah, maka taubat itu akan mencukupinya. Apakah engkau mendapati sebuah taubat yang lebih utama dari pengorbanan dirinya untuk Allah?" (HR. Ahmad)

Sesungguhnya ini adalah rasa takut kepada Allah. Sesungguhnya itu adalah perasaan takut yang terus menerus berada pada diri wanita mukminah tersebut saat dia terjerumus ke dalam jerat-jerat syaitan, dia menjawab jerat-jerat tersebut pada saat lemah. Ya, dia telah berbuat dosa, akan tetapi dia berdiri dari dosanya dengan hati yang dipenuhi oleh iman, dan jiwa yang digerakkan oleh panasnya maksiat. Ya, dia telah berdosa, akan tetapi telah berdiri pada hatinya tempat pengagungan terhadap Dzat yang dia bermaksiat kepada~Nya. Sesungguhnya ini adalah taubat sejati wahai hamba-hamba Allah. Ya, ini taubat nashuha wahai hamba-hamba Allah.

Wallahu'alam...
Sikap sabar dalam menghadapi semua persoalan hidup adalah satu anugerah dari Allah, tidak semua orang mendapat anugerah tersebut. Jika ada sifat sabar dalam dirimu, maka bersyukurlah kepada yang memberi kesabaran pada dirimu iaitu Allah SWT.



Sumber : Abd Razak

Sunday, 12 July 2015

KENAPA BERLAKU PERCERAIAN ?


Semua pasangan yang berkahwin adalah bermatlamat untuk hidup bersama sampai ke hujung hayat. Inilah lafaz cinta suci yang di ikrarkan oleh pasangan suami isteri yang baru berkahwin. Namun begitu hakikat kehidupan tidak semuanya indah, rebut dan badai akan datan dari masa semasa dalam tempoh pasangan mendayung kapal rumah tangga mereka di samudra yang terbentang luas. Bagi nakhoda yang  tidak begitu mahir mengendalikan kemudian kapal rumah tangga mereka akan kecundang di tengah lautan, kapal akan terbalik de ditempuh ombak besar, jika silap pengemudian kapal besar rumah tangga akan pecah dan disinilah  berlaku percerian penumpanya.

Faktor perceraian

PENDEDAHAN Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustapha, menerusi kajian yang dibuat pada 2008, mendapati wujudnya potensi tinggi berlakunya perceraian dalam usia perkahwinan 10 tahun ke bawah.
Dalam kajian pada 2007 pula, Jakim mendapati 32.2 peratus perkahwinan untuk tempoh lima tahun pertama mengalami perceraian dan bagi tempoh enam hingga 10 tahun pula mendapati 27.7 peratus bercerai.

Ini bererti tempoh 10 tahun pertama adalah paling kritikal kerana 59.9 peratus pasangan berakhir dengan perceraian. Berdasarkan rekod 2009, 135,136 perkahwinan didaftarkan manakala 27,116 kes perceraian pula direkodkan.

Di negara kita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) diwujudkan bagi menjaga kebajikan wanita supaya tidak teraniaya, tertindas, ketinggalan dan seumpamanya.

Namun, melihat keadaan semasa di negara kita pada masa kini, mungkin tiba masanya kita memikirkan sebuah badan khas untuk membantu lelaki yang kelihatan semakin pudar keupayaan mereka.

Allah SWT menciptakan isi dunia ini berpasangan supaya mereka saling bekerjasama memakmurkan dunia sesuai dengan fitrah mereka.

Namun, jumlah wanita lebih ramai memenuhi institusi pengajian tinggi dan seterusnya semakin banyak menguasai jawatan dalam bidang pekerjaan.
Pendidikan dalam rumah tangga semakin terhakis, satu puncanya adalah apabila wanita semakin ramai diperlukan untuk keluar bekerja sedangkan lelaki pula gagal menampung keperluan membantu dalam pendidikan anak.

Dalam kata mudahnya, dunia pekerjaan kini memerlukan bantuan wanita untuk terus bergerak tetapi dunia rumah tangga memerlukan bantuan lelaki untuk terus harmoni.

Apabila wanita kelihatan berjaya menampung keperluan dunia pekerjaan, tentu kemampuannya mengurus isi rumah tangga menyusut, ketika itulah peranan lelaki diperlukan tapi sedikit malang apabila lelaki terus terkebelakang.

Di dunia kerjaya mereka menyusut, di dalam rumah tangga mereka sering gagal menampung ruang kosong ditinggalkan isteri yang bekerja.

Hasilnya pergolakan pasti berlaku, rumah tangga berantakan, anak pasti terkena impak negatif dan seterusnya mendasar di dalam jiwa mereka sehingga dewasa.

Lebih buruk jika impak itu merosak jiwanya dan menjadikan anak berkenaan sebagai pembuli di sekolah, ‘virus’ di universiti, sampah dalam masyarakat dan pencipta masalah dalam negara.

Allah SWT menyebut dalam surah Al-Nisa, ayat 43, bahawasanya: “Lelaki itu adalah ketua ke atas wanita disebabkan kerana kurniaan yang diberikan kepada mereka dan disebabkan nafkah yang mereka berikan.” Jelas daripada ayat di atas, Allah melantik lelaki selaku ketua dan pemutus keputusan di dalam sesebuah rumah tangga berdasarkan dua sebab utama iaitu, kelebihan fizikal mereka dan, tanggungjawab mereka selaku pencari nafkah untuk keluarga.

Nescaya, kalau kedua-dua itu tidak disempurnakan dengan baik, pasti masalah akan berputik satu demi satu, ketidakpuasan hati akan menjelma hari demi hari, kehidupan akan berubah kepada seribu satu macam jenis masalah hingga berakhir dengan perceraian dan anak bermasalah.

Kerana itu keharmonian keluarga sangat penting dalam Islam dan Rasulullah SAW mengatakan, krisis dalam keluarga boleh ‘menghakis’ agama kerana ia punca kepada masalah lebih besar dalam masyarakat.

Rasulullah SAW bersabda: “Wahai sahabatku, mahukah kamu aku khabarkan satu amalan yang lebih besar fadilatnya berbanding puasa (sunat), sedekah (sunat) dan solat (sunat)?” Maka Abu Darda’ menjawab: “Ya, Rasulullah.” Baginda membalas: “Itulah mendamaikan perbalahan dalam keluarga dan masyarakat.” (Riwayat Al-Tirmidhi Abu Daud) Rasulullah turut menyatakan bahawasanya: “Kerosakan dalam hubungan rumah tangga, kaum kerabat dan organisasi masyarakat akan menghakis (ketaatan dalam agama).” (Riwayat Ahmad dan Tirmidhi: Hadis Hasan) Apabila wanita sudah bekerja dan berpendapatan sendiri, mereka tiada lagi punyai masalah untuk bercerai, hasilnya berdasarkan kajian, ‘trend’ perceraian bagi tempoh 1998-2002 menunjukkan hampir 70 peratus kes perceraian di Kelantan, Johor dan Terengganu dipohon oleh wanita (isteri).

Di beberapa negeri lain pula menyaksikan lebih 50 peratus wanita sebagai plaintif dalam kes perceraian.

Allah Maha Mengetahui wanita dan emosinya, ia satu perkara fitrah, justeru, kuasa cerai diberikan kepada suami.

Namun, isteri masih mempunyai kuasa untuk memohon melalui mahkamah apabila mereka benar-benar mempunyai kes dan sebab yang utuh di sisi syarak.

Fakta yang diberikan di atas menyokongnya, ia juga sekali gus menunjukkan kegagalan lelaki.

Artikel ini bukan bertujuan menyalahkan sesiapa, cuma mengajak kita berfikir sejenak kepada kelemahan lelaki dalam memainkan peranannya yang dianugerahkan oleh Allah, iaitu sebagai ketua keluarga.

Ia adalah satu tugas dan amanah yang datang dengan tanggungjawab dan peranan.

Tanggungjawab sebesar itu memerlukan ilmu dan kredibiliti secukupnya untuk bertindak selaku pemutus keputusan di dalam rumah tangga.

Keputusan dibuat pula mestilah rasional dan boleh diterima oleh ahli rumah, khususnya isteri, sama seperti sifat seorang hakim di dalam mahkamah, selain hakim, peguam bela dan pendakwa juga pakar di dalam bidang undang-undang, namun ia perlukan seorang pemutus keputusan.

Itulah sebaik-baik cara yang Allah SWT ajarkan untuk manusia, mereka perlukan pemimpin yang tidak mudah terpengaruh dengan emosi, tetapi lebih tumpu kepada rasional dalam membuat keputusan.

Berdasarkan ayat surah al-Nisa tadi, Allah melantik lelaki dan Allah Maha Mengetahui setiap kelemahan dan kelebihan makhluk yang diciptakan-Nya.

Hari ini, dengan segala kecukupan peralatan dan fizikal yang ada pada lelaki, semakin ramai menyalahgunakan kemudahan fizikal.

Kelebihan digunakan untuk menjadi penjenayah tegar, tenaga fizikal digunakan untuk ‘merempit’ dan menunjuk kekuatan dengan bergaduh dan tidak ketinggalan juga sebahagiannya diguna untuk mendera anak, isteri dan wanita lain.

Minda logik dan kurang emosi yang dianugerahkan Allah SWT digunakan untuk ‘menjustifikasikan’ segala kelalaian, menghiburkan diri apabila ditimpa kegagalan, padahal tiada usaha secukupnya dilaksanakan.

Akhirnya, semakin ramai lelaki gagal menggalas tugas ketua keluarga lantaran mendorongnya untuk terus mendesak isteri mengambil alih sebahagian tugasannya yang akhirnya menjadi punca kepada ‘rumahku nerakaku’.

Mungkin dengan sebab itu, kita kini memerlukan satu agensi khusus untuk melindungi lelaki sebagaimana peranan KPWKM yang melindungi wanita.

Kita sedar tabiat lelaki tidak suka dinasihati kecuali mereka yang datang meminta, tidak seperti wanita yang mudah menerima nasihat.

Justeru, adakah jika kementerian seperti ini diwujudkan, ia boleh mengubah situasi buruk yang melanda? Apapun, pemimpin negara dan semua pihak berkuasa memerlukan kaedah dan strategi lebih jelas dan berkesan bagaimana untuk kembali memperkasakan lelaki daripada aspek iman, ilmu, jiwa dan minda supaya mereka kembali menjalankan tanggungjawab dan bukan sibuk menjual ‘ubat kuat’ dan ‘tahan lasak’.

Tanpa pelan bertindak yang jelas dan jitu, krisis lebih buruk akan berlaku kepada lelaki, khususnya di negara kita.

Sudah tentu perkara pertama adalah mengembalikan mereka kepada fitrah mereka, membawa lelaki kepada agama kerana semua itu bakal mempengaruhi isteri dan anak mereka.




Artikel ini disiarkan pada : 2010/12/05

Hrian Metro.

8 Asnaf Yang Layak Terima Wang Zakat.


 Lapan golongan (asnaf) yang layak untuk menerima wang zakat. Firman Allah swt 
"Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanya untuk orang-orang fakir dan orang-orang miskin dan amil-amil dan muallaf yang dijinakkan hati-hati mereka dan hamba-hamba yang hendak memerdekakan dan orang-orang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan".(at Taubah : 60).

1. Fakir (al Fuqara) – adalah orang yang tiada harta pendapatan yang mencukupi untuk dan keperluannya. Tidak mempunyai keluarga untuk mencukupkan nafkahnya seperti makanan,pakaian dan tempat tinggal. Contohnya ia memerlukan RM10.00 sehari tetapi hanya mampu RM3.00 sahaja.

2. Miskin (al-Masakin) – mempunyai kemampuan usaha untuk mendapatkan keperluan hidupnya akan tetapi tidak mencukupi sepenuhnya seperti ia memerlukan RM10.00 tetapi hanya memperoleh RM8.00.
3. Amil  - orang yang dilantik untuk memungut dan mengagih wang zakat.

4. Muallaf - seseorang yang baru memeluk agama Islam.

5. Riqab - seseorang yang terbelenggu  dan tiada kebebasan diri.

6. Gharimin  - penghutang muslim yang tidak mempunyai sumber untuk menjelaskan hutang yang diharuskan oleh syarak pada perkara asasi untuk diri dan tanggungjawab yang wajib ke atasnya. 

7. Fisabillillah - orang yang berjuang, berusaha dan melakukan aktiviti untuk menegakkan dan meninggikan agama Allah.

8. Ibnus Sabil - musafir yang kehabisan bekalan dalam perjalanan atau semasa memulakan perjalanan dari negaranya yang mendatangkan pulangan yang baik kepada Islam dan umatnya atau orang Islam yang tiada perbekalan di jalanan.


Sumber
Mohd Rais Haji Alias
Pengurus Besar PPZ
www.zakat.com.my