Jauhi Zina
Ketahuilah, zina diertikan sebagai hubungan terkutuk dan merupakan antara tujuh dosa-dosa besar di sisi Islam. Dalam Al-Quran terdapat banyak ayat yang menyentuh tentang dosa perbuatan zina, antaranya firma Allah S.W.T. di dalam surah Al-Furqan ayat 68-69 yang bermaksud:
“Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain disamping Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina. Sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya dan akan digandakan baginya azab pada hari kiamat, dia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan”
Apa itu zina ?
Zina adalah hubungan kelamin antara lelaki dan perempuan yang dilakukan tanpa akad pernikahan yang sah. Ini termasuk kegiatan-kegiatan pelacuran atau apa juga perbuatan lain yang membawa keseronokan nafsu dan syahwat. Zina adalah perbuatan mungkar yang mendatangkan akibat yang sangat buruk kepada pembinaan generasi institusi keluarga dan masyarakat. Ini telah ditegaskan oleh Allah S.W.T. di dalam surah Al-Isra’ ayat 32 yang bermaksud;
“Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk (yang membawa kerosakan)”
Ayat tersebut menjelaskan bahawa zina adalah perbuatan yang sangat keji kerana ia membawa kepada jalan kebinasaan, kehancuran dan kehinaan di dunia dan azab di akhirat. Ini juga ditegaskan oleh baginda saw, riwayat Al-Baihaqi, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
“Wahai golongan Muhajirin! Ada lima perkara buruk yang aku pohon agar tidak menimpa kalian. Antaranya adalah; tidak merebak perzinaan dalam sesebuah bangsa sehingga mereka melakukan dengan sewenang-wenangnya melainkan akan tersebar di kalangan mereka pelbagai penyakit yang belum pernah menimpa umat Islam sebelum mereka”
Perbuatan salah laku zina, homoseks dan lesbian adalah berpunca daripada perkembangan teknologi dan komunikasi masa kini yang gagal dikawal sepenuhnya. Pelbagai jenis gambar lucah sama ada dalam bentuk foto mahu pun video terlalu mudah diakses melalui internet. Sebahagian rancangan televisyen pula banyak menyajikan kisah-kisah percintaan yang hanya menambahkan rasa ghairah penonton. Manakala gejala-gejala hiburan melampau yang merangsang nafsu dan menjadi keseronokan seolah-olah telah menjadi budaya kehidupan seharian.
Dalam masa yang sama, peniaga VCD lucah mengambil kesempatan menjual secara bebas dan berleluasa. Telefon mudah alih juga telah disalahguna dengan mengirim gambar atau video lucah. Kesemua perkara itu adalah faktor pendorong kepada pelbagai perlakuan maksiat dan perzinaan.
Perangkaan sumber Jabatan Pendaftaran Negara merekodkan anak luar nikah Melayu/Islam yang didaftarkan dari tahun 2005 hingga tahun 2009 mencatatkan sebanyak 74,723 orang.
Fenomena yang berlaku itu, perlulah kita sama-sama menyedari dan menginsafi akan kesan yang akan membawa kerosakkan kepada keturunan institusi keluarga dan boleh memporak-perandakan masyarakat.
Antara langkah-langkah yang dapat kita dilakukan segera oleh umat Islam ialah:
- Sebaiknya kita mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dengan membaca Al-Quran dan menghidupkan budaya ilmu di kalangan umat Islam. Peranan institusi keluarga mentarbiyah dan mengawasi pergerakan anak-anak mestilah dipertingkatkan dan memastikan hanya Islam sebagai asas pembinaan keluarga ke arah pembinaang Baiti Jannati h iaitu (Rumahku Syurgaku).
- Pembentukan insan soleh oleh institusi pendidikan hendaklah ditingkatkan, bukan hanya menyampaikan ilmu tetapi melahirkan kesedaran dan kefahaman yang boleh memandu generasi pelajar ke arah mencapai kehidupan yang berlandaskan agama. Forum dan pengajian agama di masjid dan surau hendaklah dihadiri demi membentuk jatidiri insan yang mulia di sisi Allah.
- Setiap individu hendaklah berperanan membendung gejala pergaulan bebas di kalangan remaja dan semua peringkat umur. Konsep Ad-Din Nasihah iaitu (Agama Itu Nasihat). Penyusunan aktiviti dan program hendaklah dilaksanakan bagi membendung gejala-gejala ini. Peranan Masjid, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung dan ahli masyarakat hendaklah proaktif dalam melaksanakan tanggongjawab yang telah ditetapkan.
- Pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang berlandaskan Islam dan kerjasama yang bersepadu melibatkan semua pihak untuk membanteras kegiatan pelacuran segala bentuk jenayah syariah akan terus dipertingkatkan dari masa ke masa. Seharusnya semua pihak hendaklah menyokong usaha itu dan bukannya mencela atau mempersoalkannya di media-media.
- Mengamalkan cara hidup Islam dengan menggalakkan pasangan belia yang
telah cukup syarat untuk berkahwin kerana hanya sistem perkahwinan
dapat membendung pelakuan zina, homoseks dan lesbian. Dengan cara inilah
mereka akan mendapat nikmat perhubungan suami isteri yang sah dan
zuriat yang suci untuk menyambung keturunan mereka.
Firman Allah S.W.T. dalam surah An-Nur ayat 32 bermaksud;
“Dan kahwinkanlah orang bujang di kalangan kamu dan orang yang layak (berkahwin) daripada kalangan hamba-hamba kamu lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka daripada limpah kurniaan-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya), lagi Maha Mengetahui”. - Meyakini dengan pendekatan Islam sahajalah yang mampu menyelesaikan masalah ini. Pihak berkuasa pula hendaklah memainkan peranan yang amat penting bagi melaksanakan hukum Islam dalam usaha menegakkan yang mafaruf dan mencegah yang mungkar. Kita hanya meyakini sekiranya Islam ditegakkan baharulah masalah-masalah ini akan selesai.
- Membenarkan pihak polis memeriksa telefon bimbit remaja atau pelajar sekolah untuk mengelakkan mereka daripada menyimpan bahan-bahan lucah.
- Menguatkuasakan peraturan bagi menghalang remaja bawah umur 18 tahun keluar rumah selepas jam 12 malam.
- Menyekat laman web lucah, mengawal siber kafe dan penjualan perisian tidak bermoral.
Seorang Muslim yang kuat mempunyai semangat serta keazaman yang tinggi untuk mencapai kejayaan. Minda umat Islam perlu disi dengan pelbagai ilmu dan kemahiran. Tidak kira apa jua kerja yang diceburi, seharusnya ia memberi manfaat kepada diri dan agamanya. Masa yang terluang perlu disi dengan kerjakerja yang bermanfaat. Usah biarkan diri kita dilalaikan lagi dengan budaya hiburan dan keseronokan yang sementara. Kepada anak muda, merekalah harapan umat Islam dan kepimpinan negara.
Elakkan segala unsur hiburan yang merosakan dan pergaulan bebas yang boleh membuka kepada perlakuan zina. Kita tidak mahu lagi mendengar dan membaca di akhbar-akbar akan perilaku manusia memperlihatkan perbuatan yang lebih rendah daripada haiwan dalam isu-isu hamil luar nikah, kes pembuangan bayi yang berpunca pergaulan bebas. Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan insan yang sentiasa mendapat perlindungan dari Allah S.W.T.
“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang daripada kedua-duanya seratus kali sebatan, dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap kedua-duanya dalam menjalankan hukuman Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, serta hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan itu oleh sekumpulan daripada orang yang beriman”. (An-Nur : 2)
Marilah kita sama-sama berusaha meningkatkan ketakwaan kita kepadaAllah S.W.T. dengan melaksanakan segala perintah Allah dengan penuh kesabaran dan menjauhi segala laranganNya. Mudah-mudahan dengan bersabar, berusaha keras dan bertakwa kepada Allah kita akan mendapat balasan baik di dunia dan di akhirat kelak.
Sumber : Jabatan Agama Islam Selan