RAIHANPAHIMI

publish your book for free?AFF=9142

Wednesday 27 December 2017

APAKAH HUKUMNYA MENYAMBUT TAHUN BARU MASIHI ?

 APAKAH HUKUMNYA MENYAMBUT TAHUN BARU MASIHI ?

Hanya tinggal beberapa hari lagi tahun 2017 akan meninggalkan kita dan tahun 2018 akan menjelma. Menjadi kebiasaan bagi kebanyakan kita menyambut tahun  baharu dengan mengadakan pelbagai aktiviti seperti Pehimpunan Ambang Tahun Baru di tempat terbuka dengan pelbagai acara seperti persembahan konsert,  pembakaran bunga api dan pelbagai hiburan lagi. Sebagai seorang Islam kita perlu berhati-hati dalam menyambut tahun baru masehi ini, kerana jika sambutan itu  dibuat dengan cara yang biasa dilakukan orang-orang bukan Islam, mungkin ianya boleh mendatangkan kemurkaan Allah kerana melakukan perbuatan yang bercanggah dengan syariat Islam. Untuk itu marilah sama-sama kita meneliti jawaban yang diberikan oleh SS Mufti Wilayah Persekutuan bagi persoalan ini yang pernah dibangkitkan pada tahun 2015.

SOALAN:
Apakah hukum menyambut Tahun Baru Masihi?

JAWAPAN:
2015 semakin hampir melabuhkan tirainya dan kini, menjelang detik-detik terakhir sebelum berakhirnya tahun 2015, selalunya akan diadakan sambutan tahun baru dan ianya di sambut di seluruh dunia dan tidak ketinggalan juga bagi masyarakat Malaysia. Perkara yang selalu menjadi persoalan bagi masyarakat Malaysia khususnya yang beragama Islam, adakah Islam membenarkan sambutan sebegini ataupun tidak. Justeru dalam Irsyad al-Fatwa kali ini, ingin kami mengupas isu ini agar dapat memberikan panduan kepada kita semua. Sebelum kami menjawab pertanyaan berkenaan, suka ingin kami nyatakan beberapa fakta sejarah mengenai sambutan tahun baru.

Sejarah Sambutan Tahun Baru
Dunia merakamkan bahawa kaum yang mula-mula menyambut tahun baru sekitar 4000 tahun dahulu adalah Babylon. Mereka menjadikan sambutan ini dengan sambutan keagamaan yang dinamakan sebagai Akitu[1]  yang disertakan bersamanya beberapa ritual . Sambutan ini juga mengenangkan kemenangan mistikal tuhan langit mereka, Marduk mengalahkan tuhan laut yang jahat bernama Tiamat.

1 Januari Sebagai Tahun Baru[2]
Permulaan kalander Roman pada asalnya hanya mempunyai 10 bulan dan 304 hari dan yang memulakannya ialah Romulus, pengasas Rom. Selepas itu, Raja Numa Pompilius telah melengkapkan kalender Roman menjadi 12 bulan dengan menambah bulan Januarius dan Februarius pada abad ke-8 sebelum masihi. Namun calendar yang sedia ada ini mengalami beberapa kekurangan dan akhirnya permasalahan ini telah diselesaikan oleh Julius Caesar dengan menghimpunkan ahli matematik dan astronomi yang terhandal pada zamannya. Dari situ, muncullah pula kalendar Julian yang mana lebih hampir penggunaannya dengan calendar moden Gregory yang mana kebanyakan manusia di seluruh dunia sedang menggunakannya pada waktu ini.
Rentetan dari perubahan tersebut, Caesar kemudiannya mengasaskan  1 Januari sebagai hari permulaan tahun yang mana antara lainnya bersempena dengan nama tuhan permulaan (God of Beginning) Rom, Janus. Pada waktu itu, masyarakat Rom menyambutnya dengan melakukan korban, bertukar-tukar hadiah dan juga menghias rumah-rumah mereka dengan menggunakan dahan dan ranting dari pohon Bay. Mereka juga mengadakan pesta liar bagi menyambut tahun baru tersebut.
Bagi masyarakat Eropah khususnya pada zaman pertengahan (Medieval), paderi-paderi menukarkan tahun baru 1 Januari kepada tarikh-tarikh yang lebih signifikan terhadap keagamaan seperti 25 Disember bersempena dengan hari kelahiran Jesus. Seterusnya  pada tahun 1582, Pope Gregory yang ke-13 menukarkan kembali tarikh tahun baru kepada 1 Januari dan sehingga kini, masyarakat dunia mengguna pakai kalendar ini yang mana dikenali sebagai Kalendar Gregorian.

Hukum Menyambut Tahun Baru Masihi
Ulama’ berbeza pendapat dalam memberikan hukum terhadapt sambutan tahun baru masihi. Secara ringkasnya, ianya terbahagi kepada dua pendapat:
Pertama: Pendapat yang mengatakan haram bagi menyambut tahun baru masihi. Dalil yang digunakan adalah berdasarkan sabda Nabi SAW, dari Ibn ‘Umar R.Anhuma:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم  : مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: Telah berkata Rasulullah SAW: Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka mereka tergolong dalam golongan itu”.
Riwayat Abu Daud (4031)
Al-Imam al-San’ani Rahimahullah berkata bahawa hadis di atas menunjukkan barang siapa yang menyerupai orang-orang fasiq ataupun kafir ataupun orang yang melakukan bid’ah dalam apa jua perkara yang dikhaskan padanya dari segi pemakaian, tunggangan ataupun gerak-geri tingkah laku maka dirinya tergolong dalam kalangan mereka. [Subul al-Salam. Dar al-Hadis, 2/647]
Disebutkan juga pendapat lain yang mengatakan bahawa tasyabbuh itu juga berlaku dalam perkara-perkara dalaman bersifat i'tiqadiradat (kemahuan dan kehendak) dan perkara-perkara luar dari segi perkataan, perbuatan yang boleh menjadi ibadat dan adat. [Faydh al-Qadir. Al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 6/104]
Kebiasaan sambutan tahun baru ini dimonopoli oleh golongan bukan Islam yang mana kita ketahui di dalam sambutan tersebut berlakunya perkara-perkara mungkar seperti pembaziran, meminum arak, ikhtilat, konsert nyanyian dan sebagainya. Ianya menjadi adat kebiasaan bagi golongan ini dan setiap hadirnya tahun baru, maka perkara-perkara mungkar ini akan berulang.
Berdasarkan hadith inilah, sebahagian ulama’ mengharamkan umat Islam dari menyambut dan juga menyertai majlis-majlis sambutan tahun baru yang mana pertamanya adalah meniru golongan kuffar dan yang keduanya dengan melihat perkara-perkara mungkar yang terdapat pada sambutan tersebut.

Kedua: Pendapat yang mengatakan harus bagi menyambut tahun baru. Ianya berdasarkan bahawa kalendar Gregorian yang digunakan pada masa kini, meskipun bukan ciptaan Islam, penerimaan terhadap kalendar moden ini tiada bersangkut paut dengan agama malah masyarakat awam tidak lagi mengetahui dan mengambil endah tentang asal-usulnya dan kaitannya dengan mana-mana agama. Oleh itu, penggunaan kalendar moden ini lebih kepada adat dan kebiasaan yang berlaku.

Ianya juga melihat kepada Islam yang menerima sesuatu adat setempat yang mana jika tidak bercanggah dengan syara’, maka ianya boleh diterima dan dijadikan sebagai satu hukum. Kaedah fiqhiyyah ini disebutkan sebagai:
العَادَةُ مُحَكّمَةٌ
Maksudnya: Adat (yang tidak bercanggah dengan syara’) boleh menentukan hukum sesuatu perbuatan dan tindakan.  [Lihat al-Suyuti, al-Ashbah wa al-Naza’ir. hlm.89]

Dalam satu kaedah fiqhiyyah yang lain ada menyebut:
إِنّما تُعْتَبَرُ العادَةَ إِذَا اطَّرَدَت أَو غَلَبَت
Maksudnya: Sesungguhnya (sesuatu itu) diiktiraf sebagai adat (yang tidak bercanggah) apabila ianya berterusan dilakukan atau dilakukan oleh majoriti. [Lihat Ali Ahmad al-Nadwi, Al-Qawa’id al-Fiqhiyyah. Hlm. 65]

Sambutan ini, meskipun hukumnya diharuskan, namun perlulah diberikan garis panduan yang sewajarnya agar tidak berlaku perkara-perkara kemungkaran. Antara yang perlu diberikan perhatian adalah seperti berikut:
  1. Sambutan Tahun Baru mestilah disambut dengan asas ianya adalah uruf dan adat kebiasaan dan bukannya dianggap sebagai upacara keagamaan.
  2. Tidak berlaku percampuran di antara lelaki dan perempuan.
  3. Tidak dihidangkan arak dalam majlis sambutan tersebut.
  4. Tidak diadakan program-program yang melalaikan dan sebagai satu inisiatif yang lain, pihak penganjur perlulah memikirkan program-program yang baik dan dapat mendidik jiwa masyarakat yang menyertai sambutan tersebut.
  5. Tidak berlakunya pembaziran.

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Setelah melihat hujahan  dari kedua-dua belah pihak dan pendapat mereka, kami lebih cenderung kepada keharusan untuk menyambut tahun baru namun perlu mengikut dhawabit yang telah ditetapkan.
Saya tertarik dengan satu pendapat yang telah dikemukakan oleh Syeikh Abdullah bin Bayyah Hafizahullah, antara lain menyebut:
“Memperingati hari-hari bersejarah tertentu bukanlah satu hari raya yang berbentuk keagamaan. Ia hanyalah satu sistem duniawi yang digunakan untuk tujuan memperingati dan mengambil pengajaran daripada sejarah serta bersyukur dengan nikmat Allah. Bukan semua perkara yang kita lakukan dan dalam masa yang sama ia juga dilakukan oleh ahli agama lain maka ia menjadi haram. Tidak. Yang haram adalah menurut mereka dengan niat (al-tashabbuh) bukannya semata-mata wujud persamaan (al-mushābahah) Abū Yūsuf pernah disoal tentang pemakaian selipar yang sama dengan selipar agama orang Kristian. Beliau menjawab: Nabi Muhammad pernah memakai selipar yang berbulu yang menyerupai golongan rahib. Maknanya al-mushābahah tidak sama dengan al-tashabbuh. Nabi tidak memakai selipar itu dengan niat untuk menyerupai mereka, bahkan ia hanyalah satu bentuk persamaan biasa sahaja,”

Justeru, dalam kita menyambut Tahun Baru, marilah sama-sama kita mengubah ke arah yang lebih baik dalam lainnya dengan menghadirkan diri ke masjid dan kelas-kelas pengajian agama untuk belajar tentang solat, berzikir bersolat dan berdoa serta bermunajat agar tahun baru yang mendatang ini lebih diberkati dan juga sebagai titik perubahan buat kita ke arah yang lebih baik. Elakkan sama sekali aktiviti-aktiviti yang membazirkan masa, maksiat dan juga meniru cara orang-orang yang lalai ketika menyambut tahun baru. Ingatlah bahawasanya waktu yang kita miliki ini amat terhad dan terbatas. Marilah kita isikannya dengan perkara-perkara dan perbuatan-perbuatan yang akan dipahalakan oleh Allah SWT dalam mizan hasanat kita kelak. Ingatlah juga firman Allah SWT:
يَوۡمَ لَا يَنفَعُ مَالٞ وَلَا بَنُونَ  إِلَّا مَنۡ أَتَى ٱللَّهَ بِقَلۡبٖ سَلِيمٖ 
Maksudnya: "Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun,"Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik); 
(Al-Syu’ara’: 88-89)

Saya berdoa kepada Allah SWT semoga tahun baru ini dapat memberikan sinar bahagia dan menghilangkan kabus kesusahan dalam kehidupan kita dan seterusnya kita sentiasa berada rahmat, taufik, hidayah dan inayah-Nya.
 Semoga sinar 2016 lebih mendekatkan kita kepada-Nya. Amin.

Akhukum fillah,
S.S. Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

 31 Disember 2016 bersamaan 20 Rabi’ al-Awwal 1437H

Tuesday 5 December 2017

Penyakit Strok dan rawatan secara holistik - Rawatan Islam

Rawatan  Angin Ahmar atau Stoke Secara Holistik

Penyakit Strok atau angina ahmar adalah diantara pelbagai penyakit yang boleh menyerang keatas seseorang insan. Kebiasaannya penyakit ini memberi tanda-tanda awal sebelum ianya menyerang seseorang. Tetapi kadang kala ianya boleh berlaku tanpa memberi isyarat terlebih dahulu.
Pengalaman isteri saya yang mengalami sakit kepala yang agak serius pada tahun 2001. Dan bila dibuat pemeriksaan oleh doktor ianya didapati tidak ada tanda-tanda akan diserang strok ( darah normal, tiadak ada kecing manis).  Semasa sedang menerima rawatan di wad hospital, tiba-tiba isteri koma. Dokot menjalani pemeriksaan teliti (CT Scan) didapati berlaku pendarahan dalam otak. Inilah situasi sebenar yang saya katakan kadang kala ‘strok’ tidak boleh dikesan lebih awal.
Bagi saya apa yang berlaku keatas isteri adalah satu ‘ujian Allah’ terhadap insan-Nya. Kita boleh berikhtiar untuk mengelak dari diserang oleh strok melalui permeriksaan secara berkala, merancang pemakanan sihat dan amalkan aktiiti senaman secara kosisten. Satu lagi yang lebih penting adalah bermunajat di waktu malam untuk sujud kepada Allah Yang Maha Berkusa dan memohon untuk dihindarkan segala penyakit yang kronik seperti strok.



 

Rihul ahmar adalah panggilan di dalam Bahasa Arab terhadap penyakit lumpuh atau angin ahmar di dalam Bahasa Melayu dan stoke di dalam Bahasa Inggeris. 

Kebiasaannya penyakit ini menyerang seseorang yang lanjut umurnya dan sering dikaitkan dengan penyakit kencing manis , darah tinggi, darah pekat (polisitemia) dan sakit jantung. Menurut perubatan moden lumpuh dikaitkan dengan saluran darah dalam otak pecah atau tersumbat oleh darah beku, atau kolestrol yang menyekat darah menuju kepada sel-sel otak. 



Pelbagai kaedah rawatan dianjurkan oleh perubatan moden dan pelbagai alternatif yang lain seperti urutan,kawalan pengambilan makanan, tips cara hidup yang sihat serta pelbagai ubat-ubatan untuk mengubati penyakit ini. Namun begitu, dalam perubatan islam mempunyai perspektif dan kaedah rawatannya yang tersendiri bagi menangani masalah ini.

Rawatan Penyakit Rihul Ahmar (Angin Ahmar) 

Sebelum membaca ayat al-Quran dan doa khusus (khas) yang telah diwarisi oleh ulama' terdahulu khusus untuk mengubati penyakit ini, bahan-bahan perlulah disediakan dahulu. Doa ini hendaklah dibacakan kepada kepada bahan-bahan berikut untuk dijadikan  penawar untuk pesakit. Bahan-bahan yang boleh dijampi untuk dijadikan penawar :

1- Air Zam-Zam
2- Air Kolah
3- Air Hujan Malam Jumaat
4- Air Mata Air yang mempunyai mutu perubatan yang tinggi seperti "air gau"
5- Air Susu Kambing

Telah diwariskan kepada kita ulama' yang terdahulu doa yang amat mujarab bagi mengubati penyakit rihul ahmar ini.

Sejarah Doa Rihul Ahmar 

Pada suatu ketika cucunda Nabi Muhammad saw telah menghidap penyakit rongga sehingga menyebabkan darah keluar daripada mulutnya. Para sahabat dan Rasullulah saw sendiri telah mendengar berita tentang penyakit yang sedang dideritai oleh Hassan as . Tiba-tiba malaikat Jibrail as datang menemui baginda Rasullulah saw memberitahu yang cucunda baginda terkena Rihul Ahmar (angin ahmar).

Baginda bertanya :
"Wahai Jibril , adakah ubat untuknya ?
"Ada!" Jawab Jibril  .

Malaikat Jibril pun menghilangkan diri sebentar . Kemudian ia muncul dan berkata :

"Bahawasanya Allah swt telah mengurniakan kepada tuan satu hadiah mustajab. Barangsiapa membacanya, biarpun sekali seumur hidupnya, nescaya dia terselamat daripada Rihul Ahmar."

Baginda Rasullulah saw telah membacakan doa ini untuk Saidina Hassan as . Berkat rahmat dan dengan kehendak Allah swt Hassan ra pun sembuh ketika itu juga dan bangun dalam keadaan sihat .

Rasullulah saw bersabda kepada para sahabat agar mempelajari doa ini dan mengajarkan kepada umatnya agar doa ini dapat memberi manfaat kepada mereka , memelihara diri daripada terkena penyakit Rihul Ahmar ini.

Sejarah Rihul Ahmar ini sebenarnya lebih awal lagi daripada itu. Peristiwa kemunculan Rihul Ahmar yang hakikatnya adalah sejenis jin berlaku pada zaman pemerintahan Nabi Sulaiman as lagi.
Ketika semua makhluk termasuk binatang dan segala jenis jin tunduk kepada Nabi Sulaiman as , muncullah seekor jin yang bernama Rihul Ahmar yang enggan kepada Nabi Sulaiman as . Besarnya seumpama saiz sebatang pokok.

Apabila di tanya oleh Nabi Sulaiman as :
"Siapakah kamu?"

Maka dijawab olehnya ,"Saya adalah Rihul Ahmar"

Tanpa mahu tunduk hormat , kemudian ia pun terus menghilangkan dirinya kerana enggan tunduk kepada Nabi Sulaiman as . Ia muncul kembali pada zaman Rasullulah saw apabila menyerang Saidina Hassan as seperti yang telah diceritakan tadi. Wallahu a'lam.

Kaedah Rawatan : 

Setelah disediakan bahan yang diperlukan maka hendaklah dibaca :

1-Surah Al-Fatihah
2-Surah Al-Baqarah ayat 255 ( Ayatul Kursi )
3-Bacalah Doa Rihul Ahmar









Maksudnya:
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang; dan dengan-Nya kami memohon pertolongan; dan dengan Allah; dan dari Allah; dan kepada Allah; dan segala pujian tertentu bagi Allah; dan tiada Tuhan melainkan Allah; dan Allah Maha Besar, yang Maha Mulia dan Maha Agung; yang aku takut dan bimbang terhadap-Nya. Allah Maha Besar dengan segala kebesaran-Nya; segala pujian tertentu bagi Allah, sebanyak-banyak pujian. 


Dan Maha Suci Allah pagi-pagi dan petang-petang. Dengan nama Allah yang menyembuhkan, dengan nama Allah yang mencukupkan; dan dengan nama Allah yang menyihatkan; dengan nama Allah yang dengan nama-Nya tiada memberi mudharat sesuatu apa jua di bumi dan di atas langit, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Dan Kami turunkan sesetengah dari Al-Quran yang menjadi penawar dan rahmat untuk orang-orang yang beriman.


Ya Allah, aku yang menjampi dan Engkau yang menyembuhkan. Aku berlindung dengan-Mu daripada kejahatan yang telah Engkau takdirkan. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Aku berlindung dengan Allah, Tuhanku dan Penciptaku, Pembentukku dan Pencipta Rupabentukku dan Pemberi Rezeki sekalian manusia. Aku berlindung dengan Allah daripada sekalian kebinasaan, dan segala maksiat, bala bencana, penyakit dan segala kesakitan, kemalasan, kemunduran dan kebinasaan.


Ya Allah, lindungilah penanggung (pengguna) suratku ini dengan nama-Mu yang Maha Mulia dan Maha Agung; dan sifat-sifat-Mu yang sempurna, wahai Yang Mempunyai Kebesaran dan Kekayaan. Wahai Tuhan yang memiliki kerajaan dan alam malakut; wahai Tuhan yang memiliki keagungan dan kegagahan.


 Maha Suci Engkau, alangkah besarnya Engkau wahai pencipta segala langit dan bumi. Wahai Tuhan tempat berlindung mereka yang menyesal (akan dosa-dosa mereka); wahai Tuhan yang Maha Pengasih terhadap orang-orang miskin; wahai Tuhan pemilik kebesaran dan kekuasaan, wahai Tuhan yang mempunyai belas kasihan dan memberi kebajikan dan Ihsan; wahai Tuhan yang banyak kasih sayang, wahai Tuhan yang banyak memberi; wahai Tuhan yang Maha Gagah dan tiada sesiapapun yang mampu mengalahkan-Nya; wahai Yang Melindungi dan Dia tidak memerlukan perlindungan, aku berlindung dengan-Mu dari azab ke atas badan dan kesempitan; dan aku berlindung dengan-Mu dari penyakit Angin Ahmar dan penyakit yang besar yang menimpa ke atas diri dan roh, darah dan daging, tulang dan kulit, urat dan urat saraf.


Maha Suci Engkau; yang apabila Engkau menghendaki sesuatu maka Engkau hanya mengatakan “Jadilah! Maka jadilah ia”. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Wahai Tuhan yang menjadikan; wahai Tuhan yang membuat kebajikan, wahai Tuhan yang memberi pertolongan, wahai Tuhan yang Maha Gagah, wahai Tuhan yang Maha Adil, wahai Tuhan yang Berdiri dengan Keadilan, wahai Tuhan yang mendengar tangisan orang-orang yang meminta pertolongan. Wahai Tuhan yang memulakan (dari tiada kepada ada), wahai Tuhan yang mengembalikan, wahai Tuhan yang menolak, wahai Tuhan yang Mencukupkan. Wahai Tuhan yang menyembuhkan, wahai Tuhan yang meng’afiatkan, wahai Tuhan yang memberi pertolongan terhadap orang yang memohon pertolongan.


Wahai Tuhan yang menerima kesyukuran, wahai Tuhan yang banyak memberi balasan atas kesyukuran. Wahai Tuhan yang Maha Kasih Sayang, wahai Tuhan yang Maha Belas Kasihan, wahai Tuhan yang memberi pertolongan, wahai Tuhan yang Maha Berkuasa, wahai Tuhan yang Maha Gagah, wahai yang Maha Berkuasa, wahai Tuhan yang Maha Agung, wahai Tuhan yang mendahulukan, wahai Tuhan yang mengkemudiankan. Wahai Tuhan yang hidup, wahai Tuhan yang berdiri dengan sendiri-Nya, yang membalas mereka yang jujur dengan balasan ke atas tiap-tiap diri dengan apa yang mereka usahakan. Wahai Tuhan yang memerintahku, wahai Tuhanku yang memiliki aku, wahai Tuhan yang memberi perlindungan.


Wahai yang Maha Mengetahui sesuatu yang kami sembunyikan dan kami dedahkan; wahai Hakim yang menjatuhkan hukuman, wahai Tuhan yang memerintah sekalian orang-orang yang beriman; wahai Tuhan pembantu orang-orang yang dhaif dan miskin; wahai Tuhan yang Mencukupi keperluan orang-orang yang bertawakkal.


Wahai Tuhan yang mendatangkan malam ke atas siang dan siang ke atas malam; wahai Tuhan yang Gagah (mengalahkan) setiap syaitan yang sangat durhaka, wahai Tuhan yang mengalahkan setiap orang yang sombong lagi degil; wahai Tuhan sebaik-baik Pemerintah; wahai Tuhan yang sebaik-baik memberi pertolongan, wahai Tuhan yang memberi rezeki kanak-kanak yang kecil, wahai Tuhan yang Maha Pengasih terhadap orang tuan (yang sangat tua), wahai Tuhan yang memerintah orang-orang yang beriman; wahai Tuhan bagi orang-orang yang dahulu dan orang-orang yang kemudian; wahai Tuhan yang pengasih kepada orang-orang yang bertaubat, wahai Tuhan yang Maha Pengasih dari kalangan yang mengasihi. Wahai Tuhan sebaik-baik pengampun dari yang mengampuni; wahai Tuhan sebaik-baik pewaris; wahai Tuhan sebaik-baik Pemberi Keputusan; wahai Tuhan yang memerintah pada Hari Pembalasan.


Ya Allah, hanya Engkaulah yang aku sembah dan hanya kepada Engkaulah aku memohon pertolongan. Dan kepada-Mu aku bertawakkal. Dan kepada-Mu aku gemar dengan apa yang ada di sisi-Mu. Kepada-Mu aku berharap dan hanya Engkau yang aku takuti. Ya Allah, peliharalah aku dari segala kepayahan hidup dan penyakit-penyakit dan segala kesakitaan dan kesusahan dan darah hitam.


Ya Allah, peliharalah aku dari penyakit yang merbahaya dan dari penyakit Angin Ahmar dan penyakit darah kuning, dan segala kebinasaan dan segala maksiat dan pengsan, dan kerungsingan dan kesedihan dan dukacita dan dari di penjara. Ya Allah, peliharalah aku dari kejahatan binatang buas, dan binatang yang melata, serta permusuhan (benci membenci) orang awam, dan dari kekalahan dan kejahatan syaitan; dan raja, kemarau, kemahalan barang keperluan, dan gempabumi, dan bala bencana, dan keruntuhan bangunan, dan serangan musuh. Ya Allah, peliharalah aku dari kejahatan orang-orang yang jahat dan tipudaya orang-orang yang melampau, dan dari sesuatu yang silih berganti atasnya oleh malam dan siang melainkan yang datang itu adalah dengan baik, wahai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Aku berlindung dengan Engkau dari kejahatan setiap kejadian yang Engkaulah pemegang ubun-ubunnya; sesungguhnya Tuhanku di atas jalan yang tegak dan lurus. Engkau ialah Tuhanku dan di atas Engkau jua aku bertawakkal, dan Engkaulah yang Mencukupkan aku, dan sebaik-baik yang Mewakili, sebaik-baik Pemerintah dan sebaik-baik yang Memberi Pertolongan. Dan tiada daya upaya bagiku melainkan dengan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.


Dan cukuplah kami oleh Allah, dan sebaik-baik yang mewakili sebagai Pemerintah dan Engkau sebaik-baik pemberi pertolongan. Allah yang mencukupkan, Allah yang menyembuhkan, Allah yang memberi a’fiat. Dan ucap selawat oleh Allah ke atas penghulu kami Nabi Muhammad dan ke atas keluarga dan sahabat-sahabatnya; selamat sejahtera; dan segala pujian bagi Allah Tuhan Pemerintah Seluruh Alam. Amiin…

4- Surah Al-Talaq ayat 1-2 
5- Surah Hud ayat 119 


Kemudian tiuplah kepada air-air tersebut sehalus jarum. Niatkanlah supaya menjadi penawar kepada si pesakit yang menghadapi penyakit angin ahmar. Berbisiklah kepada air dan bahan-bahan tersebut akan niat kita supaya menjadi ubat kepada pesakit juga dengan rahmat dari Allah swt. 


Berilah minum kepada pesakit . Pintalah penderita tersebut supaya membaca al-Fatihah ,ayatul kursi dan selawat sebelum meminum air jampi tersebut. Solat hajat dan berdoalah semoga pesakit berpeluang sembuh seumpama sedia kala supaya dapat melaksanakan ibadat dengan sempurna. 

Selain dari melakukan rawatan dengan mengambil berkat teknik dan sunnah Rasullulah saw janganlah menyisihkan teknik dan cara rawatan lain. Usahalah juga dengan aneka perubatan lain. Selepas itu bertawakkallah kepada Allah. Moga-moga Allah memperkenankan hajat dan menilai mujahadah serta kegigihan kita mendepani ujian-Nya.


Petikan :
Perubatan Islam Menangkis Kejahatan Makhluk Halus
Halaman 171-179 ( Ustad Sharhan )

Sunday 24 September 2017

PUASA SUNAT ISNIN DAN KHAMIS MEMBERI KEBAIKAN KEPADA KESIHATAN



AMALAN PUASA SUNAT PADA HARI ISNIN DAN KHAMIS MEMBERI MANAFAAT KEPADA KESIHATAN

Kajian Pakar Neurosains Tentang Puasa Dua Kali Seminggu | Universiti South Carolina, USA
Setelah kajian saintifik tentang manfaat puasa dua kali seminggu dibuktikan oleh para saintis, masyarakat barat kini sudah mula berjinak-jinak untuk berpuasa dua kali seminggu.
Masyarakat barat menamakan amalan puasa dua kali seminggu ini sebagai "intermittent fasting" ataupun "5:2 diet",yang bermaksud 5 hari makan seperti biasa dan dua hari berpuasa.
 Jika diamati, amalan "intermittent fasting" atau "5:2 diet" ini telah dipraktikkan oleh Nabi Muhammad SAW. Baginda menyarankan agar kita berpuasa sunat setiap hari Isnin dan Khamis--dua hari dalam seminggu.
Dalam jurnal Stem Cell & American Journal of Clinical Nutrition, pakar neurosaintis telah mengkaji bahawa puasa dua kali seminggu dapat memberi manfaat kepada pertumbuhan sel-sel otak yang baru.Sel-sel saraf akan menghantar isyarat kepada DNA untuk menghasilkan sel-sel baru yang sihat dan sel-sel lama dimusnahkan.
Pakar neurosaintis menerangkan tentang mekanisma sel di dalam badan sewaktu kita menahan lapar dan dahaga. Sewaktu kita berpuasa, tenaga dapat dijimatkan kerana sistem penghadaman dapat berehat untuk sekurang-kurangnya 12 jam.
Pada waktu inilah tenaga yang dijimatkan dapat digunakan oleh DNA untuk menghasilkan sel-sel baru dengan efisyen.
Begitulah manfaatnya berpuasa dua kali seminggu, atau dalam erti kata lainnya puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis.
Apa yang telah diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW pasti ada manfaatnya.
Ayuh,marilah istiqamah dalam membudayakan amalan puasa dua kali seminggu-- Isnin dan Khamis. 😃
_*Perubatan Pencegahan Fisiologi* yang merupakan Sunnah Nabi SAW, telah terbukti secara saintifik._
_*Kenapa hari isnin dan khamis?*_
*Isnin* : rehat selepas overload makanan pada hujung minggu
*Khamis* : prepare badan untuk overload hujung minggu

Wallahu'alam.

Friday 15 September 2017

13 Tip Supaya Anak Dengar Cakap


13 Tip Supaya Anak Dengar Cakap dan  Ikut Arahan. Menurut Perintah Ibu Bapa.

Semua ibu bapa mempunyai tanggung jawab untuk mendidik anak-anak mereka untuk menjadi insan yang berguna apabila mereka besar kekak. Dalam mendidik ini terdapat cara tersendiri yang diamalkan oleh setiap ibu bapa. Kelazimannya cara mendidik anak-anak akan diwarisi stail yang ditinggalkan oleh ibu bapa mereka semasa mereka kecil dahulu.
Perkembangan masa telah menyebabkan  cara mendidik anak-anak di zaman mutakhir ini berbeza dan memerlukan kaedah yang berlandaskan aspek psikologi anak-anak. Barulah arahan yang ibu bapa akan diikuti dan dipatuhi oleh anak-anak.
Ibu bapa mesti stress, bila  cakap mereka, anak tak nak ikut. Lagi mereka cakap kuat-kuat, lagi anak melawan. Kadang-kadang, sebagai ibu, boleh jadi down satu hari. Bukan senang nak bagi anak dengar kata!
Walaupun, ibu bapa banyak menghabiskan masa bercakap kepada anak-anak, ada kalanya tanpa disedari, mereka amat jarang mendengar luahan anak-anak. Selalunya, apabila berlaku waktu yang “panas”, amat sukar untuk ibu bapa menghentikan pertengkaran anak-anak.
Ibu bapa  perlulah belajar cara yang lebih baik untuk berbicara dengan anak-anak supaya mereka mendengar arahan dan ibu bapa tidak mengalami stres.

BAGIMANA MENDIDIK ANAK DENGAR CAKAP !

Mendidik anak adalah salah satu tugasan yang amat mencabar dalam hidup. Untuk melindungi dan membesarkan anak-anak yang berdisiplin, ada ibu bapa yang menggunakan kuasa autoriti sebagai ibu dan bapa.
Ini membuatkan anak-anak terpaksa akur dan tidak dapat bersuara dalam rumah sendiri. Ada juga ibu bapa yang terlalu memanjakan anak-anak sehingga sanggup memberikan apa jua yang anak inginkan.
Kedua-dua cara didikan di atas berbentuk ekstrim dan tidak bagus untuk pembesaran anak-anak. Perlulah ada keseimbangan dan penuh dengan budi bicara yang sihat dan rasional. Cara anda bercakap dengan mereka akan mengajar mereka cara bercakap dengan orang lain dan cara anda bercakap juga menentukan sama ada anak-anak akan mendengar atau tidak dan bagaimana tindak balas mereka.

1. GUNAKAN BAHASA YANG BAIK DAN HALUS
Tiada orang yang suka mendengar nada yang negatif. Elakkan penggunaan “tidak” atau “jangan”. Sebaliknya, gunakan ayat positif untuk mengarah dan memberikan tunjuk ajar kepada anak-anak. Jika anda menggunakan ayat yang positif dan penuh dengan kasih sayang, anak-anak akan berasa yakin, disayangi dan istimewa.
Ini akan membuatkan mereka melakukan apa jua pesanan anda tanpa membantah. Mereka juga akan mendengar apa yang anda ingin katakan dan memahami dengan baik.

2. RENUNG MATA ANAK ANDA SEBELUM MEMBERI ARAHAN
Sebelum memberi arahan, melutut dihadapan anak anda supaya level mata anda dan anak anda selari. Renung anak matanya dan pastikan dia memberi perhatian pada anda. Anda perlulah bersabar jika anda melakukannya untuk pertama kali. Lama kelamaan, mereka akan biasa dengannya. Ini mebuatkan suasana hubungan ibu bada dengan anak-anak lebih mesra.

3. SEBUT NAMA ANAK SEBELUM MEMBERI ARAHAN
Jika anda menyebut namanya, dia akan memberi perhatian pada anda dan pesanan yang ingin anda sampaikan dapat diterima dengan baik. Kalau boleh, panggil dengan nama penuh. Baru dia tahu, dengan panggilan nama penuh, tentu ia sesuatu yang serius!
Adalah dinasihatkan untuk memberhentikan apa jua tindak balas atau jawapan anak anda, supaya mereka mendengar pesanan anda dengan teliti.

4. PASTIKAN PESANAN ANDA  JELAS DAN RINGKAS
Adalah penting untuk diingati bahawa kanak-kanak mempunyai  citarasa dan cara berfikir yang berbeza dengan orang dewasa. Mereka tidak akan memahami mesej yang tersembunyi dari pesanan yang kurang jelas. Oleh itu arahan mestilah jelas dan ringkas bagi memudahkan mereka memahami dan menerimanya.
Elakkan memberi arahan dengan banyak pada satu-satu masa terutamanya jika mereka masih kecil.

5. BERIKAN MEREKA PILIHAN DAN ALTERNATIF SELAGI MANA BOLEH
Jika anda ingin anak anda mendengar kata-kata anda, anda patut berikan mereka pilihan. Anda boleh menerangkan keadaan kepada mereka supaya mereka memahamI dan kenapa mereka perlu mengikut arahan anda.
Memberi alternatif dalam nada yang positif akan memberikan anak anda pemahaman yang lebih berbanding penggunaan “tidak” atau “jangan”  tanpa ada pilihan.

6. ELAKKAN DARI BERLETER
Selalunya, ibu bapa akan mula berleter apabila anak-anak tidak mendengar kata-kata mereka. Jadi, daripada anda berleter dan membebel panjang, lebih baik anda tampal lukisan atau satu carta kerja dalam bilik anak anda dan tunjukkan pada mereka.
Tugasan rumah harian yang perlu mereka selesaikan dalam sela waktu yang ditetapkan perlu dijelaskan dalam carta ini. Pastikan anda membuat carta tugasan yang sesuai dengan umur anak anda dan pertimbangkan juga waktu untuk mereka berehat dan bermain.

7. BERIKAN ANAK ANDA ‘HADIAH’
Apabila anak anda berjaya menyelesaikan sesuatu, anda perlulah memberikan mereka hadiah atau ganjaran yang mereka suka. Pastikan hadiah tersebut adalah untuk kebaikan anak anda dan bukannya hanya untuk memanjakan mereka.

8. JIKA ANDA MAHUKAN ANAK ANDA BERBUDI PEKERTI MULIA, DIRI ANDA  PERLU JADI TELADAN KEPADA MEREKA
Anak-anak mengikut jejak langkah ibu bapa mereka dalam semua perkara. Jadi, berbudi pekerti bukanlah sesuatu yang diharapkan lahir sendiri dari seorang kanak-kanak.
Selain itu, ajarkan mereka kata-kata sopan yang mudah sebelum mereka belajar bercakap dan anda juga perlulah mengaplikasikannya dalam setiap perbuatan anda.

9. TENANG TETAPI TEGAS
Jika anda telah membuat keputusan dan telah menyampaikannya pada anak anda, anda patut bertegas dengan keputusan tersebut.
Bincangkan dengan pasangan anda dan pastikan anda mencapai kata sepakat bersama pasangan anda. Ini akan mengajar anak anda bahawa apabila sesuatu keputusan telah dibuat, ia tetap tidak akan berubah.

10. BERSIFAT TERBUKA UNTUK PERBINCANGAN
Apabila anak anda semakin membesar, anda perlu menitik beratkan hal emosi dan pandangan mereka. Elakkan dari memberi arahan yang kelihatan seolah-olah muktamad.
Berikan anak anda ruang untuk berfikir dan membuka minda mereka serta berkongsi perasaan dan tanggapan mereka.

11. BUAT ANAK MACAM KAWAN
Pastikan anda bercakap dengan anak anda seolah-olah anda bercakap dengan kawan anda. Ini akan membantu anda mengawal nada suara dan isu-isu yang panas.

12. TERIMALAH ANAK ANDA SEADANYA
Setiap anak mempunyai sifat positif dan negatif. Terimalah mereka seadanya dan sayangilah mereka walau apa jua kekurangan mereka.
Ini membuatkan mereka selesa berkongsi perasaan dan buah fikiran.

13. BERDOA KEPADA ALLAH SETIAP MASA
Tip-tip yang diterangkan di atas adalah usaha kita untuk menjadikan anak-anak kita sentiasa dengar cakap dan arahan ibu bapa. Kita hanya berikhtiar dengan pelbagai cara dan teknik komunikasi dengan anak-anak, tetapi perlu diingat bahawa keberkesannya adalah amat bergantung dengan ketentuan yang ditetapkan oleh Allah. Manusia hanya mampu merancang tetapi yang menentukan segala-galanya adalah Allah. Oleh itu setiap kali lepas solat hendaklah sentiasa berdoa kepada-Nya.

AKHIR KATA

Ingatlah selalu bahawa komunikasi yang terbuka dan selesa akan membantu anak-anak anda membesar dengan keyakinan yang tinggi dalam diri dan mereka akan dapat membina perhubungan yang baik dengan orang lain dan anda!
Gunakanlah skil komunikasi anda setiap kali anda berbicara dengan anak anda dan dengarlah apa yang mereka ingin sampaikan supaya hubungan yang kukuh dan baik dapat diwujudkan. Janganlah asyik marah anak sahaja kerana ia tidak berfaedah sama sekali. Ingatlah senjata yang paling ampuh bagi setiap muslim adalah ‘doa’ kepada-Nya yang Maha Berkuasa.

Walahua’alam.


Sumber : siraplada

Wednesday 6 September 2017

KELEBIHAN SOLAT TAHAJUD

Solat Tahajjud


Solat Tahajjud adalah solat malam, atau biasa disebut sebagai Sholatul-lail. Waktunya tengah malam atau lewat tengah malam atau pada sepertiga malam terakhir (dalam lengkongan jam 3 hingga 4 pagi). Maka sebaiknya dikerjakan setelah tidur terlebih dahulu. Solat sunat ini memiliki nilai yang sangat tinggi di sisi Allah SWT. Solat ini telah dilakukan terutama kepada para pemimpin Islam kerana Rasulullah S.A.W dan para sahabat r.a tidak meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka.
Sebelum perintah solat lima waktu diwajibkan, Rasulullah SAW pernah memerintahkan para pengikutnya untuk melakukan solat tahajud. Hal ini tersirat dalam beberapa hadis:

Sahabat Abdullah bin Salam mengatakan, bahwa Nabi SAW telah bersabda yang maksudnya: “Hai sekalian manusia, sebar-luaskanlah salam dan berikanlah makanan serta solat malamlah di waktu manusia sedang tidur, supaya kamu masuk Syurga dengan selamat.”(HR Tirmidzi)

Bersabda Nabi Muhammad SAW yang maksudnya: “Seutama-utama solat sesudah solat fardhu ialah solat sunnat di waktu malam” ( HR. Muslim )


 Allah SWT telah berfirman:
Ertinya:
“Pada malam hari, hendaklah engkau solat Tahajud sebagai tambahan bagi engkau.
Mudah-mudahan Allah mengangkat engkau ke tempat yang terpuji.”

(Surah Al-Isro’ : Ayat 79)

Dal`am hadis lain juga diterangkan mengenai jumlah rakaat pada solat tahajud. Pada dasarnya, jumlah rakaat solat tahajud tidak dibatasi jumlahnya, dengan jumlah minimum 2 rakaat. Sedangkan dalam keterangan Said ibnu Yazib ra, Rasulullah SAW melakukan solat tahajud dengan jumlah 13 rakaat, dengan perincian 2 rakaat solat iftitah, 8 rakaat solat tahajud, dan ditutup dengan 3 rakaat solat witir.


Oleh itu jumlah rakaat Solat Tahajjud tidak terbatas. Namun kita bolehlah melakukannya sebagaimana berikut:
·       Sekurang-kurangnya dua rakaat dengan satu salam dan 3 rakaat Solat Sunat Witir 1 salam; atau
·       8 rakaat 1 salam dan 3 rakaat Solat sunnat witir dengan 1 salam;   atau
·      2 kali setiap 4 rakaat dengan 1 salam dengan witir 3 rakaat 1 salam;   atau
·      Dengan cara 4 kali di mana setiap kali sebanyak 2 rakaat dengan 1 salam dengan 3 rakaat witir 1 kali salam.


Lafaz niat:
أصَلِّي سُنَّةَ التَهَجُّدِ رَكَعَتَيْنِ لِلهِ تَعالىَ

Ertinya: ” Sahaja aku Solat Sunat Tahajjud dua rakaat kerana Allah Ta’ala"


Ayat-ayat yang dibaca sesudah Al Fatihah boleh dipilih sendiri. Biasanya ayat-ayat yang difahami maknanya akan lebih berkesan dan mudah dihafal. Bagi yang belum hafal,  pada rakaat pertama bacalah Surah Al-Kafirunmanakala rakaat kedua bacalah Surah Al-Ikhlas (bacaan sunnah Nabi SAW); atau ayat-ayat pendek lainnya.
Selepas memberi salam ucaplah doa sebagaimana berikut :

” Ya Allah bagimu segala puji. Engkaulah penegak langit dan bumi dan alam semesta serta segala isinya. Bagimulah segala puji,Engkaulah raja penguasa langit dan bumi. Bagi Mulah segala puji, Pemancar cahaya langit dan bumi., Engkaulah yang hak dan janjimu adalah benar ,dan perjumpaanmu itu adalah hak dan firmanmu adalah benar dan syurga adalah hak dan neraka adalah hak dan nabi-nabi itu hak benar , dan Nabi Muhammad SAW adalah benar ,dan saat hari kiamat itu benar .
Ya Allah kepadamulah kami berserah diri(bertawakal), kepada Engkau jualah kami kembali, dan kepadamulah kami rindu, dan kepada engkaulah kami berhukum .
Ampunilah kami atas kesalahan yang sudah kami lakukan dan yang sebelumnya, baik yang kami sembunyikan maupun yang kami nyatakan”. Engkaulah tuhan yang terdahulu dan tuhan yang terakhir .Tiada Tuhan melainkan engkau Allah Rabbul’alamin. Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan Allah”


Dalam satu hadis, Allah merahmati dan suka kepada orang yang solat tahajjud:
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya ;
“Allah merahmati orang yang bangun pada waktu malam dan mengejutkan isterinya untuk sembahyang. Jika isterinya payah sedar ia merenjiskan air di wajahnya. Dan Allah merahmati isteri yang bangun waktu malam bersembahyang dan mengejutkan suaminya (agar beribadah). Jika suaminya enggan (liat) untuk bangun maka ia merenjiskan air diwajahnya.” (Riwayat Abu Daud)

Kerjasama suami-isteri seperti ini ini mampu membentuk keluarga dan masyarakat yang baik.

Di dalam hadis yang lain, solat tahajjud adalah budaya orang soleh:

Dari Ummah Al-Bahili dari Rasulullah SAW: “Hendaklah kamu melazimkan (qiamulail) sembahyang malam. Sebab itu adalah amalan orang-orang soleh sebelum kamu. Ia menghampirkan kamu dengan tuhan, menebus keburukan (kamu) dan mencegah dari melakukan dosa.” ( Riwayat At-Tarmizi )

Dalam riwayat Salman Farisi ditambah lagi dengan faedah lain iaitu, “ia dapat menghilang penyakit dari dalam tubuh.” – ( Riwayat At-Tabrani )

Imam Syafie mengharuskan solat tahajjud secara berjemaah. Manakala Imam Hanafi mengatakan solat tahajjud itu dilakukan secara individu.

Kelebihan (Keutamaan) Sholat Tahajud

Berdasarkan hadis Rasulullah SAW, solat tahajud memiliki 9 kelebihan, iaitu 5 kelebihan di dunia dan 4 kelbihan di akhirat kelak. Hadis yang menjelaskan kelebihan solat tahajud adalah: “Barang siapa mengerjakan Solat Tahajud dengan sebaik-baiknya, dan dengan tata- tertib yang rapi, maka Allah SWT akan memberikan 9 macam kemuliaan : 5 macam di dunia dan 4 macam di akhirat.”

Adapun 5 kelebihan solat tahajud di dunia adalah:

  • Akan dipelihara oleh Allah SWT dari segala macam bencana.
  • Tanda ketaatannya akan kelihatan dimukanya.
  • Akan dicintai para hamba Allah yang soleh dan dicintai oleh semua manusia.
  • Lidahnya akan mampu mengucapkan kata-kata yang mengandung hikmah.
  • Akan dijadikan orang bijaksana, yakni diberi pemahaman dalam agama.

Adapun 4 kelebihan di akhirat kelak adalah:

  • Wajahnya berseri ketika bangkit dari kubur di Hari Pembalasan nanti.
  • Akan mendapat keringanan ketika dihisab.
  • Ketika menyeberangi titian Shirotol-Mustaqim, boleh melakukannya dengan sangat cepat, seperti kilat memancar.

  • Catatan amalnya diberikan melalui tangan kanan.

Setelah selesai mengerjakan Solat Tahajjud, perbanyakanlah membaca istigfar dan zikir kepada Allah kemudian berdoa sesuai dengan keinginan kita. Mudah-mudahan hidup kita sentiasa beroleh keberkatan dan keredhoan selain dikabulkan cita-cita.
Ayuh... Marilah kita melakukannya sebgai satu amalan rutin dalam kehidupan sebelum di jemput mengadap-Nya. Ins ya Allah.


Wallahu a'lam