Tuhan
Tidak Melupai Perbuatan Si Zalim
Dalam realiti
kehidupan banyak berlaku perbuatan zalim oleh mereka yang mempunyai kuasa,
kekayaan, kedudukan malah memiliki segala-galanya ke atas orang yang daif dan
tidak mampu. Oleh kerana kedaifan dan
kedudukan status sebagai insan marhain bawahan mereka ini tidak mampu untuk
mendapat keadilan terhadap kezaliman itu. Oleh itu mereka menderita hidup
sepanjang masa hingga ada yang berkesudahan dengan kematian.
Dalam mencari
jawapan tentang isu ini, saya terbaca satu artikel yang ditulis oleh Dr. MAZA
dalam belognya “Minda Tadji” yang pernia disiarkan pada tahun 2007. Di bawah
ini saya perturunkan tulisan beliau untuk tatapan dan renungan kita bersama:
Dunia ini jika diciptakan Allah tanpa diiringi dengan
Hari Akhirat, tentulah kehidupan ini amat mengecewakan banyak manusia. Apa
tidaknya, entah berapa ramai insan yang dizalimi haknya sedangkan dia tidak
dapat menuntutnya kembali disebabkan kedhaifan dirinya, atau keadaan yang tidak
membelanya.
Sehingga ada insan yang dijatuhkan maruahnya, ditipu atau
diceroboh hartanya, disiksa jasad, bahkan dibunuh tubuhnya secara zalim. Tanpa
kesalahan, tanpa kejahatan, tanpa dosa yang menghalalkan itu semua. Namun dek
dia manusia bawahan, atau keadaan yang tidak membolehkan dia mempertahankan
dirinya maka dia terpaksa mengharungi kekejaman ke atas dirinya.
Tercungap-cungap tanpa pembelaan. Lantas dia pergi meninggalkan dunia ini
sebagai insan teraniaya tanpa dibela.
Jikalah dunia berakhir dengan sebuah kematian di bumi semata, tanpa manusia dibangkitkan semula dan dihitungkan segala amalan dan kerjanya, tentulah kehidupan ini sesuatu yang amat tidak adil. Atau kehidupan ini hanyalah pentas drama kezaliman dan penindasan semata. Namun Maha Suci Tuhan dari menjadikan kehidupan sia-sia. Firman Allah: (maksudnya) maka apakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu dengan sia-sia dan kamu tidak akan dikembalikan kepada kami?” Maka Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Maha Benar; tiada yang diabdikan diri melainkan Dia, Tuhan Yang mempunyai ‘arasy yang mulia (Surah al-Mukminun ayat: 115-116).
Saya pernah melawat beberapa kota-kota tamadun lama.
Antaranya saya melihat tempat yang pada zaman dahulu para pembesar mereka
menjadikan perlawanan manusia menentang singa sebagai majlis hiburan dan
keramaian. Penentang singa itu mungkin seorang manusia yang tidak ada kesalahan,
namun dia dipilih untuk dijadikan bahan hiburan. Ketika bergelut mempertahankan
nyawanya digelanggang yang disediakan, orang ramai bersorak sorai kegembiraan
menyaksikan pertandingan maut itu. Entah berapa ramailah yang mati dalam
kesedihan yang memuncak disebabkan hilangnya nilai keinsanan dan kezaliman yang
tidak bertepi.
Demikian juga jika kita baca sejarah perhambaan yang pernah
dilakukan oleh bangsa kulit putih terhadap kulit hitam. Begitu kezaliman
kuasa-kuasa imperialis yang menceroboh dan menindas bangsa-bangsa yang lemah.
Wanita mereka dirogol, anak-anak mereka dibunuh dan negara mereka dimusnahkan.
Demikian kezaliman sesetengah pemerintah di dunia terhadap rakyat yang tidak
berdosa. Sesetengahnya tanpa kesalahan, tanpa campur tangan dalam sebarang
percaturan politik pun, tiba-tiba dimangsakan.
Saya baru-baru ini ketika bersolat di Masjidil Haram berbual
dengan seorang warga Iraq. Dia dan keluarganya menjadi mangsa kekejaman
pemerintah mereka yang lepas. Tidak kerana dia terlibat dengan politik, tetapi
disebabkan ada keluarga mereka yang terlibat lalu semua mereka disiksa dengan
penuh kezaliman. Saya katakan kepadanya; “pemimpin awak telah pun pergi
menemui Allah”. Dia menjawab: “Ya, dia telah pun hilang dari muka bumi
ini, namun kekejaman yang pernah dilakukan terus terpalit dalam sanubari kami
yang pernah dimangsakan dan yang dosa itu dibawa pergi menemui Allah oleh
mereka yang dikorbankan olehnya sebelum kematiannya.”
Saya memandang wajahnya yang barangkali menyimpan lautan
kepahitan kezaliman terhadap dirinya, anak perempuannya dan insan-insan yang
dia sayangi. Saya tidak pasti sejauh mana kebenaran ceritanya. Namun yang pasti
ramai manusia yang melakukan kezaliman telah pun melupai mangsanya, namun insan
yang dizalimi tidak pernah lupa. Sudah pasti Allah tidak akan lupa perbuatan si
zalim.
Teringatlah saya firman Allah: (maksudnya) Dan janganlah
kamu menyangka bahawa Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang
zalim; Sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari
yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat
keadaan Yang berlaku). (dalam pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan
ke padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak
berkelip, dan hati mereka yang kosong (kerana bingung dan cemas) (Surah
Ibrahim 42-43).
Ya, ramai orang zalim telah melupai mangsa mereka. Bahkan
sebahagian mereka tidak mengenali pun siapakah mangsa mereka. Ketika mereka
bergolek dalam keseronokan, mangsa-mangsa mereka merintih penderitaan dan
kesakitan. Lihatlah berapa ramai pemaju perumahan yang berarak ke sana-sini
sedangkan pembeli-pembeli rumah yang ditipu atau terbengkalai terus menderita
dek penipuan tersebut. Mungkin mereka tidak kenal pun bagaimanakah rupa si
pemaju dan si pemaju pun tidak kenal rupa mereka. Namun Allah tidak pernah
lalai dan alpa atas apa yang dilakukan.
Entahkan berapa ramai pula manusia yang ditipu harta dan
wangnya disebabkan kesilapannya atau kedajalan otak si penipu yang pintar.
Barangkali mereka tidak pernah bertemu muka, namun Allah tidak alpa. Entah
berapa ramai insan yang dicemari maruahnya. Dibuat dan direka cerita palsu
mengenai dirinya. Lalu disebarkan di kalangan orang ramai. Ramai pula
masyarakat yang percaya terutama jika si mangsa orang yang ada nama. Ini kerana
tabiat ramai manusia suka melihat kejatuhan orang lain. Maka mata-mata manusia
memandangnya dengan sinis. Terpinga-pinga dia dan bertanya: siapakah yang
memulakan cerita dusta ini yang aku menderita kerananya? Tersenyum
barangkali si pereka cerita disebabkan dia tidak dapat dikesan. Namun Allah
Maha Mengetahui segalanya dan tidak pernah lupa.
Entah berapa ramai pula insan yang dicedera atau dibunuh
tanpa dia sempat mengenali siapakah si penjenayah yang menzaliminya. Namun
Allah Maha Memerhati segalanya. Sehingga saya pernah menyebut: entah berapa
ramai yang menaiki kereta dengan kesombongannya meredak becak atau lopak di
jalan lalu mencemari pakaian si hamba Allah yang berjalan di tepi atau menaiki
motorsikal. Menangislah dan meratap si mangsa atas kekotoran bajunya. Dia
barangkali tidak sempat pun memerhati wajah si pemandu, namun Allah tidak akan
lupa dan alpa. Sabda Nabi s.a.w.: “Segala hak akan dibayar kepada empunya
pada Hari Kiamat, sehinggakan akan dibalas untuk biri-biri yang bertanduk atas
perbuatannya ke atas biri-biri yang tidak bertanduk” (Riwayat Muslim).
Hadis ini menggambarkan betapa setiap yang dizalimi dan menzalimi walau sekecil
mana pun akan diadili pada hari kiamat kelak.
Kadangkala kita kenal orang yang memangsakan kita. Namun
tidak dapat kita mengelakkan kezalimannya disebabkan kuasa yang dimilikinya,
atau keadaan yang berpihak kepadanya. Demikian kita lihat ada kerajaan
pemerintah yang menzalimi rakyatnya. Ada majikan yang menzalimi pekerjanya. Ada
ibu bapa yang menzalimi anaknya. Atau suami yang menzalimi isterinya. Si mangsa
hanya mampu berdiam diri kerana bimbang kesan yang lebih yang buruk jika dia
bertindak. Bahkan sebahagian yang menzalimi itu dengan ruang kuasa yang ada
merasakan itu adalah haknya untuk menindas rakyatnya atau menekan secara tidak
adil ke atas pekerjaanya atau bersikap berat sebelah kepada anak dan isterinya.
Dia tidak merasa berdosa, bahkan dengan ego mereka menepuk dada dan berkata
“ini hak aku”. Namun Allah tidak akan lupa itu semua.
Bagitu juga mereka yang mempunyai saluran tertentu seperti
wartawan atau penulis buku dan internet yang memuatkan kisah peribadi orang
lain sehingga menderitakan si mangsa. Atau ahli politik yang menjadikan pentas
politiknya untuk menuduh dan memalitkan keaiban kepada musuh-musuh politiknya.
Tanpa memperdulikan maruah orang dan larangan Allah agar jangan diintip keaiban
orang serta arahan Nabi s.a.w agar jangan didedahkan keaiban peribadi insan
lain tanpa sebab-sebab yang dihalalkan syarak.
Mereka ini tidak merasa zalim dan berdosa. Jika ditanya,
mereka menjawab: ini kerja aku sebagai wartawan atau penulis politik atau ahli
politik. Bagi mereka seakan kerjaya mereka telah melangkaui batasan dan
sempadan agama. Mereka seakan lupakan peringatan Nabi s.a.w.: “Sesiapa yang
ada padanya kezaliman terhadap saudaranya (muslim yang lain); seperti terhadap
maruah dan selainnya, mintalah halal pada hari ini sebelum tiba waktu yang
tidak ada dinar dan dirham (Hari Kiamat). Sekiranya baginya amalan soleh maka
akan diambil darinya dengan kadar kezalimannya. Jika tidak ada baginya
kejahatan, maka akan diambil kejahatan orang yang dizalimi lalu ditanggung ke
atasnya” (Riwayat al-Bukhari).
Satu lagi sikap sesetengah manusia adalah mereka sering lupa
kezaliman terhadap orang lain dan hanya mengungkit kezaliman apabila ia terkena
kepada diri mereka sahaja. Jika orang lain bertindak tidak adil terhadap
mereka, mereka akan membantah lalu berkata kami dizalimi. Apabila mereka
menzalimi orang lain, mereka akan berkata kami hanya menuntut hak.
Saya masih ingat dahulu apabila ada seorang pemimpin yang
dituduh melakukan perbuatan seks yang sumbang maka para ustaz dan selain ustaz
yang membelanya membacakan dalil-dalil al-Quran dan Sunnah yang melarang kita
menuduh orang lain dengan tuduhan zina tanpa empat orang saksi. Lalu dibacalah
firman Allah :(maksudnya) “Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina)
kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak
membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebatan;
dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka
adalah orang-orang yang fasik” (Surah al-Nur ayat 4).
Lalu mereka menyatakan perbuatan menuduh tersebut adalah
zalim lagi haram dan si penuduh menurut Islam hendaklah disebat lapan puluh
rotan. Namun apabila para ustaz dan ‘pengikut para ustaz’ yang sama menuduh
musuh-musuh politik mereka –sebelum dan selepas itu- dengan tuduhan skandal
seks dan berbagai lagi, tidak pula mereka mendatangkan saksi seperti yang
dituntut oleh syarak. Bahkan sebahagian ceramah-ceramah politik itu dihiasi
dengan tuduh-menuduh yang amat berat di sisi syarak. Namun mereka ini jika
ditanya akan menjawab: “ini politik syeikh! Anta mana faham”.
Saya menyatakan mungkin mereka lebih faham ‘politik ala
mereka’, namun apa yang saya faham hukum-hakam Tuhan itu tidak pernah terbatas.
Islam ini bukan sekular yang memisahkan agama dari politik. Jika anda bercakap
tentang Islam dan politik, maka cara politik hendaklah mengikut Islam.
Sebahagian perkataan-perkataan dalam ceramah itu bak kata al-Quran dalam Surah
al-Nur ayat 15: (maksudnya) “ketika kamu menerima berita dusta itu dengan
lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu sesuatu yang kamu tidak
mempunyai pengetahuan mengenainya; dan kamu pula menyangka ianya perkara kecil,
pada hal di sisi Allah adalah perkara yang besar dosanya”.
Demikian kita, kita hanya sedar kezaliman apabila ia terkena
kepada kita, melupainya apabila terkena kepada orang lain. Saya masih ingat
seorang yang berpakaian agama dalam negara ini yang mengkritik sikap sesetengah
anak-anak muda yang kononnya tidak menerima pakai pendapat ‘tokoh-tokoh agama
Nusantara’ dan beliau mensifatkan itu sebagai koboi dan biadap. Itu katanya
tidak menghormati ulama.
Tetapi saya melihat beliau dan mereka ‘sebaju’ dengan beliau
dalam masa yang sama menghina, mengfitnah bahkan sehingga mengkafirkan
tokoh-tokoh ulama umat Islam seperti Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah, al-Hafiz Ibn
Qayyim, al-Hafiz al-Zahabi, al-Imam Muhammad bin ‘Abdul Wahhab, Dr Yusuf
al-Qaradawi dan lain-lain lagi, tidaklah pula mereka menganggap diri mereka
zalim, koboi dan biadap terhadap para ulama. Mereka menghukum diri mereka tidak
sama dengan hukuman mereka terhadap orang lain.
Inilah yang sering saya ulangi firman Allah s.w.t: dalam
Surah al-Maidah: 8:(maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah
kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah,
lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap
sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu
berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada
taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan
mendalam akan apa yang kamu lakukan”.
Islam ini adil untuk semua tanpa sempadan. Allah Tuhan Yang
Maha anti kezaliman telah berfirman dalam hadis qudsi: “Wahai hamba-hambaKu!
Aku telah haramku kezaliman untuk Aku lakukan dan Aku jadikan ianya haram di
kalangan kamu, jangan kamu zalim menzalimi” (Riwayat Muslim). Kezaliman itu
haram sekalipun terhadap orang yang pada zahirnya tidak berperwatakan baik dan
sekalipun terhadap bukan muslim. Tidak dibolehkan oleh agama kita menuduh atau
menzalimi seseorang hanya kerana dia tidak kuat beragama atau kerana dia bukan
seorang muslim. Apatah lagi terhadap seorang soleh dan berakhlak baik dalam
hidupnya.
Nabi s.a.w bersabda: “Takutlah kamu doa orang yang
dizalimi, sesungguh antaranya dengan Allah tidak ada sebarang hijab
(penghalang)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam riwayat Ahmad “Takutlah
kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang jahat. Kejahatannya
bagi dirinya” (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani/ al-Sahihah: 767)
dalam riwayat Ahmad yang lain: “Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun
dia seorang yang kafir kerana ianya tidak ada hijab (penghalang untuk Allah
menerimanya). (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani/ al-Sahihah: 767).
Entah berapa ramai si zalim yang belum pun sempat datang
Hari Akhirat telah pun merasai padah kezaliman di atas muka bumi ini hasil dari
doa mangsanya. Kadang-kala si zalim bergelak seketika atau beberapa lama, namun
masa pembalasannya akan tiba. Sehingga dek terlupa perbuatan zalimnya, apabila
tiba saat pembalasan Tuhan di bumi ini ke atasnya dia tertanya-tanya: “mengapa
aku jadi begini?”, atau “mengapakah Tuhan melakukan padaku begini?”
Dia terlupa kezalimannya, sedang si mangsa dan Tuhan tidak
lupa perbuatannya. Dalam hadis yang lain, Nabi s.a.w bersabda: “Takut kamu
doa orang yang dizalimi kerana ianya dibawa atas lindungan awan dan Allah Yang
Maha Tinggi berfirman: “Demi kemuliaan dan keagunganKu, akan Aku menangkan
engkau walaupun selepas beberapa lama” (Riwayat al-Bukhari dalam al-Tarikh
al-Kabir, dinilai hasan/ al-Sahihah:870). Ketika si zalim tidur lena di
katilnya, si mangsa mendongak ke langit menyeru Tuhannya. Justeru itu,
janganlah hampa sesiapa yang dizalimi dan takutlah kita doa orang yang kena
zalim!
Kesimpulan dari tulisan ini kita perlu sentiasa berhati-hati
dalam menjalani kehidupan ini. Jika kita merupaka orang yang berkuasa perlulah
rujuk kepada al-Qurn dan hadis dalam menjalankan perintah supaya ianya sentiasa
selaras dengan syariat dan tidak berlaku zalim.
Begitu juga sebagai insan biasa dalam kehidupan ini kita juga perlu
berhati-hati supaya tindakan kita itu tidak akan menzalimi orang lain walupun
dengan perkataan kita dalam pergaulan seharian. Sentialah patuh kepada syariat
dalam apa juga yang kita lakukan seomga mendapat keredaan Allah di dunia dan di
akhirat. InsyalAllah.
Wallahu'alm.
Sumber :
Minda Tadjid : Dr MAZA:
Disiarkan
pada December 30, 2007