Falsafah perkahwinan menurut Islam
Di dalam al-Quran dijelaskan bahawa tujuan pernikahan adalah
untuk mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan, sebagaimana firman Allah yang
bermaksud:
"Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah itu bahawa
Dia jadikan bagi kamupasangan hidup agar kamu mendapatkan
ketenangan/kebahagiaan bersamanya.Kemudian Allah ciptakan di antara kamu berdua
mawaddah dan rahmah."
(Surah al-Rum, ayat 21)
Alam ini terasa indah kerana Allah menciptakannya
berpasang-pasangan. Ada siang,ada pula malam. Ada tempat yang subur, ada pula
yang tandus. Ada gunung-ganang yang tinggi tapi ada juga lembah dan lurah yang
dalam. Ada lelaki dan ada pula perempuan. Allah menciptakan pasangan untuk
manusia agar mereka dapat hidup seiring sejalan, berbahagi suka dan duka serta
tetap bersama dalam melayari kehidupan yang penuh dengan onak, duri, dugaan,
tentangan dan cabaran demi mencapai satu matlamat mendapatkan keluarga sakinah
mardatillah.
Selain ketenangan di dalam pernikahan, Allah juga
menciptakan mawaddah dan rahmah di hati suami dan isteri. Sebahagian ahli
tafsir membezakan makna mawaddah dan rahmah ini. Bagi mereka, mawaddah adalah
rasa cinta berdasarkan syahwat kemanusiaan, iaitu keinginan untuk melakukan
hubungan suami isteri yang akan melahirkan dan mengembangkan keturunan manusia.
Mawaddah atau keinginan untuk melakukan hubungan suami isteri ini ada hadnya
seiring dengan umur manusia itu sendiri. Apabila seorang lelaki telah berumur
60-70 tahun dan perempuan berumur 50 tahun, mawaddah ini akan berkurangan.
Maka, pada saat inilah Allah akan menimbulkan rahmah atau kasih sayang yang
suci murni di hati pasangan
berkenaan.
Menurut Prof Dr Hamka, rahmah lebih tinggi kedudukannya
daripada mawaddah sebab ia kasih mesra di antara suami isteri yang bukan lagi
berasaskan keinginan syahwat, sebaliknya rasa kasih sayang murni yang tumbuh
dari jiwa yang paling dalam sehingga suami isteri merasakan kebahagiaan yang
tidak bertepi dan ketenangan yang tidak berbatas.
Pada masa ini mereka bukan lagi berfikir mengenai tongkat
ali, Viagra dan ubat-ubat lain bagi mengembalikan kekuatan tenaga batin tetapi
yang mereka inginkan adalah mengisi hari-hari akhir ini dengan beribadah dan
mendekatkan diri kepada Allah sedekat-dekatnya secara bersama-sama.
Mereka juga berusaha memberikan contoh yang baik, teladan
dan nasihat kepada anak cucu supaya mereka tidak salah dalam memilih jalan
hidup di dunia yang penuh dugaan ini. Inilah hakikat rahmah itu.
Melihat kes yang terjadi di negara kita, di mana dilaporkan
sudah banyak terjadi pasangan tua yang berpisah kerana ingin bernikah dengan
yang lebih muda, maka dapat dikatakan bahawa terjadi krisis rahmah dalam
perkahwinan hinggakan hubungan
seks menjadi matlamat. Pada saat ini, seakan-akan Allah
hanya memberikan kepada kita mawaddah tetapi mencabut nikmat rahmah. Akibatnya,
kes-kes seperti di atas semakin menjadi-jadi dan kebahagiaan rumah tangga
semakin jauh.
Allah akan menurunkan rahmah di dalam satu keluarga apabila
keluarga berkenaan dibina atas niat mencari keredaan Allah. Oleh sebab itu, di
dalam proses membina satu rumah tangga, Rasulullah memberikan bimbingan kepada
umat Islam agar memilih Pasangan kerana empat prinsip, iaitu kecantikan, keturunan,
kekayaan dan agamanya. Akan tetapi Rasulullah memberatkan agar agama menjadi
keutamaan.
Ada kalanya orang memilih pasangan kerana kecantikan dan
kekayaan sehingga mereka lupa bahawa kecantikan dan harta bersifat sementara.
Begitu juga dengan keturunan dan nasab tidak selamanya menjamin kebahagiaan.
Oleh sebab itulah, Rasulullah menyuruh memilih pasangan kerana agama sebab
kekurangan dalam rupa, harta dan nasab atau keturunan akan disempurnakan oleh
agama.
Wanita yang beragama akan timbul di wajahnya kecantikan yang
lahir dari jiwanya dan menyinari segenap tubuhnya, bukan kecantikan palsu yang
diselaputi solekan. Wanita yang beragama juga akan melahirkan sifat qana'ah,
iaitu berasa cukup dengan yang mereka miliki dan tidak terlalu memaksa diri
untuk mencapai sesuatu. Sifat inilah yang dikatakan oleh ahli tasawuf dengan
kekayaan yang sebenarnya.
Agama pula membezakan seorang manusia dengan manusia yang
lain, bukan kerana keturunan dan kedudukan seperti firman Allah yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang
paling takwa."
Oleh itu, keluarga yang dibina atas dasar agama ini akan
memiliki matlamat yang jelas. Bagi mereka, hidup di dunia ini hanyalah satu
jalan menuju kehidupan akhirat yang abadi sehingga apa pun yang mereka lakukan
dalam keluarga itu tidak keluar daripada tujuan asal untuk mencipta keluarga
sakinah yang diredai Allah dan berjuang untuk menegakkan agama Allah dalam
semua aspek kehidupan mereka.
Dalam keluarga Islam, hubungan yang dihalalkan melalui
pernikahan itu bukan sekadar memenuhi hawa nafsu semata-mata tetapi ia satu
ibadah yang bertujuan melahirkan generasi atau zuriat yang soleh. Keluarga yang
soleh ini akan melahirkan masyarakat yang soleh dan akan menjadi asas bagi
negara yang soleh, bertamaddun dan berwawasan. Konsep pernikahan seperti inilah
yang membezakan manusia dengan haiwan.
Salah satu cara terbaik ialah dengan menanamkan kesedaran
kepada masyarakat mengenai hakikat atau falsafah pernikahan dalam Islam sebagai
alat mencipta keluarga sakinah, bukan sekadar memenuhi keperluan syahwat
semata-mata. Pengisian nilai-nilai agama sangat diperlukan dalam sebuah
keluarga agar memiliki matlamat yang jelas dalam mengisi sebuah perkahwinan.
Posted by Rahsiakeluargabahagia