Memasak Bukan Tanggungjawab Isteri
ISU:
Saya mempunyai beberapa kemusykilan berkenaan tanggungjawab
suami dan isteri setelah pernikahan.
1) Menurut apa yang saya faham, tanggungjawab menyediakan
nafkah seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal adalah tanggungjawab
suami. Kebanyakan suami yang mengikut
adat di timur menyediakan bahan mentah yang tidak sedia dimakan kemudian menyuruh
atau mengharapkan isteri memasak. Lebih menyukarkan isteri apabila suami hanya
memberi wang dan membiarkan isteri membeli dan memasak makanan. Semua urusan
tersebut memerlukan tenaga dan masa yang banyak. Pada pendapat saya, bahan
mentah yang belum dimasak masih belum boleh dianggap makanan. Bukankah itu sama
seperti suami tidak menjalankan tanggungjawab menyediakan nafkah makanan?
2) Saya berpandangan bahawa suami sepatutnya membeli makanan
yang siap dimasak atau membeli bahan mentah yang kemudiannya dimasak oleh suami
untuk keluarga. Tambahan pula sekiranya isteri berasa terbeban dengan tugas
memasak tersebut. Adakah memasak merupakan tanggungjawab mutlak seorang isteri
di mana sekiranya isteri menolak untuk memasak dikira derhaka dan berhak ditalakkan?
3) Hal ini adalah kerana, saya memandang tanggungjawab
isteri adalah untuk taat kepada suami. Adakah perlu isteri taat apabila suami
menyuruh isteri memasak ( sekiranya benar memasak bukan tanggungjawab isteri
sebaliknya tanggungjawab suami)? Saya pernah membaca bahawa memasak, mengemas
rumah adalah pilihan yang dilakukan isteri atas budi bicaranya dan bukan
tanggungjawab mutlak. Mohon pencerahan.
4) Sekiranya benar bahawa menyediakan makanan siap dimakan
adalah tanggungjawab suami dan memasak bukan tanggungjawab mutlak isteri,
apakah hukum suami memaksa isteri memasak dan marah apabila isteri tidak
memasak? (mohon abaikan soalan ini sekiranya kenyataan pertama dalam soalan ini
adalah salah bermakna isteri wajib memasak untuk suami)
5) Apakah hukum sekiranya isteri tidak melakukan kerja rumah
(memasak, mengemas rumah, dan sebagainya) kerana letih bekerja? Kebanyakan
isteri tidak dapat melakukan kerja rumah di samping melayan kehendak biologi
suami dan mendidik anak dalam satu tempoh yang sama dan panjang. Wanita juga
sebagai muslim wajib menuntut ilmu yang memerlukan tenaga dan masa. Ditambah
pula sekiranya suami tidak mampu menyampaikan ilmu kepada isteri, wanita berhak
keluar mencari ilmu. Mungkin ada wanita yang mampu melakukan semua itu dalam
masa yang sama tetapi jumlah mereka sangat sedikit. Hal ini demikian kerana
setiap individu mempunyai tahap kekuatan fizikal, mental, emosi dan rohani yang
berbeza. Saya sangat jelas bahawa keluar mencari nafkah bukanlah tanggungjawab
isteri. Namun, dalam keadaan ekonomi yang sempit, di mana sekiranya isteri
tidak menambah pendapatan suami, maka anak-anak akan hidup kesempitan sehingga
tidak mendapat hak mereka seperti pendidikan dan kesihatan, isteri terpaksa
membantu suami. Selain itu, sesetengah pekerjaan yang sememangnya memerlukan
tenaga pekerja wanita sebagai contoh doktor sakit puan menyebabkan wanita
berasa bertanggungjawab terhadap umat. Sekiranya mereka berhenti bekerja,
kebanyakan isteri bersalin akan dirawat oleh doktor lelaki. Hal ini jelas
menjadi isu dalam negara kita. Di samping itu, kebanyakan wanita tetap bekerja
atas sebab tidak mahu mengecewakan ibu bapa yang telah menghabiskan banyak
tenaga, masa dan wang demi membiayai pengajian mereka untuk menjadikan siapa
mereka hari ini. Wanita tersebut boleh jadi seorang doktor, jurutera, akauntan
dan sebagainya. Memang benar bahawa keutamaan tanggungjawab isteri adalah
kepada suami dan anak-anak, tetapi hal berkaitan kekeliruan yang saya
ketengahkan menyebabkan wanita berfikir berkali-kali sebelum bersetuju untuk
berkahwin. Hasilnya, ramai 'anak dara tua' yang takut dengan perkahwinan.
Sedangkan pernikahan sangat dianjurkan supaya dapat meramaikan umat Rasulullah
agar mereka mampu menegakkan syiar Islam di muka bumi ini. Malah umat sangat
memerlukan golongan professional dan bijak pandai dalam bidang akademik dan
agama untuk mendidik generasi Muslim kini.
Setakat itu sahaja soalan saya buat masa ini. Mohon
pencerahan buat diri saya yang sememangnya masih kurang ilmu. Maaf sekiranya
pihak tuan berpendapat bahawa saya bertanyakan soalan ini kerana malas atau
takut dengan tanggungjawab seorang isteri. Namun sebenarnya saya hanya mahukan
kepastian atas kemusykilan saya.
Saya yakin bahawa Islam adalah agama syumul dan universal.
Islam tidak menyusahkan namun kita tidak boleh ambil mudah dengan hukum hakam
Islam. Saya melihat ibu dan saudara mara wanita yang berasa penat dan terseksa
melayan kehendak suami yang mahu dilayan setelah penat bekerja. Hal ini atas
alasan atau kenyataan bahawa mereka penat mencari rezeki. Sedangkan mereka
seolah-olah lupa bahawa isteri mereka juga penat bekerja menambah pendapatan
selain perlu melayan keperluan biologi suami dan mendidik anak-anak yang
sememangnya memerlukan kekuatan mental, fizikal, emosi dan rohani.
Mereka mengatakan bahawa isteri perlu mengikut jejak
isteri-isteri Rasulullah melayan suami. Saya sangat bersetuju dalam hal ini.
Namun, saya berpendapat bahawa suami telah terlepas pandang bahawa pernah
Rasulullah pulang dan tiada makanan di rumah. Baginda tidak marahkan isteri
sebaliknya mengatakan kepada isteri bahawa Baginda berpuasa pada hari tersebut.
Kisah ini menunjukkan bahawa memarahi isteri kerana tidak menyediakan makanan
tidak pernah dilakukan Rasulullah.
Suami hari ini juga membandingkan isteri mereka dengan
isteri Rasulullah tetapi seolah-olah lupa membandingkan diri mereka dengan
Baginda. Rasulullah dilayan mesra oleh isteri setelah penat berdakwah dan
berperang menegakkan Islam sedangkan jumlah suami hari ini yang melakukan apa
yang Baginda telah lakukan amat sedikit. Ya, suami keluar bekerja, wanita juga
bekerja. Justeru, suami juga seharusnya meringankan beban isteri sebagaimana
isteri meringankan beban suami melengkapkan keperluan hidup.
Maaf sekali lagi sekiranya soalan saya turut disertakan
dengan penjelasan yang mungkin kurang bernas bagi pihak tuan. Saya cuma hairan
mengapa tiada seorang pun yang menyatakan hal ini sedangkan inilah realiti yang
berlaku dalam masyarakat kita. Apabila isteri terlalu letih melakukan sesuatu
yang bukan tanggungjawab dan di luar batas kemampuan mereka, pelbagai masalah
umat timbul. Kerana wanita juga adalah Muslim yang mempunyai tanggungjawab
menjadi khalifah atas muka bumi dan tidak kurang penting dalam berkhidmat menegakkan
syiar Islam.
Isteri tidak mampu memenuhi keperluan biologi suami akibat
terlalu letih menguruskan rumah tangga mengakibatkan zina dan perceraian.
Seterusnya anak-anak terpaksa menanggung tekanan emosi malah ada yang didera
oleh ibu atau bapa yang tertekan dengan masalah rumah tangga mereka.Rosaklah
pembangunan anak tersebut dan lahir pula anak yang tidak sah taraf.
Isteri yang kepenatan juga tidak mampu memberi perhatian
kepada anak-anak. Hasilnya, anak-anak yang sepatutnya menjadi tonggak umat berpeleseran
di kedai mamak, disko selain merempit di jalan raya. Rosaknya anak-anak muda
kita menjurus kepada kerosakan umat Islam yang lebih besar. Jauh sekali untuk
membicarakan soal menyelamatkan Aqsa, membela Rohingya dan sebagainya.
Terlalu banyak masalah umat kita yang bukan sahaja perlu
difikirkan malah perlu diselesaikan. Saya percaya bahawa setiap penyelesaian
perlu bermula dengan penambahbaikan diri sendiri diikuti institusi
kekeluargaan, masyarakat seterusnya negara atau kerajaan.
Segala usaha pihak tuan saya dahului dengan sekalung
penghargaan. Sekian, terima kasih
PENJELASAN:
1) Tanggungjawab suami memberikan nafkah kepada isteri iaitu
makanan, pakaian dan tempat tinggal. Makanan yang dimaksudkan ialah makanan
yang boleh terus dimakan oleh isteri. Bukan menjadi tanggungjawab isteri untuk
memasak. Namun, sekiranya suami meminta isteri memasak dan ia tidak bercanggah
dengan mana-mana hukum Islam, maka isteri perlu mentaati permintaan suami.
2) Isteri yang enggan memasak tidak dianggap derhaka (nusyuz)
dan tidak boleh menjadi sebab untuk diceraikan oleh suami.
3) Walaupun memasak atau mengemas rumah bukan tanggungjawab
isteri, namun sekiranya suami meminta isteri melakukannya dan ia tidak
bercanggah dengan mana-mana hukum Islam, maka isteri perlu mentaati permintaan
suami.
4) Suami tidak boleh memaksa isteri memasak dan tidak boleh
memarahinya sekiranya isteri tidak mahu memasak.
5) Isteri yang tidak mampu melakukan kerja rumah (memasak,
mengemas rumah, dan sebagainya) kerana letih bekerja, perlu berbincang secara
harmoni dengan suami. Menjadi tanggungjawab suami, untuk menyediakan pembantu
rumah bagi melakukan kerja rumah, sekiranya isteri memintanya.
Penjelasan:
Isteri biasanya dibebankan dengan kerja-kerja rumah seperti
mengemas rumah, memasak, membasuh baju, dan sebagainya. Perkara ini sudah
menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita. Sehingga apabila ada isteri yang tidak
mahu melakukan kerja-kerja tersebut dianggap sebagai ‘nusyuz’ oleh suami. Namun
persoalan yang timbul, adakah isteri diwajibkan oleh Syarak untuk melakukan
kerja-kerja tersebut? Bolehkah suami menuntut di mahkamah untuk menghukum
isteri yang tidak mahu melakukannya?
Menurut ulamak bermazhab Syafii, isteri tidak wajib
melakukan perkara-perkara tersebut. Imam Abu Ishak asy-Syirazi; seorang ulamak
bermazhab Syafii menjelaskan dalam bukunya ‘al-Muhazzab’, “Isteri tidak wajib
melakukan perkara berikut untuk suaminya, seperti membuat roti, mengisar
tepung, memasak, membasuh pakaian dan sebagainya. Ini disebabkan perkara yang
diwajibkan dalam akad nikah ialah isteri melayan suaminya, dan tidak diwajibkan
melakukan perkara yang lain.”
Syeikh al-Muti’i; seorang ulamak kontemporari bermazhab
Syafii, menjelaskan dalam buku ‘Takmilah al-majmu’ syarah al-muhazzab’, “Isteri
tidak wajib berkhidmat untuk suami atau rumah, kerana perkara yang diwajibkan
dalam akad nikah ialah isteri melayan suami. Namun begitu, kerja-kerja rumah
yang dilakukan oleh isteri ada sandaran daripada Syarak, sebagaimana hadis yang
dilaporkan oleh Jabir dan direkodkan oleh Imam Ahmad, al-Bukhari dan Muslim.
Jabir melaporkan, ‘Rasulullah bertanya kepada saya, ‘Adakah saudara sudah
berkahwin?’ Saya menjawab, ‘Ya.’ Baginda bertanya lagi, ‘Saudara berkahwin
dengan gadis atau janda?’ Saya menjawab, ‘Dengan janda.’ Baginda berkata lagi,
‘Kenapa saudara tidak berkahwin dengan gadis agar saudara boleh berseronok
dengannya dan dia boleh berseronok dengan saudara?’ Saya menerangkan, ‘Wahai
Utusan Allah. Ayah saya terbunuh dalam Perang Uhud. Dia meninggalkan sembilan
orang anak perempuan. Saya tidak suka jika isteri saya gadis muda seusia adik
beradik saya itu. Tetapi saya perlukan seorang isteri yang dapat menguruskan
kehidupan mereka.’ Baginda berkata, ‘Saudara melakukan perkara yang betul.’
Hadis ini menjelaskan, jika seseorang itu berkahwin agar isterinya itu dapat
membantu menguruskan hal ehwal bapa si suami, adik beradik atau ahli keluarga
suami yang lain, maka ia tidak menjadi kesalahan, walaupun ia tidak diwajibkan
atas isteri tersebut. Ia dibenarkan jika adat setempat biasa dengan perbuatan
tersebut. Oleh sebab itu, Nabi Muhammad tidak menghalang perbuatan Jabir itu.”
Oleh itu, menurut ulamak bermazhab Syafii, urusan
rumahtangga selain melayan suami, tidak diwajibkan atas seseorang isteri. Ia hanyalah satu galakan untuk dilakukan oleh
seseorang isteri. Ini bermakna, suami tidak boleh memaksa isteri untuk
melakukan kerja-kerja rumah seperti memasak, membasuh, mengemas dan sebagainya.
Isteri pula tidak boleh dianggap nusyuz jika tidak mentaati arahan suami untuk
melakukan kerja-kerja tersebut. Begitu juga, pihak mahkamah tidak mempunyai
bidang kuasa untuk menuntut isteri melakukan perkara tersebut, jika kes itu
diadukan oleh suami kepada Hakim.
Bahkan Islam membenarkan isteri menuntut kepada suami agar
menyediakan pembantu rumah untuk melakukan kerja-kerja rumah. Hal ini merujuk
kepada kebiasaan isteri semasa belum berkahwin. Jika isteri berasal daripada
keluarga berada yang biasa mempunyai pembantu rumah dan si isteri tidak biasa
melakukan kerja-kerja rumah, maka suami bertanggungjawab menyediakan pembantu
rumah untuk isterinya. Para ulamak menyatakan, menyediakan pembantu rumah
adalah termasuk dalam nafkah yang wajib diberikan oleh suami kepada isteri.
Walaupun Islam tidak mewajibkan isteri melakukan kerja-kerja
rumah dan berhak menuntut seorang pembantu rumah daripada suami, namun Islam
amat menggalakkan agar isteri dengan rela dan ikhlas melakukan kerja-kerja
tersebut. Pada suatu hari, Saidatina Fatimah berjumpa dengan ayahnya iaitu Nabi
Muhammad s.a.w. Fatimah mengadu kepada ayahnya kerana terlalu penat melakukan
kerja-kerja rumah. Beliau menunjukkan tangannya yang pecah-pecah kerana
mengisar tepung. Beliau meminta daripada ayahnya agar diberikan kepadanya
seorang wanita yang ditawan ketika perang untuk dijadikan pembantu rumah. Nabi
Muhammad berkata kepada anaknya, “Mahukah kamu, ayah tunjukkan satu amalan yang
lebih baik daripada mendapat seorang pembantu rumah? Ketika kamu hendak tidur,
maka bacalah tasbih (subhanallah) tiga puluh tiga kali. Bacalah tahmid kepada Allah
(Alhamdulillah) tiga puluh tiga kali. Bacalah takbir kepada Allah (Allahuakbar)
tiga puluh tiga kali.” Hadis sahih direkodkan oleh Imam al-Bukhari.
Hadis ini secara jelasnya menunjukkan, alangkah baiknya jika
para isteri dengan rela hati melakukan kerja-kerja rumah untuk suami mereka.
Walaupun penat melakukan kerja-kerja tersebut, namun pahala yang disediakan
oleh Allah untuk para isteri amat besar. Dalam hadis tersebut Nabi Muhammad
s.a.w. memberikan tips kepada isteri yang seharian penat melakukan kerja-kerja
rumah untuk berzikir sebelum tidur. Dengan mengamalkan zikir-zikir tersebut
dengan penuh khusyuk kepada Allah, akan menghilangkan segala kepenatan.
Imam at-Tobari menjelaskan maksud kisah Fatimah itu dalam
buku tafsirnya, “Hadis tersebut menerangkan, seseorang isteri yang mampu
melakukan kerja-kerja rumah seperti membuat roti, menguli tepung atau
sebagainya, maka tidak wajib untuk suami menyediakan pembantu rumah.”
Asma’ binti Abu Bakar; kakak ipar Nabi Muhammad melaporkan,
“Zubair berkahwin dengan saya dalam keadaan beliau tidak mempunyai apa-apa
harta atas muka bumi ini. Juga tidak memiliki walau seorang pembantu. Yang
beliau miliki hanyalah beberapa ekor kuda. Kerja saya ialah memberI makan
kuda-kudanya, mengambil air di perigi, dan membersihkan najis-najis kuda. Saya
tidak pandai memasak roti. Jiran-jiran saya daripada kalangan wanita Ansar yang
membantu saya membuat roti. Mereka adalah wanita yang baik-baik. Saya juga
biasa mengangkut bakul berisi biji buah-buahan di atas kepala saya untuk makanan
kuda.Biji buah-buahan itu saya ambil daripada kebun yang diberikan oleh
Rasulullah s.a.w. kepada Zubair. Pada suatu hari, saya terserempak dengan
Rasulullah s.a.w. Ketika itu saya sedang menjunjung bakul yang berisi biji
buah-buahan. Bersama-sama Rasulullah pada ketika itu ada beberapa orang lelaki
Ansar. Rasulullah s.a.w. menyapa saya, ‘Alahai kasihannya.’ Lalu baginda
mengajak saya menaiki binatang tunggangan bersama baginda. Saya berasa malu
untuk berjalan bersama-sama dengan lelaki. Saya teringat kepada Zubair dan
sifat cemburunya. Beliau memang seorang yang sangat kuat cemburunya. Rasulullah
tahu bahawa saya merasa malu untuk turut sama dengan baginda. Baginda pun
meneruskan perjalanan. Setiba di rumah, saya menceritakan kepada suami saya;
Zubair, ‘Tadi saya bertemu dengan Rasulullah. Di atas kepala saya, saya sedang
menjunjung bakul yang berisi biji buah-buahan. Bersama-sama dengan baginda ada
beberapa orang lelaki Ansar. Baginda mempelawa saya untuk menunggang
bersama-sama dengannya. Saya merasa malu dan saya pun teringat sifat cemburu
abang itu.’ Zubair menjawab, ‘Demi Allah. Sebenarnya abang lebih kasihankan
dinda menjunjung bakul berisi biji buah-buahan itu berbanding cemburu abang
jika dinda menumpang tunggangan Nabi Muhammad itu.’ Asma’ menjelaskan lagi,
‘Begitulah rutin hidup saya, sehinggalah ayah saya; Abu Bakar, menghadiahkan
kepada saya seorang pembantu untuk menguruskan kuda-kuda milik suami saya itu.
Pemberian ayah saya itu ibarat telah memerdekakan saya daripada kerja-kerja
tersebut.’” Laporan sahih direkodkan oleh Imam Bukhari.
Wallahua'lam:
Sumber :
JAKIM
No comments:
Post a Comment
Thanks for your comments, I will reply soon.