SUAMI YANG ABAIKAN TANGGUNGJAWAB
MEMBERI NAFKAH KEPADA ISTERI DAN ANAK-ANAK.
Suami saya sudah hampir setengah tahun tidak bekerja. Kami mempunyai empat orang anak, masing-masing berumur lima, empat, dua tahun dan yang bongsu baru berumur enam bulan.
Saya hantar anak-anak ke rumah ibubapa saya di kampung kerana kami menghadapi masalah. Saya dan suami dalam proses kaunseling di Pejabat Agama kini.
Masalah kami; sejak berkahwin, suami tidak pernah beri nafkah secara tetap. Malah, seringkali dia tidak beri nafkah. Suami saya juga banyak berhutang dan sayalah yang terpaksa menanggung hutang piutangnya. Untuk mengelak daripada pengutip hutang, dia pernah melarikan diri selama dua minggu tanpa memberitahu apa-apa pun kepada saya.
Saya mahukan perceraian sebab tak tahan dengan sikapnya yang tidak mengambil berat soal anak-anak. Jika suami tidak pernah memberi nafkah, bolehkah saya meminta cerai?
Setiakaseh
Kuala Lumpur
Jawapan:
Perkahwinan merupakan satu tanggungjawab, bukan sahaja dari segi agama, malah merupakan tanggungjawab sosial juga. Menjaga kebajikan keluarga dan melindungi mereka daripada perkara-perkara buruk adalah antara tanggungjawab yang perlu dipenuhi oleh suami.
Kewajipan memberi nafkah terletak di bahu suami. Seksyen 59 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memberi kuasa kepada mahkamah untuk mengeluarkan perintah pembayaran nafkah terhadap seseorang lelaki kepada isterinya, atau pun kepada bekas isterinya.
Seksyen 72 Akta juga mewajibkan seorang ayah memberi nafkah kepada anak-anaknya. Tambahan lagi, seksyen ini memberi kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan bukan sahaja seorang ayah membayar nafkah kepada anak-anaknya, malah kepada saudara-mara lelaki kepada anak-anak itu untuk memberi nafkah. Contohnya, datuk sebelah bapa anak-anak itu, ayah saudara sebelah bapa anak-anak itu.
Sebab mengapa saudara-mara lelaki sebelah bapa anak-anak itu dipertanggungjawabkan menjaga kebajikan mereka adalah kerana penetapan oleh hukum syara’. Ini juga sebab mengapa pembahagian harta pusaka melalui faraid memberi bahagian yang lebih kepada lelaki berbanding perempuan, iaitu 2:1. Kelebihan bahagian yang diberikan bermaksud tanggungjawab yang dipikul juga lebih.
Oleh itu, kesan kedua-dua seksyen ini ialah, walaupun belum bercerai, puan boleh membawa tuntutan nafkah ini ke mahkamah dan mahkamah boleh memerintahkan suatu pembayaran nafkah.
Menjawab persoalan perceraian, menurut Akta, jika suami tidak memberi nafkah selama tiga bulan, maka isteri boleh menuntut perceraian melalui fasakh. Malah, takliq juga menyatakan bahawa jika suami mengabaikan isteri dan gagal memberi nafkah kepadanya selama empat bulan berturut-turut, maka, isteri berhak menuntut cerai.
Puan haruslah bersedia dengan bukti-bukti dan saksi-saksi yang boleh mengukuhkan dakwaan puan tentang suami tidak memberi nafkah dalam perbicaraan perceraian nanti.
Kami juga nasihatkan agar puan juga membuat tuntutan hak penjagaan anak-anak. Jika tiada perintah tentang hak penjagaan dibuat, maka isu ini tidak selesai dan mungkin akan menimbulkan kerumitan di kemudian hari.
Berkenaan hutang suami, seeloknya puan membuat laporan polis tentang perkara ini. Ini untuk mengelakkan puan dan anak-anak di apa-apakan oleh pengutip hutang apabila suami menghilangkan diri sekali lagi.
Dalam kes ini puan juga perlu membuat muhasabah diri kerana
suami yang diplih oleh puan telah memberikan masalah kepada puan dan keluarga. Mungkin
ini juga satu dari pada ujian Allah terhap puan dan cuba hisabkan diri sendiri
apakah kesalahan-kesalahan yang pernah di lakukan sebelum ini, sama ada dosa
besar atau dosa-dosa kecil yang di sedari atau tidak disedari telah dilakukan.
Bila puan membuat hisbah diri, jika didapaiti ada perkara
yang dilakuian itu menggar hokum syariat patut bersegeralah bertaubat semoga Allah
akan beri keampunan dan minta di jauhkan segala bala dan bencana semoga
kehidupan puan dan keluarga di masa hadapan dalam keredaanNya.
Wallahualam.
No comments:
Post a Comment
Thanks for your comments, I will reply soon.