RAIHANPAHIMI

publish your book for free?AFF=9142

Friday, 1 April 2016

Tuhan Tidak Melupai Perbuatan Si Zalim




Tuhan Tidak Melupai Perbuatan Si Zalim

Dalam realiti kehidupan banyak berlaku perbuatan zalim oleh mereka yang mempunyai kuasa, kekayaan, kedudukan malah memiliki segala-galanya ke atas orang yang daif dan tidak mampu.  Oleh kerana kedaifan dan kedudukan status sebagai insan marhain bawahan mereka ini tidak mampu untuk mendapat keadilan terhadap kezaliman itu. Oleh itu mereka menderita hidup sepanjang masa hingga ada yang berkesudahan dengan kematian.
Dalam mencari jawapan tentang isu ini, saya terbaca satu artikel yang ditulis oleh Dr. MAZA dalam belognya “Minda Tadji” yang pernia disiarkan pada tahun 2007. Di bawah ini saya perturunkan tulisan beliau untuk tatapan dan renungan kita bersama:

Dunia ini jika diciptakan Allah tanpa diiringi dengan Hari Akhirat, tentulah kehidupan ini amat mengecewakan banyak manusia. Apa tidaknya, entah berapa ramai insan yang dizalimi haknya sedangkan dia tidak dapat menuntutnya kembali disebabkan kedhaifan dirinya, atau keadaan yang tidak membelanya.
Sehingga ada insan yang dijatuhkan maruahnya, ditipu atau diceroboh hartanya, disiksa jasad, bahkan dibunuh tubuhnya secara zalim. Tanpa kesalahan, tanpa kejahatan, tanpa dosa yang menghalalkan itu semua. Namun dek dia manusia bawahan, atau keadaan yang tidak membolehkan dia mempertahankan dirinya maka dia terpaksa mengharungi kekejaman ke atas dirinya. Tercungap-cungap tanpa pembelaan. Lantas dia pergi meninggalkan dunia ini sebagai insan teraniaya tanpa dibela.

Jikalah dunia berakhir dengan sebuah kematian di bumi semata, tanpa manusia dibangkitkan semula dan dihitungkan segala amalan dan kerjanya, tentulah kehidupan ini sesuatu yang amat tidak adil. Atau kehidupan ini hanyalah pentas drama kezaliman dan penindasan semata. Namun Maha Suci Tuhan dari menjadikan kehidupan sia-sia. Firman Allah: (maksudnya) maka apakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu dengan sia-sia dan kamu tidak akan dikembalikan kepada kami?” Maka Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Maha Benar; tiada yang diabdikan diri melainkan Dia, Tuhan Yang mempunyai ‘arasy yang mulia (Surah al-Mukminun ayat: 115-116).
Saya pernah melawat beberapa kota-kota tamadun lama. Antaranya saya melihat tempat yang pada zaman dahulu para pembesar mereka menjadikan perlawanan manusia menentang singa sebagai majlis hiburan dan keramaian. Penentang singa itu mungkin seorang manusia yang tidak ada kesalahan, namun dia dipilih untuk dijadikan bahan hiburan. Ketika bergelut mempertahankan nyawanya digelanggang yang disediakan, orang ramai bersorak sorai kegembiraan menyaksikan pertandingan maut itu. Entah berapa ramailah yang mati dalam kesedihan yang memuncak disebabkan hilangnya nilai keinsanan dan kezaliman yang tidak bertepi.
Demikian juga jika kita baca sejarah perhambaan yang pernah dilakukan oleh bangsa kulit putih terhadap kulit hitam. Begitu kezaliman kuasa-kuasa imperialis yang menceroboh dan menindas bangsa-bangsa yang lemah. Wanita mereka dirogol, anak-anak mereka dibunuh dan negara mereka dimusnahkan. Demikian kezaliman sesetengah pemerintah di dunia terhadap rakyat yang tidak berdosa. Sesetengahnya tanpa kesalahan, tanpa campur tangan dalam sebarang percaturan politik pun, tiba-tiba dimangsakan.
Saya baru-baru ini ketika bersolat di Masjidil Haram berbual dengan seorang warga Iraq. Dia dan keluarganya menjadi mangsa kekejaman pemerintah mereka yang lepas. Tidak kerana dia terlibat dengan politik, tetapi disebabkan ada keluarga mereka yang terlibat lalu semua mereka disiksa dengan penuh kezaliman. Saya katakan kepadanya; “pemimpin awak telah pun pergi menemui Allah”. Dia menjawab: “Ya, dia telah pun hilang dari muka bumi ini, namun kekejaman yang pernah dilakukan terus terpalit dalam sanubari kami yang pernah dimangsakan dan yang dosa itu dibawa pergi menemui Allah oleh mereka yang dikorbankan olehnya sebelum kematiannya.”
Saya memandang wajahnya yang barangkali menyimpan lautan kepahitan kezaliman terhadap dirinya, anak perempuannya dan insan-insan yang dia sayangi. Saya tidak pasti sejauh mana kebenaran ceritanya. Namun yang pasti ramai manusia yang melakukan kezaliman telah pun melupai mangsanya, namun insan yang dizalimi tidak pernah lupa. Sudah pasti Allah tidak akan lupa perbuatan si zalim.
Teringatlah saya firman Allah: (maksudnya) Dan janganlah kamu menyangka bahawa Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; Sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan Yang berlaku). (dalam pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip, dan hati mereka yang kosong (kerana bingung dan cemas) (Surah Ibrahim 42-43).
Ya, ramai orang zalim telah melupai mangsa mereka. Bahkan sebahagian mereka tidak mengenali pun siapakah mangsa mereka. Ketika mereka bergolek dalam keseronokan, mangsa-mangsa mereka merintih penderitaan dan kesakitan. Lihatlah berapa ramai pemaju perumahan yang berarak ke sana-sini sedangkan pembeli-pembeli rumah yang ditipu atau terbengkalai terus menderita dek penipuan tersebut. Mungkin mereka tidak kenal pun bagaimanakah rupa si pemaju dan si pemaju pun tidak kenal rupa mereka. Namun Allah tidak pernah lalai dan alpa atas apa yang dilakukan.
Entahkan berapa ramai pula manusia yang ditipu harta dan wangnya disebabkan kesilapannya atau kedajalan otak si penipu yang pintar. Barangkali mereka tidak pernah bertemu muka, namun Allah tidak alpa. Entah berapa ramai insan yang dicemari maruahnya. Dibuat dan direka cerita palsu mengenai dirinya. Lalu disebarkan di kalangan orang ramai. Ramai pula masyarakat yang percaya terutama jika si mangsa orang yang ada nama. Ini kerana tabiat ramai manusia suka melihat kejatuhan orang lain. Maka mata-mata manusia memandangnya dengan sinis. Terpinga-pinga dia dan bertanya: siapakah yang memulakan cerita dusta ini yang aku menderita kerananya? Tersenyum barangkali si pereka cerita disebabkan dia tidak dapat dikesan. Namun Allah Maha Mengetahui segalanya dan tidak pernah lupa.
Entah berapa ramai pula insan yang dicedera atau dibunuh tanpa dia sempat mengenali siapakah si penjenayah yang menzaliminya. Namun Allah Maha Memerhati segalanya. Sehingga saya pernah menyebut: entah berapa ramai yang menaiki kereta dengan kesombongannya meredak becak atau lopak di jalan lalu mencemari pakaian si hamba Allah yang berjalan di tepi atau menaiki motorsikal. Menangislah dan meratap si mangsa atas kekotoran bajunya. Dia barangkali tidak sempat pun memerhati wajah si pemandu, namun Allah tidak akan lupa dan alpa. Sabda Nabi s.a.w.: “Segala hak akan dibayar kepada empunya pada Hari Kiamat, sehinggakan akan dibalas untuk biri-biri yang bertanduk atas perbuatannya ke atas biri-biri yang tidak bertanduk” (Riwayat Muslim). Hadis ini menggambarkan betapa setiap yang dizalimi dan menzalimi walau sekecil mana pun akan diadili pada hari kiamat kelak.
Kadangkala kita kenal orang yang memangsakan kita. Namun tidak dapat kita mengelakkan kezalimannya disebabkan kuasa yang dimilikinya, atau keadaan yang berpihak kepadanya. Demikian kita lihat ada kerajaan pemerintah yang menzalimi rakyatnya. Ada majikan yang menzalimi pekerjanya. Ada ibu bapa yang menzalimi anaknya. Atau suami yang menzalimi isterinya. Si mangsa hanya mampu berdiam diri kerana bimbang kesan yang lebih yang buruk jika dia bertindak. Bahkan sebahagian yang menzalimi itu dengan ruang kuasa yang ada merasakan itu adalah haknya untuk menindas rakyatnya atau menekan secara tidak adil ke atas pekerjaanya atau bersikap berat sebelah kepada anak dan isterinya. Dia tidak merasa berdosa, bahkan dengan ego mereka menepuk dada dan berkata “ini hak aku”. Namun Allah tidak akan lupa itu semua.
Bagitu juga mereka yang mempunyai saluran tertentu seperti wartawan atau penulis buku dan internet yang memuatkan kisah peribadi orang lain sehingga menderitakan si mangsa. Atau ahli politik yang menjadikan pentas politiknya untuk menuduh dan memalitkan keaiban kepada musuh-musuh politiknya. Tanpa memperdulikan maruah orang dan larangan Allah agar jangan diintip keaiban orang serta arahan Nabi s.a.w agar jangan didedahkan keaiban peribadi insan lain tanpa sebab-sebab yang dihalalkan syarak.
Mereka ini tidak merasa zalim dan berdosa. Jika ditanya, mereka menjawab: ini kerja aku sebagai wartawan atau penulis politik atau ahli politik. Bagi mereka seakan kerjaya mereka telah melangkaui batasan dan sempadan agama. Mereka seakan lupakan peringatan Nabi s.a.w.: “Sesiapa yang ada padanya kezaliman terhadap saudaranya (muslim yang lain); seperti terhadap maruah dan selainnya, mintalah halal pada hari ini sebelum tiba waktu yang tidak ada dinar dan dirham (Hari Kiamat). Sekiranya baginya amalan soleh maka akan diambil darinya dengan kadar kezalimannya. Jika tidak ada baginya kejahatan, maka akan diambil kejahatan orang yang dizalimi lalu ditanggung ke atasnya” (Riwayat al-Bukhari).
Satu lagi sikap sesetengah manusia adalah mereka sering lupa kezaliman terhadap orang lain dan hanya mengungkit kezaliman apabila ia terkena kepada diri mereka sahaja. Jika orang lain bertindak tidak adil terhadap mereka, mereka akan membantah lalu berkata kami dizalimi. Apabila mereka menzalimi orang lain, mereka akan berkata kami hanya menuntut hak.
Saya masih ingat dahulu apabila ada seorang pemimpin yang dituduh melakukan perbuatan seks yang sumbang maka para ustaz dan selain ustaz yang membelanya membacakan dalil-dalil al-Quran dan Sunnah yang melarang kita menuduh orang lain dengan tuduhan zina tanpa empat orang saksi. Lalu dibacalah firman Allah :(maksudnya) “Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebatan; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik” (Surah al-Nur ayat 4).
Lalu mereka menyatakan perbuatan menuduh tersebut adalah zalim lagi haram dan si penuduh menurut Islam hendaklah disebat lapan puluh rotan. Namun apabila para ustaz dan ‘pengikut para ustaz’ yang sama menuduh musuh-musuh politik mereka –sebelum dan selepas itu- dengan tuduhan skandal seks dan berbagai lagi, tidak pula mereka mendatangkan saksi seperti yang dituntut oleh syarak. Bahkan sebahagian ceramah-ceramah politik itu dihiasi dengan tuduh-menuduh yang amat berat di sisi syarak. Namun mereka ini jika ditanya akan menjawab: “ini politik syeikh! Anta mana faham”.
Saya menyatakan mungkin mereka lebih faham ‘politik ala mereka’, namun apa yang saya faham hukum-hakam Tuhan itu tidak pernah terbatas. Islam ini bukan sekular yang memisahkan agama dari politik. Jika anda bercakap tentang Islam dan politik, maka cara politik hendaklah mengikut Islam. Sebahagian perkataan-perkataan dalam ceramah itu bak kata al-Quran dalam Surah al-Nur ayat 15: (maksudnya) “ketika kamu menerima berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan kamu pula menyangka ianya perkara kecil, pada hal di sisi Allah adalah perkara yang besar dosanya”.
Demikian kita, kita hanya sedar kezaliman apabila ia terkena kepada kita, melupainya apabila terkena kepada orang lain. Saya masih ingat seorang yang berpakaian agama dalam negara ini yang mengkritik sikap sesetengah anak-anak muda yang kononnya tidak menerima pakai pendapat ‘tokoh-tokoh agama Nusantara’ dan beliau mensifatkan itu sebagai koboi dan biadap. Itu katanya tidak menghormati ulama.
Tetapi saya melihat beliau dan mereka ‘sebaju’ dengan beliau dalam masa yang sama menghina, mengfitnah bahkan sehingga mengkafirkan tokoh-tokoh ulama umat Islam seperti Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah, al-Hafiz Ibn Qayyim, al-Hafiz al-Zahabi, al-Imam Muhammad bin ‘Abdul Wahhab, Dr Yusuf al-Qaradawi dan lain-lain lagi, tidaklah pula mereka menganggap diri mereka zalim, koboi dan biadap terhadap para ulama. Mereka menghukum diri mereka tidak sama dengan hukuman mereka terhadap orang lain.
Inilah yang sering saya ulangi firman Allah s.w.t: dalam Surah al-Maidah: 8:(maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”.
Islam ini adil untuk semua tanpa sempadan. Allah Tuhan Yang Maha anti kezaliman telah berfirman dalam hadis qudsi: “Wahai hamba-hambaKu! Aku telah haramku kezaliman untuk Aku lakukan dan Aku jadikan ianya haram di kalangan kamu, jangan kamu zalim menzalimi” (Riwayat Muslim). Kezaliman itu haram sekalipun terhadap orang yang pada zahirnya tidak berperwatakan baik dan sekalipun terhadap bukan muslim. Tidak dibolehkan oleh agama kita menuduh atau menzalimi seseorang hanya kerana dia tidak kuat beragama atau kerana dia bukan seorang muslim. Apatah lagi terhadap seorang soleh dan berakhlak baik dalam hidupnya.
Nabi s.a.w bersabda: “Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sesungguh antaranya dengan Allah tidak ada sebarang hijab (penghalang)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam riwayat Ahmad “Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang jahat. Kejahatannya bagi dirinya” (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani/ al-Sahihah: 767) dalam riwayat Ahmad yang lain: “Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang kafir kerana ianya tidak ada hijab (penghalang untuk Allah menerimanya). (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani/ al-Sahihah: 767).
Entah berapa ramai si zalim yang belum pun sempat datang Hari Akhirat telah pun merasai padah kezaliman di atas muka bumi ini hasil dari doa mangsanya. Kadang-kala si zalim bergelak seketika atau beberapa lama, namun masa pembalasannya akan tiba. Sehingga dek terlupa perbuatan zalimnya, apabila tiba saat pembalasan Tuhan di bumi ini ke atasnya dia tertanya-tanya: “mengapa aku jadi begini?”, atau “mengapakah Tuhan melakukan padaku begini?”
Dia terlupa kezalimannya, sedang si mangsa dan Tuhan tidak lupa perbuatannya. Dalam hadis yang lain, Nabi s.a.w bersabda: “Takut kamu doa orang yang dizalimi kerana ianya dibawa atas lindungan awan dan Allah Yang Maha Tinggi berfirman: “Demi kemuliaan dan keagunganKu, akan Aku menangkan engkau walaupun selepas beberapa lama” (Riwayat al-Bukhari dalam al-Tarikh al-Kabir, dinilai hasan/ al-Sahihah:870). Ketika si zalim tidur lena di katilnya, si mangsa mendongak ke langit menyeru Tuhannya. Justeru itu, janganlah hampa sesiapa yang dizalimi dan takutlah kita doa orang yang kena zalim!

Kesimpulan dari tulisan ini kita perlu sentiasa berhati-hati dalam menjalani kehidupan ini. Jika kita merupaka orang yang berkuasa perlulah rujuk kepada al-Qurn dan hadis dalam menjalankan perintah supaya ianya sentiasa selaras dengan syariat dan tidak berlaku zalim.  Begitu juga sebagai insan biasa dalam kehidupan ini kita juga perlu berhati-hati supaya tindakan kita itu tidak akan menzalimi orang lain walupun dengan perkataan kita dalam pergaulan seharian. Sentialah patuh kepada syariat dalam apa juga yang kita lakukan seomga mendapat keredaan Allah di dunia dan di akhirat. InsyalAllah.

Wallahu'alm.


Sumber : Minda Tadjid :  Dr MAZA:
Disiarkan pada December 30, 2007

No comments:

Post a Comment

Thanks for your comments, I will reply soon.