Budaya Menziarahi Kubur Pada Hari Raya adalah amalan yang lazim di dalam masyarakat Melayu di
nusantara. Saya sendiri semenjak kecil lagi didedahkan dengan amalan menziarahi
kubur pada pagi raya. Kebanyakan dari kita menganggap ianya adalah salah satu “sunnah”
walahal amalan ini bukannya amalan yang di anjurkan oleh Rasulullah saw. Marilah kita sama-sama memperbetulkan
kefahaman yang agak bercanggah dengan ajaran Islam ini dengan kembali kepada
konsep sambutan hari raya yang di anjurkan oleh Islam.
Untuk mendapat
kupasan yang lebih lanjut marilah kita sama-sama menghayati kupasan yang pernah
di beri oleh Dr MAZA.
1. Hari raya adalah hari membesarkan Allah dan bersyukur
atas kurniaanNya. Kita bertakbir tanda kemenangan, bukan tanda kesedihan. Irama
takbir ala melayu agak sedih. Jika kita dengar takbir yang dilaung di dunia
Islam yang lain, khususnya di dunia Arab, kita akan tahu irama takbir mereka
lebih bersemangat dan lebih mendekati perasaan kemenangan. Firman Allah:
“..dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan
Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan
supaya kamu bersyukur”. (Surah al-Baqarah: 185).
Ayat ini menjelaskan tentang kedatangan hari raya sebagai
tanda syukur atas nikmat kurniaan Allah. Maka kita disuruh bertakbir
membesarkan Allah pada hari raya. Ini semua menzahirkan kejayaan dan
kegembiraan.
2. Hari raya bukan hari menzahirkan suasana sedih,
sebaliknya hari raya menzahirkan suasana kekuatan, kegembiraan dan perpaduan
umat Islam. Kata Ummu Atiyyah r.aha:
“Rasulullah s.a.w memerintahkan kami (kaum wanita) keluar
pada hari raya fitri dan adha; termasuk para gadis, wanita haid, anak dara
sunti. Adapun mereka yang haid tidak menunaikan solat tetapi menyertai kebaikan
dan seruan kaum muslimin” (Riwayat al-Bukhari).
Suasana sebegini menimbulkan perpaduan, kekuatan dan
kegembiraan. Wanita haid pun ke suruh untuk keluar ke tempat solat, sekalipun
bukan untuk solat tetapi untuk menyertai suasana kemeriahan kaum muslimin.
3. Justeru itu, Nabi s.a.w bersolat di tempat lapang atau
musolla (tempat solat). Baginda tidak bersolat di masjid baginda, sekalipun
masjid Nabi sangat mulia. Ini bagi menzahirkan suasana gembira dan
menggambarkan kepada masyarakat kekuatan umat Islam. Kata Abu Sa’id al-Khudri:
“Rasulullah s.a.w itu pada Hariraya Fitri dan Adha keluar
ke musolla. Perkara pertama yang dilakukannya adalah solat” (Riwayat al-Bukhari
dan Muslim).
Kata al-Hafizd Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari:
“Musollah itu tempatnya diketahui di Madinah, di mana
antaranya dan masjid sejauh seribu hasta”.
Maka afdal solat di tempat lapang untuk lebih menzahir
suasana tersebut. Melainkan tempat lapang sukar didapati, atau hujan atau
memberikan kesusahan yang lain kepada orangramai. Al-Imam al-Nawawi (wafat
676H) ketika mensyarahkan hadis Nabi s.a.w bersolat di tempat lapang itu
menyebut:
“Hadis ini menjadi dalil untuk mereka yang berpendapat
disunatkan keluar bersolat hari raya di musolla. Ia lebih afdal dari ditunaikan
di masjid. Inilah amalan orangramai di pelbagai negara. Adapun orang Mekah,
mereka sejak dahulu bersolat di masjid (al-Masjid al-Haram)”. (al-Nawawi, Syarh
Sahih Muslim, 6/483. Beirut: Dar al-Khair).
4. Betapa suasana kegembiraan digalakkan pada hari raya,
maka Nabi s.a.w mengizinkan atau menggalakkan hiburan seperti nyanyian,
pertunjukan dan sukaria yang lain selagi tidak melanggar syariat. Dalam hadis
daripada isteri Rasulullah s.a.w Ummul Mukminin ‘Aishah r.aha:
bahawa pada hari raya Fitri atau Adha, Abu Bakr masuk ke
rumahnya (rumah ‘Aishah) dan Nabi s.a.w berada di sisinya. Ketika itu ada dua
orang gadis sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu‘ath
(peperangan antara Aus dan Khazraj). Abu Bakr berkata: “Suara syaitan” (sebanyak
dua kali). Nabi s.a.w bersabda: “Biarkan mereka wahai Abu Bakr! Setiap kaum ada
hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita” (Riwayat al-Bukhari dan
Muslim).
Dalam riwayat Muslim yang lain menyatakan mereka memukul
gendang sebagai alatan muzik iringan nyanyian mereka. Banyak hadis lain
menunjukkan keizinan atau galakan hiburan pada hari-hari kegembiraan seperti
hari raya, hari perkahwinan dan seumpamanya. Maka, dendangan lagu hari raya
yang menimbulkan suasana kegembiraan adalah digalakkan. Adapun lagu-lagu yang
menimbulkan kesedihan ia bertentangan dengan konsep hari raya dalam Islam.
5. Kata Ummul Mukminin ‘Aishah r.ha:
“Pada hari raya orang Sudan membuat pertunjukan permainan
perisai dan lembing. Aku tidak pasti sama ada aku yang meminta, atau baginda
yang berkata: “Apakah engkau ingin menontonnya?” Jawabku: “Ya”. Lalu baginda
menjadikan aku berada belakangnya, pipiku menyentuh pipinya sambil baginda
berkata: “Teruskan wahai Bani Arfidah (orang-orang Sudan)”. Sehinggalah aku
jemu. Kemudian baginda berkata kepadaku: “Sudah cukupkah (jemukah)?”. Jawabku:
“Ya”. Kata baginda: “Kalau begitu, pergilah”. (Riwayat al-Bukhari).
Hadis ini menunjukkan apa-apa pertunjukan, permainan atau
gurau senda yang tidak melanggar syariat adalah digalakkan pada hari raya.
Bukan satu kecacatan untuk orang yang kuat agama menyertainya, kerana Nabi
s.a.w sendiri menonton pertunjukan pada hari raya.
6. Maka, jika berdasarkan kepada hadis-hadis di atas,
hiburan kanak-kanak atau dewasa pada hari raya seperti permainan bunga api atau
selainnya adalah tidak menyalahi syariat, bahkan digalakkan jika dapat
menimbulkan kegembiraan. Begitu juga jamuan pada hari raya, duit raya, hadiah
raya dan apa sahaja yang boleh menimbulkan suasana gembira. Namun kesemuanya
hendaklah dipastikan dengan kadarnya yang tidak melampaui hukum-hakam syarak.
7. Menziarahi kubur itu pada asalnya disunatkan pada
bila-bila masa bagi mengingatkan kita pada hari akhirat. Sabda Nabi s.a.w:
“Aku dahulu melarang kamu menziarahi kubur, namun ziarahi
sekarang kerana ia boleh mengingatkan kamu pada hari akhirat” (Riwayat Muslim).
Pada peringkat awal Nabi s.a.w melarang kerana bimbang kesan
jahiliah dahulu masih mempengaruhi masyarakat. Apabila kefahaman Islam sudah
kukuh, baginda mengizinkan kerana ia membantu mengingatkan hari akhirat.
Ertinya, jika sesiapa yang apabila ke kubur akan terpengaruh dengan amalan
khurafat, maka mereka ia sepatutnya mengelakkan diri dari menziarahi kubur.
Jika ia menyebabkan mengingatkan hari akhirat, maka ia digalakkan.
8. Walaupun menziarahi kubur itu pada asalnya sunat, namun
baginda Nabi s.a.w tidak pernah mengkhususkan supaya diziarahi khubur pada hari
raya. Perbuatan mengkhususkan hari raya sebagai hari ziarah kubur tidak
bersumberkan dari ajaran Nabi s.a.w. Apatahlagi dengan pelbagai upacara yang
menyanggahi sunnah Nabi s.a.w yang diadakan oleh sesetengah masyarakat di kubur
pada hari raya. Bahkan, jika kita melihat kepada konsep hari raya yang
diterangkan, maka perbuatan bersedihan di kubur adalah menyanggahi tujuan hari
raya.
9. Pada hariraya disunatkan mandi, berwangian, berpakaian
cantik dan berjumpa orang ramai. Dalam hadis Jabir r.a berkata:
“Rasulullah pada hari raya mengambil jalan yang berbeza”
(Riwayat al-Bukhari).
Maksudnya, jalan pergi ke tempat dan pulang yang berbeza.
Kemungkinan antara hikmahnya untuk berjumpa orang ramai. Maka, berjumpa orang
ramai pada hari raya adalah digalakkan dan itu patut menjadi tumpuan, bukan
pergi menemui yang telah meninggal dan bersedih di kubur.
10. Pertemuan pada hariraya bukan untuk mencurahkan airmata,
tetapi untuk mengucapkan ucapan kejayaan. Para sahabah apabila bertemu pada
hari raya mengucapkan TaqabbalaLlah minna wa minka (semoga
Allah menerima amalan kami dan kamu)” (lihat: al-Albani, Tamam al-Minnah
354-356). Ucapan-ucapan lain tidak salah selagi mengandungi maksud yang baik
dan bukan membawa kepada kesedihan dan kedukaan.
11. Maka, jadikanlah hariraya sebagai hari kegembiraan dan
kesyukuran, bukan hari kesedihan.
Kesimpulannya amalan mengadakan program ziarah kubur pada
hari raya pertama ( Aidil Fitri atau Aidil Aha) adalah perlu kita ubah dan
tinggalkan, kerana Hari Raya adalah hari untuk bergembira setelah kita
menjalani puasa Ramadan selama sebulan. Malah kita di sunatkan untuk berkunjung
ke rumah sanak saudara, sahabat handai untuk
sama-sama menyambut kegembiraan dan saling maaf bermaaf-maafan.
Untuk itu program menziarahi kubur boleh di atur pada
hari-hari berikut selepas hari raya pertama atau pada hari-hari lain di
sepanjang tahun.
Wallahualam.
Sumber: Dr. MAZA
No comments:
Post a Comment
Thanks for your comments, I will reply soon.