Tertarik bacaan Al-Fatihah punca masuk
Islam
Azman Khor bersyukur dengan kehidupannya sebagai seorang Muslim.
Kanan: Azman Khor bersama isteri (belakang, tengah) dan empat daripada 10 anak
mereka. Foto artikel ikhsan Sinar Harian Online.
JITRA –
Meskipun dibesarkan dalam keluarga yang kuat pegangan agama nenek moyangnya,
namun, jiwanya masih terasa kosong dan perlu diisi bagi memenuhi ruang dalam
nalurinya.
Selepas
melihat kepercayaan nenek moyangnya itu tidak dapat diikuti, jiwanya mula
mencari-cari hinggalah beliau berpindah bersama bapanya dari Kuala Lumpur ke
Kemaman, Terengganu bergaul dengan rakan baru yang kebanyakan berbangsa Melayu.
Di
sinilah kehidupan Azman Khor Abdullah, 57, mula berubah apabila tinggal di
sebuah perkampungan Melayu yang banyak mengubah corak kehidupannya.
“Pada
masa itu umur saya baru 10 tahun dan kehidupan banyak dipengaruhi oleh adat
istiadat orang Melayu.
“Di
kampung ini juga saya bertemu dengan seorang rakan baik, Noor Faiz Ahmad Din
hingga keluarganya itu sudah seperti keluarga saya sendiri,” katanya.
Minta rakan baik tulis Surah Al-Fatihah
Menurutnya,
kehidupan dan kepercayaan keluarga Noor Faiz itu turut menarik minatnya untuk
mempelajari ilmu agama.
“Hinggalah
pada suatu hari ketika saya pergi ke rumah kawan saya itu terdengar ibunya
membaca al-Quran dalam surah Al-Fatihah hingga menyebabkan hati saya tertarik
dengan bacaan itu dan meminta Noor Faiz menulis bacaan itu ke dalam buku kecil.
“Semenjak
itu saya mula mempelajari dan membaca Al-Fatihah secara tersembunyi daripada
bapa dan sering membawanya ke mana sahaja. Walaupun saya tidak faham makna ayat
itu tetapi jiwa saya sangat tenang dan terus mahu mempelajari tentang agama
Islam,” katanya.
Azman
Khor berkata, surah Al-Fatihah itu sangat sedap didengar dan jika dihayati ia
ada kekuatannya sendiri hingga sukar untuk diterjemahkan tentang kemanisan pada
ayat-ayat surah berkenaan.
Ambil keputusan masuk Islam
Bagaimanapun
usahanya menghafal ayat itu dapat dikesan oleh bapanya apabila buku itu hilang
dari simpanannya dan dia telah dihantar pulang semula ke Kuala Lumpur hingga
tamat pelajarannya.
“Walaupun
sudah pulang ke Kuala Lumpur dan mula bekerja sebagai kerani akaun di sebuah
syarikat swasta tetapi semangat untuk belajar tentang Islam tidak pernah
terpadam dalam jiwa saya hinggalah pada 1980 saya mengambil keputusan untuk
mengucap dua kalimah syahadah di sebuah masjid dan memeluk Islam.
“Selepas
memeluk Islam, semangat untuk mempelajari Islam sangat membuak-buak hinggalah
saya berhijrah ke Derang Pokok Sena, sebuah pusat pengajian agama dan tinggal
di situ serta bertemu jodoh dengan isteri saya, Nor Sakinah Vanitha Abdullah,”
katanya yang kini membuka kedai makanan Cina Muslim di Bandar Baru Darul Aman.
Katanya,
penghijrahan itu memberi kehidupan baru dalam hidupnya dan turut bersyukur
kerana di samping mendalami agama, dia juga dapat membina keluarga sendiri dan
mampu mendidik keluarganya mengikut acuan Islam.
Keluarga sudah terima penghijrahan
Ditanya
tentang penerimaan keluarganya, dia berkata, mereka sudah mengetahui mengenai
minatnya terhadap Islam sejak kecil lagi dan kini mereka menghormati
keputusannya memeluk Islam.
“Bapa
saya Khor Jin Yew sudah lama tahu tentang minat saya terhadap Islam. Walaupun
pelbagai halangan dilakukannya, akhirnya dia mengizinkan asalkan saya menjadi
seorang insan yang baik terhadap agama dan masyarakat.
“Walaupun
kini bapa saya sudah tiada tetapi sebagai abang sulung daripada lima beradik,
mereka tetap menghormati malah setiap kali hari raya mereka pernah juga
menghantar duit kepada anak-anak untuk membeli pakaian,” katanya kepada Sinar
Harian.
Azman
Khor berkata, dia kini sungguh gembira dengan kehidupannya, malah turut
bersyukur kepada ALLAH kerana menganugerahkan anak seramai 10 orang bagi
memeriahkan hidupnya sebagai Muslim.u
KOMENTAR:
Cerita di atas memberi pengajaran kepada kita bahawa cara
hidup orang Islam di kampung yang penuh dengan sifat kerjasama, ramah mesra
dan suka membantu dan tolong menelong tanpa mengira bangasa dan agama merupak
satu daya tarikan kepada mereka yang belum memeluk Islam untuk bergaul dan seterusnya
mempelajari cara hidup orang Melayu kampung yang kuat berpegang dengan ajaran agama Islam.
Amalan membaca al quran di kampung-kampung boleh jadi satu
daya tarikan untuk yang belum Islam untuk mendalami Islam dan seterusnya
memeluk Islam.
Oleh itu sebagai umat Islam marilah kita sama-sama
meningkatkan kefahaman tentang Islam dan mengamalkan dalam kehidupan seharian
dalam setiap aspek kehidupan. Bina sifat dan budaya hidup Islam yang penuh
dengan sopan santun, ramah mesra dan suka membantu orang yang memerlukan adalah
satu aset yang penting untuk berdakwah bagi mengajak yang belum Islam utuk
mendekati Islam dan seterusnya memeluk Islam. Jika kita Berjaya berdawah secara
amali dalam kehikdupan akan memberi impak yang lebih untuk mereka berjinak-jinak
dengan Islam. InsyaAllah akan diberi hidayah oleh-Nya. Jika ini dapat dipratikkan dalam kehidupan ianya amat besar ganjaran pahala sebgai salah satu jihad untuk kembangkan Islam di akhir zaman ini. InsyaAllah.
Wallahu'alam.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment
Thanks for your comments, I will reply soon.