RAIHANPAHIMI

publish your book for free?AFF=9142

Saturday, 9 May 2015

PENGORBANAN IBU BAPA TERHADAP ANAK-ANAK.


Anak kena taat perintah selagi tidak bertentangan dengan agama

KASIH sayang anugerah Allah SWT kepada makhluk-Nya untuk mereka hidup harmoni dan berkongsi rasa cinta serta belas kasihan dalam perjalanan singkat yang dinamakan kehidupan.

Begitu indah kasih sayang Allah SWT kepada setiap hamba-Nya dengan mengurniakan insan yang setia berdamping sejak awal usia kandungan lagi. Ditetapkan untuk setiap manusia itu hidup selamat dalam rahim kira-kira sembilan bulan sepuluh hari.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Kami telah menasihati manusia supaya berlaku baik kepada kedua-dua orang tuanya ketika mana ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan yang teramat berat keperitannya dan (mengarahnya) untuk memutuskan penyusuan setelah (bayi) berumur dua tahun, maka syukurlah kamu kepada-Ku dan seterusnya kepada kedua-dua ibu bapamu dan kepada-Ku kamu akan kembali.” (Surah Luqman, ayat 14)

Pada usia kandungan itu jugalah kita sebagai manusia bergantung harap kepadanya atas nama kehidupan, kerana nyawa kita bersama nyawanya dan setiap darah yang mengalir dalam tubuhnya membolehkan kita hidup selesa, selamat, tenang, harmoni dan tiada sebarang gangguan.

Begitu mulianya pendamping setia kita iaitu ibu. Apabila menyebut mengenai erti kasih sayang seseorang ibu, maka terbayang dalam lipatan pemikiran kasih sayang yang tiada nilainya sejak kita dalam kandungan sehinggalah dewasa.

Tahukah kita ketaatan kepada ibu besar tuntutannya seperti firman Allah yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah mewajibkan supaya tidak menyembah selain dari-Nya dan berlaku baik kepada ibu bapa.” (Surah al-Isra’, ayat 23)

Allah SWT meletakkan kewajipan mentaati ibu bapa selepas kewajipan mentauhidkan-Nya. Al-Quran juga menceritakan pengorbanan seseorang ibu semasa mengandungkan anaknya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Kami telah menasihati manusia supaya berlaku baik kepada kedua-dua orang tuanya ketika mana ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan yang teramat berat keperitannya dan (mengarahnya) untuk memutuskan penyusuan setelah (bayi) berumur dua tahun, maka syukurlah kamu kepada-Ku dan seterusnya kepada kedua-dua ibu bapamu dan kepada-Ku kamu akan kembali.” (Surah Luqman, ayat 14)

Apabila melihat realiti yang berlaku dewasa ini, kita dapati anak semakin kurang memberi tanggungjawab serius terhadap hak penjagaan kedua-dua ibu bapa mereka. Betullah kata-kata, seorang ibu mampu menjaga 10 anak, tetapi 10 anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu.

Tidak keterlaluan untuk saya nyatakan, semakin ramai dalam kalangan kita yang berani menderhaka kepada ibu bapa sama ada dengan menengking, marah atau tidak ambil peduli langsung kebajikan kedua-dua ibu bapa mereka.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Janganlah kamu berkata kepada keduanya (ibu bapa) dengan perkataan ‘ah’ dan janganlah pula kamu mengherdik mereka. Bercakaplah kepada mereka dengan perkataan yang mulia.” (Surah al-Isra’, ayat 23)

Berdasarkan firman Allah SWT ini, ulama mengeluarkan hukum hanya dengan menyebut perkataan ‘ah’ dan seumpamanya kepada kedua-dua ibu bapa boleh menyebabkan seseorang itu terjerumus dalam dosa penderhakaan.

Sesuatu yang lebih menyayat hati apabila ada anak yang sanggup berlaku ganas dengan memukul malah sanggup membunuh ibu bapa sendiri atas hasutan nafsu dan syaitan. Di manakah ihsan kita?
Sememangnya tanggungjawab menjaga ibu bapa adalah satu tugas yang berat, namun apakah sama taraf bandingnya dengan keperitan mereka lalui ketika mengandungkan, melahirkan seterusnya mendidik kita dengan didikan yang sempurna?

Direkodkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab Sahihnya, Nabi SAW didatangi seorang lelaki untuk bersama berjihad dalam peperangan. Lalu Nabi SAW bertanya: Adakah kamu sudah meminta izin daripada kedua-dua ibu bapamu? Lantas lelaki itu menjawab: Belum. Maka Nabi SAW menyuruhnya untuk pulang meminta izin daripada kedua-duanya dan jika tidak dibenarkan untuk turut sama berperang maka Nabi SAW menyuruhnya untuk kekal berbakti kepada keduanya.

Berlaku baiklah kepada kedua-duanya walaupun sesibuk manapun kita. Jika ada perselisihan, maka berbincanglah dengan baik dan mendahulukan kehendak ibu bapa itu lebih utama berbanding kehendak diri dan keluarga kita.

Janganlah kerana kepentingan isteri dan anak, kita melupakan tanggungjawab penjagaan kedua ibu bapa. Turutilah kata mereka selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam. Jika bercanggah dengan syariat maka tolaklah dengan baik dan janganlah menderhaka kepada kedua-duanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan apabila mereka menyuruh engkau menyekutukan-Ku dengan sesuatu yang tidak engkau ketahui maha janganlah engkau taati mereka berdua dan bergaullah dengan mereka berdua di dunia secara baik.”

Ibnu Kathir menukilkan kisah seorang sahabat, Saad bin Abi Waqqas yang menolak permintaan ibunya untuk meninggalkan agama Islam sehinggakan ibunya mengugut Saad bin Abi Waqqas untuk tidak makan dan minum sehinggalah beliau meninggalkan Islam.

Maka turunlah perintah Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah mewasiatkan kepada manusia untuk berlaku baik kepada kedua-dua ibu bapa. Jika mereka menyuruh kamu mesyirikkan-Ku dengan apa yang engkau tidak ketahui maka janganlah kamu mentaatinya.” (Surah al-‘Ankabut, ayat 8).

Wahai para anak-anak sekelaian. hormatilah ibu dan bapa mu selagi ianya masih ada. berbaktilah kepada mereka yang telah tua sebagai membalas jasa mereka yang telah melahir, membersar, memdidik kira semua sehingga menjadi manusia yang berguna sehingga hari ini. Ingatlah bahawa keredaan ibu bapa akan mendapat keredanaan Allah di akhirat kelak.

Wallahu’lam,


Oleh: Imam Muda Asyraf

No comments:

Post a Comment

Thanks for your comments, I will reply soon.