RAIHANPAHIMI

publish your book for free?AFF=9142

Sunday, 3 May 2015

AMALAN-AMALAN MENGUNDANG REZEKI

Amalan-amalan Mengundang Rezeki.

Rezeki adalah salah satu perkara yang menjadi idaman dan keinginan setiap manusia yang hidup di dunia ini. Rezeki yang membuatkan kita boleh hidup dengan sempurna jika ianya mencukupi dengan keperluan seharian, sebaliknya jika berlebihan membuatkan kita lebih senang dan selesa hidup kerana semuanya mencukupi untuk keperluan kita dan juga mempunyai simpanan untuk kegunaan hari esok dan hari-hari berikutnya.

Tapi kita perlu ingat bahawa pemberri rezeki kepada kita adalah kuasa mutlak Allah SWT. Kita hanya mempu berusaha tetapai yang memberi rezeki adalah Dia Yang Maha Berkuasa. Oleh itu  untuk mengundang rezeki kita mestilah setiap masa mendekati-Nya. Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah (SWT) limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah (SWT) memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Di antaranya:


1. Sentiasa beribadah
Ibadah adalah salah satu cara yang dapat memperlihatkan kita adalah hamba-Nya yang sentiasa taat, ibadat juga akan mendekatkan hubungan kita dengan Allah.
Allah (SWT) tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:
Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu. (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)

2. Memperbanyak istighfar

Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah (SWT) , yang menjadi sebab Allah (SWT) jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.
Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah (SWT) s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.(Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)

3.Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah (SWT) jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.:
… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya. (Riwayat at-Tirmizi)

4.Sentiasa ingat Allah (SWT)
Banyak ingat Allah (SWT) buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah (SWT) beri kepada orang beriman. Firman-Nya:
(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan
mengingati Allah (SWT) . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah (SWT) hati menjadi tenteram. (Ar-Ra’d: 28)

5.Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda:
Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah (SWT) akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki,berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:
“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah (SWT) ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

6. Sentiasan berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:
 Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu. (Riwayat Bukhari)

7.Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah (SWT) lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:
Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah (SWT) akan menunaikan hajatnya… (Riwayat Muslim).

8.Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.

9.Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata:
Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.

10.Berpagi-pagi memulakan aktiviti seharian
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.

11.Menjalin silaturrahim
Nabi s.a.w. bersabda:
Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya
maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya. (Riwayat Bukhari)

12.Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedomanm mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah (SWT) . Baginda s.a.w. bersabda:
Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah (SWT) akan memurahkan rezeki. (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)

13.Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah (SWT) dan menjadi sebab Allah (SWT) buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah (SWT) azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah (SWT) membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah (SWT) menyedikitkan baginya. (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)

14.Melazimi solat malam (tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah (SWT). Solat malam juga membuktikan yang kita adalah hambanya yang sentiasa mendampingi diri kepada-Nya , kerana solat malam merupakan satu perbuatkan yang  sukar jika kita tidak benar-benar ikhlas untuk bermunajat dan mendampingi kepada yang Maha Pencipta, kerana pada waktu malam adalah masa yang digunakan untuk tidur dan rehat oleh semua orang.

Mudah-mudahan jika kita mengamalkan perkara-perkara yang di senaraikan di atas dengan penuh keikhlasan dan ketaqwaan kepada Allah. Insya Allah rezeki kita akan diperluas dan permudahkan oleh-Nya.

Wallahu’alam.


Sumber: hafizamri.com

No comments:

Post a Comment

Thanks for your comments, I will reply soon.