APAKAH HUKUM AKAD NIKAH
DI MASJID ?
Pada musim cuti umum sepanjang perayaan Aidil Adha dan cuti
persekolahan hujung tahun, merupaka masa yang paling banyak majlis kenduri
kahwin. Boleh dikatakan setiap hari ada dua hingga tiga jemputan untuk majlis
kenduri kahwin.
Mesa saya bersembang dengan seorang rakan, dia ada
menegemukan persoalan “ Ada pendapat mengatakan majlis akad nika yang diadakan
di masjid adalah satu perbuatan yang meniru perbuatan orang Kristian dan yahudi
“
Untuk mendapat kepastian saya cuba mendapatkan beberapa
pendapat tentang isu ini. Dibawah ini saya kemukakan contoh jawapan yang
diberikan oleh seorang usataz :
Assalamualaikum
Moga ustaz sentiasa di bawah rahmat Allah. Ana nak tanya
ustaz, kat Malaysia ni ada pendapat yang mengatakan tak boleh akad nikah di
masjid, kerana menyerupai Yahudi dan Kristian, ada hadith katanya. Apa
pandangan Islam tentangnya?
Baha Al-Fatih
Jawapan
Waalaikumussalam, Allahumma ameen. Terima kasih kepada
saudara Baha di atas soalan yang dikemukakan, yang menggambarkan keperihatinan
saudara terhadap hukum sesuatu. Untuk memberi respon tentang soalan ini, saya
perlu menyemak berita tersebut dan saya menjumpainya dalam laporan akhbar KOSMO
online hari ini (21 Mac 2011).
Sebagai mukaddimah, Allah SWT menyebut tentang masjid dalam
al-Quran antaranya menerusi surah an-Nur ayat 36-37 yang bermaksud:
Di rumah-rumah Ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan
dan disebut namaNya di dalamnya, bertasbih kepadaNya pada waktu pagi dan
petang. (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak
dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati
Allah, dan mendirikan sembahyang serta mengeluarkan zakat; mereka takutkan hari
(kiamat) yang hati dan pandangan menjadi goncang.
Membina masjid tujuannya adalah untuk mengagungkan Allah di
dalamnya dengan mengerjakan ketaatan seperti solat, bertasbih, bertahmid dan bertakbir
sama ada siang atau malam. Jadi, kedudukan masjid sangat mulia dalam Islam,
kita perlu menjaga dan menghormatinya. Dilarang sama sekali membuat kotoran,
membuat bising dan segala yang mencemarkan kemuliaan masjid.
Terdapat hadith yang menyebut secara jelas tentang isu yang
sedang dibincangkan, ia juga menjadi perdebatan para ulama’ iaitu, daripada
‘Aisyah diriwayatkan bahawa nabi bersabda yang bermaksud:
Hebahkan pernikahan ini dan jadikannya di masjid, dan
pukullah gendang. (Riwayat Tirmizi, Ghorib Hasan)
Imam Tirmizi menyatakan bahawa ini adalah Ghorib Hasan dalam
bab ini, kerana Isa bin Maimun al-Ansari adalah seorang yang lemah dalam
hadith.
Dalam hal ini, kita perlu bezakan di antara dua perkara:
Pertama: Hukum akad nikah di dalam masjid
Sebahagian ulama’ menyatakan hukumnya digalakkan (mustahab)
dan sebahagian yang lain menyatakan hukumnya adalah harus dan dibenarkan.
Jumhur Fuqaha’ menyatakan bahawa hukum akad nikah di masjid adalah digalakkan.
Antaranya ialah:
Imam al-Jaziri menyimpulkan bahawa ulama’ al-Hanafiah,
al-Malikiah dan al-Hanabilah menyatakan hukum akad nikah di dalam masjid adalah
digalakkan, antara kata-katanya bermaksud:
Al-Hanafiah berkata bahawa makruh melakukan akad pertukaran
(muamalat) seperti jual beli dan sewa-menyewa di dalam masjid. Adapun hibah dan
seumpamanya tidak makruh, bahkan digalakkan akad nikah di dalamnya (masjid).
(lihat al-Jaziri, al-Feqh ala al-Mazahib al-Arba’ah, hlmn 385)
Ibn Taimiyah pula berkata:
Dan oleh kerana nikah itu tergolong daripada perkara ibadah,
maka digalakkan akad (nikah) di dalam masjid. (Majmu’ al-Fatawa, Darul
Ma’rifah, Beirut, jilid 3, hlmn 122).
Manakala Ibn al-Qaiyyim sewaktu mengulas tentang permainan
dan gurauan yang dibenarkan, menyatakan:
Sesungguhnya akad nikah adalah seumpama ibadat-ibadat lain,
bahkan ia lebih utama dari aspek sunat, dengan itu ia digalakkan dibuat di
dalam masjid, sedangkan jual beli pula dilarang di dalamnya. (I’lam
al-Muwaqqi’iin, Kaherah, jilid 3, hlmn 153)
Bahkan beliau menyatakan sepatutnya dilakukan di masjid jika
ingin dilakukan pada hari Jumaat, katanya yang bermaksud:
Sepatutnya (akad nikah) dilakukan di dalam masjid juga
kerana menghimpunkan dua kemuliaan iaitu kemuliaan masa dan kemuliaan tempat.
Manakala ulama’ yang menyatakan hukum harus, mereka berhujjah
bahawa perkahwinan itu adalah ketaatan dan ibadah, maka ia digalakkan untuk
dilakukan di dalam masjid yang merupakan tempat beribadah kepada Allah, kerana
tempat yang paling mulia di atas muka bumi ini adalah masjid.
Kedua: Hukum majlis kahwin di masjid
Harus jika menjaga adab dan tidak berlaku ikhtilat antara
lelaki dan wanita serta tidak mengotorkan masjid dengan makanan dan minuman.
Imam Nawawi berkata yang bermaksud:
Imam Shafie dan al-Ashab berkata: Diharuskan bagi orang yang
beriktikaf dan selainnya makan, minum dan menghidangkan makanan di dalam
masjid, begitu juga mencuci tangannya asalkan tidak menyakiti orang lain, jika
cucian di dalam bekas maka ia lebih afdhal. (al-Majmu’, jilid 6, hlmn 535-536)
Namun, jika dapat dielakkan maka lebih baik. Kerana majlis
perkahwinan tidak sunyi daripada bunyi bising, paluan gendang dan muzik,
kanak-kanak dan sebagainya yang menyebabkan objektif sebenar pembinaan masjid
akan ternafi. Bahkan jika menyebabkan melanggar perintah Allah seperti
berlakunya ikhtilat maka hukumnya adalah diharamkan. Masjid punyai fungsi yang
tersendiri. Sulaiman bin Buraidah daripada ayahnya meriwayatkan bahawa nabi SAW
bersabda yang bermaksud:
Sesungguhnya dibina masjid-masjid itu berdasarkan (tujuan) ia
dibina. (Riwayat Muslim).
Berkaitan hadith ini, imam Nawawi berkata maksudnya:
Terdapat banyak faedah menerusi hadith ini, di antaranya
ialah larangan daripada menyanyikan lagu yang menyesatkan di dalam masjid, dan
apa sahaja yang sama makna dengannya termasuk jual beli, sewa menyewa dan
sebagainya. Begitu juga makruh meninggikan suara di dalam masjid.
(al-Mubarakfuri, Tuhfat al-Ahwadzi, jilid 4, hlmn 458)
Hadith wanita
dinikahkan oleh nabi di dalam masjid
Manakala hadith seorang wanita yang dikahwinkan oleh nabi
SAW di dalam masjid tidak sepatutnya ditolak hanya kerana dia datang
menyerahkan dirinya kepada nabi. Hadith ini dianggap muhkam dan boleh beramal
dengannya. Diriwayatkan bahawa Sahl bin Sa’ad al-Sa’idi menyatakan bahawa telah
datang seorang wanita kepada nabi SAW lalu berkata yang bermaksud:
Ya Rasulullah SAW aku serahkan (tawarkan) diriku kepadamu
(untuk dikahwini). Nabi memerhatikannya kemudian menganggukkan kepalanya.
Apabila wanita itu melihat nabi SAW tidak melakukan apa-apa, dia pun duduk.
Bangun seorang lelaki daripada kalangan para sahabat dan berkata: Ya Rasulullah
SAW, jika engkau tidak berhajat kepadanya, maka kahwinkanlah aku dengannya.
Nabi bersabda: Adakah engkau punyai sesuatu?. Lelaki itu menjawab: Demi Allah,
tiada ya Rasulullah. Nabi bersabda: Baliklah kepada keluargamu dan carilah
sesuatu jika kamu menjumpainya. Lelaki itu pun beredar dan datang semula sambil
berkata: Tiada, demi Allah aku tidak jumpa apa-apa. Nabi bersabda: Carilah
walaupun sebentuk cincin daripada besi… (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadith ini menjadi dalil bahawa nabi SAW melakukan akad
nikah di dalam masjid. Ibn Hajar al-'Asqolani ketika menghuraikan hadith ini
berkata:
Di dalam riwayat Sufiyan al-Thauri pada al-Isma’ili “Datang
seorang wanita kepada nabi SAW, ketika nabi di dalam masjid”, maka ia
menunjukkan secara tepat tempat berlakunya kisah tersebut. (Fath al-Bari, jilid
14, hlmn 415)
Oleh itu, berdasarkan perbincangan di atas, kenyataan
menyatakan bahawa ‘Rasulullah SAW pernah mengingatkan umat Islam supaya tidak
melakukan akad nikah dalam masjid kerana ia meniru penganut Kristian yang
menikah dalam gereja dan Yahudi di rumah ibadat mereka’ perlulah bersumberkan
dalil yang sohih, apatah lagi membuat kesimpulan bahawa ia menyimpang daripada
amalan Rasulullah SAW.
Kesimpulannya
1. Hukum akad nikah di dalam masjid adalah harus dan
dibenarkan.
2. Manakala pendapat yang mengatakan hukumnya digalakkan
(mustahab), tidak boleh ditolak, lebih-lebih lagi ia merupakan pendapat para
ulama’ yang muktabar.
3. Masjid punyai fungsi yang besar dalam Islam dan kita
perlu menjaga adab-adabnya.
Darpada artikel yang dituliskan oleh ustaz di atas jelaslah
bawa Nabi SAW pernah mengadakan akad nikah di masjid. Perkara ini adalah di haruskan.
Tetapi dalam pemerhatian saya kebanyakan kita yang inginkan mengada majlis akan
nika di masjid banyak melakukan perka-perkara yang tidak sepatutnya di lakukan
di rumah Allah yang suci itu, contohnya, tidak ramai yang datang mengerjakan
solat tahayatul masjid, berpakaian tidak menutup aurat, banyak yang berbual
hal-hal dunia semasa menunggu masa majlis akad nikah.
Begitu juga aktiviti bergambar oleh ahli keluarga di majlis
akad nikah di masjid untu di post ke fb atau twitter menjadikan suasana yang
tidak elok dilakukan di dalam masjid.
Kesimpulan saya walaupun harus mengadakan majlis akad
nikah di masjid tetapi banyak perbuatan
di kelangan mereka yang jahil tentang adab-adab berada di masjid telah
menjadikan perkara harus ini kepada suasana yang banyak tidak elok dan
melangari adab-adab yang ditetapkan semasa berada di dalam masjid. Oleh itu
adalah lebih baik para pengajur yang ingin adakan akad nika di masjid berfiki
secara lebi mendalam tentang baik buruknya. Jika kita fikirkan banyak perkara
yang tidak baik akan berlaku lebih baik tidak diadakan majlis berkanaan di
masjid.
Wallahu’alam/
Sumber; hjanhar.blogspot.com.
No comments:
Post a Comment
Thanks for your comments, I will reply soon.