PUNCA BERLAKUNYA RASUAH DAN KESAN BURUK PERBUATAN TERSEBUT
Rasuah
didefinisikan sebagai pemberian hadiah atau wang untuk mempengaruhi seseorang
supaya memenuhi keinginannya. Menurut sejarah Jepun, rasuah mula diperkatakan
pada era Edo (1603-1868) yang diistilahkan sebagai “sidepno-shito” yang
bermaksud ‘wang dari bawah meja’. Apabila disebut sahaja rasuah, terbayanglah
kepada kita ada dua pihak iaitu yang memberi dan yang menerima. Menyedari
betapa seriusnya keadaan ini, Perdana Menteri Malaysia kelima, Tun Abdullah bin
Haji Ahmad Badawi, berikrar untuk membanteras perbuatan rasuah hingga ke akar
umbi. Hal ini kerana rasuah adalah umpama barah yang akan meruntuhkan negara jika
tidak dibendung dengan segera.
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan
seseorang individu mudah terlibat dengan rasuah.
Antara faktor
berlakunya gejala rasuah ialah kepimpinan seseorang individu yang lemah.
Individu yang mempunyai kepimpinan yang lemah, tidak yakin pada diri sendiri
dan mudah dipengaruhi oleh orang lain untuk melakukan rasuah. Mereka mudah
disogok dengan pelbagai kemewahan seperti harta benda, wang ringgit, kedudukan
dan pangkat. Malah sejarah juga telah membuktikan bahawa bekas Presiden Amerika
Syarikat, Richard Nixon tumbang ekoran perbuatan rasuahnya dalam skandal ‘Water
Gate’. Ada kalanya penerima rasuah dianggap sebagai kerbau dicucuk
hidungnya dan mudah patuh dengan kehendak pemberi rasuah. Akibatnya, amalan
rasuah menyebabkan masyarakat hilang kepercayaan terhadap individu dan
kepimpinan organisasi berkenaan.
Pada masa yang
sama, kurangnya didikan agama dan didikan moral mendorong
berlakunya perbuatan rasuah dalam masyarakat kita. Individu yang tidak
mempunyai iman yang kukuh dan mantap akan mudah terpesong. Golongan seperti ini
akan menggunakan kedudukan dan peluang yang ada pada dirinya untuk menerima
habuan tanpa berasa bersalah. Dengan tidak memikirkan akibatnya, rasuah menjadi
rutin dalam tugas mereka. Malah individu yang terlibat dengan rasuah tidak
berasa malu atau takut kepada Allah serta balasannya sama ada di dunia ataupun
pada hari akhirat.
Rasuah juga berlaku kerana wujudnya birokrasi dalam sistem pemerintahan yang secara tidak langsung memberi peluang kepada pegawai-pegawai kerajaan daripada berbagai-bagai peringkat mengambil kesempatan. Hal ini berlaku kerana proses pengurusan pentadbiran terpaksa melalui banyak saluran. Apabila keadaan ini berlaku, sudah tentulah pemprosesan sesuatu permohonan memerlukan masa yang lama atau panjang. Bagi individu yang terdesak atau mahu segera menyelesaikan masalah, mereka akan mudah memberikan imbuhan dengan harapan pemprosesan permohonan didahulukan oleh penerima rasuah. Oleh hal yang demikian, sudah tentu situasi ini akan menimbulkan perasaan tidak puas hati terhadap golongan yang tidak terlibat dengan rasuah.
Di samping itu,
amalan rasuah turut meninggalkan pelbagai kesan. Malah, amalan rasuah jika
tidak dicegah akan terus merebak dan membawa banyak kesan negatif kepada
individu, masyarakat ataupun negara. Individu yang terlibat dengan
rasuah akan dipandang hina oleh masyarakat. Keluarga mereka juga akan
dicemuh dan dipulaukan oleh jiran-jiran. Apabila seseorang menjadikan rasuah
sebagai amalan biasa, sudah tentulah amalan ini akan merebak dan mempengaruhi
orang lain. Oleh itu, rasuah perlu dibanteras segera supaya tidak memberi kesan
buruk terhadap sistem pentadbiran dan sosial negara. Masyarakat perlu mengambil
sikap berwaspada agar perbuatan rasuah tidak menjadi ‘barah’ dalam masyarakat.
Sebenarnya, jika
perbuatan rasuah tidak dibendung, kehidupan masyarakat dan birokrasi
sistem pemerintahan akan terganggu dan sekali gus menyebabkan imej
negara pada mata dunia tercalar. Seluruh masyarakat, bangsa dan negara akan
menjadi kucar-kacir dan hancur seperti yang pernah berlaku dalam sejarah tamadun
besar dunia seperti di Mesir dan Mesopotamia. Natijahnya, negara tersebut bukan
sahaja akan dipandang serong oleh negara lain. Malahan, hubungan dagangan yang
sedia ada juga akan terputus dan ekonomi negara akan terjejas teruk lalu agenda
pembangunan negara akan terbantut. Oleh itu, perbuatan rasuah yang bagaikan
duri dalam daging hendaklah dibanteras sejak awal lagi.
Kesimpulannya, rasuah merupakan musuh negara yang berbahaya dan perlu dibanteras melalui kerjasama anggota masyarakat dan pihak berkuasa.Adakah kita rela melihat tabiat buruk ini terus menular? Tegasnya, adalah penting bagi semua pihak untuk melaporkan gejala rasuah kepada Biro Pencegah Rasuah (BPR). Islam mengharamkan umatnya memberi dan menerima rasuah. Jika kita sayang akan negara kita, cegahlah rasuah sebelum parah. Sesungguhnya, amalan rasuah hanya menjual prinsip, maruah dan harga diri!
No comments:
Post a Comment
Thanks for your comments, I will reply soon.