KENAPA ARAK DIHARAMKAN DALAM ISLAM?
Menjadi tabiat manusia untuk hidup bebas sebebasnya. Ingin buat
apa sahaja berdasarkan kemahuan dan nafsu sendiri. Sungguhpun begitu, hakikat
kehidupan di dunia ini, seseorang itu tidak diberi kebebasan sepenuhnya untuk
melakukan sesuatu perkara kerana realiti kehidupan kita perlu kepada orang lain
untuk sama-sama saling bantu-membantu bagi memenuhi keperluan kehidupan. Dengan
kata lain manusia tidak boleh hidup sendirian, contohnya lelaki perlu kepada
pasangan perempuan untuk membolehkan mereka hidup dengan sempurna. Justru itu
tindak tanduk kita dalam kehidujpan juga tidak boleh dilakukan sesuka hati ,
tetapi perlu dilakukan berdasarkan kepada kepentingan menjaga hak orang lain
juga.
Bagi membolehkan kehidupan manusia dalam suasana aman damai
maka Islam telah menetapkan hokum hakam sebagai panduan hidup. Diantaranya hokum
halal haram terhadap makanan seharian manusia. Dinatara minuman yang diharamkan
ialah arak.
Arak adalah minuman yang mengandungi alkohol dan memabukkan.
Dalam bahasa Arab ia disebut al-khamr, bermaksud menutup.
Menutup itu mengambil sifat khamr itu yang menghilangkan
kewarasan akal peminum arak (mabuk), menjadikan si peminum terlena dan tidak
sedarkan diri.
Islam mengharamkan arak yang terdiri daripada air,
karbohidrat (glukos), mineral, vitamin dan etanol. Dalam hadis yang
diriwayatkan Muslim, daripada Ibnu Umar, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
"Semua yang memabukkan adalah arak dan semua yang
memabukkan adalah haram"
Pengharaman itu dibuat sebanyak empat kali iaitu secara
berperingkat (tadriji) sebelum ia diisytiharkan haram dan berdosa besar jika
meminum arak. Ini membuktikan arak amat berbahaya daripada aspek kesihatan.
Bukan Islam saja mengharamkan arak, tetapi agama lain turut
melarang penganutnya menjauhi arak kerana ia memudaratkan kesihatan dan
perlakuan mereka. Arak dihasilkan daripada buah-buahan seperti anggur, tamar
dan bijirin seperti gandum melalui kaedah peram atau penapaian. Nama
komersialnya seperti wiski dan brandi. Namun, dalam bidang perubatan, alkohol
mempunyai kepentingannya terutama dalam pembuatan minyak wangi. Bagaimanapun,
berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan mengenai alkohol dalam
minyak wangi, hukumnya harus dan dimaafkan. Namun, bagi minuman tanpa mengira
apa jenis, hukumnya tetap haram. Pengarah Institut Kajian Hadis Selangor, Kolej
Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), Mohd Farid Ravi Abdullah,
berkata Ibnu Abbas r.a meriwayatkan Islam mengharamkan arak kerana ia boleh
menjadikan manusia rosak akal dan hilang maruah diri.
Allah berfirman yang bermaksud:
"Dan daripada buah tamar dan anggur, kamu jadikannya
minuman haram dan rezeki yang baik, sesungguhnya pada yang demikian itu ada
tanda bagi orang yang mahu menggunakan akalnya." (Surah al-Nahl ayat 67).
"Ayat pertama itu memberi peringatan supaya umat Islam
ketika itu berfikir kerana arak daripada tamar dan anggur yang manis itu jika
dimasukkan bahan lain seperti ragi lalu diperam boleh mengubah sifatnya serta
menyebabkan peminumnya mabuk atau khayal," katanya.
Beliau berkata, ayat itu juga menceritakan tabiat orang Arab
ketika itu gemar memproses tamar dan anggur bagi menghasilkan arak yang
akhirnya merosakkan akal fikiran.
"Islam menggunakan pendekatan berhemah dengan mendidik
umat-Nya meninggalkan sesuatu yang diharam itu secara perlahan-lahan,"
katanya.
Bagi mengelak anak muda terjebak minum arak, ibu bapa perlu
memberikan pendidikan agama.
"Jika bapa sendiri membawa anak ke pusat hiburan dan
mengambil arak, jangan salahkan si anak jika suatu hari nanti mereka juga
mengambil minuman haram itu.
"Apabila arak menjadi minuman harian, ia akan
merosakkan generasi itu dalam tempoh jangka panjang," katanya.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
"Siapa yang minum khamr seteguk, Allah tidak menerima
amal fardu dan sunatnya selama tiga hari. Siapa yang minum khamr segelas, Allah
SWT tidak menerima solatnya selama 40 hari. Orang yang tetap minum khamr
selayaknya Allah memberinya minum dari Nahrul Khabaal.
Ketika ditanya:
Ya Rasulullah apakah Nahrul Khabal itu?
Jawabnya:
Darah bercampur nanah ahli neraka".(Hadis riwayat
Atthabrani).
Dalam ayat kedua, Allah s.w.t berfirman, maksudnya:
"Mereka bertanya kepadamu mengenai arak dan judi.
Katakanlah pada kedua-duanya ada dosa yang amat besar dan beberapa manfaat bagi
manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada
manfaatnya..."(Surah al-Baqarah ayat 219).
Seterusnya ayat yang berkaitan dengan pengharaman arak
dijelaskan dalam firman Allah s.w.t, maksudnya:
Wahai orang yang beriman, janganlah kamu menghampiri solat
sedang kamu dalam keadaan mabuk sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan
(baca)..." (surah al-Nisa' ayat 43).
Sebab turun ayat ini adalah bersandarkan riwayat kepada
Saidina Ali bin Abi Thalib yang bermaksud:
"Kami diundang Abdul Rahman bin 'Auf untuk makan di
rumahnya, dihidangkan bagi kami makanan dan dihidangkan arak, kami minum
sehingga mabuk. Kemudian masuklah waktu solat (Isyak), lalu aku diminta menjadi
imam. Maka aku bacalah:" Qul ya ayyuha al-kafiruna la a'budu ma ta'buduna,
wa nanhnu na'budu ma ta'buduna." (Abu Daud, al- Termidzi, al- Nasaie dan
Hakim).
Farid berkata, ketika itu sahabat sedang bersolat yang diimamkan
Ali, tetapi disebabkan Ali mabuk dia membaca ayat sedemikian rupa. Manakala
ayat yang terakhir yang secara jelas mengharamkan arak adalah dari Surah
al-Maidah ayat 90 yang mana Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
"Wahai orang yang beriman sesungguhnya arak, judi,
berhala dan bertenung nasib adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan.
Maka jauhilah perbuatan itu agar kamu mendapat kejayaan."
Ayat yang diturunkan di peringkat keempat ini adalah
muktamad bahawa hukum minum arak itu haram dan termasuk dalam dosa besar.
Farid kesal kerana kaedah penjualan arak kepada orang ramai
masa ini terlalu mudah sehinggakan golongan remaja boleh mendapatkan di kedai
serbaneka di tempat tinggal mereka.
"Mula-mula mereka kenal arak kemudian dengan sendirinya
mereka melakukan perkara keji seperti seks bebas, pergaduhan dan pembunuhan.
"Perbuatan minum arak adalah amalan syaitan dan makhluk
durjana itu tidak pernah menginginkan amal kebaikan manusia.
"Syaitan sentiasa menyuruh manusia melakukan kejahatan
kerana itulah janjinya kepada Allah," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan Awam, Jabatan
Kesihatan Wilayah Persekutuan, Dr Sallehudin Abu Bakar, berkata sejarah
kejatuhan kerajaan Mesir dan China kuno ada kaitan dengan penggunaan arak
berlebihan.
"Terdapat tiga jenis arak seperti bir, wain dan
spirits. Setiap satunya mempunyai peratusan kandungan alkohol yang berbeza.
"Minum arak dalam jumlah yang banyak atau sedikit tetap
memberi kesan kepada kesihatan.
"Antaranya merosakkan otak, hati, usus kecil dan
dinding perut. Akibatnya, tekanan darah menjadi tidak menentu sehingga otot
tidak berfungsi sepenuhnya.
"Itu menyebabkan mereka yang mabuk berjalan terhoyong-
hayang, mudah marah dan hilang sifat malu," katanya.
Katanya, amalan minum arak melebihi 50 gram sehari boleh
menyebabkan kanser mulut, tekak, kerongkong, payudara, hati, paru-paru, perut,
hempedu, ovari, prostat dan kulit.
Rumusannya Allah swt melarang atau mengharamkan minuman arak
kerana terdapat banyak keburukan berbanding dengan manaafat arak kepada
manusia. Sebgai hamba yang beriman dan bertaqwa, maka kita perlu akur dan
mentaati perintah Allah terhadap larangan meminum arak. Banyak lagi jenis-jenis
minuman yang dihalalkan untuk kita minum di atas muka bumi ini. Minuman yang halal itu banyak
khasiat dan manafaatnya untuk keshatan dan kehidupan manusia.
Wallahu’alam.
Sumber:
informasi utk semua
No comments:
Post a Comment
Thanks for your comments, I will reply soon.