Menghidupkan Sepuluh Malam Terakhir
Ramadhan
Masa berlalu begitu pantas. Sedar ataupun tidak, hari ini
genaplah 19 hari kita menjalani ibadah puasa. Dalam tempoh tersebut, sudahkah
kita berjuang habis-habisan untuk mencapai tahap takwa dalam erti kata yang
sebenar atau sebaliknya? Jika tempoh tersebut belum mampu memperlengkapkan diri
kita dengan takwa, masih belum terlambat untuk kita berusaha ke arah itu.
Justeru, saki baki hari-hari terakhir Ramadhan perlu kita rebut dan gunakan
dengan sebaik-baiknya agar kita tidak ketinggalan mendapat manfaat yang
berganda dalam meniti
pemergiannya.
Jika sepuluh hari terakhir Ramadhan merupakan saat di mana
Rasulullah SAW memperbanyakkan amalan dengan berjaga malam,
beriktikaf, dan mengejutkan ahli keluarga untuk bersama dengannya melaksanakan
ibadah-ibadah sunat, bagaimanakah pula dengan kita? Sewajarnya contoh yang
ditunjukkan oleh Baginda dalam menghayati sepuluh hari terakhir Ramadhan
dijadikan teladan kepada seluruh umat Islam pada hari ini.
Sesungguhnya pedoman yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW
jelas mencerminkan kepada kita betapa tinggi dan bernilainya detik-detik
terakhir Ramadhan yang sedang kita lalui saat ini. Alangkah malangnya jika kita
semakin alpa dan lalai dalam melaksanakan ibadah kita pada saat-saat Ramadhan
yang kian melabuhkan tirainya.
Sedangkan kita seharusnya menghidupkannya dengan
meningkatkan lagi amalan-amalan sunat bagi meraih pahala berlipat ganda yang
telah dijanjikan oleh Allah SWT. Lebih manis lagi apabila Allah SWT turut
menjanjikan kehadiran malam Lailatulqadar (yakni malam yang lebih baik daripada
seribu bulan) pada sepuluh malam terakhir Ramadhan.
Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Qadr (ayat
1-5) yang bermaksud: "Sesungguhnya kami telah menurunkannya
(al-Quran) pada malam Lailatulqadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui
apa dia kebesaran malam Lailatulqadar? Malam Lailatulqadar lebih baik daripada
seribu bulan.Pada malam itu, turun Malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan
mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang
berikut); sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!"
Dalam ayat di atas, Allah SWT menerangkan bahawa Dia telah
menurunkan al-Quran al-Karim pada malam al-Qadar. Ini adalah bukti
yang jelas tentang keutamaan, kemuliaan, keberkatan dan keistimewaan malam Lailatulqadar. Malah,
jika dihitung; seribu bulan adalah bersamaan dengan 83 tahun dan empat bulan,
ini bermakna bahawa satu malam ini sahaja adalah lebih baik daripada seluruh
umur seseorang. Ia secara jelas menunjukkam bahawa keistimewaan malam tersebut
tiada tolok bandingannya.
Malam Lailatulqadar merupakan malam yang sengaja dirahsiakan
oleh Allah SWT sebagai satu ujian kepada umat Islam dalam mencari rahmat dan
kasih sayang-Nya. Oleh yang demikian, bagi mereka yang benar-benar beriman
kepada Allah SWT, maka mereka akan lebih ghairah dan teruja mencari keredhaan
dengan memperbanyakkan amalan dalam meraih ganjaran pahala yang berlipat kali
ganda daripada Allah SWT di penghujung Ramadhan.
Justeru, umat Islam dianjurkan agar mencari dan merebut
Lailatulqadar. Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:"Carilah
malam Lailatulqadar pada 10 malam terakhir" (hadis riwayat
al-Bukhari). Dalam salah satu riwayat yang lain, dinyatakan juga bahawa
Rasulullah SAW melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan
tertib.
Baginda tidak akan melalui ayat rahmat kecuali berharap agar Allah
memberikan rahmat itu dan tidak melalui ayat azab kecuali memohon perlindungan
daripada Allah daripada azab itu.
Solat berjemaah juga sangat diutamakan pada malam-malam
terakhir Ramadan. Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa
yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah pada waktu malam,maka dia
juga telah menghidupkan seluruh malam itu" (hadis riwayat Abu
Dawud). Di sini bermaksud, sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh
sahaja dianggap telah mendapat sebahagian daripada apa yang dimaksudkan dengan
Lailatulqadar.
Apatah lagi jika mengisinya dengan amalan-amalan lain
sepanjang malam itu. Antara amalan yang boleh dilakukan bagi menghidupkan
sepuluh hari terakhir Ramadhan ialah menghidupkan malam-malam tersebut dengan
memperbanyakkan solat sunat seperti tahajjud, hajat, taubat dan juga berzikir
kepada Allah SWT.
Selain itu, amalan beriktikaf juga wajar diteruskan di
penghujung Ramadhan yakni dengan memperbanyakkan duduk di masjid untuk
beribadah kepada Allah SWT. Iktikaf merupakan sunnah yang dianjurkan oleh
Baginda SAW demi memperolehi kelebihan dan ganjaran Lailatulqadar.
Malah, menjelang 10 akhir Ramadan secara rutinnya Rasulullah
SAW mengisi waktu-waktunya dengan beriktikaf di masjid. Pelakuan baginda ini
adalah berdasarkan hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim yang diriwayatkan
daripada Aisyah r.a, bahawa Rasulullah SAW beritikaf pada 10 akhir Ramadan
sehingga baginda diwafatkan oleh Allah SWT, kemudian (diteruskan sunnah)
iktikaf selepas kewafatannya oleh para isterinya.
Dalam sebuah hadis yang lain Abu Hurairah berkata: "Rasulullah
SAW selalu beriktikaf pada tiap-tiap sepuluh hari terakhir Ramadan, manakala
pada tahun Baginda diwafatkan, Baginda beriktikaf selama 20 hari"(hadis
riwayat Ahmad, Abu Dawud, al-Tirmidzi dan dinilai sahih oleh al-Tirmidzi).
Di samping itu, kita juga turut dianjurkan untuk
memperbanyakkan doa, khasnya dengan memohon keampunan kepada Allah SWT. Dalam
konteks ini, para Ulama telah bersepakat bahawa doa yang paling utama pada
malam Lailatulqadar adalah doa memohon keampunan ataumaghfirah daripada
Allah SWT.
Dalam satu hadis sahih yang diriwayatkan daripada Aisyah dan
dikeluarkan oleh al-Tirmidzi, Aisyah diajar oleh Rasulullah SAW membaca doa
pada malam Lailatulqadar yang bermaksud: "Ya Allah, sesungguhnya
Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengampun, yang suka mengampun, maka ampunilah
aku" (hadis riwayat al-Tirmidzi, 5:535).
Rasulullah SAW turut berdoa yang bermaksud: "Ya Allah,
jadikan sebaik-baik umurku adalah penghujungnya. Dan jadikan sebaik-baik amalku
adalah penutupnya. Dan jadikan sebaik-baik hari-hariku adalah hari di mana aku
bertemu dengan-Mu kelak" (Musannaf Ibn Abi Syaibah 6: 65).
Begitulah teladan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW
kepada seluruh umat Islam dalam menjalani ibadah puasa. Namun persoalannya,
sejauh manakah kita mencontohi keperibadian Baginda dalam melaksanakan ibadah
puasa dan menghidupkan malam-malam terakhir Ramadhan?
Mudah-mudahan, dalam menghitung hari-hari terakhir Ramadhan
kita dapat bermuhasabah diri dan merenung kembali pengisian yang telah kita
laksanakan sepanjang tempoh 19 hari yang telah berlalu.
Jika, masih terdapat
banyak lagi kelemahan dalam kita melunaskan puasa kita sebelum ini, maka masih
belum terlewat untuk kita memperbaiki kelemahan tersebut agar kita mampu
mencapai takwa dalam erti kata sebenar.
Ditulis oleh Rosmidzatul Azila binti Mat Yamin IKIM
No comments:
Post a Comment
Thanks for your comments, I will reply soon.