Mencari Rezeki Halal Untuk Sara
Keluarga Dianggap Jihad ?
ISLAM tidak mengetepikan persoalan mengumpul harta kerana ia
adalah sumber kehidupan. Sunggupun begitu Islam mengigatkan umatnya supaya
tidak menjadi hamba harta benda, kerana jika kita terlalu tumpukan mencari
harta tanpa mengira halal haram, dan dengan jalan penipuan dia dianggap satu
perbuatan keji yang di larang dan mereka yang sifat sebigini akan di tempatkan
di nerakan jahanam.
Kepetingan harta dalam kehidupan seharian manusia adalah
perkaran yang amat penting, Justeru, ada manusia tidak berhenti memikirkan apa
yang bakal mereka peroleh hari ini, esok dan waktu mendatang.
Kehendak ini pasti tidak dapat dielakkan kerana ia termasuk
daripada sifat semula jadi manusia yang cinta dan sayangkan harta. Jika tidak,
masakan Allah berfirman yang bermaksud: “Harta benda dan anak pinak itu ialah
perhiasan hidup di dunia.” (Surah al-Kahfi, ayat 46)
Melihat kepentingan pemilikan harta, Allah berfirman yang
bermaksud: “Kemudian selepas selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di
muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah apa yang kamu
hajati daripada limpah kurnia Allah.” (Surah al-Jumuah, ayat 10).
Harta dalam konteks Islam bukan sekadar dalam bentuk wang,
malah anak, isteri, binatang ternakan, hasil tanaman termasuk kategori harta.
Dalam usaha mengumpul harta, Allah menyeru supaya memperolehnya daripada sumber
halal, tidak mengabaikan tuntutan-Nya serta menjaga batas akhlak.
Hal ini boleh dirangkumkan melalui firman Allah yang
bermaksud: “Wahai orang beriman, jangan kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda
kamu dan anak pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan
perintah-Nya) dan ingatlah sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah
orang yang rugi.” (Surah al-Munafiqun, ayat 9).
“(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang yang kuat imannya yang tidak
dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati
Allah dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, mereka takutkan hari
(kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.” (Surah al-Nur
: 37).
“Dan apabila mereka mengetahui kedatangan barang dagangan (yang baru
tiba) atau (mendengar) sesuatu hiburan, mereka bersurai (lalu pergi) kepadanya
dengan meninggalkan engkau berdiri (di atas mimbar berkhutbah), katakanlah
(wahai Muhammad), pahala (balasan) yang ada di sisi Allah lebih baik daripada
hiburan dan barang dagangan itu, dan Allah sebaik-baik pemberi rezeki”
(Surah al-Jumuah : 11).
Islam melarang perbuatan mengumpul harta untuk kepentingan
peribadi dengan mengabaikan keperluan kepada insan yang memerlukan. Dalam
merealisasikan hal ini, wujud hukum zakat, sedekah, wakaf, hadiah dan hibah
untuk tujuan sumbangan kepada golongan yang memerlukan. Islam meletakkan dalam
setiap rezeki yang diberi Allah kepada kita ada juga hak orang miskin dan untuk
fi sabilillah. Peruntukan ini diberi kepada mereka melalui kewajiban membayar
zakat bila jumlah harta mencukupi nisab dan dalam tempoh tertentu (haul). Dari jumlah
harta yang kita miliki itu ada hak 8 asnaf yang ditetapkan sebanyak 2.5%.
Dalam aspek pengajaran Islam, setiap larangan itu ada
hikmahnya dan setiap tegahan pasti ada suruhan bagi memperoleh manfaat yang
baik.
Justeru, Islam menyanjung tinggi usaha seseorang hamba
mencari rezeki hasil titik peluhnya sendiri. Sunnah nabi membenarkan hal ini
seperti dilakukan Nabi Daud dan junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang mencari
rezeki hasil usaha tangannya sendiri.
Amalan mulia ini dinilai oleh Allah SWT sebagai jihad fi
sabilillah. Riwayat daripada Kaab Umrah, beliau berkata, Nabi Muhammad SAW lalu
di hadapan seorang lelaki dan sahabat melihat lelaki itu bekerja dengan keadaan
gagah dan cergas. Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah lelaki itu
dinilai sebagai jihad di jalan Allah?”
Sabda Rasulullah SAW: “Jika
dia keluar mencari rezeki untuk anak yang kecil, maka dia berada di jalan
Allah. Jika dia keluar mencari rezeki untuk kedua ibu bapanya yang tua, maka
dia berada di jalan Allah. Jika dia keluar mencari rezeki untuk dirinya
sendiri, maka dia berada di jalan Allah, dan jika dia keluar mencari rezeki
dengan perasaan riak dan membangga diri, sesungguhnya dia berada di jalan
syaitan” (Riwayat al-Tabrani).”
Untuk memastikan pencarian rezeki itu mendatangkan pahala,
Sayyid Sabiq dalam bukunya Unsur Kekuatan Dalam Islam meletakkan dua syarat:
Tidak lalai daripada melaksanakan hak Allah dan berpegang
kepada nilai akhlak salih yang dianjurkan Islam. Ini bertepatan dengan firman
Allah SWT dalam tiga ayat yang dinyatakan sebelum ini iaitu ayat 9 Surah
al-Munafiqun, ayat 37 Surah al-Nur dan ayat 11 Surah al-Jumuah.
Sumber rezeki itu bertepatan dengan syarak dan tidak
memudaratkan orang lain serta tidak melanggar undang-undang ditetapkan oleh
pihak berkuasa.
Dengan sebab itu, amalan seperti riba, monopoli harta, hasil
rezeki yang merosakkan akal, menipu dalam timbangan, merompak atau mencuri
serta ragut dan memakan harta secara batil sperti adalah sama sekali dilarang
dan diharamkan.
Dalam memenuhi tanggungjawab sosial berhubung dengan
pemilikan harta ini, Islam menggariskan beberapa tatacara dalam memastikan
pengumpul harta menyalurkan harta yang dimilikinya kepada golongan memerlukan.
Ini termasuk melalui zakat, sedekah, wakaf, hibah, hadiah,
derma atau segala yang berkaitan dengannya. Sesungguhnya segala sumbangan ini
adalah manifestasi daripada suruhan Allah seperti yang wujud dalam wahyu-Nya.
Oleh itu untuk menjadikan kegiatan mencari harta itu sebagai amal ibadat maka
kita hendaklah memasang niat kerna Allah dan mengikut segala garis panduan
dalam mencari rezeki yang ditetapkan oleh Allah.
Wallahu’alam.
Sumber:
Mohd Kamel Mat Salleh
Penolong Pengarah, Pusat Pemantapan
Akidah (Jakim), Jelebu, Negeri Sembilan
JAKIM
No comments:
Post a Comment
Thanks for your comments, I will reply soon.