RAIHANPAHIMI

publish your book for free?AFF=9142

Thursday, 14 May 2015

MEMAHAMI TEKANAN PERASAAN ANAK AKIBAT PERCERAIAN

Memahami tekanan perasaan anak akibat perceraian ibu bapa

Selami tekanan perasaan anak
Ibu tunggal: Anak lelaki saya berusia enam tahun. Dia seorang anak yang lincah dan bilingual. Di rumah, dia sentiasa kelihatan riang lebih lebih lagi di hadapan saya. Baru-baru ini, guru TADIKA memberitahu saya dia melukis potret sekeluarga yang terdiri daripada ibu, ayah, dirinya dan adiknya. 
Dia bercerita kepada guru, ayahnya bekerja di suatu tempat yang jauh, ibunya sentiasa ada di rumah 
dan dia akan bermain dengan adiknya. Dia juga tidak berkawan dengan kanak-kanak sebaya, sebaliknya lebih senang berada bersama guru atau bercakap dengan guru. Adakah keadaan ini bersifat sementara atau saya perlu membawanya berjumpa doktor pakar? Untuk pengetahuan Dr, saya sudah berpisah dengan suami.

Kesan perceraian kepada kanak-kanak adalah aspek yang tidak boleh dipandang enteng terutama dalam memperkatakan mengenai pertumbuhan dan perkembangan sihat si kecil.

Kajian ilmiah ahli sosiologi dan psikologi banyak membuktikan, kesan negatif sesuatu perceraian bergantung kepada usia kanak-kanak semasa perceraian itu berlaku, faktor jantina, personaliti, sejauh mana rumitnya konflik yang berlaku antara ibu dan ayah serta sejauh mana kanak-kanak atau remaja itu mendapat sokongan moral dari keluarga terdekat dan rakan
.
Bagaimanapun, pakar psikologi berpandangan, keupayaan untuk menyesuaikan diri dan menangani tekanan akibat perceraian dalam kalangan kanakkanak yang mula memasuki alam prapersekolahan atau di peringkat awal sekolah rendah adalah suatu perkara sukar dilakukan berbanding dengan kanak-kanak pada peringkat usia awal perkembangan.

Kanak-kanak dalam usia enam hingga sembilan tahun sangat berasakan tekanan dan kepedihan yang sukar digambarkan akibat perceraian kerana mereka sudah memahami apa berlaku.

Namun, mereka masih terlalu muda untuk memahami atau mengawal, bagaimana menunjukkan reaksi terbaik terhadap kedukaan yang dialami. Akibatnya, mereka akan mengalami kemurungan, rasa malu yang sukar ditafsirkan, perasaan berbelah terhadap kesetiaan perlu dibahagi antara ibu dan ayah sera rasa marah begitu mencengkam jiwa.

Mereka begitu berharap, ibu dan ayah bersatu kembali serta begitu mudah terasa mereka dibenci atau disisih oleh keduadua orang tua yang meninggalkan mereka. Meskipun dalam usia ini, penguasaan bahasanya agak baik.

Anak lebih suka sembunyi perasaan
Si kecil mampu meluahkan perasaan dengan katakata, namun kebanyakan lebih memilih untuk menyembunyikan perasaan dan mendiamkan diri; tidak terlepas juga rasa bersalah menghantui jiwa dan berasakan ini adalah satu hukuman baginya.

Pada waktu sama, si kecil juga sangat sensitif, cuba sebe rapa daya untuk tidak melukakan hati ibu atau bapa yang tinggal bersamanya bimbang akan kehilangannya pula.

Lantas, antara cara meluahkan apa yang terbuku di dada adalah melalui lukisan yang dapat menggambarkan isi hati seseorang kanak-kanak. Kanak-kanak antara usia enam hingga sembilan tahun yang menghadapi situasi ini selalu berangan-angan dalam dunia fantasinya bahawa ibu dan ayah kembali bersama.

Justeru, apabila si kecil melakar luahan hatinya dalam bentuk lukisan, pasti akan tertera gambaran seolah-olah dia hidup dalam satu keluarga yang bahagia di dampingi ayah, ibu dan ahli keluarga lain yang disayanginya.

Lukisan luahan jiwa si kecil
Lukisan, lakaran atau contengan adalah cara awal untuk kanakkanak berkomunikasi sebelum dia berupaya untuk bertutur. Cara itu juga mereka mencapai kepuasan diri dan melaluinya boleh meluahkan perasaan serta emosi.

Hakikatnya, lakaran kanak-kanak pada kertas lukisan adalah luahan jiwanya tidak kiralah sama ada ia suatu lukisan yang benarbenar menggambarkan sesuatu objek atau hanya pada peringkat contengan. Ini menggambarkan dirinya, apa yang berlaku terhadap dirinya atau apa diinginkan.

Amat berharga andai guru atau ibu bapa dapat memahami bahawa lukisan adalah satu bentuk terapi dan ia dapat dilaksanakan melalui interaksi dengan kanak-kanak, lalu menggunakan lukisan berkenaan bersama-sama maklum balas kanak-kanak itu sendiri untuk tujuan mencungkil emosinya.

Melalui terapi seni melukis, integrasi antara pemikiran dan kejadian yang berlaku terhadap seseorang kanak-kanak dapat digambarkan. Setelah seseorang kanak-kanak memperoleh kepuasan dengan meluahkan emosi melalui lukisan, mereka dapat membina keyakinan diri.

Justeru, apa saja contengan atau lakaran dipaparkan, tidak wajar dipandang rendah atau diletakkan `kelas’ tertentu atas dasar kononnya tidak cantik, tidak menarik dan sebagainya atau membandingkan lukisan itu dengan yang lain kerana ini hanya akan menyebabkan kanak-kanak akan rasa hilang keyakinan serta harga dirinya.

Biasanya, apabila usia si kecil mula meningkat antara 10 hingga 12 tahun, dia sudah lebih memahami apa yang berlaku dan tidak lagi hidup dengan anganangan dalam dunia fantasinya. Namun, ketika itu dia akan mula menunjukkan protes dan melahirkan rasa marah apa yang berlaku kerana kesedarannya yang lebih mendalam tentang maksud `bercerai.”

Kemarahannya terhadap keduadua ibu bapanya akan lebih terserlah dan pada peringkat inilah biasanya dia akan menunjukkan sikap menyebelahi salah satu pihak, sama ada ibu atau ayahnya. Kesan jangka panjang, jika tidak kena cara menangani permasalahan ini, si anak tidak akan teragakagak meninggalkan rumah dan cuba mendapatkan perhatian serta kasih sayang dari rakan sebaya untuk `mententeramkan’ jiwanya.

Cara menangani krisis emosi kritikal akibat perceraian ibu bapa yang dihadapi oleh anak:
* Beri dan tunjukkan kasih sayang.
* Jalin hubungan rapat dan fahami tekanan perasaan yang dialami anak.
* Ibu atau ayah yang menghadapi situasi ini perlu sentiasa tenang dan menerima hakikat rasa kemarahan yang diluah atau ditonjolkan oleh anak melalui tingkah lakunya.
* Bantu anak untuk meluahkan rasa marah dengan `cara yang boleh diterima’ tanpa menyakiti dirinya sendiri, menyakiti binatang, menyakiti orang lain juga bukan dengan cara merosakkan harta benda.
* Ibu atau bapa perlu menunjukkan ketenangan dan kesabaran tinggi kerana anak akan mempelajari cara mengawal perasaan melalui contoh teladan ditunjukkan oleh ayah atau ibunya.
* Beritahu anak yang dirinya sentiasa disayangi dan akan dijaga dengan sempurna.
* Bantu anak untuk meluahkan rasa takut atau kerisauan yang melanda diri.
* Membaca buku cerita mengenai kisah perceraian dan bagaimana menanganinya juga dapat membantunya memahami keadaan.

Ibu atau bapa perlu merujuk anak kepada pakar jika terdapat tanda berikut secara berterusan:
* Menunjukkan sikap agresif yang keterlaluan.
* Menunjukkan kemurungan dan langsung tidak mahu bergaul dengan orang lain.
* Menunjukkan rasa tidak suka dan tidak minat terhadap aktiviti yang biasanya seronok dilakukan sebelum ini.
* Menunjukkan kemerosotan yang amat ketara dari segi akademik dan pembelajaran.
* Keterlaluan mengutuk dan mengkritik diri sendiri.


Oleh Dr Mastura Badzis

No comments:

Post a Comment

Thanks for your comments, I will reply soon.