Oleh Yamin Cheng
Saudara baharu yang memilih Islam sebagai agama dan cara hidup boleh menjadikan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tidaklah Aku (Tuhan) menjadikan jin dan manusia kecuali untuk mengabdikan diri kepada-Ku.” (Surah al-Zariyaat, ayat 56)
Saudara baharu yang memilih Islam sebagai agama dan cara hidup boleh menjadikan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tidaklah Aku (Tuhan) menjadikan jin dan manusia kecuali untuk mengabdikan diri kepada-Ku.” (Surah al-Zariyaat, ayat 56)
Mengabdikan diri kepada tuhan adalah asas beragama. Melakukan
segala kewajipan beribadah, membuat yang makruf dan meninggalkan yang mungkar
hanyalah permulaan kepada perkara lebih luas mengenai pengabdian kepada Tuhan.
Menerusi amal ibadah, Allah SWT menjadi paksi kepada hati
nurani, akal budiman dan perilaku yang mulia. Menerusi ibadah yang dilakukan,
Allah SWT menjadi perangsang kepada pemikiran, perbuatan dan pembinaan hidup.
Alam semesta tanda-tanda Allah
Ibadah mengaitkan Allah SWT dengan kita dan seterusnya alam
semesta. Alam semesta ini adalah tanda-tanda Allah SWT. Firman-Nya yang
bermaksud: “Sesungguhnya di dalam ciptaan langit dan bumi dan peralihan di
antara malam dan siang adalah ayat-ayat (iaitu tanda-tanda) bagi mereka yang
berfikir.” (Surah Ali-Imran, ayat 190)
Apabila menjenguk dunia yang terpampang di depan mata, kita
teruja dengan apa yang boleh diperoleh daripadanya. Dengan akal yang ada, kita
meneroka setiap pelosok alam dan menggali rahsia yang terkandung di dalamnya.
Kita memperoleh minyak dan elektrik, ubat-ubatan untuk merawat
pelbagai penyakit, meningkatkan kualiti pertanian, menghasilkan makanan lebih
berkhasiat, mengetahui teknologi menghasilkan kereta, kapal terbang dan kapal
angkasa.
Sememangnya akal adalah anugerah tidak ternilai sumbangannya
kepada pembangunan hidup manusia. Namun, seandainya akal hanya terbatas kepada
mencari kepuasan kebendaan, manusia tidak boleh menjadi insan sejati dan
memenuhi matlamat utama ciptaannya.
Mengikut hawa nafsu
Manusia juga mempunyai hawa nafsu dan hawa nafsu yang menjurus
kepada kebendaan sahaja tidak boleh membawa manusia lebih jauh daripada
kepuasan hidup. Sejarah menyaksikan bagaimana kehidupan berlandaskan kebendaan
mengakibatkan manusia menjadi rakus.
Mereka saling mengatasi antara satu sama lain untuk memperoleh
sebanyak mungkin harta kekayaan sehingga lupa bahawa mereka adalah manusia
bersaudara.
Agama membawa manusia melangkaui batasan kebendaan. Agama
membawa kita merenung persoalan ciptaan yang kemudiannya akan merangsang akal
dan hati untuk bertanya sama ada dunia hanya sekadar kehidupan kebendaan atau
membawa nilai penuh keinsanan.
Kita adalah insan yang mempunyai lima peribadi iaitu saya,
keluarga, insan, alam semesta dan agama. Justeru, setiap yang kita fikir dan
lakukan pastinya membabitkan kepentingan selain daripada kita.
Mungkin juga Allah SWT jadikan peribadi kita sedemikian rupa
supaya dapat merealisasikan hakikat manusia perlu berkongsi hidup dengan yang
lain. Ia akan melahirkan nilai murni seperti kasih sayang, hormat menghormati
dan tolong menolong antara sesama insan.
Beragama dalam Islam memastikan kita beribadah untuk mencelikkan
minda meneroka alam semesta dan menjana kehidupan selesa. Minda yang celik akan
merangsang akal mengaitkan erti kehidupan kebendaan kepada makna kita sebagai
manusia yang kemudiannya mencetuskan nilai murni dalam peribadi.
Akal yang sedar akan membuka mata hati kita kepada agama dan
menyedari kenapa tuhan penting untuk umat manusia. Sehubungan itu, beragama
dalam Islam semestinya menjadikan seseorang itu ahli kaji, ahli fikir,
berkeperibadian murni dan ahli ibadah sesuai dengan dirinya yang bergelar
Muslim
No comments:
Post a Comment
Thanks for your comments, I will reply soon.