PANDUAN SOLAT SUNAT TARAWIH
CARA NABI S.A.W.
Penulis: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
Disemak oleh: Ustaz
Mohd Fikri Che Hussain
|
SOLAT TARAWIH (QIYAM
AL-RAMADHAN)
Solat Tarawih atau Qiyam
al-Ramadhan merupakan satu amalan yang amat dituntut (sunat mu’akkadah)
bagi menghidupkan malam-malam pada bulan Ramadan dengan amal ibadah.
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallambersabda:
مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا
وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ.
Maksudnya:
Sesiapa
bersolat pada malam Ramadan kerana iman (yang teguh) dan mengharapkan
ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lepas. - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab
Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 759.
v WAKTU
UNTUK MENGERJAKAN SOLAT TARAWIH
Solat Tarawih adalah solat sunat
yang dikerjakan pada waktu malam bulan Ramadan iaitu setelah mengerjakan
solat Isyak dan sebelum masuk waktu solat Subuh. Namun begitu waktu yang
paling utama untuk dilaksanakan solat Tarawih itu adalah sepertiga malam yang
terakhir iaitu dari pukul 3.00 pagi sehingga masuk waktu subuh. Namun
demikian sekiranya dilakukan secara berjemaah di masjid-masjid maka ikutlah
waktu yang telah ditetapkan oleh pihak masjid tersebut. Akan tetapi ada
baiknya juga sekiranya masjid-masjid di Malaysia setidak-tidaknya
sekali-sekala mengerjakan majlis solat Tarawih pada sepertiga malam yang
akhir. Solat sunat Tarawih ini digandingkan dengan solat sunat Witir sebagai
penutupnya.
Dalil sunat Tarawih lebih utama
untuk dilaksanakan pada sepertiga malam yang terakhir adalah sabda Rasulullahshallallahu
‘alaihi wasallam:
يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ
وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ
اللَّيْلِ اْلآخِرُ
يَقُولُ: مَنْ يَدْعُونِي
فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي
فَأَغْفِرَ لَهُ.
Maksudnya:
Rabb kita Tabaraka wa Ta’ala turun
pada setiap malam ke langit dunia ketika tersisa sepertiga malam yang akhir.
Allah berfirman: Siapa yang berdoa kepada-Ku, nescaya Aku akan
mengabulkannya; siapa yang meminta kepada-Ku, nescaya Aku akan memberinya;
siapa yang memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku akan mengampunnya. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam kitab Shahihnya, Kitab at-Tahajjud,
no: 1145.
Selanjutnya Nabi shallallahu
‘alaihi wasallam juga bersabda:
أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الرَّبُّ مِنْ
الْعَبْدِ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ الآخِرِ فَإِنْ اسْتَطَعْتَ
أَنْ تَكُونَ مِمَّنْ يَذْكُرُ
اللَّهَ فِي تِلْكَ السَّاعَةِ فَكُنْ.
Maksudnya:
Saat yang paling dekat di antara Allah dan hamba-Nya
adalah di tengah malam terakhir, apabila kamu boleh menjadi sebahagian daripada
mereka yang mengingati Allah pada saat itu maka lakukanlah. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya,
Kitab al-Da’waat, no: 3503.
v JUMLAH
RAKAAT SOLAT TARAWIH
Secara umumnya hukum serta cara
perlaksanaan solat Tarawih atau Qiyam al-Ramadhan ini adalah
sama denganQiyam al-Lail. Ianya boleh dilakukan dengan dua rakaat-dua
rakaat dan ianya tidak mempunyai batasan jumlah rakaat yang maksimum. Malah
ianya juga boleh dilaksanakan dengan hanya satu rakaat solat sunat witir.
Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar radhiallahu’
anhuma, dia berkata:
قَالَ إِنَّ رَجُلاً قَالَ: يَا
رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ صَلاَةُ اللَّيْلِ؟
قَالَ: مَثْنَى مَثْنَى فَإِذَا
خِفْتَ الصُّبْحَ فَأَوْتِرْ بِوَاحِدَةٍ.
Maksudnya:
Sesungguhnya seorang lelaki
berkata: Wahai Rasulullah, bagaimanakah solat malam? Baginda bersabda:
Dua-dua (rakaat), apabila engkau khuatir (masuk waktu subuh), maka laksanakan
solat witir satu rakaat. -
Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab at-Tahajjud,
no: 1137.
Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah di
dalam kitabnya Majmu’ al-Fatawa, jilid 22, ms. 272 berkata:
Sesungguhnya
tentang solat Qiyam al-Ramadhan (solat Tarawih), Nabi shallallahu
‘alaihi wasallamtidak menentukan jumlah rakaatnya, malah baginda sendiri
melaksanakannya tidak lebih daripada tiga belas rakaat sama ada pada bulan
Ramadan atau selainnya. Ini baginda laksanakan dengan memanjangkan rakaatnya.
Apabila ‘Umar (radhiallahu’ anh) mengumpulkan orang-orang untuk
berjemaah (mengerjakan solat Tarawih) dengan diimamkan oleh Ubay bin Ka’ab (radhiallahu’
anh), dia melaksanakannya bersama mereka sebanyak dua puluh rakaat
kemudian diikuti Solat Witir tiga rakaat. Ini beliau lakukan
dengan meringankan bacaan al-Qur’an selari dengan kadar penambahan rakaat
supaya ia meringankan berbanding solat satu rakaat dengan dipanjangkan
rakaatnya.
Setelah
itu sekumpulan dari generasi salaf melaksanakan solat (Tarawih) secara empat
puluh rakaat dan solat Witir tiga rakaat manakala selainnya
dengan tiga puluh enam rakaat dan tiga rakaat witir. Semua ini telah berlaku
dan dengan itu, sesiapa sahaja yang beribadah pada malam Ramadan dengan apa
sahaja jumlah rakaat, maka dia (dikira) telah berbuat kebaikan.
Apa
yang utama adalah perbezaan jumlah rakaat dikira berdasarkan kepada
beragamnya keadaan orang-orang yang mengerjakan solat tersebut. Jika keadaan
mereka memungkinkan dilaksanakan solat (Tarawih) dengan lama, maka adalah
lebih afdhal melaksanakan solat (Tarawih) dengan sepuluh
rakaat dan tiga Witir sebagaimana yang dilakukan sendiri
oleh Nabi (shallallahu ‘alaihi wasallam) dan selainnya. Akan tetapi
apabila tidak mungkin melaksanakan sedemikian, maka melaksanakan solat
(Tarawih) dengan dua puluh rakaat adalah lebih afdhal dan
itulah yang dilakukan oleh majoriti umat Islam kerana yang demikian itu
adalah dipertengahan antara sepuluh rakaat dan empat puluh rakaat.
Dan
jika dilaksanakan solat (Tarawih) dengan empat puluh rakaat atau selainnya
maka itu diperbolehkan dan tidak dimakruhkan sama sekali. Hal ini ditegaskan
oleh lebih daripada seorang daripada kalangan para Imam seperti Imam Ahmad
(bin Hanbal) dan selainnya. Malah sesiapa yang beranggapan bahawasanya solat Qiyam
al-Ramadhan (Solat Tarawih) mempunyai ketentuan jumlah rakaatnya
daripada Nabi (shallallahu ‘alaihi wasallam) tanpa boleh ditambah atau
dikurangi daripadanya, maka sungguh dia telah membuat suatu kesilapan. - Dinukil dari buku tulisan Hafiz Firdaus Abdullah, Menelan
Air Liur Tidak Membatalkan Puasa, ms. 87-88.
Diharapkan kenyataan Syaikh
al-Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah ini akan meredakan
polemik yang sering berlaku di Malaysia tentang jumlah rakaat solat Tarawih
sama ada lapan rakaat atau dua puluh rakaat. Ternyata kedua-duanya adalah
benar di sisi syarak. Namun begitu penulis ingin memberi sedikit komentar
tentang kenyataan Syaikh al-Islam bahawa ‘Umar al-Khatthab radhiallahu’
anh telah memerintah Ubay bin Ka’ab radhiallahu’ anh untuk
mengimamkan solat Tarawih pada zamannya sebanyak 20 rakaat. Apa yang sebenarnya
terjadi, pada zaman ‘Umar terdapat sekelompok umat yang mengerjakan solat
Tarawih sebanyak 20 rakaat, tetapi ‘Umar sendiri telah menyuruh Ubay bin
Ka’ab dan Tamim al-Dari radhiallahu’ anhuma untuk memimpin
solat Tarawih sebanyak sebelas rakaat iaitu termasuk tiga rakaat untuk solat Witir.
Dalilnya adalah hadis berikut:
Al-Saib bin Yazid radhiallahu’
anh telah berkata:
أَمَرَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ
أُبَيَّ بْنَ كَعْبٍ وَتَمِيمًا الدَّارِيَّ أَنْ يَقُومَا لِلنَّاسِ بِإِحْدَى
عَشْرَةَ رَكْعَةً.
Maksudnya:
‘Umar bin al-Khatthab telah
memerintahkan Ubay bin Ka’ab dan Tamim al-Dari untuk mengimami manusia (dalam
solat) sebanyak sebelas rakaat. -
Hadis riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta’, Kitab
al-Nida’ li al-sholaah, no: 232.
Justeru itu jumlah rakaat yang
paling utama adalah dengan tidak melebihkannya dari sebelas atau tiga belas
rakaat kerana jumlah ini adalah sesuai dengan sebagaimana yang kebiasaannya
dikerjakan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.
Daripada ‘Aishah radhiallahu’
anha, dia berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُصَلِّي بِاللَّيْلِ إِحْدَى عَشْرَةَ
رَكْعَةً يُوتِرُ مِنْهَا بِوَاحِدَةٍ.
Maksudnya:
Bahawa Rasulullah solat malam di
waktu setelah selesai Isyak sampai terbit fajar sebanyak sebelas rakaat
dengan salam setiap selesai dua rakaat, lalu berwitir dengan satu rakaat. - Hadis riwayat Imam Muslim dalam kitabShahihnya, Kitab
Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 736.
Daripada ‘Aishah radhiallahu’ anha, dia
berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي مِنْ اللَّيْلِ ثَلاَثَ عَشْرَةَ رَكْعَةً مِنْهَا
الْوِتْرُ وَرَكْعَتَا الْفَجْرِ.
Maksudnya:
Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam
biasa solat di malam hari tiga belas rakaat termasuk witir, dan dua rakaat
solat fajar (sunat Qabliyah Subuh). -
Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab at-Tahajjud,
no: 1140.
Abu Salamah radhiallahu’ anh
pernah bertanya kepada ‘Aishah radhiallahu’ anha tentang solat malam
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pada bulan Ramadan. Maka ‘Aishah
menjawab:
مَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَزِيدُ فِي رَمَضَانَ وَلاَ فِي غَيْرِهِ عَلَى
إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً.
يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلاَ تَسَلْ
عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ. ثُمَّ يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلاَ تَسَلْ عَنْ
حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ.
ثُمَّ يُصَلِّي ثَلاَثًا.
Maksudnya:
Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam tidak menambah pada bulan Ramadan dan tidak pula pada bulan-bulan
lainnya, melebihi sebelas rakaat; baginda solat empat rakaat, jangan kamu
persoalkan akan kebagusan dan panjangnya. Kemudian baginda solat empat rakaat
lagi, jangan kamu persoalkan akan kebagusan dan panjangnya. Kemudian baginda
solat tiga rakaat (witir). -
Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab
at-Tahajjud, no: 1147.
Hadis di atas ini menunjukkan
bahawa solat Tarawih ini juga boleh dikerjakan empat rakaat-empat rakaat
sebagaimana tatacara solat fardu yang empat rakaat iaitu dengan dua tahiyyat.
v SOLAT TARAWIH BOLEH DILAKSANAKAN SECARA
BERJEMAAH MAHUPUN BERSENDIRIAN
Pada zaman Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam, baginda pernah mengerjakan solat Tarawih ini secara
berjemaah bersama para sahabat baginda pada beberapa malam. Kemudian baginda
meninggalkannya lalu solat Tarawih tersebut didirikan secara bersendirian kerana
khuatir ianya akan diwajibkan. Hal ini adalah sebagaimana yang diriwayatkan
daripada ‘Aisyah radhiallahu’ anha:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى ذَاتَ لَيْلَةٍ فِي الْمَسْجِدِ فَصَلَّى
بِصَلَاتِهِ نَاسٌ
ثُمَّ صَلَّى مِنْ الْقَابِلَةِ
فَكَثُرَ النَّاسُ ثُمَّ اجْتَمَعُوا مِنْ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ أَوْ
الرَّابِعَةِ
فَلَمْ يَخْرُجْ إِلَيْهِمْ رَسُولُ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمَّا أَصْبَحَ قَالَ:
قَدْ رَأَيْتُ الَّذِي صَنَعْتُمْ
وَلَمْ يَمْنَعْنِي مِنْ الْخُرُوجِ إِلَيْكُمْ إِلاَّ أَنِّي خَشِيتُ أَنْ
تُفْرَضَ عَلَيْكُمْ.
وَذَلِكَ فِي رَمَضَانَ
Maksudnya:
Bahawasanya
Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersolat di masjid, maka bersolat pulalah
bersama-samanya beberapa orang. Pada malam yang kedua baginda bersolat lagi,
maka banyaklah orang-orang yang mengikuti solatnya. Kemudian orang ramai
berkumpul di masjid pada malam yang ketiga atau yang keempat, tetapi Nabi
s.a.w. tidak keluar bersolat bersama-sama mereka, apabila Subuh baginda
s.a.w. keluar dan bersabda:
Aku
telah melihat apa yang kamu lakukan semalam. Tidak ada yang menghalangi aku
keluar kepada kamu kecuali kerana aku takut ia diwajibkan ke atas kamu.
Kejadian
itu berlaku pada bulan Ramadan. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab
al-Jumu’ah, no: 1129
Bersolat Tarawih secara
bersendirian ini kekal sehingga pada zaman ‘Umar radhiallahu’ anh lalu
beliau mengumpulkan orang ramai untuk mengerjakan solat Tarawih ini secara
berjemaah. Daripada ‘Abdul Rahman bin ‘Abdul Qari yang berkata:
خَرَجْتُ مَعَ عُمَرَ بْنِ
الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ لَيْلَةً فِي رَمَضَانَ إِلَى الْمَسْجِدِ
فَإِذَا النَّاسُ أَوْزَاعٌ
مُتَفَرِّقُونَ يُصَلِّي
الرَّجُلُ لِنَفْسِهِ وَيُصَلِّي الرَّجُلُ فَيُصَلِّي بِصَلاَتِهِ الرَّهْطُ
فَقَالَ عُمَرُ:
إِنِّي أَرَى لَوْ جَمَعْتُ
هَؤُلاَءِ عَلَى قَارِئٍ وَاحِدٍ لَكَانَ أَمْثَلَ.
ثُمَّ عَزَمَ فَجَمَعَهُمْ عَلَى
أُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ ثُمَّ خَرَجْتُ مَعَهُ لَيْلَةً أُخْرَى وَالنَّاسُ
يُصَلُّونَ بِصَلاَةِ قَارِئِهِمْ
قَالَ عُمَرُ:
نِعْمَ الْبِدْعَةُ هَذِهِ
وَالَّتِي يَنَامُونَ عَنْهَا أَفْضَلُ مِنْ الَّتِي يَقُومُونَ يُرِيدُ آخِرَ
اللَّيْلِ.
Maksudnya:
Pada
satu malam di bulan Ramadan aku keluar bersama ‘Umar al-Khatthab radhiallahu’
anh ke masjid. Didapati orang ramai berselerakan. Ada yang solat
bersendirian, ada pula yang bersolat dan sekumpulan (datang) mengikutinya.
‘Umar berkata:
Jika aku
himpunkan mereka pada seorang imam adalah lebih baik.
Kemudian
beliau melaksanakannya maka dihimpunkan mereka dengan (diimamkan oleh) Ubai
bin Ka’ab. Kemudian aku keluar pada malam lain, orang ramai bersolat dengan
imam mereka (yakni Ubai bin Ka’ab). Berkata ‘Umar:
Sebaik-baik
bid’ah adalah perkara ini, sedangkan mereka yang tidur adalah lebih
baik dari apa yang mereka dirikan solat pada masa ini (untuk bangun bersolat
pada akhir malam). -
Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalamShahihnya, Kitab Sholat
al-Taraawih, no: 2010
Hadis-hadis di atas membuktikan
Rasulullah s.a.w pernah melaksanakan solat Tarawih secara berjemaah dan
juga bersendirian. Oleh itu, kedua-duanya cara solat sama ada secara
berjemaah atau sendirian adalah sunnah Rasulullahshallallahu ‘alaihi
wasallam Namun demikian menerusi hadis di bawah, Rasulullah s.a.w
menegaskan kelebihan mengerjakan solat Tarawih secara berjemaah sehingga
selesai umpama mendapat ganjaran solat sepanjang malam dan inilah yang
sewajarnya cuba kita usahakan pada bulan Ramadan yang penuh berkat ini.
Daripada Abu Dzar al-Ghafiriradhiallahu’ anh:
صُمْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي رَمَضَانَ فَلَمْ يَقُمْ بِنَا حَتَّى
بَقِيَ سَبْعٌ مِنْ الشَّهْرِ.
فَقَامَ بِنَا حَتَّى ذَهَبَ ثُلُثُ
اللَّيْلِ ثُمَّ لَمْ يَقُمْ بِنَا فِي السَّادِسَةِ.
فَقَامَ بِنَا فِي الْخَامِسَةِ
حَتَّى ذَهَبَ شَطْرُ اللَّيْلِ.
فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ لَوْ
نَفَّلْتَنَا بَقِيَّةَ لَيْلَتِنَا هَذِهِ.
قَالَ: إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ
الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ قِيَامَ لَيْلَةٍ ُ.
Maksudnya:
Kami
berpuasa bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pada bulan Ramadan.
Baginda tidak bersolat (Tarawih) bersama kami sehingga baki tujuh malam
terakhir. Lalu (pada malam tersebut) baginda bersolat (Tarawih) bersama kami
sehingga sepertiga malam. Kemudian baginda tidak bersolat (Tarawih) bersama
kami pada malam yang ke enam (sebelum akhir Ramadan). Baginda bersolat
(Tarawih) bersama kami pada malam ke lima (sebelum akhir Ramadan) sehingga
seperdua malam.
Maka
saya (Abu Dzar) berkata: Ya Rasulullah, alangkah baiknya jika kamu memberi
keringanan kepada kami pada malam ini. Rasulullah menjawab: Sesungguhnya
sesiapa yang bersolat (Tarawih) bersama imam sehingga selesai maka Allah
menulis baginya (ganjaran seumpama) bersolat sepanjang malam. - Hadis riwayat Imam al-Nasa’i dalamSunannya, Kitab
Qiyam al-Lail, no: 1587.
v BERZIKIR DAN BERSELAWAT DI ANTARA SOLAT
TARAWIH ADALAH BID’AH?
Mereka yang mengerjakan solat
Tarawih ini akan berehat untuk menghilangkan penat diselang-selang solat
tersebut. Dari tatacara inilah solat Qiyam al-Ramadhan mendapat
gelaran Tarawih. Menurut Syaikh Muhammad at-Tuwaijiri:
Penamaan solat
Tarawih: Kerana dahulu manusia duduk untuk beristirehat setiap empat rakaat
setelah memanjangkan bacaan solat. –
Syaikh Muhammad bin Ibrahim at-Tuwaijiri, Mukhtasar al-Fiqhi
al-Islami, ms. 716.
Para ulamak sepakat tentang
disyari’atkan untuk istirehat setelah selesai mengerjakan empat rakaat.
Amalan inilah yang telah diwarisi daripada generasi al-Salafussoleh dan
ianya berkemungkinan didasari dari perkataan ‘Aisyah radhiallahu’
anha ketika menggambarkan tatacara solat Tarawih Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam
يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلاَ تَسَلْ
عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ. ثُمَّ يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلاَ تَسَلْ عَنْ
حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ.
ثُمَّ يُصَلِّي ثَلاَثًا.
Maksudnya:
Baginda solat empat rakaat, jangan
kamu persoalkan akan kebagusan dan panjangnya. Kemudian baginda solat empat
rakaat lagi, jangan kamu persoalkan akan kebagusan dan panjangnya. Kemudian
baginda solat tiga rakaat (witir). - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya,
Kitab at-Tahajjud, no: 1147.
Tidak disyari’atkan sesuatu bacaan
zikir-zikir, selawat-selawat mahupun doa-doa yang tertentu yang dilaksanakan
secara berjemaah semasa waktu istirehat ini. Namun demikian sewajarnya tempoh
tersebut dipergunakan untuk membaca ayat-ayat suci al-Qur’an, zikir-zikir,
doa-doa dan selawat yang sabit dari hadis-hadis Nabi secara bebas tanpa
penetapan bacaan atau aturan yang tertentu. Sudah menjadi
kebiasaan di masjid-masjid mahupun surau-surau di seluruh Malaysia untuk
membaca secara beramai-ramai dengan suara yang kuat zikir-zikir, doa-doa dan
selawat-selawat di antara solat Tarawih ini. Amalan sebegini sebenarnya tidak
pernah diamalkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mahupun
generasi al-Salafussoleh. Malah tidak pernah tertulis di dalam
mana-mana kitab Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’irahimahullah bahawa
beliau telah menganjurkan amalan sedemikian rupa. Sekiranya amalan ini baik
bagi umat Islam pasti mereka telah mendahului kita dalam mengamalkannya. Ternyata
para al-Salafussoleh meninggalkannya kerana ianya bukan
sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam malah ianya
termasuk dalam amalan bid’ah. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah
mencela amalan bid’ah melalui sabdanya:
إِنَّ أَصْدَقَ الْحَدِيثِ كِتَابُ
اللَّهِ وَأَحْسَنَ الْهَدْيِ هَدْيُ مُحَمَّدٍ وَشَرُّ الأُمُورِ
مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ
وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ وَكُلُّ
ضَلاَلَةٍ فِي النَّارِ.
Maksudnya:
Sesungguhnya
sebaik-baik ucapan adalah Kitabullah (al-Qur’an) dan sebaik-baik petunjuk
adalah petunjuk Muhammad (al-Sunnah), serta seburuk-buruk perkara adalah yang
diada-adakan dan setiap yang diada-adakan (bid’ah) adalah sesat. Dan setiap
yang sesat itu ke neraka. -
Hadis riwayat Imam al-Nasa’i dalam Sunannya, Kitab Solat
al-‘Iedaini, no: 1560.
Tambahan lagi apa yang lebih
bertepatan dengan sunnah adalah zikir-zikir mahupun doa-doa dilafazkan dengan
suara perlahan dan secara sendiri-sendirian. Allah Subhanahu wa
Ta’ala telah menjelaskan kepada hambanya tentang tatacara berzikir
yang sepatutnya kita persembahkan kepada-Nya. Ini sebagaimana firman-Nya:
وَاذْكُرْ رَبَّكَ فِي نَفْسِكَ
تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ
وَالْآصَالِ
وَلَا تَكُنْ مِنَ الْغَافِلِينَ
Maksudnya:
Dan
sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta
dengan perasaan takut (melanggar perintahnya) dan dengan tidak pula
menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi
dari orang-orang yang lalai. -
al-A'raaf (7) : 205
Dari firman-Nya di atas ini dapat kita fahami bahawa
Allah Subhanahu wa Ta’ala sendiri telah memerintahkan kita
sebagai hamba-Nya untuk berzikir kepada-Nya dengan suara yang perlahan atau
untuk lebih spesifik hanya diri sendiri yang mendengar zikir tersebut. Dengan tatacara yang sebegitu tidak memungkinkan
zikir-zikir tersebut dilakukan secara berjemaah. Oleh itu ianya harus
dilakukan secara sendiri-sendiri dan dengan suara yang perlahan.
Selanjutnya ingin penulis tambah
sedikit tentang kaifiyah (tatacara) berdoa yang disyari’atkan
sebagaimana yang difirman oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala:
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي
فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ
فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي
وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
Maksudnya:
Dan
apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada
mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku
perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka
hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan
hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul. - al-Baqarah (2) : 186
Mengenai sebab turunnya ayat doa
yang terkenal ini, dalam Tafsir al-Qurthubi (jilid 1,
ms. 219) disebutkan bahawa:
Daripada al-Solat
bin Hakim bin Mu’awiyah bin Haidah al-Qusyairy, daripada ayahnya, daripada
datuknya, bahawa ada seorang Arab Badwi berkata kepada Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam: “Wahai Rasulullah, apakah Rabb kami dekat
sehingga kami cukup bermunajat (berbisik) kepada-Nya ataukah Dia jauh
sehingga kami berseru kepada-Nya (dengan suara nyaring?” Beliau diam sahaja.
Lalu tak seberapa lama kemudian Allah turunkan ayat di atas, “Wa idza
sa’alaka ‘ibadi ‘anni…”
…Setelah itu
disebutkan riwayat Ahmad daripada Abu Musa al-‘Asya’ari radhiallahu’
anh, dia berkata: “Kami pernah bersama Nabi shallallahu ‘alaihi
wasallam dalam satu peperangan. Setiap kali kami melalui jalan mendaki atau
menurun di suatu lembah, maka kami mengeraskan suara bertakbir. Maka beliau
mendekati kami seraya bersabda: “Wahai manusia, kasihanilah diri kalian,
kerana kalian tidak berdoa kepada yang tuli dan tidak pula yang jauh.
Sesungguhnya yang kalian seru lebih dekat kepada salah seorang di antara
kalian daripada tengkuk untanya. Wahai Abdullah bin Qais, bagaimana jika aku
ajarkan kepada mu satu kata dari simpanan syurga, iaitu la haula wa la
quwwata illa billahi”. - Dinukil daripada kitab Koreksi Dzikir Jama’ah M.
Arifin Ilham, karya Abu Amsaka, Darul Falah, Jakarta 2003, ms. 113-114.
Dari sini dapatlah kita fahami
bahawa berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala juga disyari’atkan
dengan suara yang perlahan sahaja sama seperti tatacara berzikir yang telah
penulis bahaskan di atas melainkan terdapat petunjuk atau bukti yang
menyatakan Rasul shallallahu ‘alaihi wasallam telah
melaksanakannya dengan suara yang keras dan secara berjemaah. Dengan memahami
tatacara zikir serta doa yang Allah Subhanahu wa Ta’ala perintahkan
kepada hamba-Nya untuk diamalkan maka penulis berharap para pembaca kini
dapat membezakan di antara majlis zikir atau doa yang sunnah dan yang bid’ah.
Namun begitu terdapat zikir-zikir yang sememangnya Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam lakukan dengan menyaringkan suara bersama para
sahabat baginda seperti Takbir Hari Raya dan Talbiyah ketika
mengerjakan ibadah Haji, maka dalam hal ini berlaku hukum yang khusus ke
atasnya. Wallahu’alam. Oleh itu sewajarnya waktu istirehat
di antara solat Tarawih itu dipergunakan untuk apa jua amalan yang sunnah
secara sendiri-sendirian.
v UPACARA TAHLIL SESUDAH SOLAT TARAWIH ADALAH
BID’AH?
Apa yang lazim diamalkan di
masjid-masjid sesudah solat Tarawih adalah mengadakan majlis Tahlil.
Borang-borangTahlil diedarkan terlebih dahulu dan bagi yang
berminat mereka akan menyenaraikan nama ahli keluarga mereka yang telah
meninggal dunia untuk dikirimkan pahala majlis Tahlil tersebut.
Ada sesetengah masjid sehingga mengenakan bayaran kepada mereka yang
ingin menyenaraikan nama ahli keluarga mereka untuk majlis Tahlil tersebut.
Apakah itu Majlis Tahlil? Ia adalah satu upacara yang lazimnya
dibacakan ayat-ayat suci al-Qur’an tertentu, bacaan zikir La ilaha
illallah, Subhanallah dan lain-lain dengan niat pahala
bacaan tersebut dihadiahkan kepada arwah kaum muslimin pada umumnya.
Amalan ini sebenarnya tidak pernah
diamalkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mahupun
generasi al-Salafussoleh. Sekiranya amalan ini baik untuk umat
Islam pasti mereka telah mendahului kita dalam mengamalkannya. Bahkan amalan Tahlil atau
juga dikenali sebagai Kenduri Arwah sebenarnya bertentangan dengan pandangan
Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’i rahimahullah. Ternyata di
dalam kitab-kitab Imam al-Syafi’i tidak pernah tertulis tentang amalan Tahlil ini
malah tidak wujud satu riwayat pun yang menunjukkan beliau pernah mengajar
anak muridnya akan ritual ini.
Firman Allah Subhanahu wa
Ta’ala:
أَلَّا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ
أُخْرَىٰ
وَأَنْ لَيْسَ لِلْإِنْسَانِ إِلَّا
مَا سَعَىٰ
Maksudnya:
(Dalam
Kitab-kitab itu ditegaskan): Bahawa sesungguhnya seseorang yang boleh memikul
tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja);
dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan
(balasan) apa yang diusahakannya. -
Al-Najm (53) : 38-39
Telah berkata al-Hafidz Ibnu
Kathir rahimahullah di dalam kitab tafsirnya Tafsir
al-Qur’an al-Adzim ketika mentafsirkan ayat di atas:
Iaitu sebagaimana
seseorang tidak akan memikul dosa orang lain demikian juga seseorang tidak
akan memperolehi ganjaran (pahala) kecuali apa-apa yang telah dia usahakan
untuk dirinya sendiri. Dan dari ayat yang mulia ini Imam al-Syafi’i bersama
para ulamak yang mengikutinya telah mengeluarkan hukum bahawa bacaan
al-Qur’an tidak akan sampai hadiah pahalanya kepada orang yang telah mati.
Kerana bacaan tersebut bukan dari amal dan usaha mereka. Oleh kerana itu
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah
mensyari’atkan umatnya (untuk menghadiahkan bacaan al-Qur’an kepada yang
telah mati) dan tidak juga pernah menggemarinya atau memberikan petunjuk
kepada mereka baik dengan nash (dalil yang jelas lagi
terang) dan tidak juga dengan isyarat dan tidak pernah dinukilkan dari
seorangpun sahabat (bahawa mereka pernah mengirim pahala bacaan al-Qur’an
kepada orang yang telah mati). Jika sekiranya amalan itu baik tentu para
sahabat telah mendahului kita mengamalkannya. Dan di dalam masalah ibadah
ianya hanya terbatas pada dalil dan tidak boleh dipalingkan dengan
qiyas-qiyas atau pendapat-pendapat. -
Dinukil dari kitab Hukum Membaca al-Qur’an Untuk Orang Mati:
Sampaikah Pahalanya Pada Mereka?, oleh Syaikh Muhammad Ahmad Abdul Salam,
(edisi terjemahan oleh H. Ma’mur Daud, Media Da’wah, Jakarta 2001), ms.
19-20.
Imam al-Nawawi rahimahullah pula
di dalam Syarah Muslim (jilid 1, ms. 90) telah berkata:
Adapun
bacaan al-Qur’an (yang pahalanya dikirimkan kepada si mati) maka yang masyhur
di dalam mazhab Syafi’i tidak dapat sampai kepada si mati yang dikirim…
Sedang dalilnya bagi Imam al-Syafi’i dan pengikut-pengikutnya iaitu firman
Allah:
وَأَنْ لَيْسَ لِلْإِنْسَانِ إِلَّا
مَا سَعَىٰ
Maksudnya:
Bahawa
sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang
diusahakannya - An-Najm (53) : 39.
Dan Sabda Nabi shallallahu
‘alaihi wasallam:
إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ
عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثٍ صَدَقَةٌ جَارِيَةٌ
وَعِلْمٌ يُنْتَفَعُ بِهِ وَوَلَدٌ
صَالِحٌ يَدْعُو لَهُ.
Maksudnya:
Apabila
manusia telah meninggal dunia, maka terputuslah amal usahanya kecuali tiga
hal iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh (lelaki atau
perempuan) yang berdoa untuknya. -
Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab
al-Ahkam, no: 1297.
Oleh itu bagi masyarakat Islam di
Malaysia yang berpegang teguh dengan mazhab Syafi’i sewajarnya meninggalkan
amalan Tahlil ataupun Kenduri Arwah yang bid’ah ini bukan
hanya pada malam-malam bulan Ramadan tetapi juga pada bulan-bulan yang lain.
Sesungguhnya ketika Allah Subhanahu wa Ta’ala mewafatkan
Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, agama Islam itu sudah lengkap
dan apa-apa ibadah yang bukan sebahagian dari agama ketika itu maka ianya
bukan sebahagian agama Islam selama-lamanya. Telah berkata Imam Malik bin
Anas rahimahullah:
Sesiapa
yang membuat bid’ah dalam Islam dan menganggapnya baik (hasanah) maka
dia telah mendakwa Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam mengkhianati
risalah. Ini kerana Allah telah berfirman:
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ
دِينَكُمْ
Maksudnya:
Pada
hari ini aku telah sempurnakan agama kamu. -al-Maaidah (5) : 3
Apa
yang pada hari tersebut bukan sebahagian dari agama, maka ia tidak menjadi
sebahagian dari agama pada hari ini. -
Penulis nukil dari kitab Meluruskan Tafsir Bid’ah karya Alwi
bin Abdul Qadir al-Seqaf, ms. 14.
|
Sebuah blog tentang kehidupan, inspirasi dan pengalaman. Menjurus keredaan Allah swt. (Experience of living, inspiration,to get pleasant of Allah )
Tuesday, 12 May 2015
SOLAT TARAWIH CARA NABI SAW
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Thanks for your comments, I will reply soon.