RAIHANPAHIMI

publish your book for free?AFF=9142

Saturday, 30 May 2026

AMANAH DAN KEMPIMPINAN

Dari Rumah Nabi Bermulanya Kepercayaan Malam itu Ayah Chik berdiri di pentas memulakan syarahan, nada serak basah sang ayah yang makin dimamah usia, isinya terus menyentuh perkara besar. Bila dengar tentang sistem perbankan mungkin kita terus terbayang bangunan besar, sistem moden, akaun simpanan dan teknologi. Hakikatnya asas bank bukan bermula di situ, ia bermula dari sesuatu yang jauh lebih awal dan jauh lebih dalam, iaitu kepercayaan. Di zaman Nabi di Mekah, orang Quraisy mempunyai satu amalan. Bila mereka ada barang berharga seperti emas, harta atau amanah, mereka tidak simpan sendiri. Mereka hantar ke rumah Nabi. Padahal mereka tak beriman kepada Nabi, malah mereka menentang Baginda. Namun dalam satu perkara mereka tidak pernah ragu dengan amanah Nabi. Rumah Nabi bersama Khadijah menjadi tempat orang menyimpan harta, rumah itu jadi lokasi orang meletakkan kepercayaan. Kalau mahu difahami secara mudah, di situlah asas kepada sistem simpanan atau perbankan yang paling awal dalam sejarah manusia. Ia bukan dibina dengan bangunan atau teknologi, ia dibina dengan akhlak. Kemudian Ayah Chik membawa jemaah kepada satu peristiwa yang lebih besar. Saat Nabi ingin berhijrah ke Madinah, keadaan sangat genting. Rumah Baginda dikepung, musuh merancang untuk membunuh Baginda, nyawa berada di hujung tanduk. Namun dalam keadaan seperti itu, Nabi tidak hanya memikirkan keselamatan diri. Baginda masih memikirkan amanah yang berada di tangannya. Nabi berpesan kepada Ali supaya menangguhkan hijrah. Tugasan yang diberikan jelas, pulangkan semua barang amanah milik orang Mekah, pastikan tidak ada satu pun yang tertinggal. Padahal di saat begitu.. Orang Mekah menghina, menghalau dan mahu membunuh Nabi. Secara logik manusia, harta itu boleh saja diambil sebagai balasan atau pampasan, peluang terbuka luas. Nabi tak melakukan demikian, tak diambil walau sedikit, tak dikhianati walau secebis. Di situlah letaknya Islam yang sebenar. Amanah bukan hanya ketika bersama orang yang baik dengan kita, amanah tetap dijaga walaupun terhadap musuh. Dari peristiwa ini jelas bahawa asas bank tak bermula dari barat, ia tak datang dengan sistem atau produk canggih. Ia bermula dengan hati yang jujur dan amanah dalam diri. Jika amanah itu hilang, apa saja sistem yang dibina akan rosak walaupun dilabel Islam, jika amanah itu kuat, walaupun hanya sebuah rumah biasa, manusia akan datang menyerahkan harta tanpa ragu. Sejarah Nabi mengajar satu perkara yang sangat rare. Dunia mungkin tidak adil dengan kita, manusia boleh zalimi kita, hak kita boleh dirampas, nama kita boleh dijatuhkan. Namun dalam keadaan apa sekalipun, kita tak diberi lesen untuk mengkhianati amanah. Itulah bezanya orang yang takutkan Tuhan dengan orang yang tak merasa diri diperhati. Amanah adalah sifat jujur dari hati seorang mukmin yang tetap menjaga diri walau tiada siapa yang memerhati. Bila seseorang benar-benar menjaga amanah, dia akan disayangi Tuhan walau seluruh dunia berusaha menjatuhkan. Amanah dijaga, akhirat menunggu dengan penuh keadilan. Alif Mahari Jujurlah!

No comments:

Post a Comment

Thanks for your comments, I will reply soon.