RAIHANPAHIMI

publish your book for free?AFF=9142

Monday, 18 May 2015

Hasad Dengki,

Hasad Dengki, Khianat, Ancam Kesejahteraan Penduduk dan Ummah
Bismillahirrahmaanirrohim

Mengumpat ialah menceritakan atau menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain.  Manakala menghasut pula ialah mereka-reka cerita keburukan terhadap seseorang. Mengumpat dan menghasut ini seakan adik beradik.  Mula-mula mengumpat ...kemudian ia jadi hasutan.

PERASAAN hasad dengki boleh menyerang sesiapa saja dan penyakit jiwa itu sangat bahaya kerana bukan saja boleh merosakkan keperibadian diri, menyebabkan permusuhan dan boleh mengancam ketenteraman masyarakat. Dengki mendorong seseorang melakukan kemaksiatan seperti mengumpat, menghasut, memfitnah dan memburuk-burukkan orang lain. 

Benarlah ungkapan Imam Ghazali, bahawa hasad dengki akan melahirkan sifat tercela yang lain sehingga sukar diperinci satu persatu. Apabila perasaan dengki menguasai diri, hati tidak reda menerima qada dan qadar Allah Menyebabkan timbul perasaan benci melulu terhadap orang lain, kesempurnaan iman memerlukan seseorng menyayangi saudaranya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak beriman salah seorang kamu hingga ia mencintai untuk saudaranya apa yang ia cinta untuk dirinya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Penyakit hasad dengki sukar untuk dijauhi selagi mana ada terdetik perasaan tidak puas hati terhadap orang lain.

Penyakit itu sebenarnya memberi kesan besar kepada mereka yang dikuasai perasaan dengki, bukan orang yang menjadi mangsa dengki. Bahaya jika dijangkiti rasa dengki ialah perasaan hasil hasutan syaitan itu boleh menghancurkan segala kebaikan yang dilakukan selama ini seperti dijelaskan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hindarilah dengki kerana dengki itu menghancurkan kebaikan seperti mana api memakan kayu bakar.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Sebabnya ialah perasaan dengki membawa si pendengki melakukan perkara jahat seperti memfitnah, menghasut dan memutuskan hubungan orang lain dengan pihak yang di dengki itu. Perbuatan itu hakikatnya hanya merugikan si pendengki. Dengki adalah beban yang berat kerana hati sentiasa dipukul kegelisahan setiap kali melihat orang lain berjaya atau bahagia. Lidah akan menuturkan kata-kata berupa fitnah, cacian dan memperlekeh. Bukan itu saja, jiwa menyala perasaan marah, benci, curiga, kecewa dan kesal. Jiwa semakin terseksa sepanjang masa dan tidak pernah tenang. Inilah hasil daripada penyakit dengki yang membarah dalam hati. Allah berfirman yang bermaksud: “Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka seksa yang pedih.” (Surah Al-Baqarah, ayat 10) Sesungguhnya si pendengki tidak pernah mahu merasai apalagi meraikan kebahagiaan atau kejayaan dikecapi orang lain, tidak ingin memberi senyuman apalagi menghulurkan ucapan tahniah.

Jauh sekali untuk mengeluarkan tenaga membantu atau mendorong saudara lain supaya terus memperoleh kejayaan dalam hidup. Dengan itu, tergambar pada dirinya sedikit demi sedikit menyeleweng daripada watak keislaman seperti melenyapkan nilai agama yang suci pada dirinya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Menjalar kepada kalian penyakit umat (terdahulu), kedengkian dan kebencian. Itulah penyakit yang akan mencukur gondol. Aku tidak mengatakan bahawa penyakit itu mencukur rambut melainkan mencukur agama.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)

 Dengki adalah ciri orang munafik dan digambarkan mereka ini dalam al-Quran kerana sikap suka memperkecilkan niat pihak yang ingin membuat kebaikan. Ketika umat Islam ingin memberi infak dalam jumlah besar, dikatakan mereka riak dan apabila jumlah infak itu kecil, dikatakan Allah tidak memerlukan sumbangan yang kecil. Maka, turunlah firman Allah yang bermaksud: “(Orang munafik itu) iaitu orang yang mencela orang mukmin yang memberi sedekah dengan sukarela dan (mencela) orang yang tidak memperoleh (untuk disedekahkan) selain sekadar kesanggupannya. Maka orang munafik itu menghina mereka. Allah akan membalas penghinaan mereka itu dan untuk mereka azab yang pedih.” (Surah At-Taubah, ayat 79) 

Oleh itu, umat Islam yang ingin maju dan mendapat keredaan-Nya, haruslah berusaha bersungguh-sungguh menghindari sifat dengki serta menghayati ajaran Islam dengan penuh keimanan.



Wallahalam.

( sumber : Mohd Adid Ab. Rahman, Berita Harian, 06 Julai 2010 )

No comments:

Post a Comment

Thanks for your comments, I will reply soon.