Romi dan Juli (kedua-duanya bukan nama sebenar) berasal dari
dua kedudukan yang berbeza. Romi membesar di pasar bersama keluarganya yang
besar. Sementara Juli pula membesar di kuil bersama seluruh keluarga besarnya.
Setiap keluarga besar mereka mempunyai ketua dan mereka
saling tidak menyenangi di antara satu sama lain. Kawasan kuil menjadi kawasan
larangan bagi kabilah Pasar. sementara kawasan pasar menjadi kawasan larangan
bagi kabilah Kuil.
Mereka yang melanggar peraturan dan memasuki kawasan lawan,
mereka akan diserang beramai-ramai bagaikan kawanan mafia menyerang musuhnya.
Dan akan sekali lagi dihukum di kawasan sendiri, kerana tidak patuh kepada
undang-undang kabilah.
Begitulah sikap kefanatikan mereka terhadap kelompok masing-masing.
Dua dunia yang saling bertentangan walaupun hakikatnya mereka sama.
Namun tidak bagi Rumi dan Juli. Pertemuan pertama mereka
tanpa disengajakan itu telah membuahkan bibit cinta di antara mereka. Hanya
dengan sedikit usaha dari keikhlasan Rumi, cintanya berbalas. Mereka sekarang
sering bertemu secara sembunyi. Kisah cinta mereka sering berlayarkan
kawasan-kawasan selain pasar dan kuil.
Sehinggalah satu hari, Rumi dibawa ke kawasan kuil. Mungkin
kerana terlalu ramai orang di kuil ketika itu, ramai yang tidak perasan Juli
sedang membawa orang asing. Malah, mereka tidak menyedari orang asing itu dari
kabilah yang mereka benci.
Tetapi, tidak bagi ketua kabilah itu, hidungnya tajam
menghidu bau penceroboh. Dia segera mengeluarkan isyarat penceroboh, dan semua
pengawal-pengawal keluarga besar itu segera mencari ‘orang asing’. Akhirnya
Rumi dikesan sedang bergurauan dengan Juli di salah satu sudut kuil.
Tanpa belas kasihan, dia diserang dan dihalau keluar dengan
kasar. Juli tidak dapat melakukan apa-apa. Segalanya berlaku begitu pantas.
Dengan sedih, Juli hanya mampu melihat Rumi berlalu pergi dengan kekecawaan
yang berat.
Peristiwa tersebut benar-benar menghentak Rumi. Mungkin ini
pertama kali dia dipermalukan sedemikian rupa. Oleh kerana terlalu tertekan,
dia bersama kawan-kawannya bertindak liar. Mereka mengganggu keamanan setempat
dan mula merosakkan harta benda awam.
Juli semakin merindui Rumi. Dia nekad untuk meninggalkan
kawasan kuil dan mencari Rumi di luar sana. Dan tanpa berlengah, dia mengorak
langkah. Di tengah kesibukan, dia berjaya keluar tanpa dikesan. Dan sekarang
dia cuba menghala ke arah mana kali terakhir dia melihat Rumi pergi selepas
dihalau.
Setelah beberapa ketika berputar dan berlegar. Akhirnya, dia
menemui Rumi yang ketika itu sedang berehat dalam kemuraman. Pertemuan itu
sungguh tidak disangkakan Rumi, tetapi ianya bagaikan mimpi jadi kenyataan. Kerinduannya
terubat. Mereka akhirnya kembali bersama. Memenuhi ruang cinta yang kian kosong
hampa. Kini berseri dengan cahaya.
Tapi kegembiraan mereka juga tidak lama. Juli tidak sedar
rupanya dia kini di kawasan terlarang. Kawasan Pasar. Sebagaimana tajamnya
hidung ketua kabilah kuil, tak kurang juga sensitifnya ketua kabilah pasar.
Kehadiran Juli segera dikesan dan arahan mengesan segera dikeluarkan.
Kekecohan berlaku. Dan Juli sedar dia dalam bahaya. Tanpa
berlengah panjang, dia segera mengangkat langkah seribu. Dikejar
pengawal-pengawal kabilah yang datang dari serata arah. Rumi yang cuba
melindungi telah segera dihalang oleh pengawal-pengawal yang lain.
Oleh kerana Juli pantas bertindak. Dia berjaya menyelamatkan
diri dari diserang oleh pangawal-pengawal kabilah pasar. Dan kini dia telah
selamat kembali ke kawasan Kuil.
Tanpa disedari, kekecohan di pasar telah menarik perhatian
keluarga besar Kuil. Mereka dengan jelas melihat bagaimana ahli kabilah mereka
dipermalukan. Ini benar-benar memarakkan lagi apa kemarahan kabilah Kuil.
Akhirnya, ketua mengeluarkan arahan untuk keluar dan menyerang kabilah pasar.
Kedatangan bala tentera kabilah kuil benar-benar
memeranjatkan. Kabilah pasar juga tidak segan silu menentang pencerobohan
besar-besaran itu. Maka berlakulah peperangan yang maha dahsyat itu. Tanpa
persenjataan yang hebat, ramai yang cedera parah dan tumbang. Akhirnya, kabilah
pasar terpaksa berundur. Peperangan itu berakhir dengan kemenangan kabilah
Kuil.
Rumi turut cedera. Kakinya kini tempang. Bertambah malang,
dia kini dihalau oleh kabilahnya. Dihukum atas kelalaiannya mentaati peraturan,
kerana mabuk dibius cinta. Oleh kerana tiada tempat lagi hendak dituju. Dia
mengambil keputusan untuk pergi jauh. Landasan kereta api itu dikatakan tempat
terakhir kelibat Rumi terlihat.
Juli semakin murung. Setelah kejadian itu, tidak sedikit
usaha yang dia cuba lakukan untuk mencari Rumi. Namun segalanya hampa.
Kisah cinta mereka berakhir begitu sahaja. Betapa mahal
bayaran yang terpaksa dikeluarkan hasil cinta terlarang tersebut. Perbalahan,
kecederaan, kemusnahan dan yang paling tak tertahankan adalah kesan sakit dan
rindu di dalam hati yang merana.
Wallahu’alam.
By Shahmuzir
(Saya petik dari kiriman seorang kenalan di Facebook)
Sumber : Salurang Dokumentari Animal Planet – ASTRO
No comments:
Post a Comment
Thanks for your comments, I will reply soon.