RAIHANPAHIMI

publish your book for free?AFF=9142

Tuesday, 19 May 2015

TEPATI JANJI - KENAPA SUKAR ?

Tepati janji dan persoalaannya dalam Islam

Islam telah mengajar penganutnya agar sentiasa memperlihatkan kematangan dalam segenap tindak-tanduk, ini termasuk cara penampilan diri, cara bermuamalah, berpendidikan, berkeluarga, berpolitik, berekonomi, berjiran, bersahabat, tidak kurang juga pengamalan kepada akhlak-akhlak terpuji seperti menepati janji. Ini kerana orang yang memungkiri janji termasuk dalam katogeri manusia yang dilabelkan sebagai talam dua muka, tindakan itu dilarang keras oleh baginda Rasulullah s.a.w., justeru mereka yang terbabit dalam kategori ini jelas disebut sebagai golongan munafik, wal 'iyazu billah.
Ia sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: Empat ciri jika seorang Muslim itu memilikinya, maka dia menjadi seorang munafik tegar melainkan selepas itu dia meninggalkannya:

 "Jika diberikan sesuatu amanah dia cabulinya, jika dia bercakap dia berdusta, jika dia berjanji dia memungkirinya dan jika dia bertelingkah dia celupar."

Jelas daripada apa yang ditegaskan Nabi melalui hadis tersebut di atas, membayangkan kepada kita betapa memungkiri janji adalah satu perbuatan negatif yang melayakkan seseorang Muslim itu digelar munafik, apa yang membimbangkan kita ialah golongan munafik ditempatkan Allah di bawah sekali dalam api neraka, tempat yang paling dekat dengan api yang membakar.

Sesungguhnya apabila seseorang Muslim itu mampu menunaikan sesuatu janji terhadap saudara Muslimnya yang lain, maka sebenarnya dia telah melakukan satu tuntutan agama yang amat besar dalam hidupnya, malah dia berhak mendapat naungan daripada Allah dalam segenap aktiviti kehidupan hariannya sebagai Muslim yang baik.

Bagi membuktikan kesahihan kenyataan di atas, berikut disebut satu kisah benar berhubung nilai seseorang Muslim yang berusaha untuk menunaikan janjinya seperti yang disebut oleh Syeikh Taha Abdullah al-'Afifi dalam kitabnya 'Wasiat-wasiat Rasulullah':

Terdapat seorang lelaki beriman pada zaman silam yang amat memerlukan wang untuk berbelanja dan mahu meminjam sejumlah wang daripada orang lain, namun si pemiutang tidak dapat membawa seorang saksi dalam urusan peminjaman wang. Walau bagaimanapun pemberi hutang itu reda dan sedia untuk memberikan sejumlah wang yang diminta dan berkata bahawa cukuplah Allah sebagai saksi. Dengan niat yang baik kerana Allah, pemiutang berjanji pada dirinya sendiri akan membayar hutang-hutangnya bila ada wang yang mencukupi untuk berbuat demikian, niat baiknya itu dibantu Allah dan memperkasa dirinya untuk sedia membayar.

Dengan niat baik untuk membayar, maka Allah SWT memudahkan urusannya berbuat demikian, satu hari dia bertekad untuk bertemu dengan pemberi hutang bagi melunaskan segala hutangnya, tiba-tiba takdir Allah mengatasi segala-segalanya, jambatan yang menghubungkan dua kampung dan memisahkan antara pemiutang dan pemberi hutang roboh akibat banjir besar, kerana takut jika dia (pemiutang) tidak menunaikan janji, maka dia telah meletakkan sejumlah wang yang dipinjam dahulu dalam sebatang kayu berlubang dan tertulis padanya daripada pemiutang kepada pemberi hutang, kayu itu pun dihanyutkan ke dalam sungai dan dia terus berdoa semoga hutang-hutang yang dilunaskannya diselamatkan Allah.

Kehendak Allah mengatasi segala-segalanya apabila pemberi hutang yang jarang turun ke sungai tiba-tiba muncul di situ dan mendapati ada sebatang kayu yang dihanyutkan tertulis namanya daripada pemiutang, beliau bersyukur kepada Allah atas pertolongan-Nya. Walau bagaimanapun pemiutang masih dibelenggu keadaan sugul sama ada hutangnya sampai ataupun tidak, setelah jambatan itu dibaiki, pemberi hutang terus mencari pemiutang di kampung bersebelahan bagi mengkhabarkan berita baik itu, masing-masing gembira dan bersyukur kepada Allah kerana niat baik untuk menunaikan janji dikabulkan Allah.

Daripada kisah benar di atas, dapatlah disimpulkan bahawa menepati janji itu boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian:

1-Menunaikan janji terhadap Allah Ia lebih kepada janji seorang muslim itu untuk melaksanakan segala hukum Allah dalam al-Quran seperti hukum-hukum hudud, qisas, mendirikan solat, puasa, zakat, haji agar tidak dilabelkan Allah sebagai orang munafik.

2- Menunaikan janji terhadap Rasulullah Iaitu berjanji untuk mengikut segala tunjuk ajar baginda, menghidupkan sunnah-sunnahnya bagi meraih tempat terbaik di sisi Nabi pada hari kiamat.

3- Menunaikan janji terhadap kedua ibu bapa Untuk menjadi anak-anak yang solih semasa kehidupan keduanya ataupun selepas kematian mereka.

 4- Menunaikan janji sesame manusia Menepati waktu ketika berjanji dengan tidak melewatkan masa, kerana kelewatan masa akan menjejas kredibilitinya begitu juga dalam perkara berhutang, hendklah dia berniat untuk melunaskannya dan niatnya itu akan ditunaikan Allah.

5- Menunaikan janji pada diri sendiri Berjanji untuk menjadi seorang hamba Allah yang baik, bukan sahaja sebagai seorang Islam, malah berusaha untuk meningkatkan diri untuk menjadi insan yang beriman dan seterusnya bertakwa kepada Allah dalam tingkah lakunya, ibadatnya, seluruh hidupnya, matinya adalah hanya untuk Allah SWT sahaja.

Apapun bila setiap tindakan yang kita buat disandarkan kepada agama, pasti ia akan dipancari dengan roh Islam termasuklah dalam isu menepati janji sesama manusia. Dan kita perlu ingat jika janji tidak ditepati, orang yang kita mukiri janji itu mengalami tekanan persaan yang amat sangat kerana mungkin janji yang kita lafazkan sebelum ini kepadanya membuatkan dia menaruh pengharapan yang tinggi dan juga telah membuat sesuatu perancangan yang melibatkan kos dan masa.

Apabila diketahui janji yang diberi sebelum ini tidak di tetapi maka ianya mengalami kerugin dari segi masa dan wang ringgit. Timbul perasaan kecawa dan berdukacita. Cuba kita yang tidak menunaikan janji itu mengalami setuasi yang sama apakah perasaan kita.? Fikir-fikirkanlah.

Mungkin hari ini kita rasa tidak ada apa-apa kesan kepada kita yang mungkiri janji, tetapi satu masa hadapan kita juga akan mengalami masalah yang sama, Allah itu Maha Adil.

Wallahu’alam


Sumber: Tazkirah


No comments:

Post a Comment

Thanks for your comments, I will reply soon.