Sahabat tikam belakang? Pernahkah anda
mengalaminya?
“Sebaik-baik sahabat disisi Allah ialah orang yang terbaik
terhadap temannya dan sebaik-baik jiran disisisi Allah ialah orang yang terbaik
terhadap jirannya” (H.R al-Hakim)
“Teman yang
paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah,
mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat
mati..” (Haslinda Lukman, Majalah Cahaya Feb 06)
Dalam Islam, faktor
memilih kawan amat dititikberatkan. Hubungan persahabatan adalah hubungan
yang sangat mulia kerana sahabat berperanan dalam membentuk personaliti
seseorang individu. Ada sahabat yang sanggup menghulurkan tangan ketika kita
susah dan menjadi peneman di saat kita sedang berduka. Namun, tidak kurang juga
sahabat yang hanya tahu menumpang kesenangan di atas sahabat yang lain. Bila
sekali kita jatuh, jangankan hendak menghulurkan tangan, memandang wajah kita
jauh sekali. Saya yakin, bukan sahabat jenis ini yang anda mahukan.
Sahabat? Apa itu
sahabat?. Ada orang kata sahabat itu macam bulu tangkis, belum main dipegang,
bila main dipukul. Ada juga orang kata sahabat itu diiibaratkan macam bola
ragbi, belum dapat direbut, dah dapat dilindung dan dijaga. Apa pun
takrifannya, bagi saya seorang sahabat itu amat sukar dicari, lebih sukar
ditinggalkan, dan mustahil dilupakan, seorang sahabat yang sanggup berkongsi
suka duka dan menyelami perasaan sahabatnya yang lain, menghulurkan tangan di
kala kita memerlukan pertolongan dan bantuan. Berbeza dengan istilah kawan,
bergantung kepada individu untuk mendefinisikannya, tetapi bagi saya seorang
kawan tidak ada yang istimewa, hanya sesuai untuk dijadikan tempat berborak dan
biasanya kawan untuk bergembira lebih ramai daripada kawan berduka.
Apakah ciri-ciri
sahabat yang baik? Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya: ”Wahai
anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka
hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti ini ; jika engkau berbakti
kepadanya, dia akan melindungi kamu; jika engkau rapatkan persahabatan
dengannnya, dia akan membalas balik persahabatan kamu; jika engkau memerlukan
pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu; jika engkau menghulurkan
sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik; jika dia
mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau
menyebut kebaikan kamu. “Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada
kamu, dia akan menutupnya; jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan
mengusahakannya; jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia
akan menanyakan kesusahan kamu; jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia
akan meringankan kesusahan kamu; jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia
akan membenarkanmu; jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu
kamu; jika kamu berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk
menjaga kepentingan persahabatan; dia membantu menunaikan tanggugjawab serta
melarang melakukan perkara buruk dan maksiat; dan yang terakhir sekali ialah
dia mendorongmu dalam mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat dengan
memgajakmu untuk mendekati Allah setiap masa.
“Pernahkah sahabat
anda menikam anda daripada belakang?. Apakah perasaan anda ketika itu?
Adakah marah, pedih, perit, benci atau dendam bermaharajalela di dalam hati
anda?. Daripada apa yang saya faham, tikam belakang ini merupakan satu tingkahlaku
di mana seorang sahabat bermuka-muka depan sahabatnya yang lain. Sebagai
contoh, depan kita segala-galanya baik, manis tetapi di belakang kita, dialah
gunting dalam lipatan. Segala rahsia dan amanah yang kita kongsikan bersama
dengannya, habis dijaja kepada orang lain dan yang lebih menakutkan apabila
ianya melibatkan maruah kita. Perbuatan seperti ini tidak memberi manfaat malah
lebih memburukkan keadaan kedua belah pihak dan juga masyarakat sekeliling yang
telah mengetahui perkara sedemikian. Secara tidak langsung, pihak yang telah
ditikam belakang itu tadi akan merasa ditindas, dianiayai dan dimalukan oleh
sahabat sendiri. Tikam belakang biasanya terjadi apabila seseorang itu
menyimpan perasaan iri hati terhadap orang lain, tidak berasa senang dengan apa
yang mereka ada, cemburu dan dengki di atas kejayaan orang lain.
Dalam urusan bisnes
pula, seseorang itu sanggup menikam sahabat mereka demi untuk mencapai apa yang
diingininya, menjatuhkan sahabat sendiri dan mentertawakan mereka setelah
berada di puncak. Selain itu juga, bagi mereka yang menyimpan dendam terhadap
seseorang mungkin menjadi salah satu punca tikam belakang berlaku dalam
persahabatan. Demi kerana dendam yang tidak berbalas, individu ini sanggup
mengambil jalan mudah untuk menganiaya sahabat sendiri sekalipun bersahabat
selama bertahun-tahun. Akibat daripada insiden tersebut, hubungan
individu dengan sahabatnya akan menjadi renggang seterusnya menjadi penghalang
untuk mereka kembali menjadi intim. Keadaan ini akan berterusan, mungkin untuk
sebulan, setahun atau mungkin selama-lamanya, bergantung kepada mereka yang
mengalaminya dan sejauh mana kekuatan diri mereka dapat bertahan.
Adakalanya, mereka
yang pernah ditikam belakang ini akan menyimpan perasaan dendam sekalipun
mereka telah memaafkan individu yang menganiaya mereka. Ini kerana, bukan mudah
bagi mereka untuk melupakan apa yang telah diperlakukan ke atas mereka lebih
lagi jika ianya melibatkan maruah mereka yang telah tercalar dan diketahui oleh
umum. Oleh itu, berwaspadalah bila kita berbicara kerana kita tidak sedar
adakalanya kita membuka cerita orang lain sehingga boleh mendatangkan aib pada
individu yang terbabit.
Di sini ada beberapa
responden yang pernah dianiaya oleh sahabat sendiri, lebih lagi jika sahabat
itu merupakan tempat kita berkongsi segalanya sehinggakan ahli keluarga
keduanya telah pun saling mengenali.
Ikuti kisah benar ini.. “Saya
bersahabat dengan S ketika saya menjalinkan hubungan dengan A. Pada ketika itu,
S memang mengetahui hubungan kami dan tidak putus-putus menyatakan doanya agar
kami dijodohkan bersama. Ibu bapa saya juga mengetahui perhubungan di antara
kami bertiga. S saya anggap seperti kakak sendiri dan ibu saya menganggapnya
sebagai anak. Hubungan kami memang intim sehinggakan tiap kali saya dan A
keluar, S akan turut serta. Hari-hari yang dilalui memang indah tetapi ianya
tidak ke mana. Pada mulanya saya tidak mengesyaki apa-apa, namun setelah saya
perhatikan, A dan S seakan-akan mempunyai hubungan istimewa tetapi
merahsiakanya daripada saya. Suatu hari saya di kejutkan dengan berita yang
tidak saya jangkakan langsung.
A dan S memberitahu saya mengenai perancangan
mereka untuk membina masjid pada tahun ini. Dan mereka mahukan saya berada
dalam majlis tersebut. Kata mereka, kehadiran saya amat penting. Saya jadi
bingung, di mana harus saya letakkan maruah saya yang yang telah tercalar,
depan-depan saya mereka guris perasaan saya, hancur dan remuk hati saya. Di
waktu itu, hanya Allah sahaja yang tahu betapa luluhnya hati ini. Tergamak
mereka berbuat demikian.
Adakalanya saya
bermonolog sendirian, apakah silap saya hinggakan mereka sanggup menganiaya
sahabat dan kekasih sendiri?. Saya sudah memaafkan mereka tetapi untuk menerima
mereka kembali dalam hidup saya, itu sesuatu yang mustahil dan tidak mungkin
saya lakukan sekalipun mereka merayu.” Begitulah luahan hatinya
Sebagai sahabat, tidak
sepatutnya perkara sebegini berlaku, lebih-lebih lagi kita sedia maklum yang
sahabat kita sudah mempunyai seseorang yang istimewa dalam hidupnya. Dan
sebagai seorang kekasih, janganlah kita bersikap seolah-olah tiada perasaan
setelah kata-kata manis dan segala janji telah ditabur kepada pelajar tersebut.
Seterusnya, mari kita
ikuti cerita Norlaila, juga seorang pelajar U. “ Dalam bersahabat, tidak
semuanya baik. Kadang-kadang sahabat ni hanya tahu bermuka-muka. Depan kita,
manisnya ayat, lembut gigi dari lidah. Belakang kita, segalanya diperkatakan
hingga tidak sedar yang kita telah mengaibkan individu lain. Macam seorang
sahabat saya ni, dahulu kami rapat dan saling bercerita serta berkongsi
masalah. Tetapi satu hari, sahabat saya ni sanggup bercerita buruk di belakang
saya. Geramnya Tuhan sahaja yang tahu. Saya ni penyabar orangnya dan tidak
berdendam. Saya tidak akan serang orang tersebut, tetapi kalau tingkahlakunya
melebihi batasan, tidak mustahil saya “meletup”. Bagi saya, mungkin dia ingin
dilihat sempurna di mata orang lain atau mungkin juga ada faktor lain. Hubungan
kami pun sudah renggang dan adakalanya hanya sekadar bertegur sapa sahaja.
Susah untuk mencari sahabat yang betul-betul sahabat, yang ada hanya kawan yang
menemani di saat kita gembira sahaja.”
Itulah dua responden
yang telah sudi berkongsi pengalaman mereka mengenai tikam belakang. Di sini,
ada beberapa pandangan dari tutor Kaunseling, FKP. Kita ikuti apa kata En Mohd
Isa Amat. “ Tikam belakang atau backstabbing merupakan
satu keadaan di mana sahabat karib telah melakukan satu perkara yang tidak
sepatutnya kepada sahabat sendiri. Bergantung kepada individu, adakah tikam
belakang ini satuhabit atau perlu berbuat begitu untuk melindungi
atau untuk mengelakkan dirinya daripada menerima akibatnya. (bergantung kepada
situasi). Perkara ini berlaku apabila tiga elemen ini bergabung iaitu fikiran,
tingkahlaku dan perasaan. Tiga elemen ini penting dalam perlakuan kita
seharian. Apabila ianya bergabung, maka perbuatan adalah perkara terakhir.
Adakalanya kesannya lebih teruk bagi kedua belah pihak sehinggakan membawa
kepada kebencian tetapi kita kena bijak membezakan sama ada kita membenci empunya
diri atau perbuatannya.” Begitulah penerangan dari En. Isa.
Seterusnya, seorang
lagi tutor di U menghuraikan dengan
lebih jelas lagi mengenai tikam belakang. “ Pada saya, istilah tikam
belakang ialah apabila sahabat telah melakukan satu perkara di luar jangkaan
sahabatnya dan buat kita rasa dikhianati. Istilah sahabat berbeza dengan
istilah kawan. Punca berlakunya perbuatan sedemikian disebabkan perasaan iri
hati dan kerakusan. Sebagai contoh, apabila seseorang itu inginkan sesuatu
dengan cara yang cepat, dia mahu tunjukkan kepada orang ramai yang dirinya
berkuasa dan lebih mantap. Secara idealistik, perkara ini tidak sepatutnya
terjadi tetapi ianya merupakan satu pengalaman yang setiap orang pernah
mengalaminya atau mungkin akan mengalaminya. Orang kata, bila bersahabat kita
tidak boleh memilih, tetapi itu silap. Kita kena bijak memilih sahabat kerana
sahabat dapat menceriakan diri kita. Jangan sesekali kita risau tidak ada orang
yang ingin bersahabat dengan kita kerana dunia ini luas dan ramai lagi yang
ingin bersahabat dengan diri kita dan menerima diri kita seadanya. Sebelum
pisang berbuah dua kali, pilihlah sahabat yang benar-benar sahabat.”
Daripada imbasan
cerita diatas, dapat dirumuskan bahawa sahabat tikam belakang adalah lumrah
dalam kehidupan di dunia yang fana ini. Ini disebabkan manusia secara semulajdi
mempunyai sifat cemburu, iri ihati dan dendam kesumat. Bagi mereka yang tidak
dapat mengawal perasaan mazmumah ini dia mudah digoda oleh syaitan untuk
melakukan segala pebuatan yang dilarang oleh Islam. Oleh itu perlulah kita
berwaspada dalam memilih sahabat semoga tidak terjadai “Sahabat yang Tikam
Belakang”.
No comments:
Post a Comment
Thanks for your comments, I will reply soon.