RAIHANPAHIMI

publish your book for free?AFF=9142

Monday, 20 July 2015

Perkahwinan Paling Berkat Adalah Paling Murah Belanjanya (Ustaz Azhar Idrus).


Sekarang ini musim kenduri kahwin di sana sini, semua pihak yang  terlibat baik ibu bapa, pengantin lelaki dan perempuan sibok dengan pelbagai persiapan untuk mengadakan Majlis perkahwinan. Wang ringgit dan masa banyak digunakan untuk menyempurnakan Majlis Raja Sehari. Perbelanjaan untuk majlis ini melibatkan puluhan ribu hingga ke ratusan ribu ringgit.

Betapa mahalnya untuk mengadakan satu majlis perkahwinan pada zaman sekarang. Purata 'belanja hangus' buat kenduri sahaja perlu ada kira-kira RM20 000. Itu paling kurang.

Jika lelaki, belum termasuk belanja duit hantaran yang diminta pihak perempuan dan persediaan pindah ke rumah baru. Congak-congak, keseluruhan majlis & urusan kahwin boleh mencecah sehingga RM40 000 (ada yang jauh lebih tinggi). Seorang kawan perempuan mencelah, "patutla, ramai lelaki tidak berani nak komit kahwin..." (Ini kena tanya orang lelaki).

Sedihnya, kesan dari belanja kahwin yang semakin meningkat menyebabkan ramai pasangan muda berkahwin dengan membuat pinjaman peribadi. Walaupun, tiada statistik rasmi, saya percaya, anda kenal seorang atau dua kawan-kawan yang pernah membuat pinjaman peribadi (atau anda sendiri) bagi urusan perkahwinan. Mari kita cuba fahami mengapa pasangan (terutama lelaki) perlu meminjam untuk berkahwin...

Nilai hantaran yang diminta pihak perempuan tinggi antara RM10,000 ke RM30,000

Kos membuat sekurang-kurangnya satu majlis kahwin tinggi antara RM7500 ke RM12500 (anggaran RM25 per pax)

Urusan pindah rumah & deposit sewa semakin tinggi antara RM2000 ke RM6000

Katakanlah Mamat & Minah yang baru habis belajar di universiti mahu terus mengikat perkahwinan dan mereka mahu membuat majlis yang sederhana tetapi meriah. Minah yang baru Ijazah Kelas Pertama ingin membantu Mamat dengan hanya meletakkan hantaran bernilai RM5000 dengan membuat hanya satu majlis perkahwinan untuk mereka berdua. Dijangka 500 orang sanak saudara & kawan-kawan akan hadir. Kemudian, urusan pindah rumah dan membeli serba sedikit perabot mungkin sekitar RM2000. Bajet keseluruhan majlis dianggarkan RM19,500 (RM5000 + RM12500 + RM2000).

Saya dapat bayangkan si Mamat akan mula mencongak belanja kahwinnya RM19500. "Kat mana aku nak cari duit sebanyak itu? Aku pun belum kerja lagi...".

Selalunya, 2 perkara yang terlintas di benak si Mamat

"Aku boleh kerja dulu dan simpan setiap bulan. Kalau gaji aku RM2000, tiap-tiap bulan, aku simpan separuh. Dalam tempoh 20 bulan atau lagi 2 tahun, boleh la aku kahwin" atau...

"hish... aku dah sayang sangat pada si Minah, pinjam bank je la"

Keputusan ini sebenarnya, Mamat tidak perlu fikir seorang diri. Bincang dengan keluarga. Dan, berbincanglah dengan Minah. Kasih sayang dalam perkahwinan adalah kombinasi komunikasi, sakinah, mawardah dan warahmah. Mendapat keberkatan dalam sesebuah perkahwinan adalah jauh lebih penting dari mengadakan kenduri besar-besaran yang berlandaskan hutang.

Satu paradigma harus diubah di dalam masyarakat supaya tidak meletakkan 'piawaian saiz perkahwinan'. Besar kecil sesuatu majlis perkahwinan mestilah berdasarkan kemampuan. Jika bajet kecil, tidak perlu hidangkan nasi beriani, cukuplah sekadar hi-tea. Majlis perkahwinan adalah majlis resepsi untuk sanak saudara & kawan-kawan berkenalan mesra dengan teman hidup anda. Cadangan saya, anda dan pasangan boleh cuba untuk memikirkan kaedah kreatif yang tidak memerlukan banyak modal untuk satu majlis perkahwinan.

Pasangan yang ingin berkahwin, sedarlah...

Hadis riwayat Ahmad dan al-Hakim, "kebanyakan perempuan yang berkat perkahwinannya ialah mudah (rendah) perbelanjaan (mahar)".

hantaran kahwin seharusnya adalah pemberian ikhlas pihak lelaki dan bukannya paksaan oleh pihak perempuan

janganlah mendekati hutang di awal perkahwinan

muafakat antara pasangan sebelum perkahwinan membawa keberkatan yang berterusan dalam perkahwinan

jangan gunakan alasan duit tiada untuk tidak berkahwin dan mengambil keputusan untuk terus membujang

belajar untuk jadi kreatif dalam menangani bajet yang kecil untuk melangsungkan perkahwinan.

Sebagai ibu bapa yang bertanggung jawab kita semua perlu bertanggung jawab untuk mengubah budaya yang kurang sihat ini. Kita perlu kembali kepada ajaran yang di bawa oleh Nabi Muhammad saw yang mengajurkan supaya di permudahkan urusan perkawhinan. Oleh itu ambil sikap untuk permudahkan urusan perkahwinan anak, bukanya untuk menunjukkan kepada orang siapa yang lebih mahal maskahwin dan besar majlis perkahwinan.

Yang penting urusan perkahwian di permudahkan dan membelanja untuknya berdasarkan kemampuan pasangan yang akan berkahwin. Janganlah kita bermegah-megah dengan Majlis Perkahwinan yang mahal dan grand, sedangkan selepas majlis perkahwinan anak menantu yang sakit kepala untuk membayar hutang keliling pinggang. Ini menyebabkan suasana hubungan suami isteri dalam keadaan stress, silap bari bulan rumah tangga berkecai dek bebanan suami menaggung hutang.

Doa saya semoga anda dan pasangan dapat membina hidup bersama dengan tenang dan tanpa perlu pening memikirkan hutang keliling pinggang. Perkahwinan hanya permulaan kepada lebih banyak cabaran yang mendatang dalam melayari bahtera rumah tangga

Wallahu’alam.


Sumber : bicara alam maya

No comments:

Post a Comment

Thanks for your comments, I will reply soon.