Masalah komunikasi
antara pasangan berkahwin dikenalpasti menjadi faktor yang boleh menyebabkan
sesebuah rumah tangga yang dibina walaupun atas dasar cinta rapuh sehingga
boleh membawa kepada perceraian.
Keadaan itu akan bertambah meruncing jika pasangan yang
berkahwin tidak mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang secukupnya
untuk melayari alam berumahtangga.
Kaunselor di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga
Negara (LPPKN), Suriani Buang, berkata pasangan yang berkahwin pada usia muda
lebih terdedah dengan pelbagai cabaran yang jika tidak diatasi boleh
menyebabkan keadaan bertambah buruk lagi.
Katanya, komunikasi antara lelaki dan wanita sangat
mempengaruhi perjalanan sesebuah rumah tangga sama ada akan mewujudkan suasana
yang harmoni, gembira atau sebaliknya.
“Komunikasi antara suami dan isteri berbeza kerana golongan
suami lebih bersikap rasional berbanding isteri yang lebih emosional.
“Begitupun, kedua-duanya perlu memahami tingkah laku dan
perasaan pasangan masing-masing serta bertolak ansur untuk menyelesaikan
masalah yang timbul bersama,” katanya mengulas mengenai masalah perceraian yang
berlaku ke atas sesebuah perkahwinan dalam tempoh singkat atau kahwin spring
ini.
Menurutnya, suami atau isteri perlu memahami
sedalam-dalamnya sikap pasangan mereka sebelum berkahwin bagi menyesuaikan diri
terutamanya selepas berumahtangga.
Selain itu katanya, masalah seksual juga menjadi antara
faktor penyumbang kurangnya persefahaman suami isteri sehingga mengeruhkan
suasana dalam rumah tangga.
Suriani berkata, hubungan kelamin suami isteri menjadi salah
satu perkara yang perlu diberi perhatian serius oleh pasangan yang berkahwin
tanpa perlu rasa malu untuk membincangkannya.
“Dalam hal ini (hubungan kelamin suami isteri) pasangan
tidak perlu malu atau takut untuk mengaku kelemahan atau masalah yang dihadapi
kerana jika mendiamkan diri ia tidak akan selesai malah ada yang bertindak
memohon perceraian.
“Pasangan tidak perlu khuatir kerana masalah ini boleh
diatasi melalui perbincangan sesama mereka atau mendapatkan pandangan pakar
supaya ia tidak berlarutan,” katanya.
Dalam melayari rumah tangga katanya, suami atau isteri perlu
mempunyai matlamat yang jelas supaya ikatan yang dibina dapat berjalan di
landasan yang benar.
Menurutnya, jika sesebuah perkahwinan itu hanya mengikut
hawa nafsu semata-semata tanpa melihat ke hadapan, sesuatu pasangan itu tidak
dapat menguruskan rumah tangga dengan baik.
Kerana itu katanya, pasangan perlu memahami tanggungjawab
serta komitmen yang perlu dilakukan apabila melangkah ke alam perkahwinan.
“Perkahwinan bukan satu perkara mudah kerana banyak perkara
perlu dititikberatkan bukan sahaja di dalam keluarga itu sendiri tetapi
membabitkan pihak terdekat seperti keluarga mertua, saudara mara dan
sebagainya,” katanya.
Suriani berkata masalah yang timbul boleh diselesaikan
dengan baik bukannya mengikut perasaan kerana dalam berumah- tangga pendekatan
terbaik hanyalah dengan mengadakan perbincangan.
Sekiranya langkah itu tidak berkesan katanya, pasangan boleh
mendapatkan bantuan pihak ketiga seperti kaunselor, keluarga atau rakan-rakan
yang boleh memahami seterusnya membantu mengatasi masalah yang timbul.
“Dalam perkahwinan masalah akan ada dan pasangan perlu
mengetahui cara atau pendekatan sesuai menghadapinya supaya tidak bertambah
rumit.
“Begitupun, apa yang penting pasangan perlu memahami bukan
sahaja orang lain tetapi diri sendiri kerana semua yang berlaku adalah bermula
dari diri sendiri,” katanya.
Selain itu, Suriani juga meminta pasangan yang belum
berumahtangga dapat mewujudkan persefahaman yang jitu agar mereka dapat
mengenali pasangan masing-masing dengan lebih dekat lagi supaya masalah yang
timbul kemudian hari dapat diatasi secara bersama dengan baik.
PUNCA BERLAKUNYA PERKAHWINAN SINGKAT
– Masalah komunikasi
- Tidak mentaati perintah agama
– Tiada persefahaman
– Masalah hubungan seks suami isteri
– Sikap mementingkan diri sendiri
– Pasangan tidak memberikan kerjasama dengan baik
– Menjalin hubungan sulit dengan lelaki atau wanita lain
– Tiada pengetahuan ilmu rumahtangga
– Dipengaruhi pihak ketiga seperti keluarga atau orang
berpengaruh
– Tidak bertanggungjawab
– Mengabaikan nafkah isteri dan keluarga
– Menjalinkan hubungan sejenis
CARA UNTUK MENGATASI
_ Solat hajat mohon pertolongan Allah
– Bawa berbincang
– Cuba memahami sikap pasangan masing-masing
– Bertolak ansur, bekerjasama, bantu-membantu
– Meletakkan matlamat mewujudkan perkahwinan yang bahagia
– Membuat persediaan secukupnya: jiwa dan minda sebelum
berkahwin
– Dapatkan bantuan pihak lain seperti kaunselor
– Jangan bertindak ikut perasaan sebaliknya berfikir sebelum
bertindak
– Pelajari ilmu berumahtangga
– Sabar dan menerima pasangan seadanya
– Amalkan ucapan cinta, terima kasih dan maaf
SUMBER: LAMAN
NURANI ( khairole )
No comments:
Post a Comment
Thanks for your comments, I will reply soon.