PUASA BAIK UNTUK KESIHATAN - DAPAT MENGUBATI PENYAKIT ROHANI DAN JASMANI
Puasa Ramadan yang diwajibkan kepada orang Islam bukan
sahaja sebagai salah satu ibadat kepada Allah swt tetapi ianya juga mempunyai
kebaikan utuk kesihatan. Berpusa didapati dapat mengubat beberapa penyakit
kronik dan merbahaya seperti kecing manis, strok, kanser dan sebagainya.
Antara pembunuh-pembunuh utama ialah seperti sakit jantung,
strok, kanser dan sebagainya berpunca kebanyakannya dari pemakanan kita sendiri.
Sesuailah dengan hadis nabi yang bermaksud , “perut ialah rumah penyakit dan
puasa adalah raja segala ubat“.
Semua perintah Allah S.W.T yang Dia syariatkan, pasti
mengandungi faedah dan manfaat , begitu juga dengan semua yang dilarang oleh
Allah S.W.T pasti kerana adanya kemudharatan dan bahaya bagi hambaNya, baik
bahaya di dunia mahupun di akhirat. Baik difahami mahu pun tidak, baik di
sedari ataupun tidak pasti kerana bahayanya. Semua perintah dan larangan Allah
S.W.T ada HIKMAHnya
Begitu juga dengan puasa Ramadan yang akan kita jalani,
pasti mengandungi manfaat dan faedah yang tersendiri. Walaupun masih ada lagi
orang yang kalah dengan nafsunya beranggapan bahawa puasa itu hanya sebagai
beban yang memberatkan, atau hanya ujian keimanan dari Allah , atau hanya
sekadar suatu amalan ibadah yang berhak dihargai dengan suatu balasan dan
pahala, atau hanya sekadar untuk latihan pengekangan nafsu atau hanya sekadar
untuk mengangkat manusia dari darjat haiwan.
Di dalam agama lain pun ada diperintah penganutnya agar
berpuasa, cuma caranya sahaja yang berlainan dengan yang diperintah di dalam
Islam. Ada agama yang berpuasa tetapi bukan menahan lapar dengan tidak makan ,
tetapi hanya makan dan minum dalam bilangan yang lebih sedikit dari biasa. Itu
masih tetap tidak relevan untuk dipanggil puasa, dan tiada hikmahnya pun.
Kerana puasa yang berhikmah adalah puasa dengan tidak makan dari pagi hingga ke
maghrib, dengan merehatkan perut dari bekerja sepanjang tahun.
Kajian sains dan ilmu perubatan berkenaan kelebihan puasa
Para penyelidik ilmu perubatan telah membuktikan bahawa
puasa dapat membuang toksik / racun-racun dari badan dan secara tidak langsung
dapat meningkatkan sistem imunisasi tubuh dalam melawan penyakit. Menurut Dr.
Mac Fadon, seorang doktor dari Amerika, “Puasa adalah seperti tongkat ajaib
yang dapat menyembuhkan penyakit yang membabitkan perut.” Banyak kejayaan
beliau mengubati pesakit-pesakitnya dengan menganjurkan mereka agar berpuasa
sebagai alternatif kepada ubat-ubatan moden. Dan puasa bukan sahaja dapat
menjaga kesihatan dan melawan penyakit bahkan dapat juga menajamkan minda kita.
Dalam ilmu biologi, ketika perut dan usus melakukan proses
pencernaan, otak tidak dapat berfungsi dengan baik. Ini kerana tenaga dan
pengaliran darah tertumpu kepada kerja-kerja penghadaman makanan. Sebab itulah
apabila kita makan sampai terlalu kenyang, otak kita akan menjadi lemah untuk
berfikir dan tubuh pun akan rasa mengantuk dan malas. Ketika berpuasa, tenaga
dan pengaliran darah tertumpu kepada otak. Ini menjadikan otak dapat bekerja
dengan lancar dan memberi peluang kepada diri kita untuk melaksanakan
aktiviti-aktiviti yang menggunakan mental dan fizikal yang berkesan.
Dr. Alan Cott, Seorang pakar perubatan Amerika Syarikat
melaporkan terhadap penyelidikan psikologi membuktikan bahawa puasa
mempengaruhi darjah kecerdasan seseorang. Ujian dilakukan terhadap sekumpulan
orang yang rajin berpuasa dan sekumpulan orang yang tidak berpuasa.
Keputusannya, ternyata menunjukkan bahawa orang yang rajin berpuasa memperolehi
skor (markah) yang jauh lebih tinggi dalam ujian berbanding dengan orang yang
tidak berpuasa.
Puasa juga insyaAllah dapat menyembuhkan pelbagai penyakit.
Suatu kongres antarabangsa bertemakan “Kesihatan dan Ramadhan” telah diadakan
di Casablanca, Morocco pada tahun 1996. Pakar-pakar perubatan dari seluruh
dunia telah membentangkan lebih kurang 50 kajian ketika itu. Kesemua kajian itu
mengesahkan puasa mampu mencegah serta menyembuhkan pelbagai jenis penyakit
yang dihidapi manusia. Kesimpulan kongres itulah yang menekankan 4 fadhilat
berpuasa dari sudut kesihatan yang jelas iaitu, menurunkan gula darah, tekanan
darah, lipid darah dan berat badan.
Sedangkan dunia perubatan pula telah mengenal pasti pelbagai
punca penyakit yang dialami masyarakat dunia masa kini dan antara penyakit yang
paling kerap berlaku di dunia masa kini menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia
ialah disebabkan sindrom metabolik. Sindrom ini meliputi 4 masalah iaitu: (1)
glukos darah tinggi (2) Tekanan darah tinggi (3) Lipid darah tinggi dan (4)
lebih berat badan atau obesiti. Dengan hanya meneliti penyakit utama dunia kini
dan kesan puasa pada tubuh badan dapatlah kita simpulkan bahawa berpuasa adalah
sangat bersesuaian untuk mencegah penyakit sindrom metabolik yang melanda dunia
masa kini.
Al-Harits seorang doktor Arab mengatakan :“Yang banyak
membunuh manusia adalah kerana manusia suka memasukkan makanan pada perut
sebelum makanan dalam perut dicerna.”
Dr. Alexis Carel seorang doktor antarabangsa dan pernah
memperolehi penghargaan nobel dalam bidang kedoktoran telah menyatakan bahawa
dengan berpuasa dapat membersihkan pernafasan.
Puasa dapat manambahkan kesegaran dan kesihatan pada tubuh,
kerana perut yang sentiasa bekerja memproses makanan juga perlu berhenti
bekerja buat sementara waktu. Dan ketika berpuasa itu lah perut kita berehat
dan mendapat kesegaran semula untuk bekerja kemudiannya. Sama juga ibaratnya
seperti enjin kereta yang mungkin tidak tahan lama jika dipaksa untuk sentiasa
berjalan tanpa henti.
Saranan Rasulullah S.a.w ,
sahabat dan ulamak berkenaan puasa
Menahan lapar di bulan puasa ataupun diluar bulan puasa
mengandungi faedah dan manfaat yang sangat besar untuk kesihatan badan dan
kesihatan hati manusia. Hal ini sudah diterangkan oleh Rasulullah S.a.w dan
telah dicontohkan oleh baginda dan keluarganya;
Rasulullah S.A.W bersabda ; yang ertinya, “Berpuasalah
supaya kamu sihat.” (Hadis Riwayat Abu Naiim)
Sabdanya lagi yang bermaksud, “Puasa adalah pelindung”. (Hadis
Riwayat Muslim, Ahmad, dan an-Nasai)
Sayyidatina Aisyah rodhiyallohu anha berkata :
مَا شَبِعَ آلُ مُحَمَّدٍ
صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
مِنْ خُبْزِ شَعِيرٍ يَوْمَيْنِ
مُتَتَابِعَيْنِ حَتَّى قُبِضَ
“Keluarga Muhammad tidak pernah kenyang walaupun dengan roti
gandum dua hari berturut-turut sampai beliau wafat.” (Muttafaqun alaihi)
Nabi S.a.w bersabda :
أَكْثَرَهُمْ
شِبَعًا فِي الدُّنْيَا أَطْوَلُهُمْ
جُوعًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Orang yang paling banyak kenyang di dunia adalah yang
paling lama lapar di akhirat.” (Hadis Riwayat Al-Bazzar)
Al-Imam Ath-Thabrani juga meriwayatkan dengan sanad hasan
yang bermaksud; “Orang yang banyak kenyang di dunia mereka adalah orang yang
banyak lapar di akhirat.”
Al-Imam Al-Baihaqi meriwayatkan : "Dunia adalah
penjaranya orang mukmin dan syurganya orang kafir.”
Al-Imam Muslim juga meriwayatkan hadits dari Rasulullah
bahawa baginda bersabda :
خَيْرٌ
القُرُوْنِ قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ
يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ
ثُمَّ يَأْتِيْ قَوْمٌ يَشْهَدُوْنَ وَلاَيَسْتَشْهَدُوْنَ
وَيَنْذُرُوْنَ وَلاَ يُوْقُوْنَ وَيَظْهَرُوْنَ
فِيْهِمُ السِّمَنُ
“Sebaik-baik generasi adalah generasiku, kemudian generasi
berikutnya kemudian berikutnya. Kemudian akan datang suatu kaum mereka
memberikan persaksian padahal tidak diminta persaksiannya. Mereka banyak
bernadzar tetapi tidak menunaikannya. Dan banyak di kalangan mereka orang-orang
gemuk/ gendut.”
Al-Imam Thabrani dan Ibnu Abi Dunya meriwayatkan hadits
:“Akan terjadi pada umatku seseorang memakan semua jenis makanan, meminum semua
jenis minuman, memakai semua jenis pakaian dan banyak berbicara. Maka mereka
itulah paling buruknya umatku.”
Al-Imam At-Tirmidzi rahimahullah meriwayatkan hadits :
مَا مَلَأَ آدَمِيٌّ وِعَاءً
شَرًّا مِنْ بَطْنٍ بِحَسْبِ
ابْنِ آدَمَ أُكُلَاتٌ يُقِمْنَ
صُلْبَهُ فَإِنْ كَانَ لَا
مَحَالَةَ فَثُلُثٌ لِطَعَامِهِ وَثُلُثٌ لِشَرَابِهِ وَثُلُثٌ لِنَفَسِهِ
“ Tidaklah Bani Adam memenuhi kantung yang lebih buruk dari
perutnya, hendaknya Bani Adam makan sekadar menegakkan punggungnya, jika tidak
dapat tidak (terpaksa) maka makanlah sepertiga makanan sepertiga untuk minuman
dan sepertiga untuk nafasnya.” (Hadis Riwayat Imam Tirmidzi)
Setelah membawakan sebahagian hadits-hadits di atas, Al-Imam
Ash-shon’ani rahimahullah berkata :“Hadits ini menunjukkan atas tercelanya
banyak makan dan kenyang kerana menimbulkan berbagai penyakit dan memberatkan
seseorang untuk melaksanakan hukum syar’i/ ibadah.”
Manfaat lapar untuk kesihatan hati
Adapun manfaat lapar untuk kesihatan hati, para ulama telah
menerangkannya : Luqman Al-Hakim menasihati anaknya, “Wahai anakku, apabila
perut dipenuhi makanan, maka gelaplah fikiran, bisulah lidah dari menuturkan
hikmah (kebijaksanaan) dan malaslah segala anggota badan untuk beribadah.”
Abdullah bin Mas’ud berkata, “Empat perkara yang mengelapkan
hati atau melembapkan otak : perut yang terlalu kenyang, berkawan dengan orang
yang suka membuat maksiat, tidak insaf terhadap dosa-dosa yang lalu dan panjang
angan-angan.”
Berkata Dzunnun ‘ailaihissalam :“Saya tidak pernah kenyang
kecuali saya berbuat maksiat atau berkeinginan untuk bermaksiat”.
Berkata ‘Aisyah radiyallahu ‘anha:“Bid’ah pertama yang
terjadi setelah Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wassalam adalah kenyang
sesungguhnya suatu kaum ketika kenyang perutnya keras nafsunya untuk
mendapatkan dunia”
Berkata al Imam ash Shan’ani rahimahullah :“Sesungguhnya
lapar itu adalah penjaga dari penjagaan Allah dan pertama yang terhindar dengan
lapar adalah dorongan syahwat jima’ dan syahwat berbicara kerana bagi orang
yang lapar tidak ada keinginan untuk berbicara kecuali sangat penting sehingga
dia terhindar dari berbagai penyakit lisan, pada orang yang lapar juga tidak
bangkit padanya syahwat jima’nya sehingga terhindar dari penyaluran syahwat
yang diharamkan, orang lapar juga sedikit tidur kerana orang yang banyak makan
dan minum akan banyak tidur yang dapat membawa kepada kerugian di dunia dan
akhiratnya, terluput dari berbagai kemanfataan duniawi dan ukhrowi”.
Berkata Al-Imam Ibnu Rajab rahimahullah :“Lapar itu
menyebabkan lembutnya hati, kuatnya pemahaman, lembutnya jiwa, lemahnya nafsu
dan kemarahan. Sedangkan kenyang menyebabkan lawannya.”
Berkata Al-Hasan Al-Bashri rahimahullah :“Wahai Bani Adam,
makanlah sepertiga perutmu, minumlah sepertiga perutmu dan biarkan sepertiga
untuk bernafas dan berfikir.”
Ibnu Abi Dunya meriwayatkan bahawa Ibnu Umar berkata :“Aku
tidak pernah kenyang sejak aku masuk Islam.”
Diriwayatkan dari Amir bin Qois , bahawa dia berkata
:“Jauhilah oleh kalian kenyang, kerana kenyang itu mengeraskan hati.”
Telah berkata Malik bin Dinar rahimahullah :“Tidak
semestinya, seorang mukmin menjadikan perutnya paling besar cita-citanya dan
menjadikan syahwatnya menguasai dirinya.”
Berkata Al-Hasan Al-Bashri rahimahullah :“Adalah bapa kita
Adam diuji dengan makan, dan terus kalian akan diuji dengan makan sampai hari
kiamat.”
Beliau juga berkata :“Barangsiapa mampu menguasai perutnya
maka dia akan mampu menguasai amal sholehnya.”
Beliau berkata lagi :“Tidaklah hikmah itu berada di perut
yang penuh.”
Diriwayatkan dari Abdul Aziz bin Abi Dawud bahawa telah
dikatakan padanya :“Lapar itu banyak menolong seseorang bersegera melakukan
kebaikan.”
Berkata Abu Imran Al-Juwaini :“Sesungguhnya nafsu, jika
lapar dan haus maka bersih hati dan lembut dan jika perut kenyang dan lega maka
hatinya buta.”
Beliau berkata :“Kunci dunia adalah kenyang dan kunci
akhirat adalah lapar, dan pangkal segala kebaikan dunia dan akhirat adalah
takut kepada Allah. Sesungguhnya Allah memberikan dunia ini kepada orang yang
dicintai dan yang tidak, dan sesungguhnya lapar itu di sisi Allah ada simpanan
yang ditunda dan tidak diberikan kecuali kepada orang yang dicintai-Nya.”
Berkata Al-Imam Asy-Syafi’i rahimahullah :“Saya tidak pernah
kenyang selama 16 tahun, kerana kenyang itu memberatkan badan, menghilangkan
kecerdasan, membuat banyak tidur dan melemahkan seseorang untuk melakukan
ibadah.”
“Bukanlah puasa itu hanya sekadar menghentikan makan dan
minum tetapi puasa itu ialah menghentikan omong-omong kosong dan kata-kata
kotor.” (Hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah)
Demikian kehidupan Rasulullah dan para shahabat. Beliau dan
para shahabatnya lebih memilih banyak lapar dari pada kenyang kerana
kefahamannya terhadap faedah lapar dan bahaya kenyang, lebih memilih mengekang
syahwatnya daripada menurut syahwat, dan bukannya pada mereka tidak ada makanan
tetapi beliau lebih memilih keadaan yang lebih baik dan lebih sempurna daripada
lawannya. Mereka makan dan minum sekadar dapat melaksanakan ibadah, kerana
hanya untuk itu (untuk beribadah) diciptakannya jin dan manusia.
Seringnya Rasulullah makan tiga hari sekali sampai wafat
bukan makan sehari tiga kali seperti budaya kita.
Rahsia-rahsia puasa dan syarat-syarat kebatinannya menurut
Imam AlGhazali
Semua ada enam iaitu:
1. Memejamkan mata dan menahannya dari meluaskan pemandangan
kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada
segala sesuatu yang boleh mengganggu hati, seperti melalaikannya dari berzikir
dan mengingat kepada Allah.
2. Memelihara lidah dari bersembang kosong, berbohong,
mencaci maki, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan riya’.
3. Memelihara pendengaran dari mendengar hal-hal yang
dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan haram pula didengarkan.
Dan kerana itu jugalah Allah s.w.t telah menyamakan pendengaran kepada sesuatu
semacam itu dengan memakan barang-barang yang diharamkan, sebagaimana dalam
firmanNya yang bermaksud: “Mereka itu suka mendengar perkara yang bohong dan
memakan barang yang haram.” (Surah al-Maidah : Ayat 42)
4. Memelihara seluruh anggota yang lain dari membuat dosa
seperti tangan dan kaki dan memeliharanya juga dari segala yang dibenci.
Demikian pula menahan perut dari memakan barang-barang yang bersyubhat waktu
berbuka puasa. Apalah gunanya berpuasa dari makanan yang halal, kemudian dia
berbuka pula, dia memakan makanan yang haram. Orang berpuasa seperti ini,
samalah seperti orang yang membangunkan sebuah istana yang indah, kemudian dia
menghancurkan sebuah kota. Rasulullah s.a.w bersabda:
“Ada ramai orang yang berpuasa tetapi ia tiada memperolehi
dari puasanya itu selain dari lapar dan dahaga (yakni tiada mendapat pahala).”
Ada yang mengatakan bahawa orang itu adalah orang yang
berbuka puasanya dengan makanan yang haram. Yang lain pula mengatakan orang itu
ialah orang yang menahan dirinya berpuasa dari makanan yang halal, lalu ia
berbuka dengan memakan daging manusia; iaitu mencaci maki orang kerana yang
demikian itu adalah haram hukumnya. Ada yang mengertikannya dengan orang yang
tiada memelihara anggota-anggotanya dari dosa.
5. Janganlah dia membanyakkan makan waktu berbuka puasa,
sekalipun dari makanan yang halal, sehingga terlampau kenyang, kerana tidak ada
bekas yang paling dibenci oleh Allah s.w.t. daripada perut yang penuh dari
makanan yang halal. Cubalah renungkan, bagaimanakah dapat menentang musuh Allah
(syaitan) dan melawan syahwat kiranya apa yang dilakukan oleh orang yang
berpuasa waktu berbuka itu, ialah mengisikan perut yang kosong itu dengan
berbagai makanan semata-mata kerana dia tidak mengisikannya di waktu siang
tadi. Kadangkala makanan-makanan yang disediakan itu berbagai-bagai rencamnya
sehingga menjadi semacam adat pula kemudiannya. Akhirnya dikumpulkanlah
bermacam ragam makanan untuk persediaan menyambut Ramadhan, dan dihidangkan
pula dalam satu bulan itu bermacam-macam makanan yang tidak pernah dihidangkan
dalam bulan-bulan sebelumnya.
Sebagaimana yang termaklum bahawa maksud puasa itu adalah
menahan selera dan mengekang nafsu, agar diri menjadi kuat untuk taat dan bertaqwa
kepada Allah. Tetapi kalaulah hanya sekadar mengekang perut di siang hari
hingga ke masa berbuka, lalu membiarkan syahwat berlonjak-lonjak dengan
kemahuannya kepada makanan, dan dihidangkan pula dengan berbagai-bagai makanan
yang lazat-lazat, sehingga perut kekenyangan, tentulah perut akan bertambah
keinginannya kepada makanan-makanan itu. Malah akan timbul syahwat pula
keinginan yang baru, yang kalau tidak dibiasakan sebelumnya mungkin ia tetap
pada kebiasaannya.
Semua ini adalah bertentangan dengan maksud dan tujuan puasa
yang sebenarnya. Sebab hakikat puasa dan rahsianya adalah untuk melemahkan
kemahuan dan keinginan, yang digunakan oleh syaitan sebagai cara-cara yang
menarik manusia kepada berbagai kejahatan. Padahal kemahuan dan keinginan ini tidak
dapat ditentang, melainkan dengan mengurangkan syahwat. Barangsiapa yang
menjadikan di antara hatinya dan dadanya tempat untuk dipenuhi dengan makanan,
maka ia terlindung dari kerajaan langit.
6. Hendaklah hatinya merasa bimbang antara takut dan harap kerana
ia tiada mengetahui apakah amalan puasanya itu diterima oleh Allah, sehingga
tergolongnya ia ke dalam puak muqarrabin (hampir kepada Allah) ataupun puasanya
tertolak maka terkiralah ia ke dalam golongan orang yang terjauh dari rahmat
Allah Ta’ala. Perasaan seumpama ini seharusnya sentiasa ada pada diri
seseorang, setiap kali selesai melakukan sesuatu ibadat kepada Allah Ta’ala.
Penutup
Semoga kita diberikan kekuatan dan kerajinan untuk berpuasa
dan menambahkan ibadah-ibadah lain di bulan Ramadansyang mulia ini. Lebih-lebih
lagi bulan Ramadansini lah digarinya para syaitan dari golongan jin dari
menghasut manusia dan adanya malam Lailatul Qadar iaitu satu malam yang lebih
baik dari seribu bulan, masyaAllah. Semoga kita dapat beribadah dengan baik di
malam tersebut dan dikurniakan oleh Allah pahala agar dapat terselamat kita
semua dari nerakaNya, amiin.
Tidak lupa kepada para perokok-perokok, bulan Ramadansini
lah peluang anda untuk belajar berhenti menghisap rokok kerana di siang hari
anda sudah tidak dapat hisap rokok. Dan jangan pula di malam harinya anda
membalas dendam apa yang anda tidak boleh lakukan pada waktu siang itu.
Sebaliknya cuba makan makanan yang dapat membantu lagi untuk membuang toksik /
racun dalam badan anda. Sekiranya racun-racun itu sudah tiada lagi, maka
insyaAllah anda tidak akan ketagih lagi. Pengalaman saya sendiri, saya cuba
melawan selama hampir sebulan sahaja untuk berhenti merokok dengan tidak
menyentuhnya langsung. Selepas itu anda tidak akan rasa mahu merokok lagi malahan
akan rasa muak dengan asap rokok kerana badan anda sudah tiada kandungan
racun-racun yang menyebabkan ketagihan itu.
Ketahuilah, ramai perokok yang sudah berjaya berhenti
merokok pada bulan Ramadhan, maka saya harap kali ini giliran anda pula. Saya
pun sudah hampir 3 tahun berhenti merokok dan insyaAllah saya sudah tidak mahu
menyentuhnya lagi. Nak seribu daya, tak nak seribu dalih! Selamat berhenti
merokok kerana merokok boleh mendatangkan kepada anda segala penyakit yang
merbahaya bukan sahaja kepada diri anda tetapi juga orang lain. Adakah anda
mahu menanggung dosa terhadap orang lain itu? Mudah-mudahan Allah membantu memudahkan
usaha anda untuk berhenti merokok, amiin.
Dan semoga segala ibadah kita diterima di sisi Allah sebagai
ibadah yang diredhai Allah, bermanfaat pada diri kita, baik dalam kehidupan di
dunia mahupun di akhirat lebih-lebih lagi. Selamat menjalani ibadah puasa
Ramadhan. Baarokallahu lakum …….
Wallahu a‘lam …….
Rujukan :
1. Tafsir Taisirul karimur Rohman – Al-Imam As-Sa’di.
2. Bahjatun Nadzirin syarah Riyadhussholihin – Syaikh Salim
bin Ied Al-Hilaly. Al-Imam Ibnul Qoyyim.
3. Jami’ul Ulum wal Hikam – Al-Imam ibnu Rajab rahimahullah.
4. Subulussalam Syarah Bulughul Maram – Al-Imam As-Shon’ani
rahimahullah.
5. Hikmah Puasa Dan Qiyam RamadansMenurut Perspektif Islam
Dan Sains – Dr. Abu Bakar bin Abdul Majid
6. Bimbingan Mu’min dari Menghidupkan Ilmu-ilmu Agama – Imam
ALGhazali
Sumber
unikversiti
No comments:
Post a Comment
Thanks for your comments, I will reply soon.