Realiti dalam kehidupan semua orang mahu tenteram dan ketenangan. Terutama apabila kita memilih tempat untuk jadikan kediaman kekal. Sungguhpun begitu kadang kala jiran yang pada mula sangat baik boleh jadi bermasam muka kerana salah sangka dan silap faham, Lebih-lebih lagi bila masing-masing mempunyai sikap pentingkan diri sendiri dan ego..
.
Kemantapan dan keutuhan masyarakat bergantung kepada
ketinggian budi pekerti. Dengan adanya adab kesopanan dan budi pekerti tinggi
menjadikan seseorang manusia itu dihormati serta disegani masyarakat.
Sudah menjadi lumrah manusia yang hidup di muka bumi ini
saling memerlukan antara satu sama lain. Justeru, demi kepentingan hidup yang
boleh menjamin ketenteraman dan kebahagiaan, Islam menggariskan beberapa
peraturan hidup bermasyarakat.
Salah satu daripadanya, menghormati dan berbuat baik kepada
jiran adalah orang yang tinggal dalam satu bangunan (blok),
mereka yang tinggal berdekatan dengan rumah kita dan yang tinggal dalam
lingkungan jarak 40 buah rumah daripada rumah kita.
Islam menitikberatkan hubungan kejiranan kerana ia adalah
cara hidup Islam. Umat Islam berkewajipan mengekalkan hubungan baik dengan
jiran demi mewujudkan kehidupan setempat yang aman dan harmoni. Ia secara tidak
langsung memberi kemudahan menyelesaikan masalah yang timbul.
Tuntutan supaya berbuat baik dengan jiran dijelaskan dalam
firman Allah yang bermaksud:
“Hendaklah kamu berbuat baik kepada
kedua-dua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak yatim dan orang miskin dan jiran
tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh.” (Surah an-Nisa’,
ayat 36)
Perkara itu juga dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan
daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Jibril sentiasa mewasiatkan kepadaku
mengenai jiran tetangga sehingga aku menyangka bahawa beliau (iaitu jiran) yang
akan mewarisinya (pusaka).” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Usaha mewujudkan suasana kerukunan hidup berjiran pada masa
kini menghadapi sedikit kesulitan kerana hakikat kehidupan dikelilingi manusia
yang mempunyai pelbagai pandangan, gaya, sikap, akhlak, perangai, bahasa,
budaya dan politik berbeza.
Walau bagaimanapun, perkara itu dapat diatasi jika
masing-masing mengamalkan dan menghayati sikap berlapang dada, bertolak ansur,
saling memahami, meningkatkan kesabaran, bertukar pendapat, mencari titik
persamaan dan mengeratkan hubungan yang renggang dengan penuh hikmah serta
kasih-sayang.
Di samping itu, sikap negatif seperti buruk sangka, iri
hati, dengki dan fitnah perlu dikikis dan dijauhkan. Usaha memupuk semangat
kejiranan perlu dilakukan dengan gigih dan berterusan.
Betapa pentingnya hubungan kejiranan itu apabila dikaitkan
dengan iman. Keimanan seseorang masih belum sempurna jika tidak menghormati dan
kasih jirannya. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa Nabi SAW bersabda
yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang
itu, sebelum dia kasihkan jiran tetangganya, sebagaimana dia kasihkan dirinya
sendiri.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang
beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara
yang baik atau diam dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka
hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Begitu juga sesiapa yang beriman
kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia memuliakan para tetamunya.”
(Hadis riwayat Muslim)
Keimanan seseorang tidak sempurna jika dia menyakiti
jirannya, sama ada melalui celaan, memfitnah dan buruk sangka.
Mencegah daripada menyakiti dan melakukan penganiayaan
terhadap jiran adalah antara hak jiran yang perlu dijaga.
Bagi memantapkan hubungan kejiranan dalam masyarakat, perlu
melihat kepada kelebihan hidup berjiran. Antaranya, saling bantu-membantu
ketika berlaku kecemasan atau di timpa musibah.
Sebagaimana dijelaskan, jiran adalah orang yang tinggal
paling hampir dengan rumah kita. Segala perkara yang berlaku terlebih dulu
diketahui jiran. Kerana itu, jiran adalah orang paling dekat untuk memohon
pertolongan ketika ditimpa musibah seperti kebakaran, kecurian atau kematian.
Pertolongan seperti inilah yang diperlukan pada masa
kecemasan sementara menunggu bantuan pihak berwajib atau sanak saudara. Hanya
hubungan yang kuat antara jiran dapat melahirkan suasana seperti ini.
Melindungi jiran daripada kesusahan adalah budi pekerti tinggi pada pandangan
Islam.
Selain itu, hidup berjiran dapat mempertingkatkan
pengetahuan dan kenalan. Jiran yang tinggal berhampiran mempunyai latar
belakang berbeza seperti pekerjaan, pendidikan, agama, bangsa, keturunan,
budaya dan adat resam.
Firman Allah yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya
Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan
kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan
beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di
sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih
keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha
Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah
al-Hujurat, ayat 13)
Mempunyai ramai kenalan rapat, terutama dalam konteks hidup
berjiran banyak memberi manfaat, antaranya mendapat tunjuk ajar jika
berjirankan seorang guru atau pensyarah; mendapat nasihat kesihatan berjirankan
doktor; membaiki kerosakan kenderaan jika berjirankan mekanik.
Berikutnya, jiran sepakat dan bersatu padu mampu menjamin
keselamatan kawasan setempat daripada ancaman kecurian, pecah rumah dan
samseng. Ia dapat dilakukan melalui pembentukan rukun tetangga, jawatankuasa
keselamatan kawasan atau kempen kesedaran. Budaya bantu membantu seperti ini
sangat digalakkan Islam.
Firman Allah yang bermaksud: “Bertolong-tolonglah kamu dalam
(mengerjakan) kebajikan dan ketakwaan dan janganlah tolong-menolong dalam
berbuat dosa dan permusuhan.” (Surah al-Ma’idah, ayat 2)
Jelaslah kepada kita penting dan besarnya peranan jiran
dalam menentukan kemakmuran serta kesejahteraan negara. Impian mempunyai jiran
yang baik tidak akan terlaksana jika kita belum menjadi jiran yang baik
terlebih dulu. Walau sebesar mana sekalipun arus perubahan melanda masyarakat
kita, semangat kejiranan tetap menjadi keutamaan.
Kekuatan hubungan kejiranan yang sempurna dan harmoni
mengukuhkan ikatan persaudaraan Islam dan kasih sayang yang kadangkala melebihi
daripada keluarga sendiri. Kehidupan mendapat keberkatan daripada Allah adalah
kehidupan yang sentiasa dikelilingi kebaikan dan kesejahteraan serta jauh
daripada anasir kerosakan serta kebinasaan.”
Apabila saya membaca artikel berkenaan, terlintas di hati
saya betapa perlunya kita menjaga hubungan dengan jiran. Oleh itu sebarang
tindakan kita hendaklah sentiasa memikirkan kesannya kepada jiran kita. Dengan kata
lain setiap tindakan yang akan kita lakukan itu cuba nilai kesannya terlebih
dahulu adakah akan menyakitkan hati jiran atau sebaliknya. Untuk mengetahuinya
adalah sangat mudah dengan kita meletakkan diri kita dalam keadaan yang di
alami oleh orang lain.
Sebagai contoh. Jika jiran kita mebuang sampah sarap di
depan rumah kita, adakah kita berkecil hati, marah dan rasa dedam, jika ianya
akan menimbulkan kemarahan kita, sudah tentulah perbuatan yang seumpama itu
tidak boleh kita lakukan kepada jiran kita.
Jika semua jiran tetangga mengambil sikap positif pada
setiap masa sudah pasti hubungan dengan jiran akan bertambah erat, kita akan
hidup dalam suasana gembira pada setiap masa. Ini juga kan memberi kesan kepada
kesihatan diri kita dan boleh memanjangkan umur kita. InsyaAllah.
Sumber: kisah
1 malaysia kamu & aku
No comments:
Post a Comment
Thanks for your comments, I will reply soon.