RAIHANPAHIMI

publish your book for free?AFF=9142
Showing posts with label sunnah. Show all posts
Showing posts with label sunnah. Show all posts

Saturday, 15 August 2015

BOLEHKAH PEMIMPIN ISLAM DI PERANGI ?

Hukum Memerangi Pemerintah Muslim

Di masa akhir-akhir ini terdengar berita di sana-sini ada tindakan untuk menjatuhkan pemipin ngera tertentu kerana ramai dikalangan pemimpin pembakang dan rakyat tidak menuyukai tindakan pemimpin itu yang dianggap menindas rakyat miskin dan banyak berlaku penyalah gunaan kuasa dan penyelewingan wang Negara. Dalam mencari jawapan adakah tindakan ini di bolehkan oleh islam. Semasa saya mencari jawabna ini saya terbaca satu artikel di internet tulisan Dr MAZA yang ditulisnya pada 25 Jun 2010,
Dibawah ini saya perturunkan tulisan beliau.

Soalan: Dr Asri, sekarang ini heboh isu keganasan. Persoalan saya, apakah hukumnya dalam Islam jika ada pihak yang membantah kerajaan orang islam yang zalim secara kekerasan. Apakah ini termasuk dalam jihad yang diperintahkan agama atau tidak. Tidakkah menentang kerajaan itu diharamkan oleh Islam?
 Imran, Kuala Terengganu.

 Jawapan DR MAZA:

 Saudara, banyak isu keganasan yang cuba dikaitkan dengan umat Islam atau tokoh-tokoh Islam adalah mainan jahat pihak-pihak tertentu. Mereka ini samada mempunyai agenda politik tertentu, ataupun berkerja bagi pihak musuh umat Islam bagi mencemarkan imej Islam. Sebahagian pihak menggunakan isu ini untuk tujuan politik seperti menghapuskan gerakan Islam yang dilihat mengancam kedudukan politik mereka. Namun begitu, tidak dinafikan kemungkinan ada sesetengah kelompok yang telah salah tindakan dalam hal ini sehingga mencetuskan keganasan. Berhubung dengan pendekatan keras terhadap pemerintah yang zalim dan menyeleweng, maka ini fahami perkara berikut;

1. Perkara asas dalam hal ini boleh difahami daripada ingatan Nabi s.a.w.:
“Akan dilantik para pemimpin yang kamu setujui (kebaikan sebahagian perbuatan mereka) dan kamu akan membantah (kejahatan sebahagian perbuatan mereka). Sesiapa yang membenci (perbuatan munkar) maka dia terlepas (dari dosa), sesiapa yang membantah maka dia selamat (dari dosa), namun (yang berdosa) sesiapa yang redha dan menuruti (perbuatan munkar)”. Sahabah bertanya: “Tidakkah boleh kami perangi mereka?” Jawab baginda: “Tidak! selagi mana mereka bersolat”(Riwayat Muslim).

2. Daripada hadis di atas dapat kita fahami bahawa bertegas dalam membenci dan membantah kemungkaran dan kezaliman pemerintah itu adalah tuntutan agama. Namun, Nabi s.a.w tidak membenarkan rakyat memerangi pemerintah muslim dengan senjata selagi mereka itu bersolat. Solat menjadi petunjuk bahawa pemerintah tersebut masih berpegang dengan ajaran Islam dalam kehidupan. Keluar memerangi pemerintah dengan senjata hanya akan menimbulkan kerosakan yang lebih besar.

3. Juga, perhitungan tindakan dalam Islam adalah di sudut kadar manfaat dan mudarat. Menumpaskan pemerintah zalim dengan senjata biasanya mengundang mudarat yang jauh lebih bahaya dibandingkan manfaat yang hendak dicapai. Sebab itu al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) menyebut:

“kata ulama: alasan seseorang pemerintah tidak dipecat, atau pengharaman memeranginya kerana menyebab fitnah, penumpahan darah dan kerosakan yang nyata” (al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim 12/40)

4. Juga, kebencian atau bantahan terhadap kemungkaran pemerintah tidak membolehkan rakyat menderhakai mereka dalam perkara yang baik atau makruf. Ini seperti yang ditegaskan oleh hadis. Sabda Nabi:

“Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang kamu cintai mereka dan mereka mencintai kamu, kamu mendoakan mereka, mereka mendoakan kamu. Pemimpin yang jahat ialah pemimpin yang kamu benci mereka, mereka juga membenci kamu dan kamu melaknat mereka, mereka juga melaknati kamu”. Baginda ditanya: “Tidak bolehkah kami perangi mereka dengan pedang?” Jawab baginda: “Tidak, selagi mana mereka mendirikan solat. Ingatlah, sesiapa yang seseorang penguasa berkuasa ke atasnya, lalu dia dapati penguasa itu melakukan maksiat kepada Allah, maka hendaklah dia membenci maksiat tersebut namun jangan dia mencabut tangan dari ketaatan” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

5. Ini kerana setiap pemerintah mungkin akan ada kesilapan atau dosa yang dilakukan. Jika setiap kali pemerintah bersalah atau melakukan dosa diperangi dengan senjata, maka hancurlah keamanan masyarakat dan negara. Maka justeru itu, kita menentang kemungkaran pemerintah, tetapi tidak akan memeranginya dengan senjata.

6. Ini kerana antara tujuan berpolitik dalam Islam adalah menegakkan keadilan, keamanan dan hak rakyat. Peperangan saudara dalam negara hanya akan menghancurkan perkara-perkara tersebut.

7. Arahan pemerintah yang zalim atau mungkar dalam perkara-perkara kebaikan tetap wajib ditaati. Kata al-Khattabi (meninggal 388H):
“Sesungguhnya jihad itu wajib sekalipun bersama dengan pemerintah yang zalim, sepertimana ia wajib bersama pemerintah yang adil. Kezaliman mereka tidak menggugurkan kewajipan mentaati mereka dalam persoalan jihad. Demikian juga dalam perkara kebaikan yang lain yang menyamainya” (al-Khattabi, Ma‘alim al-Sunan, 2/ 357.)

Pendapat ini bersesuaian dengan sabda Nabi s.a.w :
“Dengar dan taat (kepada pemerintah) adalah kewajipan setiap individu muslim dalam perkara yang dia suka atau benci selagi dia tidak diperintahkan dalam perkara maksiat. Apabila dia diperintahkan dalam perkara maksiat maka tiada lagi dengar dan taat. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

8. Sekalipun kita dilarang memerang pemerintah dengan senjata, tetapi kita tetap disuruh untuk menasihati mereka dan mencegah kemunkaran mereka dengan perkataan atau perbuatan yang tidak menyebabkan pertumpahan darah seperti undi dalam pilihanraya. RasuluLah s.a.w bersabda:

“Sesungguhnya Allah meredhai kamu tiga perkara, dan memurkai kamu tiga perkara. Dia meredhai kamu jika (pertama) kamu beribadah kepadaNya dan tidak menyekutukanNya sedikitpun, (kedua) kamu berpegang teguh dengan tali Allah kesemuanya. (ketiga) Kamu menasihati sesiapa yang Allah jadikan dia memerintah urusan kamu. Dia memurkai kamu banyak bercakap (yang tiada faedah), menghilangkan harta dan banyak bertanya (Riwayat Malik).

Juga sabda Nabi s.a.w:
“Sebaik-baik jihad ialah perkataan yang adil –dalam riwayat yang lain: yang benar- di sisi pemerintah yang zalim, atau ketua yang zalim”. (Riwayat al-Nasai, al-Tirmizi, Abu Daud dan Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani).

9. Nabi s.a.w juga memberi amaran kepada sesiapa yang mengampu atau mengiyakan kezaliman pemerintah dengan sabda baginda:
“Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga). Riwayat Ahmad, al-Nasai, dan al-Tirmidhi. Hadith ini sahih seperti yang dinilai oleh al-Albani.

10. Pengkaji politik Islam tidak boleh terlalu literalist. Politik bukanlah ibadah khususiah seperti solat dan puasa yang tidak boleh diubah tambah. Politik soal pentadbiran dan kaedah untuk menegakkan keadilan dan keamanan dalam kehidupan rakyat berdasarkan prinsip-prinsip umum Islam. Kaedah membantah atau menukar pemerintahan berbeza-beza berdasarkan sistem yang dipakai. Para ulama dahulu mengharamkan menumbangkan sesuatu pemerintah atas alasan bimbangkan penumpahan darah.

Namun, dalam dunia hari ini sesebuah pemerintah mungkin boleh diubah atau ditukar, atau ditumbang tanpa memerlukan penumpahan darah seperti dalam sistem demokrasi pilihanraya. Maka dengan itu penyertaan parti-parti politik dalam demokrasi pilihanraya tidak boleh dianggap sebagai melanggar kaedah Islam atau sebagai keganasan kerana sistem tersebut tidak sepatutnya menumpahkan darah.

Saya amat bersetuju dengan pendapat Dr Maza, yang kita boleh mencegah kemungkaran atua kezaliman yang dilakukan oleh pemimpin Islam jika kemungkaran itu dilakukan adalah bertentangan dengan syariat Ialam. Tetapi kita perlu mengambil tindakan yang bijaksana dan berkesan serta tidak akan menyebatkan kesusahan kepada orang awam. Tindakan membantahan segala kemungkaran atau kezaliman yang dilakukan itu perlulah melalui tindakan yang tidak akan mengakibatkan pertumpahan darah dan boleh memberi kesan yang negetif kepada Islam.


Wallahu’alam.

Sumber: Dr Maza

Thursday, 30 July 2015

Makan cara sihat ikut sunnah nabi saw

Kebiasaan kita apabila lapar makan mengikut nafsu dengan memilih makan mengikut selera kita, pilih makan yang kita rasa sedap dan  apabila makan akan makan sepuas-puasnya sehinggalah terasa kenyang. Inilah hakikat dalam kebidupan kebanyakan daripada kita.

Kita mula  berpantang dan mengawal tabiat makan apabila diserang penyakit. Lebih teruk jika doktor hanya membenarkan kita makan dalam kuantiti yang  sedikit atau  jenis makanan tertentu. Hakikatnya, amalan mengawal tabiat pemakanan selepas jatuh sakit adalah tindakan yang kurang tepat. Kita sepatutnya mengawal pemakanan seawal usia remaja, bukan apabila memasuki fasa umur 40an.

Tabiat pemakanan yang  amat baik dan boleh diteladani ialah mengikut sunah Rasulullah s.a.w. Jika dikaji, amalan pemakanan baginda amat bertepatan dengan al-Quran bermaksud: “… makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan…” (Surah al-A’raf, ayat 31). Rasulullah saw akan makan apabila terasa lapar dan  baginda akan berhenti makan sebelum kenyang. Ini bermakna betapa bijak tindakan baginda mengamalkan pemakanan yang dapat menjaga kesihat badan.


Petua menjaga kesihatan cara Rasulullah turut mengambil kira sistem tubuh manusia. Sebagai mesin, ia memerlukan bahan bakar iaitu makanan untuk membolehkannya melaksanakan kerja, tetapi kuantiti makanan yang masuk ke perut mesti dikawal. Makan makanan secara berpatutan dengan keperluan tubuh kita, bukanya makan mengikut hawa nafsu hingga terlampau kenyang.

Sebenarnya, menjaga dan mengawal perut daripada makan terlalu banyak adalah kaedah pencegahan penyakit yang berkesan. Sebab itu ramai ilmuwan perubatan dan tabib zaman lampau sering bermadah ‘lapar itu ubat’.

Mengambil makanan dalam kuantiti banyak adalah amalan buruk kerana ia memberatkan organ dan sistem pencernaan sehingga ia lemah dan tidak mampu mencerna secara teratur dan berkesan.

Makanan dalam jumlah yang banyak menyebabkan pelbagai penyakit.  Amalan ini juga adalah perangai syaitan. Justeru, kaedah rawatan dan pencegahan penyakit yang terbaik sepatutnya bermula dari perut – pastikan kuantiti dan jenis makanan yang masuk ke perut terkawal.

Nabi Muhammad ada menyebut ‘perut adalah tempat bermula pelbagai penyakit’. Selain kuantiti makanan, petua kesihatan Nabi turut mengambil kira isi padu dan jenis makanan. Baginda lebih mengutamakan makanan lembut, terutama jika baru sembuh atau melalui proses pemulihan. Dalam satu hadis daripada Siti Aisyah r.a, beliau berkata: “Jika Rasulullah diberitahu si fulan sakit dan tidak ada nafsu makan, baginda bersabda: Berikanlah kepadanya ‘talbiinah’! Kata baginda lagi, Demi Allah, ia mencuci perut seseorang seperti kamu membersihkan mukamu daripada kotoran!”

Talbiinah ialah sejenis makanan masyarakat Arab menyerupai bubur atau susu. Ia lembut dan tidak membebankan perut. Bagi kita di sini, mungkin oat dicampur susu sesuai sebagai makanan yang lembut dan tidak membebankan perut serta fungsi pencernaan.Makanan ini juga kaya serat dan banyak membantu proses penghadaman.

Disiplin pemakanan yang diamalkan Rasulullah biasanya mengelak makanan itu mendatangkan penyakit kepada individu yang sihat, manakala bagi mereka yang mengalami masalah kesihatan, ia mengelak penyakit menjadi semakin serius.

Contoh peristiwa Nabi Muhammad s.a.w mengajar pemilihan makanan ketika sakit ialah sebagaimana hadis riwayat Ibnu Maajah dari Ummul Mundzir Qois al Anshoriyah, katanya:

“Suatu hari Rasulullah berkunjung ke rumah kami bersama Ali k.a yang ketika itu baru sembuh daripada sakit. Kami mempunyai buah daliah (sejenis buah-buahan di tanah suci), lalu Rasulullah mengambil dan memakannya dan Ali juga memakannya.

“Baginda berkata kepada Ali: Engkau baru saja sembuh daripada sakit.

“Lalu Ali berhenti memakannya. Kemudian saya buatkan masakan dari gandum dan saya berikan kepada mereka berdua, maka Rasulullah s.a.w bersabda: Ali, nah, ini lebih sesuai bagimu!”

Larangan Rasulullah kepada Ali yang baharu sembuh daripada sakit agar tidak memakan daliah sebagaimana dalam hadis di atas adalah kaedah pencegahan atau berpantang. Buah-buahan yang sifatnya mudah terurai mungkin memberi mudarat bagi mereka yang baru sembuh.

Ketika baru pulih daripada sakit, perut belum cukup kuat kerana ia sibuk bekerja menghakis sisa penyakit dari dalam perut dan badan.

Sebaliknya, Rasulullah menggalakkan Ali mengambil masakan daripada gandum kerana air daripada gandum itu dapat menguatkan tubuh.

Namun, baginda membenarkan pengambilan makanan yang tidak sesuai, tetapi dalam kuantiti sedikit sekadar menghilangkan keinginan.

Perkara menarik mengenai kaedah makanan seimbang yang diajarkan Rasulullah ialah baginda tidak membataskan pada satu jenis makanan saja. Contohnya, baginda menyeimbangkan makanan bersifat panas dengan sejuk.

Dari segi komposisi makanan, baginda tidak pernah mengambil susu dan ikan atau susu dan telur atau daging dan susu atau antara makanan yang kedua-duanya mempunyai sifat panas atau sifat dingin serentak.

Baginda juga tidak mengambil dua jenis makanan yang mempunyai sifat cepat dicernakan dan lambat dicernakan, serentak.

Rasulullah tidak mengambil makanan yang masih dalam keadaan panas atau makanan yang disimpan semalaman, makanan awet atau diasinkan seperti acar kerana semua itu memudaratkan kesihatan.
Kita juga patut mengelak mengambil makanan segera dan minuman berkarbonat, walaupun sedap, tetapi memudaratkan apatah lagi mengandungi perasa tiruan dan sintetik.

Rasulullah gemar makanan yang mengandungi unsur manis semula jadi dan madu malah baginda suka mengambil buah-buahan sebagai makanan tambahan.

Mengenai madu, Nabi mempunyai disiplin pengambilan madu yang baik untuk dicontohi, iaitu mengambilnya pada waktu pagi sebelum sarapan.

Madu dicampurkan dengan air dingin sebelum diminum. Ini bertujuan mencairkan lendir dan membersihkan sistem pencernaan.

Selain jenis dan kuantiti makanan, satu aspek lain penjagaan kesihatan Rasulullah s.a.w ialah cara baginda duduk ketika makan, iaitu dalam posisi ‘mutawarikan’, iaitu meletakkan pinggul pada kedua-dua tumit dan menempatkan telapak kaki kiri di atas punggung kaki kanan. 

Postur badan penting dalam menentukan kebaikan ketika pengambilan makanan. Contohnya, baginda melarang makan sambil bersandar sebagaimana sabdanya bermaksud: “Saya tidak makan sambil bersandar.”

Baginda juga melarang minum sambil berdiri, kecuali jika dalam keadaan terpaksa. Baginda mempunyai disiplin khusus dari segi minuman.

Berdasarkan petunjuk Nabi s.a.w, makruh minum selepas melakukan olahraga atau sebaik selesai melakukan sesuatu kerja berat atau sebaik habis makan atau sebelum makan. Semua itu tidak baik untuk kesihatan. Sebaliknya, biarkan beberapa detik berlalu apabila selesai aktiviti berat atau makan, kemudian minum.

Rasulullah s.a.w mempunyai petua unik ketika minum. Dalam satu hadis dari Anas bin Malik bermaksud: “Rasulullah minum dengan tiga kali nafas. Baginda berkata: Hal itu lebih melegakan dan lebih menyihatkan.”

Maksud bernafas tiga kali ketika minum ialah dengan menjauhkan bekas atau cawan dari mulut, lalu bernafas atau seolah-olah menghisap air yang sedang diminum. Larangan bernafas di dalam gelas ketika minum ditemui dalam hadis bermaksud:

“Jika seseorang di antara kalian minum maka janganlah bernafas di dalam gelas minuman, tetapi hendaklah direnggangkannya dari bibir.”

Dan, pasti yang paling penting dan mungkin dilupakan kita apabila makan atau minum ialah membaca ‘basmalah’ (membaca Bismillah) dan mengucapkan ‘hamdalah’ (Alhamdulillah) apabila selesai. Ia banyak keberkatan dari segi kesihatan.

Rahsia besar Rasulullah s.a.w yang patut menjadi teladan ialah baginda tidak pernah mencela makanan yang tidak disukainya atau kurang enak. Ini terkandung di dalam hadis bermaksud:
“Anas berkata: Rasulullah tidak pernah mencela makanan. Jika berselera dimakannya, dan jika tidak maka ditinggalkannya.”

Justeru, semua orang tidak wajar menunggu hari tua atau berusia lewat 40-an untuk memulakan amalan pemakanan sihat. Mulakanlah sekarang!

Kepentingan menjaga pemakanan dapat difahami daripada hadis Nabi saw yang diriwayatkan at-Turmudzi dari Abdullah al-Ashory, Rasulullah saw bersabda bermaksud:

“Sesiapa dalam keadaan badan sihat, aman dalam penghidupan dan ia memiliki makanan sehari-hari yang cukup, maka seolah-olah dunia ini miliknya.”

Marilah kita amalakan cara makan mengikut sunnah, ianya bukan sahaja satu cara mengawal pemakanan kita untuk kesihatan badan bagi membolehkan kita beramal ibadat dengan sempurna juga dapat menjalankan kerja-kerja lain untuk kepentingan kehidupan di dunia. Siamping itu jika kita berniat mengamalakan cara makan yang di anjurkan oleh Rasulullah saw sudah pasti kita memperolehi pahala.



Wallahu’alam.