Makan
cara sihat ikut sunnah nabi saw
Kebiasaan kita apabila lapar makan mengikut nafsu dengan
memilih makan mengikut selera kita, pilih makan yang kita rasa sedap dan apabila makan akan makan sepuas-puasnya
sehinggalah terasa kenyang. Inilah hakikat dalam kebidupan kebanyakan daripada
kita.
Kita mula berpantang
dan mengawal tabiat makan apabila diserang penyakit. Lebih teruk jika doktor
hanya membenarkan kita makan dalam kuantiti yang sedikit atau jenis makanan tertentu. Hakikatnya, amalan
mengawal tabiat pemakanan selepas jatuh sakit adalah tindakan yang kurang tepat.
Kita sepatutnya mengawal pemakanan seawal usia remaja, bukan apabila memasuki
fasa umur 40an.
Tabiat pemakanan yang amat baik dan boleh diteladani ialah mengikut
sunah Rasulullah s.a.w. Jika dikaji, amalan pemakanan baginda amat bertepatan
dengan al-Quran bermaksud: “… makan dan minumlah, dan janganlah
berlebih-lebihan…” (Surah al-A’raf, ayat 31). Rasulullah saw akan makan apabila
terasa lapar dan baginda akan berhenti
makan sebelum kenyang. Ini bermakna betapa bijak tindakan baginda mengamalkan
pemakanan yang dapat menjaga kesihat badan.
Petua menjaga kesihatan cara Rasulullah turut mengambil kira
sistem tubuh manusia. Sebagai mesin, ia memerlukan bahan bakar iaitu makanan
untuk membolehkannya melaksanakan kerja, tetapi kuantiti makanan yang masuk ke
perut mesti dikawal. Makan makanan secara berpatutan dengan keperluan tubuh
kita, bukanya makan mengikut hawa nafsu hingga terlampau kenyang.
Sebenarnya, menjaga dan mengawal perut daripada makan
terlalu banyak adalah kaedah pencegahan penyakit yang berkesan. Sebab itu ramai
ilmuwan perubatan dan tabib zaman lampau sering bermadah ‘lapar itu ubat’.
Mengambil makanan dalam kuantiti banyak adalah amalan buruk
kerana ia memberatkan organ dan sistem pencernaan sehingga ia lemah dan tidak
mampu mencerna secara teratur dan berkesan.
Makanan dalam jumlah yang banyak menyebabkan pelbagai
penyakit. Amalan ini juga adalah
perangai syaitan. Justeru, kaedah rawatan dan pencegahan penyakit yang terbaik
sepatutnya bermula dari perut – pastikan kuantiti dan jenis makanan yang masuk
ke perut terkawal.
Nabi Muhammad ada menyebut ‘perut adalah tempat bermula
pelbagai penyakit’. Selain kuantiti makanan, petua kesihatan Nabi turut mengambil
kira isi padu dan jenis makanan. Baginda lebih mengutamakan makanan lembut,
terutama jika baru sembuh atau melalui proses pemulihan. Dalam satu hadis
daripada Siti Aisyah r.a, beliau berkata: “Jika Rasulullah diberitahu si fulan
sakit dan tidak ada nafsu makan, baginda bersabda: Berikanlah kepadanya
‘talbiinah’! Kata baginda lagi, Demi Allah, ia mencuci perut seseorang seperti
kamu membersihkan mukamu daripada kotoran!”
Disiplin pemakanan yang diamalkan Rasulullah biasanya
mengelak makanan itu mendatangkan penyakit kepada individu yang sihat, manakala
bagi mereka yang mengalami masalah kesihatan, ia mengelak penyakit menjadi
semakin serius.
Contoh peristiwa Nabi Muhammad s.a.w mengajar pemilihan
makanan ketika sakit ialah sebagaimana hadis riwayat Ibnu Maajah dari Ummul
Mundzir Qois al Anshoriyah, katanya:
“Suatu hari Rasulullah berkunjung ke rumah kami bersama Ali
k.a yang ketika itu baru sembuh daripada sakit. Kami mempunyai buah daliah
(sejenis buah-buahan di tanah suci), lalu Rasulullah mengambil dan memakannya
dan Ali juga memakannya.
“Baginda berkata kepada Ali: Engkau baru saja sembuh
daripada sakit.
“Lalu Ali berhenti memakannya. Kemudian saya buatkan masakan
dari gandum dan saya berikan kepada mereka berdua, maka Rasulullah s.a.w bersabda:
Ali, nah, ini lebih sesuai bagimu!”
Larangan Rasulullah kepada Ali yang baharu sembuh daripada
sakit agar tidak memakan daliah sebagaimana dalam hadis di atas adalah kaedah
pencegahan atau berpantang. Buah-buahan yang sifatnya mudah terurai mungkin memberi
mudarat bagi mereka yang baru sembuh.
Ketika baru pulih daripada sakit, perut belum cukup kuat
kerana ia sibuk bekerja menghakis sisa penyakit dari dalam perut dan badan.
Sebaliknya, Rasulullah menggalakkan Ali mengambil masakan
daripada gandum kerana air daripada gandum itu dapat menguatkan tubuh.
Namun, baginda membenarkan pengambilan makanan yang tidak
sesuai, tetapi dalam kuantiti sedikit sekadar menghilangkan keinginan.
Perkara menarik mengenai kaedah makanan seimbang yang
diajarkan Rasulullah ialah baginda tidak membataskan pada satu jenis makanan
saja. Contohnya, baginda menyeimbangkan makanan bersifat panas dengan sejuk.
Dari segi komposisi makanan, baginda tidak pernah mengambil
susu dan ikan atau susu dan telur atau daging dan susu atau antara makanan yang
kedua-duanya mempunyai sifat panas atau sifat dingin serentak.
Baginda juga tidak mengambil dua jenis makanan yang
mempunyai sifat cepat dicernakan dan lambat dicernakan, serentak.
Kita juga patut mengelak mengambil makanan segera dan
minuman berkarbonat, walaupun sedap, tetapi memudaratkan apatah lagi
mengandungi perasa tiruan dan sintetik.
Rasulullah gemar makanan yang mengandungi unsur manis semula
jadi dan madu malah baginda suka mengambil buah-buahan sebagai makanan
tambahan.
Mengenai madu, Nabi mempunyai disiplin pengambilan madu yang
baik untuk dicontohi, iaitu mengambilnya pada waktu pagi sebelum sarapan.
Madu dicampurkan dengan air dingin sebelum diminum. Ini
bertujuan mencairkan lendir dan membersihkan sistem pencernaan.
Postur badan penting dalam menentukan kebaikan ketika
pengambilan makanan. Contohnya, baginda melarang makan sambil bersandar sebagaimana sabdanya bermaksud: “Saya
tidak makan sambil bersandar.”
Baginda juga melarang minum sambil berdiri, kecuali jika
dalam keadaan terpaksa. Baginda mempunyai disiplin khusus dari segi minuman.
Berdasarkan petunjuk Nabi s.a.w, makruh minum selepas
melakukan olahraga atau sebaik selesai melakukan sesuatu kerja berat atau
sebaik habis makan atau sebelum makan. Semua itu tidak baik untuk kesihatan.
Sebaliknya, biarkan beberapa detik berlalu apabila selesai aktiviti berat atau
makan, kemudian minum.
Rasulullah s.a.w mempunyai petua unik ketika minum. Dalam
satu hadis dari Anas bin Malik bermaksud: “Rasulullah minum dengan tiga kali
nafas. Baginda berkata: Hal itu lebih melegakan dan lebih menyihatkan.”
Maksud bernafas tiga kali ketika minum ialah dengan
menjauhkan bekas atau cawan dari mulut, lalu bernafas atau seolah-olah
menghisap air yang sedang diminum. Larangan bernafas di dalam gelas ketika
minum ditemui dalam hadis bermaksud:
“Jika seseorang di antara kalian minum maka janganlah
bernafas di dalam gelas minuman, tetapi hendaklah direnggangkannya dari bibir.”
Dan, pasti yang paling penting dan mungkin dilupakan kita
apabila makan atau minum ialah membaca ‘basmalah’ (membaca Bismillah) dan
mengucapkan ‘hamdalah’ (Alhamdulillah) apabila selesai. Ia banyak keberkatan
dari segi kesihatan.
Rahsia besar Rasulullah s.a.w yang patut menjadi teladan
ialah baginda tidak pernah mencela makanan yang tidak disukainya atau kurang
enak. Ini terkandung di dalam hadis bermaksud:
“Anas berkata: Rasulullah tidak pernah mencela makanan. Jika
berselera dimakannya, dan jika tidak maka ditinggalkannya.”
Justeru, semua orang tidak wajar menunggu hari tua atau berusia
lewat 40-an untuk memulakan amalan pemakanan sihat. Mulakanlah sekarang!
Kepentingan menjaga pemakanan dapat difahami daripada hadis
Nabi saw yang diriwayatkan at-Turmudzi dari Abdullah al-Ashory, Rasulullah saw
bersabda bermaksud:
“Sesiapa dalam keadaan badan sihat, aman dalam penghidupan
dan ia memiliki makanan sehari-hari yang cukup, maka seolah-olah dunia ini
miliknya.”
Marilah kita amalakan cara makan mengikut sunnah, ianya
bukan sahaja satu cara mengawal pemakanan kita untuk kesihatan badan bagi
membolehkan kita beramal ibadat dengan sempurna juga dapat menjalankan
kerja-kerja lain untuk kepentingan kehidupan di dunia. Siamping itu jika kita
berniat mengamalakan cara makan yang di anjurkan oleh Rasulullah saw sudah
pasti kita memperolehi pahala.
Wallahu’alam.
No comments:
Post a Comment
Thanks for your comments, I will reply soon.