RAIHANPAHIMI

publish your book for free?AFF=9142
Showing posts with label KESIHATAN. Show all posts
Showing posts with label KESIHATAN. Show all posts

Thursday, 30 July 2015

Makan cara sihat ikut sunnah nabi saw

Kebiasaan kita apabila lapar makan mengikut nafsu dengan memilih makan mengikut selera kita, pilih makan yang kita rasa sedap dan  apabila makan akan makan sepuas-puasnya sehinggalah terasa kenyang. Inilah hakikat dalam kebidupan kebanyakan daripada kita.

Kita mula  berpantang dan mengawal tabiat makan apabila diserang penyakit. Lebih teruk jika doktor hanya membenarkan kita makan dalam kuantiti yang  sedikit atau  jenis makanan tertentu. Hakikatnya, amalan mengawal tabiat pemakanan selepas jatuh sakit adalah tindakan yang kurang tepat. Kita sepatutnya mengawal pemakanan seawal usia remaja, bukan apabila memasuki fasa umur 40an.

Tabiat pemakanan yang  amat baik dan boleh diteladani ialah mengikut sunah Rasulullah s.a.w. Jika dikaji, amalan pemakanan baginda amat bertepatan dengan al-Quran bermaksud: “… makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan…” (Surah al-A’raf, ayat 31). Rasulullah saw akan makan apabila terasa lapar dan  baginda akan berhenti makan sebelum kenyang. Ini bermakna betapa bijak tindakan baginda mengamalkan pemakanan yang dapat menjaga kesihat badan.


Petua menjaga kesihatan cara Rasulullah turut mengambil kira sistem tubuh manusia. Sebagai mesin, ia memerlukan bahan bakar iaitu makanan untuk membolehkannya melaksanakan kerja, tetapi kuantiti makanan yang masuk ke perut mesti dikawal. Makan makanan secara berpatutan dengan keperluan tubuh kita, bukanya makan mengikut hawa nafsu hingga terlampau kenyang.

Sebenarnya, menjaga dan mengawal perut daripada makan terlalu banyak adalah kaedah pencegahan penyakit yang berkesan. Sebab itu ramai ilmuwan perubatan dan tabib zaman lampau sering bermadah ‘lapar itu ubat’.

Mengambil makanan dalam kuantiti banyak adalah amalan buruk kerana ia memberatkan organ dan sistem pencernaan sehingga ia lemah dan tidak mampu mencerna secara teratur dan berkesan.

Makanan dalam jumlah yang banyak menyebabkan pelbagai penyakit.  Amalan ini juga adalah perangai syaitan. Justeru, kaedah rawatan dan pencegahan penyakit yang terbaik sepatutnya bermula dari perut – pastikan kuantiti dan jenis makanan yang masuk ke perut terkawal.

Nabi Muhammad ada menyebut ‘perut adalah tempat bermula pelbagai penyakit’. Selain kuantiti makanan, petua kesihatan Nabi turut mengambil kira isi padu dan jenis makanan. Baginda lebih mengutamakan makanan lembut, terutama jika baru sembuh atau melalui proses pemulihan. Dalam satu hadis daripada Siti Aisyah r.a, beliau berkata: “Jika Rasulullah diberitahu si fulan sakit dan tidak ada nafsu makan, baginda bersabda: Berikanlah kepadanya ‘talbiinah’! Kata baginda lagi, Demi Allah, ia mencuci perut seseorang seperti kamu membersihkan mukamu daripada kotoran!”

Talbiinah ialah sejenis makanan masyarakat Arab menyerupai bubur atau susu. Ia lembut dan tidak membebankan perut. Bagi kita di sini, mungkin oat dicampur susu sesuai sebagai makanan yang lembut dan tidak membebankan perut serta fungsi pencernaan.Makanan ini juga kaya serat dan banyak membantu proses penghadaman.

Disiplin pemakanan yang diamalkan Rasulullah biasanya mengelak makanan itu mendatangkan penyakit kepada individu yang sihat, manakala bagi mereka yang mengalami masalah kesihatan, ia mengelak penyakit menjadi semakin serius.

Contoh peristiwa Nabi Muhammad s.a.w mengajar pemilihan makanan ketika sakit ialah sebagaimana hadis riwayat Ibnu Maajah dari Ummul Mundzir Qois al Anshoriyah, katanya:

“Suatu hari Rasulullah berkunjung ke rumah kami bersama Ali k.a yang ketika itu baru sembuh daripada sakit. Kami mempunyai buah daliah (sejenis buah-buahan di tanah suci), lalu Rasulullah mengambil dan memakannya dan Ali juga memakannya.

“Baginda berkata kepada Ali: Engkau baru saja sembuh daripada sakit.

“Lalu Ali berhenti memakannya. Kemudian saya buatkan masakan dari gandum dan saya berikan kepada mereka berdua, maka Rasulullah s.a.w bersabda: Ali, nah, ini lebih sesuai bagimu!”

Larangan Rasulullah kepada Ali yang baharu sembuh daripada sakit agar tidak memakan daliah sebagaimana dalam hadis di atas adalah kaedah pencegahan atau berpantang. Buah-buahan yang sifatnya mudah terurai mungkin memberi mudarat bagi mereka yang baru sembuh.

Ketika baru pulih daripada sakit, perut belum cukup kuat kerana ia sibuk bekerja menghakis sisa penyakit dari dalam perut dan badan.

Sebaliknya, Rasulullah menggalakkan Ali mengambil masakan daripada gandum kerana air daripada gandum itu dapat menguatkan tubuh.

Namun, baginda membenarkan pengambilan makanan yang tidak sesuai, tetapi dalam kuantiti sedikit sekadar menghilangkan keinginan.

Perkara menarik mengenai kaedah makanan seimbang yang diajarkan Rasulullah ialah baginda tidak membataskan pada satu jenis makanan saja. Contohnya, baginda menyeimbangkan makanan bersifat panas dengan sejuk.

Dari segi komposisi makanan, baginda tidak pernah mengambil susu dan ikan atau susu dan telur atau daging dan susu atau antara makanan yang kedua-duanya mempunyai sifat panas atau sifat dingin serentak.

Baginda juga tidak mengambil dua jenis makanan yang mempunyai sifat cepat dicernakan dan lambat dicernakan, serentak.

Rasulullah tidak mengambil makanan yang masih dalam keadaan panas atau makanan yang disimpan semalaman, makanan awet atau diasinkan seperti acar kerana semua itu memudaratkan kesihatan.
Kita juga patut mengelak mengambil makanan segera dan minuman berkarbonat, walaupun sedap, tetapi memudaratkan apatah lagi mengandungi perasa tiruan dan sintetik.

Rasulullah gemar makanan yang mengandungi unsur manis semula jadi dan madu malah baginda suka mengambil buah-buahan sebagai makanan tambahan.

Mengenai madu, Nabi mempunyai disiplin pengambilan madu yang baik untuk dicontohi, iaitu mengambilnya pada waktu pagi sebelum sarapan.

Madu dicampurkan dengan air dingin sebelum diminum. Ini bertujuan mencairkan lendir dan membersihkan sistem pencernaan.

Selain jenis dan kuantiti makanan, satu aspek lain penjagaan kesihatan Rasulullah s.a.w ialah cara baginda duduk ketika makan, iaitu dalam posisi ‘mutawarikan’, iaitu meletakkan pinggul pada kedua-dua tumit dan menempatkan telapak kaki kiri di atas punggung kaki kanan. 

Postur badan penting dalam menentukan kebaikan ketika pengambilan makanan. Contohnya, baginda melarang makan sambil bersandar sebagaimana sabdanya bermaksud: “Saya tidak makan sambil bersandar.”

Baginda juga melarang minum sambil berdiri, kecuali jika dalam keadaan terpaksa. Baginda mempunyai disiplin khusus dari segi minuman.

Berdasarkan petunjuk Nabi s.a.w, makruh minum selepas melakukan olahraga atau sebaik selesai melakukan sesuatu kerja berat atau sebaik habis makan atau sebelum makan. Semua itu tidak baik untuk kesihatan. Sebaliknya, biarkan beberapa detik berlalu apabila selesai aktiviti berat atau makan, kemudian minum.

Rasulullah s.a.w mempunyai petua unik ketika minum. Dalam satu hadis dari Anas bin Malik bermaksud: “Rasulullah minum dengan tiga kali nafas. Baginda berkata: Hal itu lebih melegakan dan lebih menyihatkan.”

Maksud bernafas tiga kali ketika minum ialah dengan menjauhkan bekas atau cawan dari mulut, lalu bernafas atau seolah-olah menghisap air yang sedang diminum. Larangan bernafas di dalam gelas ketika minum ditemui dalam hadis bermaksud:

“Jika seseorang di antara kalian minum maka janganlah bernafas di dalam gelas minuman, tetapi hendaklah direnggangkannya dari bibir.”

Dan, pasti yang paling penting dan mungkin dilupakan kita apabila makan atau minum ialah membaca ‘basmalah’ (membaca Bismillah) dan mengucapkan ‘hamdalah’ (Alhamdulillah) apabila selesai. Ia banyak keberkatan dari segi kesihatan.

Rahsia besar Rasulullah s.a.w yang patut menjadi teladan ialah baginda tidak pernah mencela makanan yang tidak disukainya atau kurang enak. Ini terkandung di dalam hadis bermaksud:
“Anas berkata: Rasulullah tidak pernah mencela makanan. Jika berselera dimakannya, dan jika tidak maka ditinggalkannya.”

Justeru, semua orang tidak wajar menunggu hari tua atau berusia lewat 40-an untuk memulakan amalan pemakanan sihat. Mulakanlah sekarang!

Kepentingan menjaga pemakanan dapat difahami daripada hadis Nabi saw yang diriwayatkan at-Turmudzi dari Abdullah al-Ashory, Rasulullah saw bersabda bermaksud:

“Sesiapa dalam keadaan badan sihat, aman dalam penghidupan dan ia memiliki makanan sehari-hari yang cukup, maka seolah-olah dunia ini miliknya.”

Marilah kita amalakan cara makan mengikut sunnah, ianya bukan sahaja satu cara mengawal pemakanan kita untuk kesihatan badan bagi membolehkan kita beramal ibadat dengan sempurna juga dapat menjalankan kerja-kerja lain untuk kepentingan kehidupan di dunia. Siamping itu jika kita berniat mengamalakan cara makan yang di anjurkan oleh Rasulullah saw sudah pasti kita memperolehi pahala.



Wallahu’alam.

Monday, 22 June 2015

AL QURAN PENYEMBUH SEGALA PENYAKIT


Sempena bulan Ramadan Kareem yang penuh keberkatan ini, penghulu segala bulan dan pada bulan  inilah Al- Quran di turunkan kepada Nabi Muhammad SAW untuk dijadikan panduan dan pedoman kehidupan manusia di dunia yang fana ini. Sehubungan itu saya akan berkongsi bersama anda semua tentang i rahsia kehebatan al-Quran sebagai ejen penyembuh penyakit.

Ramai pesakit  bertanya, mampukah al-Quran mengubati penyakit? Bagaimana hanya dengan membaca rangkaian ayat al-Quran, sakit dihidapi mampu sembuh?

Percayalah! Al-Quran adalah mukjizat terbesar yang diberikan kepada Rasulullah SAW dan kepada kita sebagai umat baginda.

Al-Quran merupakan kalam Allah dan sememangnya kuasa penyembuh itu adalah milik Allah. Kerana dialah Yang Maha Pencita dan Maha Berkuasa. Jika dikehendakiNya “Kun Fayaku” maka jadilah.
Bukanlah sesuatu yang janggal apabila al-Quran dikatakan mampu menjadi ejen penyembuh penyakit. Firman Allah di dalam surah Al-Israa’, ayat 82:  yang bermaksud : “Dan Kami turunkan dari Al Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman."

Kita perlu  meyakini mukjizat al-Quran sebagai ejen penyembuh. Bagi saya, jika bukan kita sebagai orang Islam, siapa lagi mahu mengangkat martabat mukjizat agung ini.

Di sini, saya mahu menjelaskan kaedah utama rawatan Islam. Secara umum, rawatan bermula dengan melafazkan dua kalimah syahadah. Kalimah mulia ini sebagai pembuka pintu kepada setiap sesi rawatan bagi pesakit. Kalimah ini membezakan muslim dan bukan muslim.

Kalimah inilah sebagai penyaksian sewaktu lahir dan sebelum kematian. Maka, kita memulakan rawatan dengan lafaz dua kalimah syahadah. Ini menunjukkan tawakal dan kebergantungan kita kepada zat yang Maha Penyembuh, iaitu Allah.

Seterusnya, kita hendaklah membaca surah Al-Fatihah. Surah ini bukanlah hanya boleh digunakan semasa solat, sebaliknya surah Al-Fatihah turut terbukti sebagai ejen penyembuh penyakit yang luar biasa mujarabnya. Kerana itu surah ini digelar ibu segala surah dan dimuliakan menjadi surah pembukaan di dalam mushaf al-Quran.

Di dalam sebuah hadis daripada Abu Said al-Khudri r.a., ia menjelaskan adanya satu kumpulan sahabat Rasulullah keluar bermusafir. Di tengah perjalanan mereka singgah di sebuah perkampungan Badwi.

Mereka meminta makanan, tetapi penduduk kampung enggan memberinya. Dengan takdir Allah, salah seorang penduduk kampung disengat binatang berbisa.

Salah seorang sahabat Rasulullah bersedia untuk mengubatinya. Lalu membaca sesuatu dan ditiupkan ke tempat luka lelaki tadi. Dengan kuasa Allah, lelaki itu sembuh.

Para sahabat lain hairan, apakah ayat yang dibacakan oleh sahabat tadi? Sedangkan sahabat mereka bukan  seorang tabib atau pernah mengubati penyakit. Sahabat itu menyatakan, dia hanya membaca surah Al-Fatihah. Berita ini sampai kepada Nabi Muhammad saw dan baginda mengesahkan perbuatan lelaki tersebut.

Riwayat ini membawa pengajaran kepada kita mengenai betapa besar fadhilat surah Al-Fatihah.
Kalau difikirkan dari sudut logik akal, mustahil hanya dengan membaca ayat, bisa daripada binatang boleh sembuh.

Ini yang dikatakan kuasa penyembuh milik mutlak Allah dan kita harus berikhtiar.
Apa yang pasti, kisah ini membawa pengajaran berguna, bahawa ayat suci al-Quran bukan sahaja bertindak sebagai panduan hidup, malah sebagai ejen penyembuh penyakit yang sangat mujarab.

Di kalangan masyarakat Melayu khususnya di Malaysia, ramai meyakini ayat suci al-Quran mampu menjadi penawar, namun hanya bagi penyakit bersifat spiritual atau penyakit kerohanian. Misalnya sihir, santau, saka, rasukan, jin dan lain-lain.

Masyarakat kita masih ramai yang kurang yakin bahawa ayat suci al-Quran mampu malah berkesan merawat penyakit bersifat fizikal seperti kencing manis, darah tinggi, tiroid, ketumbuhan dalam otak dan kanser.

Contohnya surah Al-Isra ;ayat 40 hingga 55 untuk menyembuhkan penyakit berkaitan jantung, surah Qaf ayat 16 hingga 45 untuk menyembuhkan penyakit berkaitan urat saraf dan tulang manakala surah Muhammad ayat 21 hingga 32 untuk menurunkan stres pesakit.

Rata-rata kita tidak melihat proses" penyembuhan melalui ayat al-Quran. Sukar diterima akal, hanya dengan membaca ayat suci al-Quran, penyakit fizikal sembuh tanpa ubat atau pembedahan.

Ramai di antara kita lebih mempercayai perubatan moden, yang jelas kelihatan proses penyembuhan dan rawatan seperti pembedahan, ubat, suntikan dan sebagainya.

Secara peribadi, saya tidak menolak rawatan moden, malah menggalakkan pesakit merujuk kepada doktor atau menjalani rawatan moden.

Namun, apa yang mahu saya tekankan adalah, al-Quran juga mampu menjadi penawar penyakit fizikal.
Firman Allah yang bermaksud “Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman..." (Surah Yunus, ayat 57)

Bagaimana al-Quran boleh bertindak sebagai ejen penyembuh? Persoalan ini tidak dapat dijelaskan oleh logik akal manusia, namun sebagai sedikit gambaran kepada pembaca, pertama sekali kita harus yakin bahawa al-Quran adalah mukjizat agung dan firman Allah sendiri menyatakan di dalamnya mempunyai syifa’ atau penyembuh. Ayat al-Quran mempunyai aura tersendiri yang sepadan dengan jenis penyakit.

Misalnya, sakit kanser, ayat al-Quran yang selari dengannya adalah surah Al-Mukminun ayat 91 hingga 100 dan surah Al-Hajj ayat 31 hingga 55. Ada lagi ayat lain yang berkaitan dengan penyakit kanser.

Begitu juga dengan sakit lain, terdapat ayat al-Quran, yang fungsinya sebagai penyembuh untuk sakit tersebut. Apabila ayat ini dibaca oleh pesakit, maka aura ayat suci ini akan bertindak terhadap penyakit yang dihidapi dengan izin Allah.

Dalam erti kata lain, rawatan menggunakan ayat suci al-Quran ini bertindak umpama rawatan moden, namun prosesnya tidak mampu dilihat dengan mata kasar dan dijelaskan dengan logik akal.

Alhamdulillah, dengan izin Allah, sudah ramai pesakit yang mengamal perubatan Islam, sembuh daripada penyakit seperti jantung, buah pinggang, saraf, kanser, gangguan sihir dan saka dan sebagainya, selepas pesakit tekun mengamalkan ayat al-Quran yang diberikan mengikut jenis penyakit.

Selain amalan pembacaan al-Quran secara istiqamah dan konsisten, doa kepada Allah dan keyakinan tinggi terhadap mukjizat agung al-Quran sebagai ejen penyembuh turut diamalkan oleh pesakit.

Mengenai mukjizat al-Quran dalam menyembuhkan penyakit kanser telah dibukukan dalam buku bertajuk Perubatan Al-Quran Rawatan Kanser (Quranic Medicine in Healing Cancer; terbitan MustRead Sdn. Bhd.) yang boleh didapati di kedai buku bermula 1 Mac 2013.

Kesimpulannya, al-Quran adalah mukjizat agung yang diturunkan Allah untuk umat Nabi Muhammad dan kalau bukan kita, siapa lagi yang patut mendaulatkan al-Quran?

Rugi besar jika orang Islam mensesiakan al-Quran dan tidak meyakininya. Yakinlah dengan al-Quran, bukan sahaja sebagai kitab yang dibaca sebagai pertunjuk, tetapi sebagai ubat yang diamal setiap hari sebagai penyembuh.

Akhir sekali, harapan kita agar suatu hari nanti, ramai doktor Muslim dapat menerima al-Quran sebagai medium penyembuh penyakit serta menggunakannya bersama rawatan perubatan moden mereka. Yakinlah dengan firman Allah bahawa Al Quran adalah penyembuh pelbagai penyakit .

Wallahu’alam.


Sumber: Pusat Rawtan Islam Al Hidayah

Saturday, 16 May 2015

LIMAU KASTURI

Perahan jus limau kasturi (Citrus Microcarpa) memang diakui mampu menambahkan keenakan rasa sesetengah minuman dan masakan. Namun keistimewaannya tak terhenti setakat tu aje. Sebenarnya banyak lagi khasiat limau kasturi yang mungkin belum anda ketahui.

Ini kerana bukan hanya jusnya, malah kulit limau kasturi ni pun boleh anda gunakan untuk mengurangkan sesetengah penyakit seperti lelah, sakit tekak dan juga pening kepala. Tak lupa gak, ia dikatakan dapat mengatasi masalah badan berbau.

Bagi memudahkan anda, saya akan senarai khasiat limau kasturi ni satu persatu mengikut kegunaan beserta dengan caranya sekali ya. :)

1. Mengurangkan Lelah

- Ambil sesudu madu. Kalau boleh madu asli. Kemudian, campurkan dengan 5 titik jus limau kasturi.

- Minumlah campuran madu dan jus limau kasturi tadi.

Anda boleh meminumnya pada bila-bila masa walaupun ketika tak mengalami lelah. Tapi cukuplah anda mengamalkan cara ini seminggu sekali.

2. Melegakan Pening Kepala

- Ambil sebiji limau kasturi dan potong sedikit di bahagian atasnya.

- Kemudian, picit kulit limau kasturi tadi sehingga cecairnya keluar. Pastikan anda menghalakan cecair tu ke arah hidung semasa ia terpancut.

Sebagai tambahan, anda juga boleh memakan kulitnya secara mentah. :)

3. Mengatasi Masalah Badan Berbau

- Amalkan selalu memakan kulit limau kasturi secara mentah.

4. Menyembuhkan Sakit Tekak

Biasanya ia digunakan bagi menyembuhkan sakit tekak akibat lendir dan kahak.

- Bagi orang dewasa, anda campurkan jus limau kasturi dengan sedikit lada hitam.

- Kacau campuran tu hingga rata dan minum.

- Jika kanak-kanak pula, anda boleh campurkan jus limau kasturi tu dengan sedikit madu lebah. Tujuan menggantikan lada hitam dengan madu adalah untuk mengelakkan daripada kanak-kanak tu mengalami kepanasan.

5. Menghilangkan Kesan Minyak pada Pakaian

- Perahkan sebiji limau kasturi ke dalam piring.

- Campurkan perahan limau kasturi tadi dengan sedikit garam.

- Kemudian, gosokkan campuran di atas pada bahagian pakaian yang terkena minyak.

- Lepas dah gosok, biarkannya selama 5 hingga 10 minit. Kesan minyak tu akan hilang nanti.

Akhir sekali, barulah anda basuh pakaian tadi bersama dengan pakaian lain macam biasa.


Begitulah 5 fungsi limau kasturi yang boleh anda manfaatkan dalam kehidupan seharian. Mudah-mudahan ia dapat membantu anda menangani masalah yang dinyatakan di atas dengan berkesan. Sambil tu dapat gak berjimat, kan?