RAIHANPAHIMI

publish your book for free?AFF=9142

Friday, 10 April 2015

KESULTANAN KELANTAN

RAJA KELANTAN KETURUNAN LONG GAFFAR



  1. Long Gaffar
  • Bermula pada 1750-an selepas Perang Kota Kubang Labu II
  • Mangkat pada awal 1780-an
  1. Long Seri
  • Pada masa pemerintahannya Patani jatuh ke tangan Siam (1785)
  • Mangkat pada usia 137 tahun
  1. Long Demor
  • Pemerintahannya berpusat di Jeram
  1. Tengku Chik Pandak
  1. Engku Besar Tun Ahmad
  • Bermula ketika kemasukan pengaruh Inggeris
  • Tamat selepas peristiwa Pemberontakan Tok Janggut pada tahun 1915
  • Kemudiaannya berhijrah ke Kota Bharu Reman
Long Gaffar menguasai Kelantan (ketika itu dipanggil “Tanah Serendah Sekebun Bunga, Negeri Cik Siti Wan Kembang). Setelah menang perang iaitu perang Kota Kubang Labu 1. Perang tersebut berlaku selepas raja Kota Kubang Labu (dari keturunan Jembal) yang bernama Long Pandak membunuh isterinya yang merupakan puteri Raja Legeh (Narathiwat sekarang).

Puteri tersebut bernama Puteri Neng Mas(Tengku tengah adik Long Deraman) adalah juga merupakan sepupu Long Gaffar dibunuh kerana dituduh berzina dengan Long Gaffar kerana memiliki “kain Cindai” yang bernama “Cepa Melaka” yang dimiliki oleh Long Gaffar. Sebenarnya kain cindai tersebut dipinjamkan oleh Long Gaffar semasa lawatannya ke Kota Kubang Labu, kebetulannya pada masa ketiadaan Long Pandak. Puteri Neng Mas telah dibunuh dengan kejam, dimana mayatnya telah dibelah perut dan diikat di atas belakang gajah yang bernama “Neng Malai” yang dihadiahkan oleh oleh Raja Legeh. Peristiwa inilah yang membangkitkan kemarahan Raja Reman dan Raja Legeh.

Gelaran “Long”
“Long” berasal dari perkataan “sulong” iaitu anak sulung. Sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat Melayu, anak sulong dipanggil “long”, “kak Long” atau “abang long”. Sudah menjadi adat dikalangan raja-raja Melayu pula, putera sulung mereka akan mewarisi takhta. Jadi Long Gaffar adalah putera sulong Raja negeri Reman (yang terletak di Yala, Selatan Thailandhingga Hulu Perak sekarang).

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa perkataan “Long” itu berasal daripada perkataan Siam “Luang” yang bererti “Putera”. Ini berasaskan hakikat bahawa semua anak-anak lelaki diberi pangkal nama “Long” tanpa mengira sama ada anak sulung atau tidak. (Ini berbeza dengan Long Jaafar di Perak kerana adiknya ialah Ngah Ibrahim). Anak-anak perempuan diberi pangkal nama Tuan di Kelantan, atau “Nan” atau “Nang” di Terengganu (dipercayai dari perkataan “Nae” bererti “puteri’ dalam bahasa Siam).

Keturunan Raja Jembal
AImarhum Haji Nik Mat bin Raja Banjar adalah daripada keturunan Raja Jembal yang memerintah negeri Kelantan dalam kurun ke- 16. Keturunan Raja Jembal ini masih ramai lagi di negeri Kelantan, terutama sekali di Kedai Lalat, Pulau Melaka dan beberapa buah kampung lain di dalam jajahan Kota Bharu.

Sejarah Raja Jembal telah ditulis oleh Almarhum Dato’ Perdana Menteri Kelantan, Nik Mahmud bin Nik Ismail (ayah Dato’ Nik Ahmad Nik Kamil) sebelum Perang Dunia Kedua. Buku sejarah Raja Jembal yang ditulisnya telah dijadikan buku bacaan ilmu sejarah bagi sekolah-sekolah Melayu di Kelantan sebelum Perang Dunia Kedua.

Antara ahli kerabat Raja Jembal yang terkenal ialah Puteri Saadong, anak angkat Cik Siti Wan Kembang yang memerintah di bahagian Hulu Kelantan pada waktu itu.

Asal-usul atau salsilah keturunan Raja Jembal ini bermula daripada seorang kerabat diraja Kedah bernama Raja Bersiong yang telah singgah lalu kemudiannya terus menetap di Kedai Lalat, kira-kira 10 kilometer dari Kota Baharu. Raja Bersiong ini dikatakan membawa dua orang anak angkat yang bernama Raja Sakti dan seorang lagi bernama Tuan Puteri Mani Kemian. Ada cerita yang mengatakan bahawa Raja Sakti itu berasal dari ‘buluh betung’ dan Tuan Puteri Mani Kemian itu terbit dari ‘buih’. Dan ekoran daripada cerita dongeng itulah menyebabkan anak cucu Raja Jembal tidak memakan sayur buluh betung yang menjadi makanan kegemaran orang Melayu sejak dulu hingga sekarang.

Tetapi fakta tentang cucu-cicit Raja Jembal zaman sekarang sudah dikaburi dengan cerita yang dianggap dongeng dan sudah tidak percaya lagi dengannya. didapati kini tiada lagi keturunan Raja Jembal itu yang percaya dengan dongeng yang mengatakan asal-usul nenek moyang mereka dari buluh betung dan buih.

Cerita yang mengatakan bahawa Raja Sakti itu keluar dari buluh betung dan Tuan Puteri Mani Kenilan itu keluar dari buih hanyalah rekaan dan khayalan penulis sejarah yang tidak begitu arif tentang sejarah dan salasilah Raja Jembal. Walau bagaimanapun, dikatakan terdapat wasiat daripada Raja Bersiong yang tidak membenarkan anak cucunya memakan sayur buluh betung dan tidak membenarkan anak cucunya membuat alat-alat rumah atau alat-alat pertanian dan lain-lainnya daripada buluh betung. Anak-anak cucu Raja Jembal juga tidak digalakkan memakan sejenis ikan bernama ikan sekacang.

Sejarah keturunan Raja Jembal itu bermula daripada perkahwinan Raja Sakti dengan Puteri Mani Kemian, kedua duanya anak angkat Raja Bersiong. Setelah kemangkatan Raja Bersiong, Raja Sakti telah dilsytiharkan sebagai raja yang berdaulat di sekitar Kedai Lalat dan beberapa daerah lain di Kelantan. Hasil daripada perkahwinan Raja sakti dengan Puteri Mani itu lahirlah Raja Loyur, Raja Omar, Raja Bahar dan beberapa orang putera dan puteri lagi.

Keturunan Raja Jembal yang ada sekarang ini ialah cucu cicit kepada Raja Sakti dan Puteri Mani Kemian itu. Menurut Cikgu Tuan Mat, pemerintahan Raja Jembal di Kelantan berakhir setelah kemangkatan Raja Kecil Sulung (puteri Sultan Omar) pada tahun 1725. Setelah kemangkatan Raja Kecil Sulung satu rebutan kuasa telah berlaku antara puteranya iaitu Raja Abdul Rahman dengan adindanya, Raja Pah (adik Raja Kecil Sulung yg bernikah dgn Long Bahar Datuk Pengkalan Tua putera Raja Patani).

Akibat daripada perebutan kuasa itu, Raja Abdul Rahman tersingkir daripada takhta pemerintahan keturunan Raja Jembal ini dan suami kepada Raja Pah, Tuan Besar (atau lebih dikenali sebagai Long Bahar) mengambil alih pemerintahan daripada keturunan Raja Jembal. Perpecahan telah berlaku dalam kerabat keturunan Raja Jembal ini kerana Tuan Besar (Long Bahar) yang mengambil alih pemerintahan itu berasal dari Patani.

Sepatutnya Raja Abdul Rahman yang mewarisi takhta bagi meneruskan kuasa keturunan Raja Jembal ini kerana Tuan Besar atau Long Bahar itu bukan daripada keturunan Raja Jembal. Walaupun pemerintahan Raja Jembal telah berakhir, namun kesan sejarahnya masih wujud dengan adanya makam Raja Loyor, makam Raja Omar dan makam Raja Bahar yang telah dibaiki dan dibina semula oleh pihak Muzium Negara dalam tahun 1970an. Makam-makam ini terletak di sekitar Kedai Lalat.

Sebuah sekolah menengah di Kedai Lalat telah diberi nama Sekolah Menengah Raja Sakti dan sebuah sekolah rendah di pekan yang sama diberl nama Sekolah Kebangsaan Raja Bahar.
Dikatakan yang kerabat keturunan Raja Jembal kini berada di sekitar Kedai Lalat, Pulau Melaka, Sering dan di daerah-daerah lain di Kelantan dan masih lagi menggunakan bahasa diraja atau bahasa istana dalam pertuturan antara sesama mereka. Perkataan ‘ku’, ‘patik’, ‘kanda’, ‘bonda’, ‘ayahanda’, ‘berangkat’, ‘cerat’, ‘mangkat’ dan sebagainya masih digunakan oleh keturunan Raja Jembal walaupun kini mereka hanyalah rakyat biasa yang tinggal di beberapa buah kampung di Kelantan. Ini bererti bahawa pengaruh diraja dan istana masih tebal di kalangan cucu-cicit Raja Jembal yang masih hidup sekarang walaupun mereka telah dipisahkan dari istana sejak tiga abad yang lalu.
Persatuan Kebajikan Keluarga Raja Jembal telah pun ditubuhkan dan mendapat restu daripada Persatuan Kerabat Diraja Kelantan. Persatuan Kebajikan Keluarga Raja Jembal sekarang diketuai oleh Raja Mahmud bin Raja Mamat, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Limbongan dan Naib Ketuanya ialah Cikgu Tuan Mat bin Raja Kechik.

Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat juga telah dilantik sebagai penasihat kepada Persatuan Kebajikan Keluarga Raja Jembal ltu. Pihak Kerabat Diraja Kelantan telah diberitahu tentang perlantikan itu. Ini tidak bermaksud untuk mengulas secara panjang lebar tentang kisah dan sejarah Raja Jembal, tetapi hanya sekadar untuk mengaitkan serba sedikit riwayat tentang datuk nenek Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz dan keluarganya sebagai berketurunan daripada Raja Jembal yang masyhur dalam sejarah negeri Kelantan. Datuk sebelah bapa kepada Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz masih lagi menggunakan panggilan ‘raja’, iaitu Raja Banjar.

Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz mengingati suatu perkara tentang almarhum datuknya ini. Raja Banjar bukanlah orang kaya walaupun memiliki banyak tanah. Mengikut Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz, datuknya suka merantau meninggalkan rumah sehingga satu atau dua minggu. Apabila beliau pulang, dikerjakannya tanah dengan menanam kelapa dan getah secara bersungguh-sungguh bagaikan menggantikan masa kerjanya yang telah terbuang disebabkan merantau itu.

Kekaburan Sejarah Kelantan
Terdapat pihak yang mengatakan terdapat penyelewengan yang berkaitan dengan fakta sejarah negeri ini. Pendedahan yang telah dibuat menyebabkan ada pihak yang terasa. Penyelewengan itu dikatakan bermula dengan terbitnya buku “Ringkasan Cetera Kelantan” oleh Dato’ Perdana Menteri Nik Mahmud Bin Ismail sebelum tahun 1950-an. Penyelewengan fakta ini dipercayai dilakukan secara terancang dan berterusan ini terbukti dengan terbitnya buku terbaru sejarah Kelantan iaitu “Iktisar Sejarah Kelantan” yang kemudiannya diiklankan di dalam majalah “Pengasuh” keluaran MAIK.
Dikatakan, ramai yang tidak menyedari bahawa selepas kejatuhan “Kota Lubang Kubu” akibat Perang Kota Lubang Labu II pada tahun 1762 di antara Long Mohamad yang memerintah Kota Lubang Labu dengan Long Gaffar (Long Gaffar merupakan Raja Muda Negeri Reman dan bukannya anak pembesar Reman seperti yang didakwa di dalam buku di atas), negeri ini kemudiannya telah diperintah oleh Long Gaffar dan keturunannya.

Pusat pemerintahan utama semasa pemerintahan Long Gaffar di Negeri ini ialah di Kota Limbat, Peringat dan pada masa yang sama seorang tokoh iaitu Long Yunus (anak Long Sulaiman) yang merupakan sahabat baik Long Gaffar yang dianggap sebagai adik oleh baginda Long Gaffar. Lalu Long Yunus telah diberikan kuasa memerintah oleh Long Gaffar dari kawasan Pasir Tumbuh hingga ke Padang Garung, dan seterusnya hingga ke Kuala Kemasin dan Di sebelah Baratnya hingga ke Bukit Tanjung (Narathiwat). Walau bagaimanapun, segala keputusan dan kuasa sebenar berkaitan pentadbiran dan kes-kes jenayah adalah terletak di bawah bidang kuasa Baginda Long Gaffar di kota Limbat. Peristiwa ini yang menyebabkan munculnya nama “Kelantan”, yang dikatakan berasal dari perkataan “Negeri yang Dikerat Lintang” antara Raja yang memerintah iaitu baginda Long Gaffar yang berpusat di Kota Limbat dengan Long Yunus dan sempadannya ialah Pasir Tumbuh.

Fakta tersebut dikatakan cuba diselewengkan oleh pihak-pihak tertentu di Kelantan dengan memutarbelitkan peristiwa (menyatakan Long Yunus yang beri kuasa kepada Long Gaffar) bertujuan bagi memperkecilkan dan seterusnya menghapuskan peranan Long Gaffar dalam lipatan sejarah Kelantan sedangkan dalam perang tersebut, dipercayai Long Gaffar berjaya berperang dan mengalahkan Long Mohamad yang dibantu oleh Long Deraman.

Semasa pemerintahan baginda Long Gaffar dan keturunannyalah, telah terlaksana Hukum Hudud di Kelantan. Di antara tokoh yang terlibat dan menjadi tempat rujukan dan nasihat bagi perlaksanaan hukuman ini ialah Haji Nik Ismail Limbat (Tok Baruh) yang merupakan keturunanan Raja Jambu Patani yang asal. Keturunannya kemudian mengasaskan pondok Bukit Abaldan salah seorang dari keturunannya muncul sebagai tokoh agama yang terkenal iaitu Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal.
Pemerintahan keturunan Long Gaffar di Kelantan berakhir selepas peristiwa pemberontakan Tok Janggut pada tahun 1915 iaitu semasa pemerintahan Tengku Besar Jeram iaitu Tengku Besar Tuan Ahmad yang memerintah di Jeram, Pasir Puteh. Peristiwa yang membawa kepada kejatuhan pemerintahan keturunan Long Gaffar ini dipercayai mempunyai kaitan dengan keengganan mengiktiraf pengaruh Inggeris dan Siam di negeri Kelantan. Akibat mainan politik penjajah Inggeris dan Siam, para keturunan Long Yunus kemudiannya diiktiraf sebagai pemerintah Kelantan.

PENENTANGAN TERHADAP BRITISH DI KELANTAN
Dipetik dari buku   ‘MERDEKA  –  Obor Suatu Perjuangan’ Terbitan:    JABATAN WARISAN NEGARA,  MALAYSIA

Detik awal penentangan terhadap pentadbiran British di Kelantan ialah kebangkitan Tok Janggut menentang British di Pasir Puteh.   Kebangkitan ini lebih dikenali sebagai Perang Tok Janggut yang berlaku di antara  29 April 1915 hingga 24 Mei 1915.

Tok Janggut dilakar dalam sejarah penentangan orang Melayu terhadap British sebagai tokoh pejuang patriotisme yang karismatik kerana beliau boleh menarik pengikut yang ramai.   Antara rakannya yang setia ialah Engku Besar bin Engku Ngah (Kampung Jeram),   Penghulu Adam bin Mat Noh (Kampug Kelubi),   Saleh (Kampung Sareng),  Sulung Tasik (Kampung Kok Berangan),  Ibrahim bin Awang (Kampung Batu Hitam),  Ishak bin Muda atau Sahak Merbol,  Haji Said bin Haji Chik (Kampung Nering),  Sasa (Kampung Tok Berangan),  dan  Tok Janggut Mat Amin (Kampung Gong Garu).

Campur tangan British di Kelantan bermula dengan termetrainya Perjanjian Inggeris – Siampada tahun 1902 yang membawa kepada perlantikan William Armstrong Graham sebagaiPenasihat dan Pesuruhjaya Siam di Kelantan pada bulan Julai 1903.   Pihak British telah memperkenalkan sistem percukaian yang begitu asing kepada penduduk tempatan.   Selain daripada cukai kepala,  rakyat jelata termasuk pembesar-pembesar perlu membayar cukai tandan kelapa,  cukai junjungan sirih  dan  cukai tanah mengikut kelas.   Setiap bidang tanah sama ada dikerjakan atau tidak,   dan ada hasil atau tidak,  wajib dibayar cukai.   Sistem cukai ini bercanggah dengan amalan biasa dan pembesar-pembesar hilang keistimewaan mereka.

Ketua Jajahan yang dilantik British,  Encik Latiff,  bukan orang tempatan tetapi didatangkan dari Singapura,   dan kurang menggunakan budi bicara apabila berhadapan dengan orang tempatan yang ingin membayar cukai.   Malahan beliau tidak dapat menyesuaikan kaedah pentadbirannya dengan sikap dan minda masyarakat setempat.   Beliau terlalu keinggerisan dan tidak suka bercampur dengan orang Melayu tempatan.

Pada tahun 1915,  berlakulah  Perang Tok Janggut yang dipimpin oleh Tok Janggut  (nama sebenar Haji Mat Hassan bin Munas)  dan rakan setianya.   Pada 28 April 1915,  Encik Latiff,  Pegawai Daerah Jajahan Pasir Puteh mendapat berita bahawa Tok Janggut mengatur strategi untuk menyerang Pasir Puteh.   Pada 29 April 1915,  Tok Janggut mengadakan mesyuarat di Kampung Tok Akib.   Antara mereka yang hadir ialah Tok Janggut,  Penghulu Adam,  Haji Said  dan Che Sahak Merbol.   Mereka bersama-sama memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan British.   Mesyuarat ini juga bersetuju memulaukan pembayaran hasil dan menyerang pekan Pasir Puteh.

Sementara itu,  Andul Latiff,  pegawai daerah Pasir Puteh telah mengarahkan Sarjan Sulaiman  (Che Wan)  dengan beberapa orang mata-mata menangkap Tok Janggut.   Pertengkaran berlaku antara kedua-dua pihak  dan  berakhir dengan Sarjan Che Wan ditikam oleh Tok Janggut.   Mata-mata lari menyelamatkan diri dan membuat laporan kepada Abdul Latiff.  Ketegangan yang wujud di Pasir Puteh ini menyebabkan Encik Abdul Latiff dan kakitangan kerajaan mengundurkan diri ke Kota Bharu.   Peristiwa pembunuhan ini mencetuskan penentangan bersenjata rakyat Kelantan di Jeram.
Encik Latiff cuba bertindak dengan menghantar pasukan mata-mata untuk menangkap Tok Janggut,  tetapi berpatah balik ke Kota Bharu dengan menaiki bot melalui Kuala Semerak apabila mendapat berita bahawa Tok Janggut dan pengikutnya sedang bergerak untuk menyerang Pasir Puteh.

Angkatan Tok Janggut serta pejuang-pejuang yang lain,  iaitu Engku Besar Jeram dan Penghulu Adam serta Che Sahak Merbol  melancarkan serangan ke atas Pasir Puteh.   Mereka tinggal di Pasir Puteh selama  3 hari.   Mereka membakar pejabat kerajaan,  menawan balai polis  dan  merosakkan bangunan kerajaan,  rekod  dan  melepaskan orang salah.   Engku Besar Jeram Tuan Ahmad dilantik sebagai pemerintah atau Raja Jeram,  dengan Tok Janggut sebagai Perdana Menteri serta dibantu oleh Haji Said  dan Che Sahak Merbol  sebagai Pegawai Daerah.   Mereka menubuhkan kerajaan sementara di Pasir Puteh.

Penasihat British Kelantan,  W. Longham-Carter, meminta bantuan tentera dari Singapura.  Pasukan bantuan di bawah Leftenan Kolonel C.W. Brownlow  dengan kapal  S.S. Kaka dan pasukan di bawah Kapten Marryat dengan H.M.S Cadmus tiba di Tumpat, Kelantan pada 5 Mei 1915.   Bantuan tambahan Malay States Guides tiba dengan kapal S.S. Calypso pula tiba pada 12 Mei 1915.   Pasukan British ini mara ke Gunong pada 5 Mei 1915,  seterusnya ke Bukit Jawa pada 8 Mei 1915  dan tiba di Pasir Puteh pada 9 Mei 1915.   Pasukan ini tidak menerima sebarang tentangan kerana Tok Janggut dan penyokongnya telah pun meninggalkan pekan Pasir Puteh untuk menyelamatkan diri dan berundur ke dalam hutan.

Sultan Kelantan dengan nasihat Penasihat British,  menurunkan tandatangan pada surat perisytiharan memaklumkan lima orang pemimpin iaitu Tok Janggut,  Engku Besar Jeram Tuan Ahmad,  Penghulu Adam,  Che Sahak Merbol dan Haji Said supaya menyerah diri dalam tempuh tujuh hari dan sekiranya ingkar,  rumah mereka akan dibakar.  Hanya Penghulu Adam telah menyerah diri.  Rumah Tok Janggut,  Haji Said  dan  Sahak Merbol dibakar.

Pada 23 Mei 1915,  pihak perisikan British mendapat maklumat bahawa Tok Janggut dan penyokongnya akan melancarkan serangan ke atas Pasir Puteh pada 24 Mei 1915.    Pasukan British terdiri daripada 50 orang Sikh dan tujuh orang Eropah di bawah Mejar Borton mara ke Jeram iaitu tempat berkubu Tok Janggut dan para pengikut pada 24 Mei 1915.   Pertempuran kemudiannya berlaku antara kedua-dua belah pihak di Kampung Dalam Pupuh. Tok Janggut dilaporkan terkorban manakala Engku Besar Jeram Tuan Ahmad yang mengalami kecederaan di paha diselamatkan oleh Awang Deraman dan dibawa ke Reman,  Selatan Thailand.   Mayat Tok Janggut diarak keliling Pasir Puteh,  lalu dibawa ke Kota Bharu dengan kereta lembu.   Di Kota Bharu,  mayatnya diarak pula sekeliling bandar kemudiannya digantung dengan kepala ke bawah di Padang Bank atau Padang Merdeka,  sebelum dibawa ke Pasir Pekan untuk dikebumikan.

Dengan terkorbannya Tok Janggut di medan tempor di Jeram,  gerakan menentang British di Kelantan menjadi suram seolah-olah kehilangan hala tuju.   Tokoh seangkatan Tok Janggut juga menyepi tetapi semangat perjuangan mereka menjadi iktibar kepada generasi kini.


Sumber : KELANTAN DARULNAIM

No comments:

Post a Comment

Thanks for your comments, I will reply soon.