RAIHANPAHIMI

publish your book for free?AFF=9142

Friday, 29 May 2015

BEKERJASAMA SESAMA INSAN

Agama Islam sangat menitikberatkan kepada umatnya supaya hidup saling bekerjasama dan bersefahaman dalam masyarakat. Kerana itulah satu-satunya cara yang boleh memberikan kehidupan yang aman damai dan sejahtera kepada kita. Tanpa adanya kerjasama dan persefahaman kita tidak akan dapat merasai nikmat perpaduan dan kebahagiaan dalam hidup ini. Allah subhanahua ta'ala telah menegaskan di dalam kitab suci Al-Quran, surah An-Nisa'ayat 110

Yang bermaksud : 'Kamu wahai umat Muhammad adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi umat manusia kerana kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang segala yang salah. Serta kamu beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya.

Dari ayat di atas jelaslah kepada kita bahawa kita umat Islam, umat yang terbaik. Yang akan sentiasa berusaha menzahirkan kebaikan dan menghapuskan keburukan.Untuk menjayakan usaha ini, kita sebagai umat Islam seharusnya bersatu dan bekerjasama serta bersefahaman khususnya dikalangan masyarakat kita sendiri. Janganlah sekali-kali di dalam masyarakat ada perselisihan. Contohnya satu-satu gerak kerja atau aktiviti kemasyarakatan di dalam sebuah kampung atau tempat kediaman seharusnya setiap anggota hendaklah turut melibatkan diri bersama dengannya. Tidaklah wajar kita mengasingkan diri dari masyarakat semata-mata kerana kurang bersetuju dengan gerak kerja itu selagi ianya tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

Firman Allah :
Maksudnya : ' Hendaklah kamu bertolong-tolongan dalam perkara kebaikan dan janganlah sekali-kali kamu bertolongan dalam perkara kejahatan, bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah, amat berat siksaannya.
Saudara kaum muslimin yang berbahagia,

Sesungguhnya kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di alam dunia terletak kepada dua perkara iaitu hubungan kita dengan Allah dan hubungan kita sesama manusia. Ini bererti tidak akan bahagia dan sejahtera hidup jika kita hanya menunaikan hak Allah subhanahua ta’ala sedangkan hubungan kita sesama manusia yakni masyarakat kita tidak terlaksana dengan baik.

Seperti ajaran Allah dalam firmannya dari surah Al-Imran ayat 112
Yang bermaksud : ' Dijatuhkan kehinaan ke atas mereka walau dimana mereka berada kecuali yang mempunyai dua pertalian iaitu pertalian dengan Allah dan pertalian dengan manusia'.

Masyarakat kita, orang melayu sudah lama tertanam semangat perpaduan dan persefahaman seperti kata pepatah, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Ini dikuatkan lagi dengan ajaran agama Islam yang kita anuti yang menghendaki supaya kita bekerjasama dan bersefahaman. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, hubungan orang mukmin yang lain adalah seperti sebuah binaan yang saling kuat menguatkan antara satu sama lain.

Oleh itu marilah bersama-sama kita merapatkan persefahaman dalam masyarakat kita serta bekerjasama dalam segala hal kemasyarakatan. Semoga dengan itu dapat menikmati kehidupan yang harmoni, aman damai dan sejahtera. Sebaliknya hindarilah segala yang membawa perpecahan dan kelemahan. Allah subhanahua ta’ala telah mengingatkan dalam firmannya di dalam surah Al-Imran ayat 200 yang bermaksud ' dan janganlah kamu berbantah-bantah yang menyebabkan kamu lemah dan hilang kekuatan dan bersabarlah, sesungguhnya Allah berserta dengan orang-orang yang sabar '

 

No comments:

Post a Comment

Thanks for your comments, I will reply soon.