RAIHANPAHIMI

publish your book for free?AFF=9142

Monday 9 April 2018

FIKRAH MURABBI - BAB 1 : TOK GURU YANG SAYA KENALI


BAB 1:   TOK GURU YANG SAYA  KENALI.
 Allah berfirman yang bermaksudnya:
"Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah  dari kalangan  hamba-hambanya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sungguh Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.”. (Fathir [35]: 28).                                             .                                                                                                                                     .
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin(mu); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim. (QS. Al Maidah: 51)

Saya masih ingat hari pertama semasa berjumpa Tok Guru setelah dilantik sebagai Setiausaha Majlis Mesyuarat Kerajaan (SUMMK) pada tahun 1992.
Sebaik sahaja saya berada di depan meja Tok Guru, saya tergaman seketika, kerana wajah Tok Guru banyak persamaan dengan wajah ayah saya, yang saya panggil “wan”.
“ Pok Nik asal dari mana”.
“ Ambo  asal Pasir Puteh, Tok Guru”
“ Anok sapo”
“Anok Nik Abdul Rahman, Kapung Kelubi Jalan Machang”
“ Oooo  ambo raso kenal ayah Nik tu” Tok Guru menyambung bicara.
Di minda saya masih terbayang kata-kata ayah pada malam sebelumnya.
“Wan dulu ngaji bersama dengan Tok Guru di Pondok Tok Guru Haji Abas di Jerteh, Besut Terengganu”.
Pertama kali melihat wajah Tok Guru yang berseri-seri dengan cahaya keimanan dan ketaqwaan, tutur katanya yang lemah lembut tetapi penuh dengan falsafah dan ilmu, memperlihatkan bahawa dia adalah seorang ulamak yang tinggi ilmu agama, juga seorang ‘murabbi’ yang dapat memimpin masyarakat kearah mendapat keredaan Allah s.w.t. di dunia dan di akhirat.
“ Moleklah mari di Majlis Mesyuarat Kerajaan ni, bolehlah pakat tolong ambo nak Membangun Membanguna Bersama Islam di negeri Kelantan kita ni”. Tok Guru meneruskan bicaranya. Saya mendengar dengan penuh tumpuan.
Itulah  diantara dialog Tok Guru yang saya masih ingat sampai ke hari ini.
Disepanjang tempoh saya bertugas di  Pejabat  Majlis Mesyarat Kerajaan (MMK) banyak perkara yang saya belajar daripada amalan Tok Guru sebagai seorang ulamak dan Menteri Besar Negeri Kelantan.
Tok Guru sememangnya seorang insan yang begitu tinggi komitmen untuk mempratikkan Islam dalam kehidupan sehariannya, demi untuk mendapat keredaan Allah di dunia dan  di akhirat. Sememanglah layak sekali beliau di gelar sebagai “Tok Guru”. Satu panggilan penghormatan yang diberi kepada alim ulamak di Negeri Kelantan khasnya dan Nusantara amnya.
Rutin harian Tok Guru apabila sampai di pejabatnya, dimulakan dengan solat duha, diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al Quran. Kemudian barulah dia meneliti dokumen-dokumen diatas meja yang perlu beliau menandatanganinya.
Menjadi kelaziman bagi Tok Guru menulis sendiri teks ucapan yang akan beliau berucap di beberapa majlis rasmi. Tok Guru  gemar menulis ucapan dengan menggunakan tulisan jawi. Dia  begitu mahir dengan tulisan jawi yang dianggap sebagai tulisan Melayu yang mempunyai banyak persamaan dengan tulisan Arab. Bagi Tok Guru jika mahir tulisan jawi akan memudahkan kita membaca Al Quran kitab Allah yang merupakan panduan kehidupan untuk seluruh manusia di muka bumi ini. Al Quran akan menjadi teman kita di alam kubur dan juga sebagai pembela di akhirat bagi setiap mukmin yang sentiasa mendapingi dan mengamalkannya semasa hayatnya di dunia.
Tok Guru sememangnya seorang anak Melayu yang begitu kuat mengamalkan adat dan tatasusila budaya Melayu selagi ianya tidak bercanggah dengan syariat Islam.
Dibuktikan dengan amalan pakaianya seharian beliau sama ada  untuk ke pejabat atau ke majlis yang dihadirinya. Tok Guru sentiasa memakai Baju Melayu lengkap berselepang, berkupiah dan berserban ‘alim ulamak’. Fesyen pakaian ini merupakan pakaian tradisi ulamak Nusantara.
 “ Baju Melayu adalah lambang ‘Pahlawan Melayu’ manakala ‘serban’ adalah sunnah Rasulullah s.a.w.” Tok Guru pernah jelaskan kepada Setiausaha Politiknya Anual Bakri pada satu ketika dahulu.
“ Saya terus mengekalkan penampilan saya dengan pakaian baju Melayu lengkap dan berseban, ini adalah kerana saya sedar bagi masyarakat Kelantan yang tidak begitu yakin dengan seorang pendakwah yang memakai kot dan bertali leher”. Jelas Tok Guru semasa di interview oleh wartawan pada satu ketika dahulu.
“ Saya semasa menuntut di Mesir dahulu pernah memakai kot dan bertali leher, tetapi setelah pulang ke tanah air saya tidak lagi memakainya”.ujar Tok Guru.
Sekali sekala sahaja Tuan Guru memakai pakaian rasmi Menteri Besar dengan mengenakan jubah labuh hitam dan berserban apabila beliau menghadiri majlis Di Raja atau Persidangan Dewan Undangan Negeri.
Tok Guru tidak perrnah memakai pakaian barat ‘long suit’ walaupun ianya merupakan salah satu pakaian rasmi bagi Menteri Besar yang dicatit dalam protokol berpakaian dalam pentadbiran Kerajaan Kelantan.
Amalan Tok Guru menulis dengan menggunakan tulisan jawi, amat sesuai sekali dengan amalan di Pejabat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan yang masih mengekalkan tulisan jawi sebagai media rasmi untuk mencatat minit mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan.  Setahu saya hanya Negeri Kelantan sahaja yang satu-satunya  negeri di Malaysia masih mengekalkan tulisan jawi sebagai media untuk mencatat minit mesyuarat EXCO. Di negeri-negeri lain di Malaysia tulisan rumi digunakan untuk catatan minit mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan.
Untuk mengenegahkan tulisan jawi yang hampir pupus di akhir zaman ini. Tok Guru telah mengemukakan cadangan supaya menjadikan satu kewajiban bagi semua iklan yang ingin di letakkan di dalam kawasan Penguasa Tempatan di seluruh Negeri Kelantan mesti mempunyai tulisan jawi. Peraturan yang diperkenalkan oleh Tok Guru ini telah meningkatkan penggunaan tulisan jawi di kalangan masyarakat di Negeri Kelantan.
Tok Guru akan ke pejabat setiap hari sebelum pukul 8 pagi. Kecuali beliau ada urusan rasmi di luar. Kebiasaannya beliau merupakan di antara orang yang terawal sampai di Kompleks Kota Darulnaim berbanding dengan pegawai-pegawai kanan yang lain.
Disini memperlihatkan komitmen dan kebertanggung jawaban Tok Guru untuk mengikuti disiplin kerja yang ditetapkan bermula jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang. Malah lebih daripada itu Tok Guru adalah seorang ulamak yang ikhlas dan jujur dalam mematuhi segala ajaran Islam dalam kehidupan sehariannya, dimana ‘amanah’ dalam setiap perkara adalah diantara perkara yang dituntut oleh Islam.
Tok Guru merupakan seorang insan yang peramah dan mudah berbicara dengan sesiapa sahaja. Beliau mudah mesra dan setiap perbualan yang keluar dari mulutnya memperlihatkan dia adalah seorang ulamak yang ikhlas dan penuh dengan ilmu agama di dada.  Sungguhpun Tok Guru sebagai salah seorang ulamak yang hebat di Nusantara, beliau tetap dengan sifat merendah diri dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja yang berbicara dengannya.
Tok Guru merupakan seorang  ulamak yangn sentiasa meberi fokus kepada perbualan orang yang berbicara dengannya. Dengan kata lain Tok Guru adalah ‘pendengar’ yang baik dalam berkomunikasi dua hala. Tok Guru akan mengakat tangannya dan diletakkan dibelakang cuping telinga sebagai satu ‘gesture’ yang beliau adalah pendengar yang baik. Memperlihatkan yang dirinya memberi tumpuan dan meneliti segala percakapan orang yang berada didepannya.  Ini adalah salah satu sifat yang menjadikan Tok Guru  seorang pemimpin yang disukai ramai tanpa mengira kedudukan, pangkat, keturunan, kaum dan agama.
Satu sifat mulia yang ada pada Tok Guru ialah cara beliau menyambut tetamu yang datang ke Pejabatnya dengan penuh mesra dan hormat, tidak kira tetamu itu rakyat biasa yang miskin atau pemimpin yang berjawatan. Bagi Tok Guru setiap tetamu yang datang berjumpa beliau adalah pembawa ‘rahmat’.
“ Tok Guru tak pernah tidak menerima tetamu yang ingin berjumpa dengan beliau, Tok Guru berkata kepada saya kedatangan seseorang berjumpa kita, dia membawa seribu ‘rahmat’ “ Kata Abang Lah yang pernah berkhidmat sebagai ‘Pengirin Rapat’ kepada Tok Guru lebih 20 tahun.
Satu lagi sifat mulia Tok Guru ialah cara berpakaian setiap hari. Sebagai seorang yang berjawatan Menteri Besar, beliau berpakaian dengan kemas dan sederhana. Fabrik pakaian Tok Guru hanyalah jenis yang sederhana yang biasa dipakai oleh orang ramai.
Tok Guru memperlihatkan dia adalah seorang ulamak yang zuhud dalam berpakaian. Sungguhpun  begitu beliau begitu kuat dengan pakaian tradisi budaya Melayu.
“ Ambo keno jaga status yang di beri oleh masyarakat sebagai ‘Tok Guru’. kata Tok Guru kepada saya suatu masa dahulu.
“Gelaran itu bukan ambo yang minta tetapi masyarakat yang beri”.
Disamping itu Tok Guru mempunyai amalan yang patut diikuti oleh semua ialah beliau akan solat diawal waktu pada setiap kali masuk waktu solat. Perkara ini pernah diberitahu oleh mantan Setiausaha Sulit beliau Dr. Hj Nik Azlan bin Hj Abdul Hadi kepada saya.
“ Saya paling bangga sifat Tok Guru ialah selalu amalkan solat di awal waktu.”
“ Pernah di satu masa di lapangan terbang, Tok Guru sedang menunggu VVIP. Sebaik sahaja bunyi azan, lantas beliau terus solat  di satu ruang kosong”. Kata mantan SUS Menteri Besar kepada saya semasa kami sedang berbincang tetang penerbitan buku ini.
Pejabat Menteri Besar di Kota Darulnaim boleh diibaratkan  sebagai sebuah mini surau, kerana apabila masuk  sahaja waktu solat,  azan akan dilaungkan oleh salah seorang staf  Pejabat Menteri Besar. Tok Guru akan mengimani solat berjemaah. Kebiasaannya pegawai lelaki di pejabatnya  akan ikut sama solat berjamaah. Bila ada tetamu yang datang berjumpa Tok Guru dan berkebetulan masuk waktu solat, mereka juga akan bersama-sama solat berjemaah. Budaya sebegini jarang kita dapat lihat di Pejabat Menteri Besar lain di negeri-negeri di Malaysia. Inilah satu keunikan yang ditunjukkan oleh Tok Guru Nik Abdul Aziz sebagai seorang ulamak dan murabbi.
Amalan itu berterusan selama 23 tahun lebih beliau menjawat jawatan Menteri Besar. Amalan ini juga membuktikan Tok Guru mendahulukan hubungan dengan Allah apabila diseru untuk tunaikan solat 5 waktu setiap hari. Solat merupakan ‘tiang agama’ yang amat penting dan ianya adalah amalan yang pertama dihisab di akhirat kelak.
Tok Guru juga seorang yang tidak ego atau sombong dengan ilmu dan kedudukan. Beliau mudah untuk ditemui oleh rakyat tanpa mengira kedudukan dan status, kebiasaannya sesiapa sahaja yang ingin berjumpa dengan beliau  hanya berjumpa dengan Setiausaha Sulit . Jika masa beliau ‘free’ boleh terus berjumpa tanpa perlu membuat janjitemu terlebih dahulu.
Kebiasaannya rakyat akan menunggu untuk berjumpa Tok Guru selepas solat asar. Kerana lazimnya pada waktu ini Tok Guru tidak ada program rasmi. Kebiasaan Tok Guru akan solat asar di Masjid beliau di Pulau Melaka.
Satu lagi masa yang biasanya mudah untuk berjumpa Tok Guru adalah selepas solat subuh di  Masjid Pulau Melaka. Menjadi rutin Tok Guru menyampaikan kuliah subuh setiap hari. Sebaik sahaja beliau selesai menyampaikan kuliah subuh sudah ramai tetamu dan rakyat yang akan berjumpa Tok Guru untuk mendapat pertolongan atau nasihat beliau.
Dari apa yang saya amati sepanjag berkerja di bawah Tok Guru,  saya dapati beliau adalah seorang yang beramal dengan ilmu yang dipelajarinya.
Sememangnya sukar di akhir zaman ini ingin mencari pemimpin yang menjadi teladan seperti Tok Guru. Inilah satu kelebihan peribadi Tok Guru.
Kerana Tok Guru bukan sahaja sebagai seorang Menteri Besar, tetapi juga sebagai imam untuk  memimpin solat berjemaah. Beliau juga seorang guru yang sentiasa mengajar ilmu kepada semua rakyat di Negeri Kelantan khasnya dan di Malaysia amnya. Aktiviti mengajar ilmu agama adalah rutin harian beliau semenjak tahun 1960an lagi hingglah ke saat akhir beliau meninggal dunia pada tanggal 12 Februari 2015.  Aktiviti dakwah Tok Guru boleh dianggap  sebagai sebuah ‘pondok bergerak’.
Satu lagi kelebihan Tok Guru, dia adalah diantara pemimpin Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang lama menyertai pilihanraya mulai tahun 1967  hingga   ke PRU-13. Memperlihatkan beliau mempunyai karisma kepimpinan yang begitu tinggi berbanding dengan pemimpin politik yang lain sama ada parti PAS atau parti-parti yang lain. Tok Guru juga istikomah dalam memperjuangkan Islam melalui parti PAS. Beliau tidak pernah bertindak meninggalakan PAS walaupun beliau mempunyai percanggahan pendapat dengan pemimpin tertinggi PAS . Contoh masa PAS di pimpin oleh Dato Asri Muda, Tok Guru menentang kemasukan PAS dalam Barisan Nasional (BN) tetapi oleh kerana persetujuan parti untuk mengadakan kerajaan campuran dengan BN beliau akur dan terus dengan parti PAS. Sehinggalah PAS disingkirkan dari BN dan berlaku perpecahan dalam PAS sehingga tertubuh parti baru Berjasa yang diketuai oleh Dato Muhammad Nasir.
Kesetiaan Tok Guru dengan PAS telah terbukti, semasa PAS mengalami krisis pada satu ketika dahulu Tok Guru masih setia dengan parti PAS manakala Yang Di Pertu PAS Dato Mohd Asri telah keluar PAS dan menyertai UMNO semasa Mahathir menjadi Perdana Menteri.
Sifat Tok Guru yang begitu komited dengan perjuangan PAS untuk menegakkan Islam di Malaysia menyebabkan beliau telah dilantik sebagai Musridul Am PAS pada tahun 2015. Ini satu jawatan yang paling tinggi statusnya dalam parti. Juga merupaka pengiktirafan yang terlalu tinggi di beri oleh parti PAS kepada seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada parti dan mempunyai sifat yang istikomah dalam memimpin parti walau dalam apa jua keadaan sekalipun.
Apabila Tok Guru dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan pada tahun 1990. Panggilan rasmi untuk jawatan Menteri Besar yang telah turun temurun diamalkan telah diambil tindakan oleh Tok Guru untuk megubahnya.
Saya masih ingat kata-kata Tok Guru bahawa perubahan terhadap panggilan rasmi dibuat adalah untuk megekalkan status panggilan ‘Tok Guru’ yang diberikan oleh masyarakat kepada beliau sejak sekian lama.
“Amboo nok cadang supaya panggilan rasmi untuk jawatan Menteri Besar perlu di ubah”.
“Bagi ambo panggilan Yang Amat Berhormat Menteri Besar itu adalah nama yang dipersetujui dalam hal ehwal protokol Negeri Kelantan”.
“Ambo nok cade di tambah perkataan “Tuan Guru”.  Selepas perkataan Yang Amat Berhormat“
Beliau memberi penjelasan berhubung cadangan panggilan rasmi kepada Menteri Besar dalam satu mesyurat  satu masa dahulu.
“ Ambo minta  panggilan Tok Guru dikekalkan dalam panggilan nama ambo, sebab ia satu penghormatan yang telah diberikan oleh anak murid ambo  semenjak ambo ngajar agama  pada tahun 60an lagi”.
Disini memperlihatkan Tok Guru begitu komited dengan dakwah Islam, dimana menjadi salah satu rutin harian beliau untuk menyampaikan kuliah agama pada setiap hari dimana sahaja beliau dijemput menjadi tatamu VIP jemputan.
Setiap kali Tok Guru berucap di apa jua majlis samada majlis rasmi atau tidak rasmi. Ia akan dimulakan dengan bacaan beberapa ayat al Quran. Kemudian Tok Guru akan menghuraikan maksud ayat tersebut dan seterusnya akan dikaitan dengan majlis yang beliau hadiri itu. Dengan kata lain setiap majlis yang dihadiri oleh Tok Guru merupakan majlis ilmu atau ‘taman-taman’ syurga. Betapa bijaknya Tok Guru menggunakan masa dalam kehidupan harian beliau untuk mentarbiahkan pengikutnya untuk mematuhi perintah Allah dalam kehidupan.
Itulah di antara bukti yang Tok Guru sebagai seorang ulamak, sentiasa medekati diri dengan Allah dalam apa jua keadaan pun. Bila beliau memulakan dengan kalimah ayat-ayat suci Allah. Sudah pasti nasihat atau ruang lingkup ucapan beliau tidak akan lari dengan syariat Allah. Ini bermakna bahawa Tok Guru seorang yang sentiasa bergerak dengan panduan yang ditetapkan oleh Allah. Dia begitu ikhlas dan sentiasa rapat hubungan dengan Pencipta-Nya.
Katanya ini adalah cara yang paling baik untuk menjadikan kerja buat kita sentiasa diselarikan dengan syariat Islam.
“Jika kita buat sesuatu kerja dengan berpandukan perintah Allah iaitu Al-Quran dan sunnah, maka hidup kita akan terpandu kepada perlaksanaan perintah Allah”.
“Bahkan kerja kita akan menjadi ibadat, itulah satu cara untuk mendapat pahala Allah sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w. yang usianya jauh lebih pendek berbanding dengan umat-umat nabi sebelumnya”.
Masih terkenang saya kata-kata Ustaz Muhammad Mustaffa di dalam satu Kuliah subuh yang pernah disampaikannya.
“ Umur bagi majoriti kita yang hidup di akhir zaman ini adalah sangat pendek berbanding dengan umat-umat yang hidup sebelum Nabi Muhammad s.a.w..”
“ Umat sebelum ini boleh hidup beratus-ratus tahun berbanding dengan kita yang  akan hidup hanya dalam lingkungan 60 hingga 90 tahun sahaja.”
Diriwayatkan oleh Imam Bukhary dari Abdullah bin Umar r.a. bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
Sesungguhnya masa menetapmu dibandingkan dengan umat-umat sebelum kamu adalah seperti waktu antara solat Asar sampai terbenamnya matahari. Ahli Taurat (Yahudi) telah diberikan kepada mereka kitab Taurat, kemudian mereka mengamalkan kitab tersebut, sehingga apabila telah sampai waktu tengah hari, maka mereka pun lemah untuk mengamalkannya. Lalu mereka diberi pahala oleh Allah s.w.t. masing-masing satu qirat. Kemudian diberikan pula kepada ahli Injil (Nasrani), lalu mereka mengamalkan kitab Injil sampai waktu solat Asar. Dan setelah itu mereka lemah untuk mengamalkannya. Maka mereka pun diberi pahala oleh Allah s.w.t. masing-masing satu qirat. Kemudian diberikan pula kepada kita kitab Al-Quran, dan kita mengamalkannya sampai matahari terbenam. Maka Allah s.w.t. memberi ganjaran kepada kita masing-masing dua qirat. Berkatalah ahli kitab (Yahudi dan Nasrani), ‘Wahai Rabb kami, mengapa engkau beri ganjaran kepada mereka (Muslim) dua qirat dan engkau memberi ganjaran kepada kami satu qirath, sedangkan amalan kami lebih banyak dari mereka’”. Berkata Rasulullah, “Allah s.w.t. menjawab (sambil bertanya), ‘Apakah aku berlaku zalim dalam memberi ganjaran dari amal kalian?’ Mereka menjawab, ‘Tidak.’ Allah s.w.t. berkata, ‘Itu adalah kurnia yang Aku berikan kepada siapa sahaja yang Aku kehendaki.’” (HR. Bukhary).
Memang pada situasi akhir zaman ini usia kehidupan seeorang adalah dalam lingkungan  60 tahun hingga 90 tahun sahaja.
“Jika kita cuba congak umur kita yang hidup ini sekitar 60 tahun, tak banyak mana yang kita dapat beribadat kepada Allah” kata                                     Ustaz Muhammad Mustaffa.
“kita tidur sebanyak 8 jam sehari, ini bermakna untuk tempoh 60 tahun, kita telah gunakan untuk tidur selama ( 8 X 30 X12 X 60)  iaitu berjumlah = 172,800 jam besamaan dengan 20 tahun. Begitu jug masa untuk kita bekerja juga 20 tahun. Ini bermakna sejumlah 40 tahun dari usia  hidup kita digunakan untuk bekerja dan tidur.
“Sebaliknya kita hanya menggunakan usia untuk mengadap dan mengingati Allah adalah hanya dalam tempoh yang amat sedikit berbanding dengan aktiviti lain. Jika solat bagi setiap waktu kita gunakan 15 minit termasuk dengan zikir dan berdoa selepas solat, bermakna bagi setiap hari masa kita bersama Allah berjumlah 75 minit sahaja ( 1.15X30X12X60) berjumlah 24,840 jam bersamaan 2.9 tahun @ 3 tahun sahaja.
“ Kesimpulannya, kita hanya beribadat kepada Allah sepanjang hidup 60 tahun ianya tidak melebihi 3  tahun sahaja. Oleh itu untuk membolehkan kita banyak beribadat dalam kehidupan kita, maka kita hendaklah melakukan apa sahaja kerja dalam kehidupan seharian mestilah berniatkan mengikut syariat Allah dan jadikan akativiti kita itu satu ibadat dan pengabdian kita kepada Allah. Oleh itu kita perlu lakukan aktiviti kita mengikut apa yang telah diajar oleh Nabi kita Muhammad  s.a.w.
“Kerana kita tahu umur kita pendek, maka kita perlu bijak menggunakan umur kita yang diberi oleh Allah itu dengan bijaksana dengan berpandukan kepada prinsip kehidupan bagi orang yang beriman dan bertaqwa yang telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad  s.a.w.”.
“Jika hidup berpandukan syairat dalam segala kerja buat kita, maka tempoh masa 60 tahun itu akan menjadi ibadat sepenuhnya, itu adalah cara hidup para anbia dan solihin.”.  Ustaz Muhammad meneruskan kuliahnya.
“Satu lagi kelebihan umat Nabi Muhaamad s.a.w. walaupun umurnya pendek berbanding umat-umat sebelumnya, tetapi Allah yang Mahal Adil memberi peluang kepada kita semua untuk beramal pada suatu malam yang pahalanya sama dengan amalan seribu bulan. Iaitu malam Al Qadar (bersamaan 80 tahun 3 bulan). Ini didatangkan pada setiap tahun dalam bulan Ramadan. Jika kita seorang yang istiqomah dalam beribadat sudah pasti akan menemui malam ini pada setiap tahun. Di sini terbukti begitu pemurahnya Allah kepada hambanya. Jika dalam tempuh 60 tahun hidup kita memperolehi peluang bertemu malam al qadar 10 kali, bermakna kita perolehi pahala selama 800 tahun. Bukankah ini usia kita walaupun pendek, tetapi amal ibadat kita yang akan di bawa ke akhirat kelak menyamai 800 tahun hidup umat sebelum Nabi Muhammad s.a.w.”.
Oleh itu tidak hairanlah Tok Guru cuba membawa idea “Membangun Bersama Islam” sebagai misi beliau setelah diberi mandat menjadi Menteri Besar Kelantan pada tahun1990.
Bagi Tok Guru jika kita menjalani kehidupan di dunia  ini dan sentiasa beriltizam untuk bersama “Islam” dengan mengamalkan segala suruhan-Nya dan menginggalkan segala larangan-Nya, dengan memasang niat atau “nawaitu” untuk mendapat keredaan Allah. In sya Allah kita akan memperolehi kejayaan di dunia dan juga kejayaan di akhirat.
Betapa murninya seorang ulamak yang menjadi pemimpin sebagai Menteri Besar cuba membawa semua rakyat yang beragama Islam supaya hidup di dunia ini sebagai satu usaha perladangan untuk memunggut hasil pahala di akhirat kelak.

“ Kalau mahu selamat di akhirat, kena jaga keadaan sejak di dunia lagi. Kita tunduk di bawah kekuasaan Allah sahaja. jangan berbelah bahagi…… jangan buat kucar-kacir…… jangan berperangai tidak menentu.”  (TGNA)

Keistimewan Tok Guru sebagai pemimpin ulung di Negeri Kelantan, dia bukan sahaja mengajar seluruh rakyat Kelantan untuk hidup berpandukan syariat Allah, tapi yang lebih penting beliau merupakan seorang insan yang mengamalkan apa yang diajar kepada orang lain. Belau memang layak dan tepat sekali jika dipanggil sebagai Murabbi iaitu insan pembimbing ummah. Keperibadian diri Tok Guru amat kuat pengabdian diri kepada Allah menyebabkan ia telah menjadi ikon kepada seluruh rakyat Kelantan khasnya dan Malaysia amnya bukan sahaja bagi rakyat beragama Islam malah yang bukan Islam juga amat mengkagumi dan menghormati beliau.

Tok Guru bukan sahaja seorang ulamak yang peramah dan mudah didekati, tetapi dia juga boleh berbincang dan berbicara dengan pelbagai masyarakat dari kalangan bukan Islam. Pernah satu masa sekumpulan wakil dari pelbagai ketua agama ( Buddha, Hindu, Kristian, Cina dll) datang bejrumpa Tok Guru untuk bermuzakarah berhubung dengan cadangan untuk Eekmen Jenayah Syariah II Kelantan (Hudud), beliau dengan tenang memberi tahu kepada semua wakil ketua  agama.
“ Saudara semua usah risau dengan cadangan kita nak laksanakan Hudud di Kelantan, kerana kita tidak melibatkan orang yang bukan Islam. Mereka jika terlibat dengan perbuatan yang boleh dihukum mengikut Enekmen Jenayah Syariah II ( seperti orang bukan Islam ditangkap berkhalwat dengan orang Islam) mereka  di beri pilihan. Jika tidak mahu orang bukan Islam akan dikenakan hukuman mengikut undang-undang civil atau jenayah dibawah Mahkamah biasa. Jadi saudara tak perlu risau, kita  faham tentang kebebasan beragama”.
Bila sahaja wakil ketua agama lain mendengar hujjah yang diberikan oleh Tok Guru, mereka semua akur dan tidak membantah. Ini adalah satu kelebihan dan krisma kepimpinan Tok Guru.
Sehubungan itu, sepanjang tempoh beliu mejawat jawatan Menteri Besar Kelantan, ianya menjadi seorang yang disegani oleh kawan dan lawan. Tempoh 23 tahun merupakan satu rekod penjawat jawatan Menteri Besar yang paling lama di Malaysia. Beliu juga telah membuktikan bahawa sepanjang tempoh itu tidak ada satu kes pun yang di sabitkan diri beliau sebagai Menteri Besar telah melakukan salah laku kuasa atau rasuah. Walahal di kebanyakan negeri lain di Malaysia, beberapa orang Menteri Besar sesudah memegang jawatan melebihi dua penggal akan terlibat dengan perbuatan rasuah sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Sejarah telah membuktikan sebaik sahaja Menteri Besar berkenaan tamat tempoh memegang jawatannya, akan adalah kes-kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan tentang salah laku rasuah Menteri Besar terbabit.
Begitulah murninya hati seorang ulamak bila dipilih sebagai pemimpin, dia dengan penuh keimanan dan ketaqwaan menjalankan amanah yang diberi sebagai satu  tanggung jawab dan jihad untuk menegakkan syariat Allah di muka bumi ini. Nah terbukti bahawa kepimpinan ulamak adalah kepimpinan yang terbaik untuk rakyat mendapat kebaikan di dunia dan kebahagian di akhirat.
Saya masih ingat satu perbicangan dengan rakan sekerja Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada tahun 1989 dahulu. Pada masa itu berlaku krisis politik di Kelantan. Mengikut  ramalan bahawa kerajaan yang ada pada masa itu akan kalah dalam pilihanraya tahun 1990.  Ramai yang memberi harapan besar kepada PAS  Kelantan yang dipimpin oleh Tok Guru untuk mengambil alih pemerintahan di Kelantan.
“ Nik jika Pas menang di Kelantan pada pilihanraya akan datang, siapa yang akan menjadi Menteri Besar” Tanya rakan PTD kepada saya dengan nada yang sinis.
“ Tok Guru Nik Abdul Aziz lah akan jadi Menteri Besar, kan dia Pesuruhjaya Pas Kelantan” sepontan saya menjawab.
“ Boleh ko dia jadi Menteri Besar Nik”
“ Sudah tentulah boleh, dia dah lama jadi ADUN dan MP”
“ Adun tak apa, tapi jawatan Menteri Besar  perlu kepada pengalaman luas dalam pentadbiran dan mahir tentang ekonomi serta pembangunan” .
“ Kenapa you ingat Tok Guru tidak ada kemahiran  ke ” saya menyoal balas.
“ Saya tak bagitu yakin, lagipun sehingga kini tak ada lagi contoh ulamak menjadi Menteri Besar ” dia memberi hujjah untuk yakinkan pendapatnya.
“ Saya yakin Tok Guru boleh jadi Menteri Besar yang terbaik di Kelantan satu masa nanti” saya beri ulasan sepontan.
Mat memandang ke arah saya dengan penuh persoalan dan keraguan.
Alhamdulillah, setelah lebih 25 tahun peristiwa itu berlalu, telahan saya telah terbukti tepat. Tok Guru telah membuktikan bahawa ‘ulamak’ mampu menjadi Menteri Besar yang terbaik di Kelantan sehingga kini.
Bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud:
“Yang takut kepada Allah di antara para hamba-Nya hanyalah para ulamak” (QS. Faathir: 28). 
Malah sejarah telah membuktikan seorang ulamak bila di beri kuasa untuk mengetuai kepimpinan pemerintahan dan pentadbiran negeri, ia dilakukan dengan penuh tanggung jawab dan sentiasa cuba menjadikan pemerintahan dan pentadbiran negeri itu suatu peluang untuk beribadat kepada Allah demi mencapai keredaan Allah untuk memunggut  hasil yang telah dijanjikan di akhirat kelak  yang merupakan matlamat kehidupan yang sebenar yang akan kekal selama-lamanya.
Apabila peminpin mentadbir negeri dengan acuan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w., maka faktor pembangunan ekonomi dan sosial dengan sendirinya akan selari dengan syariat Allah. Dengan itu  akan datang limpah rahmat Allah sebagaimana telah di janjikan oleh-Nya.
Allah s.w.t. berfirman, artinya:
Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya.” (QS. 7:96)
Perkara ini memang terjadi di Kelantan dibawah kepimpinan Tok Guru.
Pada satu tahun saya masih ingat Pegawai Kewangan Negeri memaklumkan bahawa simpanan rizab perbendaharaan negeri berada  di tahap kritikal ( mampu bertahan untuk tempuh tiga bulan sahaja)
Tok  Guru memberi  komen.  “ Kita perlu berjimat cermat dan semua EXCO perlu bermunajat kepada Allah semoga diberi kemurahan rezeki” .
Seminggu kemudian, dalam mesyuarat mingguan EXCO yang diadakan pada setiap hari Rabu, Pegawai Kewangan Negeri telah memaklumkan bahawa Perbendahraan Negeri telah menerima Gran Perkapita daripada Kerajaan Persekutuan dengan itu keadaan dana kerajaan negeri telah kembali normal. Inilah diantara insiden yang pernah berlaku kepada Kerajaan Negeri Kelantan di bawah kempimpinan ulamak.
Mungkin setengah pihak akan mengatakan situasi itu hanya berkebetulan sahaja. Tetapi bagi saya ianya sebagai satu bukti yang telah dijanjikan oleh Allah. Dan situasi ini telah berlaku beberapa kali di sepanjang tempoh saya menjawat jawatan Setiausaha Majlis Mesyuarat Kerajaan (SUMMK). Terbukti bahawa janji Allah itu pasti berlaku apabila kempimpinan dan rakyat di sesebuah negeri atau negara itu beriman dan bertaqwa.
Faktor pemikiran kehidupan akhirat ini tidak begitu jelas bagi pemimpian yang lebih mementingkan keduniaan, inilah realiti kehidupan sebahagian besar dikalangan kita mengabaikannya.
Kepimpinan sebegini begitu gah dan bangga dengan pembangunan ekonomi  yang lebih menjurus kepada kebendaan untuk mendapat hasil di dunia sahaja tapi unsur untuk mematuhi syariat di abaikan. Natijahnya berlakulah perbuatan yang bercanggah dengan syariat Islam dalam pembangunan ekonomi seperti manipulasi kewagan dan mengalakkan riba untuk mendapat modal ratusan juta ringgit bagi perlaksanaan projek mega yang lebih kepada kebanggaan dunia.
“Dan jadilah kamu sekalian bahagian dari umat yang menyerukan kebajikan dan mengajak yang ma'ruf dan mencegah dari perbuatan munkar, mereka itulah orang-orang yang beruntung “ (Ali Imran:104)

Biografi Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Beliau dilahirkan pada 20 Syaaban 1349 Hijrah  bersamaan 10 /1/1931 Masihi, di pinggir bandar Kota Bharu iaitu di Kampung Pulau Melaka. Anak kedua dari 9 orang adik beradik, Semasa kanak-kanak mendapat pendidik langusng dari bapanya sendiri seorang Tok Guru yang terkenal dengan panggilan Nik Mat Tok Alim. 
Seawal usianya 11 tahun beliau telah menimba ilmu agama di Pondok Haji Abas, Jerteh, Besut Terengganu.
Selain itu juga beliau pernah menunut di Pondok Tok Kenali Kubang Kerian. Beliau juga pernah berguru dengan seorang ulamak hadis yang terkenal di Kelantan pada masa itu, iaitu Maulana Khurasan.
Didorong oleh keinginan untuk menuntut ilmu dan mencari pengalaman di tempat orang, beliau menyambung pelajaran di Universiti New Bandi di India pada tahun 1952. Meniggalkan kampung halaman yang cintai semata-mata untuk menimba ilmu pengetahuan, menjadikan jiwanya cekal dan tabah. Pengalaman di tempat orang pula semakin menguatkan azam dalam dirinya untuk kembali berbakti kepada  anak pertiwinya sendiri. Namun kembara ilmunya belum berakhir di India, dengan semangat yang berkobar-kobar untuk meningkatkan lagi ilmunya beliau meneruskan kembara ilmunya  ke Pakistan dan seteruskan menyambungkan lagi di Universiti Al Azahar, Mesir sehinggalah beliau memperolehi ijazah sarjana.
Tampa syak lagi membuktikan dirinya telah dilengkapi dengan pelbagai ilmu agama sebagai persediaan untuk menjadi seorang ulamak dan  tokoh pemimpin pada satu hari nanti.
Yang beragama bertumbuhan……… Yang beriman berteguhan,
Yang sujud berkekalan……..Yang amal berpanjangan,
 Sesama manusai ianya berguna…… Sesama makhluk ianya ilmu,
 Di dunia dia berbuah……….  Di akhirat beroleh barakah.
 Sudah menjadi resmi ulamak……….
 Jatuh ke laut menjadi pulau…. Jatuh ke darat menjadi bukit.
Satu benih yang baik tumbuh menjulang cahaya.
Setelah satu dekat berkenala di negara orang untuk menimba ilmu,  Nik Abdul Aziz pulang ke tanah air pada tahun 1962 dan membuka sekolah pengajiannya sendiri selain menjadi guru di beberapa  buah sekolah agama di Kelantan dan juga mengajar di Kelas Dewasa untuk beberapa ketika. Ini membuktikan bahawa Nik Abdul Aziz sememangnya mempunyai iltizam yang tinggi untuk memberi ilmu kepada masyarakat setelah beliau kembali dengan ilmu penuh didada. Baginya kerja mengajar dan berdakwah adalah kesinambungan kerja para Rasul dan Anbia.
Pada tahun 1967, semasa sedang mengajar di sekolah Mahaad Muhammadi, tetiba datang Pak Nik Lah meminta dirinya untuk menghadiri satu majlis di JKR 10, Kediaman Rasmi Menteri Besar. Disana belaiu telah di maklum oleh Dato Asri, Menteri Besar Kelantan pada masa itu, yang dirinya telah dipilih untuk menjadi calon bagi Piliharaya Kecil , Kelantan Hilir sebagai calon Parti Islam Se Malaysia (PAS) dan beliau telah meletakkan jawatan sebagai guru. Sehingga tahun 2015  belaiu mengekalkan rekod tidak pernah kalah dalam pilihanraya.
Pada tahun 1990 ombak perubahan politik ‘Gelombang Hijau’ telah melanda Kelantan. Pakatan Pembakang iaitu Angkatan Perpaduan Ummah (APU) telah menang besar dalam pilihanraya Umum ke-12 di Kelantan. Bermula tarikh  itulah beliau telah diamanakan menjadi Menteri Besar Kelantan.
Serban dan jubahnya yang menjadi pakaian rasminya telah membuka mata masyarakat  tentang keupayaan seorang ulamak memikul amanah pentadbiran sebagai seorang  Ketua Kerajaan. Alhamdulillah .
Ranjau berliku dan onak duri sepanjang memegang tapuk pemerintahan, telah berjaya beliau  harungi satu demi satu. Akhirnya selama dua dekat di persada politik, telah membuka mata ramai pihak dan meruntuhkan tembok perejudis yang dibina tinggi oleh sesetengah pihak sebelum ini.
Menjunjung budi dan menabur bakti, bapa kepada 10 orang anak, lima lelaki dan lima perempuan yang juga merupakan  datuk kepada 52 orang cucu ini,  pernah dinobatkan sebagai Tokoh Pemimpin Islam Yang Paling Berpengaruh Di Dunia pada tahun 2009. Beliau berada di tanggga ke 42 daripada 500 orang pemimpin Islam Dunia.
Tok Guru Nik Abdul Aziz telah mencetus banyak perubahan dalam belbagai aspek. Ideanya ditiru  tanpa segan silu, pandangannya dihormati dan ulasannya sentiasa dicari. Beliau memperkenalkan ‘Dasar Membangun Bersama Islam’. yang dijadikan paksi kepada setiap gerak kerja  yang dilakukan dalam bidang pentadbiran, belaiu berusaha sedaya mungkin untuk menjadikan pentadbiran keseluruhannya  berpijak diatas landasan Islam.
Justru beliau memperkenalkan konsep ummi iaitu, Ubudiah, Masuliah dan  Itqan . Warga kerja di asuh untuk memahami bahawa kerja adalah ibadah dan diganjari dengan pahala jika dilakukan sesuai dengan syariat Allah s.w.t.
Dalam bidang ekonomi beliau merupakan pencetus kepada idea Pajak Gadai islam di Malaysia. Belaiu telah mengarahkan wang kerajaan dibawa keluar dari Bank Konvensional dan disimpan di Perbankan Islam. Fenomina ini telah menjadi penggerak kepada perkembangan Perbankan Islam yang amat ketara di Malaysia khususnya dan di Asia amnya. Beliau juga telah memperkenalkan ‘dinnar emas Kelantan’ sebagai usaha menangani masalah kejatuhan nilai wang kertas Ringgit Malaysia pada satu ketika. Kini pelaburan dalam bentuk ‘gold bar’ menjadi salah satu kaedah pelaburan yang popular di Malaysia.
Premis-premis judi tidak dibenarkan beroperasi dan arak pula dikawal penjualannya, menunjukkan betapa seriousnya hasrat belaiu untuk menolak perkara-perkara yang telah diharamkan oleh Allah s.w.t. Hasilnya dua abad Kelantan terus membangun dengan kehadiran pelabur yang memberangsangkan.
Dari aspek kebajikan beliau mencetuskan idea cuti  dua hari seminggu  bagi kakitangan awam dan cuti bersalin 90 hari serta menyediakan skim takaful untuk warga emas dan ibu tunggal.
Manakala dari aspek pengisian rohani, warga urus tadbir negeri Kelantan keseluruhnya di asuh dengan tarbiah setiap masa oleh tazkirah dan peringatan yang tidak pernah lekang dari bibirnya.
Sifat lapang berbuka tangan, hatinya bersih bepalut iman, kesalahan orang dia lupakan, kesushan orang dia rasakan, dendam kesumat dia jauhkan. Hasilnya dua dekat tanpa rasuah, dua dekat penuh sejarah, dua dekat penuh gemilang, dua dekat diukir dengan tinta emas yang penuh bersejarah, dialah “Murrabi Umah” Tok Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.
Walaupun beliau mempunyai masalah kesihatan jantung, darah tinggi dan gastrik. Tetapi itu semua tidak menjadi halangan kepada beliau untuk meneruskan tugas dan tanggung jawabnya sebagai Menteri Besar. Sehinggalah pada akhir tahun 2004, beliau dimasukkan ke hospital HUSM setelah mendapat serangan sakit jantung. 
Beliau sendiri mengakui bahawa kesihatannya semakin terganggu sejak akhir-akhir ini. Namun itu semua tidak menghalangnya untuk terus berbakti kepada masyarakat.
“Saya akui pada zahirnya, tubuh saya ada mengalami masalah berkaitan jantung,  tetapi pemikiran saya masih tajam untuk berfikir dan membuat penilaian atau keputusan”.
Setelah mencurah bakti kepada rakyat Negeri Kelantan lebih 23 tahun. Belaiu telah disahkan mengidap kanser prostat dan mendapat rawatan lanjut di HUSM. Setelah beberapa tahun dirawat dan telah ditakdirkan masanya telah sampai bagi beliau untuk kembali mengadap pencipta-Nya.
Tok Guru Nik Abdul Aziz telah meninggal dunia di kediamannya di Pulau Melaka, Kota Bharu pada 12 Februari 2015 pada pukul 9:40 malam akibat penyakit kanser prostat. Jenazahnya  dikebumikan di sebelah kubur bapanya, Tuan Guru Haji Nik Mat Raja Banjar di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka, selepas disembahyangkan di Masjid Tok Guru Pulau Melaka.
Jenazah Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz diusung oleh ribuan umat Islam dan bukan Islam yang datang memberi penghormatan terakhir pada hari kematian beliau.
Kesimpulannya Tok Guru adalah seorang ulamak yang begitu gigih memperjuangkan Islam dalam sistem berpolitik di Malaysia. Beliau telah mula memperjuangkan Islam semenjak pulang menuntut ilmu dari luar negara pada tahun 1960an lagi. Berkat kegigihan, ketabahan dan penuh kesabaran mengembangkan syiar Islam di bumi kelahirannya  Kelantan. Beliau telah mencapai kemuncak kejayaan dan berjaya menerajui pentadbiran dan pemerintahan negeri Kelantan selama 23 tahun. Beliau telah membuktikan bahawa sebaik-baik pemimpin ummah adalah seorang ulamak yang dapat membawa kebahagian dan kejayaan di dunia dan juga memperolehi kejayaan dan keredaan Allah di akhirat.
Pencapaian Tok Guru sebagai seorang ulamak yang pertama di Malaysia berjaya memegang tapuk pemerentah sebagai Menteri Besar selama 23 tahun adalah satu rekod yang sukar ditandingi setakat ini dan mungkin juga tidak akan ada pesaing seumpamanya di masa-masa akan datang. Tok Guru Nik Abdul Aziz merupakan seorang ulamak  terbilang satu dalam sejuta orang.

No comments:

Post a Comment

Thanks for your comments, I will reply soon.