RAIHANPAHIMI

publish your book for free?AFF=9142

Monday 9 April 2018

FIKRAH MURABBI - Dari Hati Penulis


Dari Hati Penulis
Hasrat saya menulis buku ini adalah untuk berkongsi pengalaman saya  semasa bekerja dibawah Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz (Dato’ Bentara Setia) mantan Menteri Besar Kelantan selama empat tahun lebih. Jawatan saya sebagai Setiausaha Majlis Mesyuarat Kerajaan telah membolehkan saya terlibat secara langsung dengan Tok Guru Nik Abdul Aziz dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerjaan (EXCO) dalam menentukan dasar pentadbiran dan pemerintahan Kerajaan Negeri Kelantan yang berpaksikan kepada Sistem Pentadbiran Islam.
Ini membolehkan saya melihat dengan lebih dekat  bagaimana Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat merealisasikan perlaksanaan ISLAM dalam pentadbiran dan pemerintahan Negeri Kelantan setelah dipilih sebagai Menteri Besar Kelantan.
Pilihanraya Umum 1990, Angkatan Perpaduan Ummah (APU) telah menang besar di Kelantan dan telah memilih Tok Guru Nik Abdul Aziz sebagai Menteri Besar, walaupun pada peringkat awalnya Tok Guru menolak pemilihan dirinya. Oleh kerana tidak ada calun lain yang lebih layak akhirnya Tok Guru terpaksa akur dengan pemilihan yang dibuat oleh parti PAS dan APU.
Tok Guru yang dikenali ramai sebagai seorang ulamak yang begitu kuat dengan prinsip perjuangan Islam. Belaiu telah merintis perjuangannya untuk mendaulatkan Islam di bumi  Kelantan sejak tahun 1960an lagi. Setelah mendaki kejayaan setangga demi setangga, akhirya beliau berjaya memengang tapuk pemerintah dan telah membuat beberapa perubahan secara berperingkat untuk mendaulatkan Islam sebagai Addin yang sempurna dan syumul sebagaimana telah difirman oleh Allah di dalam Al Quran. Bagi Tok Guru al Quran adalah “Kertas Projek” yang telah disediakan oleh Allah untuk menjadi ‘Manual Kehidupan” bagi seluruh umat manusia di muka bumi ini.
Semasa mula memegang jawatan Menteri Besar Kelantan, ramai dikalangan musuh politiknya membuat andaian yang Tok Guru tidak mampu bertahan lama, ada yang membuat andaian dalam tempoh tiga bulan Kerajaan Kelantan yang diterajui oleh Tok Guru akan tergugat, kerana mengikut Bajet Tahunan yang dibentangkan di DUN, Kerajaan Kelantan sentiasa mengalami Belanjawan Defisit. Mengikut lojik ekonomi, hasil negeri hanya mampu bertahan untuk perbelanjaan mengurus bagi tempoh enam hingga sepuluh bulan sahaja.
Walaubagaimanapun segala andaian itu meleset, Tok Guru telah membuktikan kemampuannya setelah memperkenalkan dasar pemerintahan “Membangun Bersama Islam”(MBI). Dasar ini diperkenalkan oleh Tok Guru untuk menghapuskan ‘fobia’ kebanyakan masyarakat Malaysia yang mempunyai persepsi bahawa ‘Islam’ tidak mampu untuk dijadikan dasar pemerintahan negara kerana dikhuatiri akan mundur dalam pelbagai aspek. Lebih-lebih lagi dalam suasana masyarakat majmuk seperti Malaysia.
Tok Guru yang dikatakan tidak mahir dalam pentadbiran dan  ekonomi, telah mengambil langkah secara berperingkat mengIslamkan pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan. Tindakan awal yang diambil oleh Tok Guru ialah memperkenalkan peraturan-peraturan baru dalam pentadbiran supaya diselaraskan dengan syariat Islam. Tok Guru berperinsip kita yang diberi mandat kuasa untuk memimpin dan memerintah hendaklah mengikut aturan yang telah ditetapkan oleh Allah yang telah mencipta manusia dan melantik manusia sebagai ‘khalifah’ di muka bumi ini. Jawatan yang disandang sebagai Menteri Besar bukanlah semata-mata untuk mendapat habuan dunia tetapi yang lebih penting untuk mendapat ‘pahala’ di akhirat.
Tok Guru telah mengambil tindakan mengubah akaun Perbendaharaan Negeri dari  bank ‘riba’ kepada bank ‘Islam’. Memperkenalkan peraturan “menutup aurat” bagi kakitangan Kerajaan Negeri. Memulakan mesyuarat atau majlis dengan bacaan surah Al Fatihah. Bagi Tok Guru segala permasalahan yang dihadapi oleh Kerajaan Negeri mesti ada penyelesaiannya yang akan dikurniakan oleh Allah s.w.t. Kerana Allah Yang Maha Agung yang mentadbir alam ini pasti akan membantu hamba-Nya yang beriman dan bertaqwa apabila memohon pertolongan kepada-Nya. Oleh itu Tok Guru memperkenalkan keadah memohon pertolongan Allah untuk penyelesaian segala masalah yang dihadapi melalui ‘solat hajat’. Keadah ini sememangnya telah terbukti dapat menyelesaikan banyak masalah yang dihadapi oleh Kerajaan Negeri Kelantan yang diterajui oleh Tok Guru selama 23 tahun lebih.
Setelah masa berlalu dan beberapa Pilihan Raya Umum (PRU) telah diadakan didapati Tok Guru telah dapat mengekalkan pemerintahannya dan mendapat sokongan majority rakyat Kelantan. Malah stail pemerintahan Tok Guru di Kelantan telah menjadi rujukan oleh beberapa negeri lain di Malaysia, dimana pada PRU ke 12 beberapa buah negeri telah berjaya dikuasai oleh Gabungan Parti Pembangkan iaitu Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan Terengganu selain megekalkan Kelantan.
Penulisan saya ini cuba melihat apa yang tersirat disebalik dasar MBI yang telah diperkenalkan  oleh Tok Guru dalam tempoh 23 tahun lebih beliau menjadi Menteri Besar Kelantan. Setelah diperhalusi didapati semua dasar yang diperkenalkan oleh Tok Guru adalah berlandaskan prinsip yang telah ditetapkan oleh Islam dan ianya cuba membawa kejayaan rakyat Negeri Kelantan baik di dunia dan juga mendapat keredaan Allah di akhirat.
Bagi saya Tok Guru adalah seorang pemimpin bertaraf “Murabbi” telah banyak berjasa kepada rakyat Negeri Kelantan khususnya dan Malaysia amnya. Tok Guru merupakan seorang ulamak pencetus idea pembaharuan dalam mentadbir negara secara Islam dizaman mutakhir ini.
Semoga Allah memberkati segala perjuangan Tok Guru untuk menjadikan Islam sebagai sistem pemerintahan dan pentadbiran di Kelantan dan ianya dapat diteruskan oleh pemimpin yang telah diberi mandat menjadi Menteri Besar Kelantan selepasnya, kerana Tok Guru telah meletakkan asas yang kukuh bahawa Islam mampu menjadi prinsip dalam mentadbir dan memerintah sesebuah negeri atau negara. Tegasnya Tok Guru telah membuktikan yang “Islam Boleh”.

Yang ikhlas,
Nik Raihan Bin Nik Abd Rahman

No comments:

Post a Comment

Thanks for your comments, I will reply soon.