Kenapa Islam laranng Sambutan Valentine's Day :
Fenomena sebahagian remaja menjadikan Valentine’s Day
sebagai perayaan paling diminati dan sangat ditunggu untuk diraikan bersama
kekasih amat menggusarkan. Ia sebenarnya merupakan satu fenomena ajaib dan aneh
kerana perayaan ini tidak pernah disisipkan secara rasmi di mana-mana kalender.
Akan tetapi ia terus diingati dan diraikan saban tahun.
To be my Valentine?
Bagi mereka yang meraikan sambutan Valentine’s Day ungkapan
‘To be my Valentine’ sering bermain di bibir. Kebiasaannya ia diungkapkan oleh
teruna kepada si dara dalam menzahirkan kecintaannya. Menurut Ken Sweiger,
perkataan “Valentine” berasal dari bahasa Latin yang mempunyai maksud “Yang
Maha Perkasa, Yang Maha Kuat, dan Yang Maha Kuasa”. Menurutnya lagi, kata ini
sebenarnya digunakan pada zaman Rom Kuno ditujukan kepada Nimrod dan Lupercus,
tuhan orang Romawi.
Sedar atau tidak, menurut Sweiger, jika seseorang meminta
orang lain atau pasangannya menjadi “To be my Valentine?”, maka dengan hal itu
sesungguhnya ia telah secara terang melakukan suatu perbuatan yang bercanggah
dengan aqidah dan dimurkai Allah. Ini karena ia telah meminta seseorang menjadi
“Sang Maha Kuasa” dan hal ini sama dengan usaha menghidupkan kembali budaya
pemujaan berhala.
Mengapa Mawar Merah?
Selain ucapan ‘To be my Valentine’ pemberian jambangan mawar
merah oleh si teruna kepada si dara juga sering menjadi amalan pada Valentine’s
Day. Ia dianggap satu simbol dalam menzahirkan kasih sayang ‘hakiki’.
Sebenarnya perbuatan ini merupakan amalan kebudayaan Eropah dengan diselitkan
kepercayaan aneh dan karut. Menurut satu mitos Rom kuno, mawar merah merupakan
bunga kegemaran Venus, si dewi cinta. Dewi itu amat sinonim dengan memperingati
kekasih. Ia langsung tiada kaitan dengan Islam dan hanya mitos karut. Amalan
memberi bunga mawar merah ini sebenarnya mula dipopularkan pada tahun 1970an.
Ia berlaku selepas Raja Charles II mengarang buku yang bertajuk ‘The Language
of Flowers, yang menguraikan tentang amalan kebiasaan bangsa Persia yang
mengungkapkan perasaan melalui bunga. Sejak itu pemberian mawar merah terutama
pada saat Valentine’s Day amat popular. Tanpa mengetahui sebabnya ia terus
menjadi amalan.
Sambutan Valentine’s Day Dilarang Kerana Hukumnya HARAM
Sebenarnya, majoriti tokoh agama telah menyatakan bahawa
menyambut atau meraikan Sambutan Hari Valentine ini adalah bertentangan dengan
Syarak. Menurut Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS)
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia amalan ini adalah HARAM dan bertentangan dengan
ajaran Islam.” Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam
Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan
bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh
perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur
dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu
amalan meraikan Hari Valentine tidak digalakkan oleh agama Islam. Pengharaman
dan larangan ini bukanlah kerana ingin menghalang keseronokan atau dengki di
atas aktiviti trend baru zaman moden ini. Tetapi ianya berlandaskan kepada apa
yang dinyatakan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi panduan seantero
umat manusia bagi mengecapi keindahan hidup di dunia dan diakhirat.
Sejarah Valentine’s Day
Menurut Rizki Ridyasmara di dalam bukunya, Valentine Day,
Natal, Happy New Year, April Mop, Hallowen: So What?, para sejarawan masih
tidak mempunyai kata sepakat berkenaan peristiwa apa sebenarnya menjadikan Hari
Valentine terus diperingat. Tetapi daripada beberapa sumber sejarah terdapat
beberapa versi pendapat yang amat popular berkaitan dengannya.
Pendapat pertama mengaitkan Sambutan Hari Valentine dengan
pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan
Lupercalia. Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari
13 hingga 18 Februari. Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta (Queen of
Feverish Love) bagi kaum Rom kuno yang bernama Juno Februata. Pada hari ini
para pemuda Rom memilih nama-nama gadis-gadis yang menjadi pilihan mereka lalu
dimasukkan ke dalam sebuah kotak. Setiap pemuda tersebut kemudiannya akan
mencabut nama tersebut dari dalam kotak itu secara rawak. Nama gadis yang
tertera di dalam kertas tersebut akan menjadi pasangan yang akan menjadi objek
hiburan seksnya selama setahun.
Pada 15 Februari, mereka meminta perlindungan dewa
Lupercalia dari gangguan serigala. Pada hari itu mereka akan menyembelih seekor
anjing dan kambing. Kemudian mereka akan memilih dua pemuda Rom yang dianggap
paling gagah untuk menyapukan darah binatang tersebut ke badan mereka lalu
mencucinya pula dengan susu. Setelah itu akan diadakan perarakan besar-besaran
yang diketuai dua pemuda tersebut dan mereka berdua akan memukul orang ramai
yang berada di laluan mereka dengan kulit binatang dan para wanita akan
berebut-rebut untuk menerima pukulan tersebut kerana mereka beranggapan ianya
akan menambahkan kesuburan mereka.
Pendapat Kedua pula mengaitkannya dengan kematian paderi St.
Valentine ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II.
Pendapat Ketiga: Ia dirayakan bersempena kejatuhan Kerajaan
Islam Andalusia di Sepanyol dimana St. Valentine merupakan individu yang telah
memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam itu.
Disebabkan sumbangan itu, St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. 14
Februari 1492 merupakan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada
hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang
zalim.
Yang terakhir, pendapat keempat adalah berdasarkan apa yang
dinukilkan oleh Geoffrey Chaucer, seorang penyair Inggris di dalam puisinya.
Sambutan Hari Valentine ini bersempena dengan sifat burung yang musim
mengawannya pada 14 Februari.
Berdasarkan kepada versi-versi tersebut, ianya amat jelas
tiada hubungan sama ada secara langsung ataupun tidak langsung dengan budaya
kita mahupun agama bagi umat Islam. Malahan ianya amat terang lagi tersuluh
mempunyai kaitan dalam memperlekehkan aqidah Islam dan orang Islam sendiri.
Kebejatan Acara Valentine’s Day
Sebenarnya bukan sekadar apa yang tersirat di sebalik amalan
dan kepercayaan berkenaan Sambutan Hari Valentine ini sahaja amat keji dan
perlu dihindari. Tetapi acara-acara jelek dan tidak boleh diterima oleh budaya
manusia bertamadun, menjadikan ianya perlu ditolak dan dipadamkan dari takwim
perayaan manusia madani dan memiliki pegangan aqidah yang suci. Lihatlah
bagaimana saban tahun kebelakangan ini, media-media mendedahkan pelbagai acara
dianjurkan bagi mengamatkan Sambutan Hari Valentine, khususnya kepada kalangan
muda mudi. Ianya dicatur berpaksikan kepada menzahirkan perasaan kasih dan
sayang kepada pasangan masing-masing. Amat jijik dan jelek sekiranya difikirkan
dengan akal pemikiran yang waras. Bagaimanakah seorang kekasih boleh
menyerahkan dan melakukan apa sahaja untuk kekasihnya tanpa ada sebarang ikatan
demi membuktikan perjanjian cinta? Akan tetapi, apa yang amat mendukacitakan,
acara tidak bertamadun dan tidak bermata dalam menilai kehormatan sesama insan
itu tetap mendapat sambutan. Ia sukar dibendung. Jauh sekali untuk dibersihkan
sepenuhnya. Kesedaran pemikiran yang waras tercabut dengan hayalan dan
dongengan dek janji indahnya kasih sayang tanpa ada suluhan kebenaran yang hak.
Berdasarkan kepada apa yang telah terjadi, sebenarnya Hari
yang bertemakan kepada menyanjungi dan mengagungi kasih sayang di kalangan para
kekasih menjadi hari permulaan bermulanya bencana dan kehancuran. Sememangnya
pada Valentine's Day akan muncul si Romeo dan si Juliet yang mampu
mengungkapkan bait-bait puisi seindah puisi William Shakespeare. Tidak kurang
pula juga mereka yang sehebat si Laila dan si Majnun dalam bergelumang
memperjuangkan kesetiaan cinta dengan bibir mengalunkan kata-kata puitis
seindah puisi Jamaludin Rumi. Itu semua hanya seketika dek karamnya mereka di
dalam bahtera gelojak nafsu tanpa nakhoda keimanan. Keindahan detik ‘syurga’
ciptaan penuh tipu daya hanya wujud pada hari itu sahaja. Ia akan ghaib entah
ke mana setelah berakhirnya Valentine’s Day. Penderitaan, kekecewaan dan
penyesalan akan menyelusuri. Ia akan menggantikan nikmat yang tidak seberapa.
Si Romeo yang menjanjikan seribu kesetiaan menjadi halimunan bersama janjinya.
Si Majnun yang menaburkan selangit pengorbanan demi kasih, cinta dan setia bisu
dan ghaib entah kemana. Ia sudah terlambat untuk diatasi. Nasi sudah menjadi
bubur. Cempedak sudah menjadi nangka. Kekesalan sudah tiada gunanya.
Zahirkan Cinta Ikut Acuan Islam
Islam sebagai agama fitrah dan sempurna, sentiasa
menganjurkan kasih sayang sesama kekasih. Ini dapat dilihat melalui apa yang
diungkapkan di dalam Kitab Al-Quran dan dijelmakan oleh Rasulullah s.a.w. bongkarlah
khazanah yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w itu bagi mencarinya.
Menzahirkan kasih sayang kepada kekasih perlulah ada batasan selaras dengan
fitrah manusia. Kasih sayang diantara dua jantina berbeza tidak boleh hanya
dengan janji manis di bibir. Tetapi ia perlu diikat dengan satu ikatan akad
yang mampu menyimpul ikatan kukuh bagi menjamin zuriat, akhlak dan peribadi.
Ikatan itu dinamakan sebagai perkahwinan. Ia bukan bertujuan menyusahkan
hubungan sesama manusia. Akan tetapi, ia hanya bermatlamatkan menjadikan
masyarakat yang stabil, aman dan harmoni. Keindahan dalam menzahirkan kasih
sayang itulah yang dianjurkan oleh Islam dan perlulah disemai dan dibajai
setiap hari tanpa perlu menunggu detik satu hari dalam setahun.
Penutup
Bagi menyelamatkan agama dan ummah dari terus musnah akibat
impak amalan-amalan bertentangan dengan aqidah dan syariah sempena Valentine’s
Day ini perlulah disemaikan dalam setiap minda kita agar mewar-warkan larangan
Sambutan Valentine’s Day dari terus diraikan oleh umat Islam khususnya di
negara ini. Marilah kita umat Islam mengelakkan diri dari terlibat dengan
aktiviti-aktiviti yang menyalahi aqidah, syarak dan tamadun manusia ini
Sumber : Artikel ini diterbitkan oleh JAKIM Sabah
No comments:
Post a Comment
Thanks for your comments, I will reply soon.