Semasa niat untuk berkahwin dengan pasangan pilihan kita,
setiap suami sememangnya telah memasaang niat untuk menjadi suami yang terbaik
dan dapat bersama dengan isteri pilih dalam keadaan bahagian dan harmoni
sepanjang zaman hinggalah ke akhir hayat.
Sungguhpun begitu langit tak selalu cerah, kadang kala
mendung datang di tengah hari atau jika tidak nasib tidak menyebelahi kita
rebut petir dan hujang mencurah-curah di sebelah petang. Inilah reality kehidupan dunia yang fana ini.
Tidak semua yang kita rancang akan menjadi kenyataan sebagaimana yang di
impikan keran yang menentukan segala-galanya adalah Allah SWT Yang Maha Berkuasa. Ketentuan Allah adalah
terbaik untuk kita, Cuma kebanyakan kita tidak sabar, tidak redah dan mudah
putus asa. Sememangnya Allah telah nyatakan di dalam Al Quran bahawa manusia
ini sememangnya tegesa-gesa.
Sabda Nabi s.a.w:
"Dunia itu penuh dengan kenikmatan dan sebaik-baik kenikmatan
dunia adalah isteri yang solehah." –( Hadis riwayat Muslim di
dalam Sahih Muslim, hadis no: 1467.)
Namun begitu, apa yang sering dicanangkan adalah peranan
isteri untuk membentuk keluarga yang harmoni, bagaimana isteri patut taat
kepada suami, apakah balasan bagi isteri yang derhaka, apakah balasan terhadap
isteri yang menolak pelawaan suami untuk bersetubuh dan tugas-tugas isteri
untuk membahagiakan suami. Hanya sekali-sekala diketengahkan perbahasan tentang
apa yang suami perlu lakukan untuk membina sebuah keluarga yang dihiasi dengan
perasaan cinta (mawaddah) dan kasih-sayang (rahmah).
Untuk mencapai keluaraga Mawaddah dan Rahman siapakah yang
perlu dipertanggung jawabkan ? persoalan
ini jika kita halusi adalah yang memainkan peranan utama adalah SUAMI dan di
bantu oleh isteri.
Firman ALLAH S.W.T:
"Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-NYA dan
rahmat-NYA bahawa DIA menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri
dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya,
dan dijadikan-NYA antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang serta belas
kasihan. Sesungguhnya demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang
menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir." - Surah
al-Ruum: 21.
Suami sememangnya telah diperintahkan oleh ALLAH untuk
melayan isteri dengan penuh kebaikan.
Firman ALLAH S.W.T:
"Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan
cara yang baik." – Surah al-Nisa’: 19.
Melalui hadis ini,, marilah kita meneliti sunnah Nabi s.a.w
tentang peranan suami dalam usaha membentuk hubungan yang penuh mawaddah
(cinta) dan rahmah (kasih sayang) bersama isteri.
1. Melayani Isteri
Dengan Baik
Seorang suami wajib melayani isterinya dengan perilaku yang
baik dan menuruti kehendak isteri dalam perkara yang sesuai dengan syarak.
Terdapat begitu banyak nas yang menunjukkan kewajipan ini.
Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu semua adalah
orang yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang terbaik
antara kamu semua (dalam membuat kebaikan) terhadap isteriku." –( Hadis riwayat al-Tirmizi di
dalam Sunan al-Titmidzi, kitab al-Manaqib, hadis no: 3830).
Rasulullah s.a.w bersabda:
"Orang yang paling sempurna imannya adalah yang terbaik akhlaknya
antara mereka dan yang paling baik adalah yang paling baik akhlaknya terhadap
isteri-isterinya." –( Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunan
Tirmizi, hadis no: 1082.)
Dari huraian dua hadis di atas jelaslah bahawa seorang suami
yang diketegorikan sebagai orang yang paling baik dan paling sempurna imannya
adalah yang terbaik akhlaknya dengan isteri mereka. Oleh itu cuba kita menghisbah diri kita
sejuah man kita telah menjadi yang terbaik kepada isteri kita?.
Jika diteliti dalam reality kehidupan di zaman mutakhir ini,
kebanykan suami boleh dikatakan kurang memberi perhatian tentang perhubungan
dengan isteri mereka, kelazimannya hanya di masa berbulan madu dan setahun dua
masa perkahwinan sahaja kebanyakan suami begitu perihatin menjaga hati isteri
dan cuba melayan isteris dengan penuh kasih sayang dan manja. Sebaliknya bila
masa berlalu dan telah memperolehi dua tiga orang anak majority suami mula
kurang diberi perhatian tentang perhubungan dengan isteri dengan asalan mereka
telah lama kenal mengenali hati budi, dan lebih banyak dilepaskan tanggung
jawab untuk menjaga keharmonia hubungan suami isteri di serahkan kepada isteri.
Suami lebih banyak pula menunjukkan ego diri. Dengan memberi perintah apa
sahaja kepada isteri secara autokratik.
Para suami juga dituntut berlaku adil terhadap isterinya
dengan menunaikan segala haknya dalam semua perkara yang selari dengan syarak.
Firman ALLAH S.W.T:
"Sesungguhnya ALLAH menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan,
serta memberi bantuan kepada kaum kerabat, melarang daripada melakukan
perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. DIA mengajar kamu
(dengan suruhan dan larangan-NYA ini) supaya kamu mengambil peringatan
mematuhi-NYA." – Surah al-Nahl: 90.
Bagi suami yang berlaku adil terhadap isterinya maka
ganjaran ALLAH di hari akhirat nanti begitu besar sebagaimana sabda Rasulullah
s.a.w:
"Orang-orang yang
berlaku adil di sisi ALALH nanti akan ditempatkan di atas mimbar-mimbar yang
diperbuat dari cahaya dari sebelah kanan al-Rahman 'Azza wa Jalla (ALLAH) lalu
Nabi mengangkat tangan kanan-NYA. Orang-orang yang termasuk golongan itu
(sebelah kanan Nabi) adalah orang yang adil dalam pemerintahannya, adil
terhadap isterinya dan tidak menyimpang." – (Hadis riwayat Muslim di
dalam Sahih Muslim, hadis no: 1827).
Lelaki merupakan pemimpin bagi wanita sebagaimana firman
ALLAH S.W.T:
"Kaum lelaki itu adalah pemimpin terhadap kaum perempuan."
– Surah al-Nisa’: 34.
Walaupun ALLAH telah menetapkan bahawa suami adalah pemimpin
bagi keluarganya namun ia bukan menjadi 'lesen' bagi para suami untuk bersikap
seperti seorang diktator, zalim, sombong serta berkeras terhadap isteri-isteri
mereka.
Kekuasaan yang diberi oleh ALLAH itu sebenarnya menuntut
sikap bertanggungjawab, kebijaksanaan, adil, sabar dan mampu untuk mengendali
segala permasalahan atau bebanan yang timbul dalam rumahtangga. Dalam erti kata
lain, status kepimpinan suami itu adalah dalam rangka untuk merealisasikan
perintah ALLAH bagi melayan kaum wanita atau isteri dengan sebaik mungkin.
Dengan kata lain Allah telah memberi “amanah” kepada suami untuk
menjaga isteri dengan baik dan berhikmah dengan berlandaskan hokum syarak.
Firman ALLAH S.W.T:
"Dan bergaulah kamu dengan mereka
(isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik." – Surah al-Nisa’:
19.
2. Memberi Nafkah
Zahir Yang Sempurna Mengikut Kemampuan
Sudah menjadi kewajipan bagi seorang suami memberi nafkah
untuk ahli keluarganya berupa makanan, pakaian, tempat tinggal dan segala
keperluan isteri yang tidak bercanggah dengan syarak.
Firman ALLAH S.W.T:
"Kaum lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab
terhadap kaum perempuan kerana ALLAH telah melebihkan orang-orang lelaki
(dengan beberapa keistimewaan) berbanding kaum wanita dan juga kerana
orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta
mereka." – (Surah al-Nisa’: 34.)
Kadar pemberian nafkah ini adalah mengikut kemampuan seorang
suami dan suami tidak sepatutnya membebankan dirinya melebihi dari kemampuannya
yang sebenar.
Firman ALLAH S.W.T:
"Orang yang mampu memberi nafkah hendaklah menurut kemampuannya;
dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka dia hendaklah memberi nafkah dari
apa yang diberikan ALLAH kepadanya (sekadar yang mampu). ALLAH tidak memberati
seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan ALLAH kepadanya.
(Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) ALLAH akan
memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan." –( Surah
al-Talaq: 7.)
Seorang sahabat bernama Hakim bin Mu’awiyyah bin Hidah
al-Qusyairi r.a pernah mendengar ayahnya berkata bahawa dia pernah bertanya
kepada Rasulullah:
“Wahai Rasulullah! Apakah hak isteri kami ke atas suami? Rasulullah
bersabda: Memberinya makan apabila kamu makan, memberinya pakaian apabila kamu
berpakaian.” - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Daud, hadis
no: 1830.
Memberi nafkah kepada isteri serta keluarga mempunyai
keutamaan yang besar di sisi ALLAH.
Sabda Nabi s.a.w:
"Dinar (wang) yang engkau infakkan (belanjakan) di jalan ALLAH,
dinar yang engkau infakkan untuk membebaskan hamba abdi, dinar yang engkau
sedekahkan kepada orang miskin, dinar yang engkau nafkahkan kepada keluargamu,
pahala yang paling besar adalah dinar yang engkau nafkahkan untuk
keluargamu." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis
no: 995.
Sabda Nabi s.a.w:
"Tiada pekerjaan yang lebih baik daripada seorang lelaki yang
bekerja dengan tangannya sendiri dan tiada infak yang lebih baik daripada
seseorang memberikan nafkah untuk diri dan keluarganya, anaknya, pembantunya
dan semua itu dihitung sebagai sedekah baginya." - Hadis riwayat
Ibn Majah di dalam Sunan Ibn Majah, hadis no: 2129.
Adalah suatu kezaliman yang besar bagi seorang suami yang
memiliki kemampuan dari segi ekonominya tetapi bersifat bakhil terhadap isteri
dan keluarganya. Apatah lagi sifat bakhil merupakan sifat yang dicela oleh
ALLAH dan Rasul-NYA. Lebih malang lagi jika pendapatan suami telah mencukupi
untuk dirnya, isteri dan anak-anak tanggunganya, tetapi berlaku ketidak cukupan
kerana sifat bakhilnya dan dibelanjakan untuk dirinya secara boros manakala perbelanjaan
isterinya di beri secara kedekut dengan jumlah yang tidak mencukupi untuk
keperluan perbelanjaan bulanan isteri dan anak-anaknya.
Sabda Nabi s.a.w:
"Seburuk-buruk sifat yang ada kepada
seseorang adalah bakhil dan penakut." - Hadis riwayat Abu Daud di
dalam Sunan Abu Daud, hadis no: 2150.
Bagi isteri yang mempunyai suami bersikap bakhil, maka
dibenarkan baginya untuk mengambil harta suami tanpa pengetahuannya sekadar
untuk memenuhi keperluan kehidupan seluruh ahli keluarga.
Hindun bin ‘Utbah bin Rabi’ah pernah datang kepada
Rasulullah s.a.w. dan berkata:
"Wahai Rasulullah! Abu Sufyan adalah seorang suami yang kedekut.
Bolehkah apabila aku mengambil sebahagian hartanya untuk keperluan keluarga
kami? Rasulullah bersabda: Tidak mengapa apabila engkau mengambil sesuai
keperluanmu dengan cara yang makruf.” - Hadis riwayat al-Bukhari di
dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 2460.
Dengan cara yang makruf bermaksud pengambilan harta tersebut
tidak berlebih-lebihan dan tidak merosakkan harta suaminya. Oleh itu, para
suami hendaklah benar-benar prihatin terhadap kewajipan memberi nafkah buat
ahli keluarganya. Apatah lagi ALLAH telah melebihkan kaum lelaki berbanding
kaum wanita dengan beberapa keistimewaan.
Adakah layak bagi seorang suami untuk mendapat keistimewaan
ini sekiranya dia tidak menjalankan kewajipan mencari nafkah dan bergantung
kepada harta isteri walaupun mereka mampu bekerja?
Sesungguhnya lelaki yang merdeka dan mulia adalah mereka
yang membina keluarga mereka hasil keringatnya sendiri dan tidak hanya
bergantung kepada harta isterinya.
Suami yang bergantung
kepada harta isteri bukan sekadar telah lari daripada tanggungjawabnya tetapi
juga mencerminkan kepimpinannya yang lemah. Malaikat juga akan melaknat para
suami yang tidak menafkahkan hartanya kepada ahli keluarganya.
Sabda Nabi s.a.w:
"Tidaklah para hamba berada di waktu pagi melainkan ada dua
malaikat yang turun. Salah satu dari mereka berdoa: Ya ALLAH! Berikanlah kepada
orang yang menafkahkan hartanya balasan yang lebih baik. Sedangkan malaikat
yang lain berdoa: Ya ALLAH! Berikanlah kebinasaan kepada orang yang menahan
hartanya (tidak mahu menafkahkannya).” - Hadis riwayat al-Bukhari di
dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 1442.
Sabda Nabi s.a.w:
"Cukuplah seseorang itu dianggap berdosa apabila suami yang
mensia-siakan orang yang menjadi tanggungannya." - Hadis riwayat
Abu Daud di dalam Sunan Abu Daud, hadis no: 1442.
3. Melayani Keperluan
Seks Isteri
Sebagaimana pentingnya suami memenuhi keperluan material
isterinya, sudah menjadi tanggungjawabnya melayani keperluan batin isteri.
Kebiasaannya wanita memiliki sifat pemalu terutamanya untuk berbincang tentang
kehendak seksualnya. Namun, sebenarnya mereka juga berkehendakkan kepada nikmat
kepuasan ketika melakukan persetubuhan (berjimak) sebagaimana suami.
Menurut Anas bin Malik r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda:
"Jika seseseorang antara kamu melakukan hubungan kelamin dengan isterinya,
dia hendaklah bersungguh-sungguh. Apabila dia hendak menyelesaikan hajatnya itu
(mencapai kepuasan) sedangkan isterinya belum sampai klimaksnya, maka janganlah
dia tergesa-gesa (untuk menamatkan persetubuhan tersebut) sehingga hajat
isterinya diselesaikan pula." - Hadis riwayat al-Suyuthi di dalam
Jami’ al-Saghir, hadis no: 549 dan al-Hafiz al-Haithami di dalam Majma’
al-Zawaid, hadis no: 7566.
Oleh itu, para suami hendaklah menjaga perasaan isteri
ketika berjimak dan melakukannya dengan niat agar kedua-dua belah pihak
mencapai kenikmatan. Janganlah para suami hanya memikirkan kepuasan diri
sendiri tanpa memastikan isteri mereka juga sudah mencapai klimaks.
Hal ini amat penting kerana jika seorang suami tidak
prihatin terhadap permasalahan ini ia boleh menimbulkan kesan negatif seperti
isteri membenci suaminya, melalaikan perintahnya ataupun menolak apabila diajak
untuk berjimak dan sekiranya bersetuju pun ia tidak dilakukan dengan sepenuh
kerelaan hati. Mungkin ada yang merasakan ini suatu perkara yang terlalu remeh
untuk diperbincangkan. Tetapi, di dalam Islam berjimak adalah termasuk perkara
yang boleh mendatangkan pahala.
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Dan pada hubungan kelamin kamu semua (bersama isteri)
merupakan sedekah. Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah! Apakah jika seseorang
kami mendatangi isterinya (untuk berjimak) maka dia mendapat pahala? Rasulullah
menjawab: Bagaimana pendapat kamu semua jika dia menyalurkan syahwatnya ke
jalan yang haram, (sudah tentu) dia akan mendapat dosa kerananya. Demikian juga
jika dia menyalurkan di jalan yang halal, pasti dia mendapat pahala.” - Hadis
riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no:1006.
Oleh itu, pastikan para suami dan isteri berkomunikasi
sesama sendiri untuk sama-sama mendapat kenikmatan dari hubungan kelamin
tersebut.
4. Suami Hendaklah
Bersikap Romantik Terhadap Isterinya
Para suami hendaklah sering mencium isterinya. Budaya ini
memang agak asing bagi masyarakat di nusantara. Namun, Nabi s.a.w sering
mengucup isteri dengan penuh rasa kasih sayang. Rasulullah s.a.w pernah mencium
isterinya sebelum pergi menunaikan solat di masjid.
Aishah r.a berkata:
"Rasulullah pernah mencium salah seorang isteri baginda, lalu
berangkat menunaikan solat tanpa memperbaharui wuduk." - Hadis
riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Daud, hadis no: 153.
Justeru, apa lagi yang menghalang kita untuk mencium isteri
kita setidak-tidaknya sebelum pergi atau pulang dari tempat kerja atau dalam
apa jua kesempatan yang ada? Adakalanya si suami langsung tidak memandang wajah
isterinya yang mengiringinya ke pintu rumah ketika suaminya hendak keluar ke
tempat kerja. Ciumlah isteri kamu wahai para suami! Ikutlah sunnah Nabi s.a.w.
Rasulullah s.a.w merupakan seorang insan yang begitu
romantis terhadap isteri-isterinya hinggakan baginda selalu mandi bersama
dengan isterinya.
Aisyah r.a berkata:
"Aku biasa mandi berdua-duaan bersama Rasulullah s.a.w
menggunakan satu bekas air." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih
al-Bukhari, hadis no: 250.
Baginda sering memanggil isterinya dengan panggilan yang
indah serta disukai oleh isterinya. Baginda memanggil Aisyah r.a dengan gelaran
Humaira’ yang bermaksud putih kemerah-merahan bertujuan memuji kecantikannya.
Nabi juga memanggil Aisyah dengan nama yang digemarinya iaitu Aisyah. Aisyah
menceritakan bahawa pada suatu hari Rasulullah berkata kepadanya:
"Wahai Aisyah! Malaikat Jibril tadi menyampaikan salam
buatmu." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no:
3217.
Aisyah r.a juga pernah menggambarkan betapa romantis baginda
s.a.w sebagaimana riwayat berikut:
"Suatu ketika aku telah minum. Ketika itu aku sedang
haidh lantas aku memberikan gelasku kepada Rasulullah dan baginda meminumnya
dari kesan mulutku di gelas itu. Dalam kesempatan lain aku memakan sepotong
daging, lantas aku memberikan baginda potongan daging itu dan baginda
memakannya tepat di tempat aku memakannya." - Hadis riwayat Muslim di
dalam Sahih Muslim, hadis no: 300.
Walaupun perkara-perkara ini nampak kecil, namun ia amat
membahagiakan Aisyah sehingga dia sentiasa terkenangkan sikap-sikap romantis
baginda s.a.w ini. Perkara-perkara sebegini sepatutnya diusahakan oleh para
suami untuk dipraktikkan terhadap isteri-isteri mereka yang tercinta kerana
adakalanya perkara yang kecil di mata suami tetapi ia amat besar menurut
pandangan isteri.
Masih banyak lagi sifat-sifat romantis yang terdapat dalam
hadis-hadis baginda. Oleh itu, marilah kita berusaha menjadi seorang suami yang
romantis dalam rangka mencontohi sifat Nabi s.a.w.
5. Suami Hendaklah
Bergurau Senda Dengan Isteri
Hidup tanpa gurau senda dan tawa riang pasti akan
membosankan. Namun, ia hendaklah dilakukan sesuai dengan suasana serta tuntutan
syarak dan tidak berlebih-lebihan.
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Setiap perkara yang tidak disertakan padanya nama
ALLAH maka ia akan menjadi sia-sia (lagha), senda-gurau serta main-main kecuali
empat perkara. Suami yang bercanda dengan isterinya, seorang yang melatih
kudanya, seorang yang sedang memilih antara dua sasaran dan seorang yang
berlumba dalam sukan renang." - Hadis riwayat al-Suyuthi di dalam al-Jami’
al-Saghir, hadis no: 2312.
Ternyata Rasulullah s.a.w juga sering bergurau-senda dengan
para isterinya. Sebagai contoh, Aisyah r.a telah berkata:
"Rasulullah berlumba lari denganku, maka aku menang
ketika itu kerana aku belum gemuk. Kemudian, setelah gemuk aku berlumba lari
dengannya, maka baginda memenanginya. Lalu baginda bersabda: Kemenangan ini
sebagai penebus kekalahan yang lalu.” - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan
Abu Daud, hadis no: 2214.
Juga telah diriwayatkan daripada Aishah r.a bahawa Nabi
s.a.w pernah membawanya menyaksikan permainan para sahabat yang berasal dari
Sudan. Katanya:
"Hari itu adalah hari raya di mana orang-orang Sudan
bermain pedang dan perisai. Aku (Aishah r.a) tidak ingat apakah aku yang
meminta untuk melihatnya atau Rasulullah s.a.w yang berkata: Apakah kamu ingin
melihatnya? Aku pun menjawab: Ya. Aku disuruhnya berdiri di belakangnya di mana
pipiku bersentuhan dengan pipi baginda. Baginda berkata: Biar yang lain wahai Bani
Arfidah! Ketika aku merasa bosan, baginda bertanya kepadaku: Adakah engkau
sudah puas? Aku menjawab: Ya. Baginda pun bersabda: Pergilah.” - Hadis riwayat
al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 950.
Nabi s.a.w juga membenarkan nyanyian yang sesuai dengan
syarak dilagukan di rumah Aishah r.a.
Aisyah r.a berkata:
“Rasulullah s.a.w masuk ke rumahku (pada hari raya) dan
ketika itu aku bersama dua budak perempuan yang sedang menyanyikan lagu
peperangan Bu’ats. Baginda langsung berbaring di atas tempat tidur sambil
memalingkan wajahnya." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih
al-Bukhari, hadis no: 949.
Oleh itu, wahai suami! Bercandalah dengan isterimu. Jangan
biarkan suasana di rumah anda menjadi bosan dan muram.
6. Suami Hendaklah
Meluangkan Masa Bersama Isteri
Walau sesibuk sekalipun mengurus tugasan hariannya, suami
tetap perlu berusaha meluangkan waktu bersama isterinya. Kadangkala, kesibukan
suami di luar rumah dengan kegiatan-kegiatan lain disamping mencari nafkah
menyebabkan dia mengabaikan peranannya sebagai suami. Dia lupa bahawa isterinya
memerlukan belaian manja seorang suami untuk menghiburkan hatinya.
Adakalanya setelah penat dengan aktiviti di luar rumah suami
hanya pulang dengan wajah yang kelesuan, tidak bermaya dan hanya menantikan
disorong bantal untuk melelapkan mata. Yang lebih perit adalah apabila suami
membawa masalah-masalah dari luar dan melepaskan geramnya terhadap isteri.
Wahai para suami! Ingat Firman ALLAH S.W.T:
"Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu
itu) dengan cara yang baik." – Surah al-Nisa’: 19.
Nabi s.a.w juga pernah menasihati para sahabat r.a agar
jangan terlalu menyibukkan diri dengan ibadah sehingga mengabaikan
tanggungjawab melayani isteri dengan baik.
Sabda Nabi s.a.w:
"Wahai Abdullah (bin ‘Amr bin al-Ash r.a)! Adakah benar
apa yang diceritakan kepadaku sesungguhnya engkau telah berpuasa setiap hari
dan solat sepanjang malam? Aku (Abdullah bin ‘Amr) berkata: Benar wahai
Rasulullah. Baginda bersabda: Jangan kamu lakukan begitu. Berpuasalah dan
tinggalkan (tidak berpuasa) serta solat dan tidurlah kerana sesungguhnya badan
kamu mempunyai hak ke atas kamu, kedua-dua mata kamu mempunyai hak ke atas
kamu, isteri kamu mempunyai hak ke atas kamu dan tetamu kamu mempunyai hak ke
atas kamu. Cukuplah bagi kamu berpuasa tiga hari setiap bulan dan sesungguhnya
setiap kebaikan akan dibalas untukmu sebanyak sepuluh kali ganda yang
sepertinya. Jika kamu melakukan begitu, ia seperti berpuasa sepanjang masa.” -
Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no 1975.
Oleh itu, walau sesibuk mana sekalipun para suami dengan
tugasan di luar sama ada urusan mencari nafkah mahupun aktiviti dakwah, para
isteri tetap berhak mendapat perhatian serta belaian manja daripada para suami.
7. Membina Suasana
Ibadah Dalam Rumahtangga
Suasana yang harmonis hanya dapat dibentuk dengan bimbingan
taufik dan hidayah daripada ALLAH. Oleh itu, salah satu faktor utama dalam
pembinaan keluarga bahagia adalah membentuk sebuah rumahtangga yang sentiasa
dihiasi dengan amal ibadah dan penuh dengan keimanan serta ketakwaan.
Firman ALLAH S.W.T:
"Sesiapa yang beramal soleh daripada kalangan lelaki
atau perempuan sedang dia beriman, sesungguhnya KAMI akan menghidupkan dia
dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya KAMI akan membalas mereka dengan
memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan." – Surah
al-Nahl: 97.
Para suami hendaklah sentiasa menganjurkan para isteri
beribadah bersamanya seperti mengerjakan solat tahajjud, berpuasa sunat,
bertadarus (membaca) serta mentadabbur (memahami) al-Quran dan belajar tentang
hal-hal keagamaan yang boleh meningkatkan keimanan dan ketakwaan. Rasulullah
s.a.w sentiasa menganjurkan para isterinya agar mengerjakan ibadah sesuai
dengan perintah ALLAH S.W.T:
"Dan perintahkanlah keluargamu (serta umatmu)
mengerjakan solat dan engkau hendaklah tetap bersabar menunaikannya. KAMI tidak
pernah meminta rezeki kepadamu, (bahkan) KAMIlah yang memberi rezeki kepadamu.
Dan (ingatlah) kesudahan yang baik hanya bagi orang-orang yang bertakwa."
- Surah Toha: 132.
Aisyah r.a berkata:
"Rasulullah biasa mengerjakan solat malam (tahajjud)
sementara aku tidur melintang di hadapan baginda. Bila baginda ingin
mengerjakan solat witir, baginda akan mengejutkan aku." - Hadis riwayat
al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 512.
Rasulullah s.a.w. juga telah bersabda:
"Semoga ALLAH merahmati seorang suami yang bangun pada
malam hari untuk mengerjakan solat malam lalu membangunkan isterinya untuk
solat bersama. Apabila si isteri enggan (tidak mampu untuk bangun), dia akan
memercikkan air ke wajah isterinya (supaya bangun). Semoga ALLAH merahmati
seorang isteri yang bangun malam hari untuk mengerjakan solat malam lalu
membangunkan suaminya untuk solat bersama. Apabila si suami enggan, dia
memercikkan air ke wajah suaminya.” - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu
Daud, hadis no: 1113.
Sewajarnya para suami menghidupkan rumah mereka dengan
pelbagai amal ibadah yang sesuai dengan sunnah Nabi s.a.w. Disamping itu, suami
isteri juga hendaklah berusaha untuk saling memperingatkan antara satu sama
lain agar bersama-sama dapat melaksanakan segala perintah ALLAH sebagaimana
yang termaktub di dalam al-Quran dan sunnah serta meninggalkan segala
larangan-NYA.
Mereka hendaklah berganding bahu menegakkan kebenaran di
dalam rumahtangga mereka, berusaha membentuk suasana yang islamik berteraskan
kasih sayang dan kecintaan dan suasana yang harmoni. Saranan ini sesuai dengan
Firman ALLAH S.W.T:
"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu
dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya ialah manusia dan
batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras
lagi kasar (layanannya); mereka tidak pernah derhaka kepada ALLAH dalam setiap
perkara yang diperintahkan-NYA kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan
segala yang diperintahkan." – Surah al-Tahrim: 6.
8.Suami Hendaklah
Sentiasa Menunjukkan Wajah yang Ceria
Raut wajah seseorang boleh menggambar pelbagai makna dan ia
boleh mempengaruhi suasana hubungan suami isteri. Wajah yang ceria tentu sekali
akan menenangkan jiwa isteri. Janganlah masalah di tempat kerja di bawa pulang
ke rumah sehingga menunjukkan air muka yang merengut. Apatah lagi telah tsabit
perintah daripada Nabi s.a.w agar kita sentiasa mempamerkan wajah yang ceria
sebagaimana sabdanya:
"Janganlah engkau menganggap remeh perbuatan baik walau
sedikit walau hanya menampakkan wajah ceria ketika berjumpa dengan
saudaramu." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 2626.
Lanjutan dari hadis di atas tentu sekali apa yang paling
utama bagi suami adalah menunjukkan wajah ceria kepada isteri tercinta.
9. Suami Hendaklah
Menjaga Penampilan Diri
Di samping mempamerkan wajah yang ceria, para suami juga
hendaklah menjaga penampilan diri agar sentiasa kelihatan menarik dan bersih.
Ini adalah penting demi menimbulkan keselesaan dalam hubungan suami isteri.
Sesungguhnya isteri juga ingin melihat pasangannya memiliki penampilan yang
menarik sebagaimana suami inginkan isteri yang anggun lagi bergaya.
Firman ALLAH S.W.T:
"Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti
kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang
sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak)." – Surah al-Baqarah: 228.
Ibn Abbas r.a berkata:
“Sesungguhnya aku senang berhias untuk isteriku sebagaimana
aku senang jika isteriku berhias untukku.”
Tambahan pula ALLAH menyukai keindahan termasuklah
penampilan diri yang menarik serta sesuai dengan lunas-lunas syarak sebagaimana
sabda Nabi s.a.w:
"Sesungguhnya ALLAH itu Maha Indah dan menyukai
keindahan." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 91.
Rentetan dari ini maka para suami hendaklah berusaha
kelihatan bergaya sehingga sedap mata isteri memandang ke arahnya.
10. Suami Hendaklah
Sabar Melayani Karenah Isteri
Perempuan memang terkenal dengan sikap emosional dan suka
ikut perasaan. Namun, para suami harus sabar ketika berhadapan dengan karenah
sedemikian rupa. Para suami hendaklah berhadapan dengan situasi sebegini dengan
penuh kesabaran dan hikmah.
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Nasihatilah wanita dengan baik. Sesungguhnya mereka
diciptakan dari tulang rusuk dan bahagian terbengkok dari tulang rusuk adalah
bahagian atasnya. Seandainya kamu meluruskannya bererti kamu mematahkannya dan
seandainya kamu biarkan maka ia akan terus membengkok. Untuk itu, nasihatilah
wanita dengan baik." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari,
hadis no: 5186.
Hadis ini menganjurkan para suami menasihati para isteri
dengan cara yang penuh hikmah dan lemah lembut. Jangan sesekali terburu-buru
menggunakan kekerasan kerana ia bukan sahaja tidak mampu menyelesaikan
permasalahan malah akan memburukkan lagi keadaan.
Oleh itu, para suami haruslah bijak mencari masa paling baik
untuk menasihati isterinya. Sekiranya keadaan tidak mengizinkan seperti ketika
kemarahan isteri masih meluap-luap, sebaik-baiknya ditangguh dahulu penjelasan
ataupun menasihatinya sehingga kondisi menjadi tenang dan tenteram.
Sekiranya wujud di dalam diri isteri sifat-sifat yang kurang
disenangi maka kita handaklah mencari sifat serta tabiat isteri yang positif
untuk menghiburkan diri kita dan berusaha melenyapkan perasaan benci terhadap
isteri.
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Janganlah seorang mukmin membenci seorang mukminah.
Apabila dia membenci sebahagian akhlaknya maka mungkin dia boleh meredhai
akhlaknya yang lain." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis
no: 1469.
Sekiranya terdapat perbuatan isteri yang memerlukan para
suami untuk meluruskannya maka ia hendaklah dilakukan secara bertahap-tahap dan
tidak terburu-buru untuk berkeras terhadapnya.
Firman ALLAH S.W.T:
"Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan
perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka dan (jika mereka
berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, (kalau mereka masih juga degil)
pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian
jika mereka taat kepada kamu, janganlah kamu mencari-cari jalan untuk
menyusahkan mereka. Sesungguhnya ALLAH Maha Tinggi lagi Maha Besar." –
Surah al-Nisa’: 34.
Jika suami telah melihat tanda-tanda penderhakaan wujud pada
isterinya, dia hendaklah menasihatinya dengan mengingatkannya tentang hukuman
ALLAH terhadap tingkahlakunya itu. Sekiranya setelah menasihatinya tetapi dia
masih tidak berubah, suami berhak memisahkan tempat tidur dan tidak
menggaulinya (Hajr).
Apabila hajr juga gagal untuk menyedarkan isteri akan
kesilapannya, suami hendaklah memberi pelajaran kepada isteri dengan memukulnya
dengan pukulan yang tidak menyakitkan seperti dengan menggunakan kayu siwak
(kayu yang digunakan untuk memberus gigi) atau sejenisnya. Inilah tatacara yang
telah ditetapkan oleh ALLAH untuk menangani sikap-sikap negatif yang mungkin
wujud pada para isteri.
11. Kewajipan Suami
Menyediakan Rumah Untuk Isteri
Menyediakan tempat perlindungan untuk isteri dan anak-anak
merupakan kewajipan seorang suami. Ia amat penting dalam membentuk sebuah
keluarga yang harmonis kerana rumah adalah tempat sepasang suami isteri
memainkan peranan masing-masing dan membesar serta mendidik anak-anak.
Firman ALLAH S.W.T:
"Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya)
itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu." – Surah
al-Talaq: 6.
Walaupun ayat di atas merujuk kepada isteri yang telah
dicerai dan berada di dalam tempoh idah namun ini sebenarnya hanya menguatkan
lagi pandangan bahawa isteri yang masih dalam status pernikahan lebih berhak
mendapatkan tempat tinggal daripada suami.
Tentang saiz serta reka bentuk rumah, ia bergantung kepada
kemampuan para suami.
Firman ALLAH S.W.T:
"Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut
kemampuannya." – Surah al-Baqarah: 233.
Bagi suami yang memiliki sedikit harta, dapatkanlah rumah
bersaiz kecil yang sesuai dengan kemampuannya itu. Sekiranya di masa hadapan
harta semakin bertambah banyak, ketika itu usahakan untuk mendapatkan rumah
yang lebih besar.
Seorang isteri juga berhak mendapatkan rumah yang khusus
bagi dirinya tanpa berkongsi dengan madu-madunya mahupun ahli keluarga yang
lain. Isteri berhak menolak permintaan suami untuk tinggal bersama madu-madunya
ataupun ahli keluarga yang lain dan suami wajib memenuhi tuntutan tersebut.
Penolakan isteri itu berkemungkinan menunjukkan dia merasa
tidak selesa dengan situasi tersebut ataupun mungkin ada perkara-perkara yang
boleh menyebabkan suasana yang tegang dalam rumahtangga sekiranya duduk bersama
dengan pihak lain.
KESIMPULAN
Inilah beberapa peranan suami menurut al-Quran dan sunnah
Nabi s.a.w yang dapat dijadikan tauladan membina sebuah keluarga yang harmonis.
Semoga ia dapat dijadikan pedoman bagi seluruh pemimpin keluarga untuk
membahagiakan para isteri mereka. Contohilah sunnah Nabi s.a.w kerana pada diri
baginda terdapat contoh tauladan yang terbaik.
Firman ALLAH S.W.T:
No comments:
Post a Comment
Thanks for your comments, I will reply soon.