RAIHANPAHIMI

publish your book for free?AFF=9142

Sunday 3 March 2019

BAB 6 CARA BERIBADAT UNTUK PESAKIT GINJAL KRONIK - BUKU SURVIVAL PESAKIT GINJAL CKD




BAB 6

CARA BERIBADAT UNTUK PESAKIT
GINJAL KRONIK

Solat adalah tiang agama, solat merupakan amalan yang pertama akan dihisab di akhirat kelak. Jika amlan solat telah diterima di mahkamah Allah di Mahsyar kelak, maka ibadat-ibadat lain akan mudah dihisab.
Ketika sakit bukan alasan untuk tidak beribadah yang menjadi rutin dalam kehidupan seorang muslim yang beriman, bahkan kita tetap beribadah dan semakin mendekatkan diri kepada Allah serta berdoa kepada-Nya, kerana yang menyembuhkan sesuatu penyakit hanyalah Allah. Ubatan adalah penyebab kesembuhan sahaja.
Perlu kita yakini bahawa sakit merupakan ujian dari Allah, dan perlu benar-benar  kita tanamkan dalam keyakinan diri bahwa ujian dan cubaan berupa kesakitan adalah tanda kasih sayang Allah kepada hamba-Nya. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud:
 “Sesungguhnya pahala yang besar didapatkan melalui cubaan yang besar pula. Apabila Allah mencintai seseorang, maka Allah akan memberikan cubaan kepadanya, barangsiapa yang redho (menerimanya) maka Allah akan meredhoinya dan barangsiapa yang murka (menerimanya) maka Allah murka kepadanya.” (HR                )
Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:
 “Apabila Allah menginginkan kebaikan bagi seseorang hamba, maka Allah menyegerakan siksaan  baginya di dunia  (HR                     )
Mari kita renungkan hadis ini, apakah kita tidak ingin Allah menghendaki kebaikan kapada kita? Allah segerakan hukuman  di dunia dan Allah tidak menghukum kita lagi di akhirat yang tentunya hukuman di akhirat lebih berat  siksanya berlipat-lipat kali ganda.
Perlu kita sadari bahwa hukuman yang Allah turunkan merupakan akibat dosa kita sendiri, salah satu bentuk hukuman tersebut adalah Allah menurunkannya berupa penyakit.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman nyang bermaksud:
“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan:”Innaa lillahi wa innaa ilaihi raaji’uun”.Mereka itulah yang mendapatkan keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Rabbnya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk”. ( Al Baqarah :            )
Ujian juga merupakan takdir Allah yang wajib diterima dengan kesabaran, Alhamdulillah jika kita mampu menerimanya dengan redha bahkan rasa syukur. Semua manusia pasti mempunyai ujian masing-masing. Tidak ada manusia yang tidak pernah tidak mendapat ujian dengan mengalami kesusahan dan kesedihan. Setiap ujian pasti Allah timpakan sesuai dengan kadar kemampuan hamba-Nya untuk menanggungnya kerana Allah tidak membebankan hamba-Nya di luar kemampuan hamba-Nya.
Apabila isteri telah disahkan  mengidap penyakit ginjal kronik, maka ianya memberi satu pengajaran baru dalam hidup kami suami isteri. Cara beribadat seperti solat dan puasa perlu dilakukan mengikut keadah baharu sebagai pesakit ginjal kronik.
Untuk membolekan isteri menjalan ibadat solat dan puasa dengan lebih sempurna mengikut hukum fikah, saya sebagai suami perlu mencari maklumat baru bagaimana tatacara pesakit kronik menjalani ibadah.
Saya terbaca satu artikel dalam laman sesawan yang ditulis oleh Ustaz Hamizul  Abdul Hamid,  Perunding Dakwah Zakat Selangor (MUIS).
Apa yang  kami hadapi setelah isteri menjalani rawatan dialisis . Keadah beribadah berudah dari cara beribadah biasa.
Solat umpamanya ia perlu dilakukan keadah solat ‘jamak’ pada setiap hari isteri menjalani rawatan dialisis kerana  masa yang diperlukan adalah melebihi 4 jam yang melibatkan dua waktu solat seperti zohor dan asar, maghrib dan isya’.
Begitu juga dengan ibadat puasa, bagi pesakit ginjal kronik tidak boleh berpuasa kerana ia akan memberi  kesan kepada ‘fistula’. Kerana puasa akan menyebabkan fistula menjadi kering dan tersumbat. Oleh itu pesakit perlu membayar fidyah puasanya.
Untuk mendapat pemahaman yang lebih jelas tentang tatacara beribadah bagi pesakit kronik marilah kita bersama meneliti penulisan Ustaz Hamizul Abdul Hamid:
1. Persoalan melakukan ibadat bagi orang sakit?
Perkara asas yang mesti kita fahami, Allah SWT tidak pernah mahu membebankan kita dalam kehidupan. Allah menyebutkan:
 Kami (Allah) tidak menurunkan al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan.” (Taha: 2)
Bahkan Islam amat meraikan keadaan tertentu demi memudahkan umatnya.
Allah sebut lagi: “Allah menghendaki kemudahan bagi kamu dan tidak menghendaki kesusahan bagi kamu,” (al-Baqarah: 185)
Dalam Islam, ibadah adalah mudah. Untuk solat misalnya, kita boleh memakai apa sahaja jenis pakaian asalkan menutup aurat dan bersih, kemudian mengadap kiblat dan solatlah. Kita tidak perlu membeli peralatan yang mahal-mahal untuk solat.
Bahkan mungkin ramai yang tidak sedar, keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor tahun 2001 telah menyatakan, adalah harus hukumnya menjamakkan solat kerana menjalani rawatan penyakit kronik yang memakan masa yang lama dan ia disahkan oleh doktor yang pakar bahawa rawatannya memang mengambil masa solatnya kerana panjangnya tempoh rawatan itu, misalnya kerana pembedahan dan seba
gainya (dikeluarkan pada 16 Januari 2001, rujuk [MUFTI Sel. 500-2; PU. Sel. AGM/0007 Jld. 2]).
Oleh itu, dalam soal ibadat bagi orang sakit, sudah pastilah ada lebih banyak kelonggaran tertentu di sana-sini. Maka, umat Islam tidak sepatutnya mengambil jalan mudah dengan meninggalkan ibadah solat ketika mereka sakit. Walhal, sepatutnya kesakitan itu memberikan keinsafan agar lebih dekat dengan Allah.

2. Apakah jenis sakit dan jenis ibadah yang boleh dilakukan?
Sakit itu, sama ada pada bahagian tubuh badan tertentu mahu pun sakit yang melibatkan keseluruhan tubuh badan. Misalnya, jika luka di lengan atau kaki, sehingga tidak boleh dilalukan air wudhuk ke atasnya kerana boleh memudaratkan, maka Islam membolehkan tayamum.
Jika sakit seluruh tubuh sehingga tidak mampu berdiri, misalnya dalam bab solat, maka ibadah tersebut boleh dilakukan dalam keadaan duduk, baring, menelentang, bahkan sehingga menggunakan isyarat mata dan gerak hati sekalipun, masih wajib bersolat.
Namun begitu, solat dalam keadaan duduk ini hendaklah terlebih dahulu dilihat kepada kemampuan individu berkenaan. Andai kata pesakit masih mampu berdiri lebih dahulu, maka hendaklah dia mengangkat takbiratul ihramnya dalam keadaan berdiri. Selepas itu, andai dia sudah tidak larat atau dibimbangi jatuh, maka baharulah dia duduk. 
Adalah salah seandainya dia masih mampu lagi berdiri; tetapi memilih untuk melakukan solat duduk dari awal. Kecualilah solat sunat, ia boleh dilakukan dalam keadaan duduk walaupun tiada keuzuran sakit.
Begitu juga dalam ibadah puasa, orang yang uzur kerana faktor usia dan sakit, diharuskan tidak berpuasa dan jika mereka memang tidak mampu lagi mengqadakan puasa itu sehingga meninggal dunia, cukup bagi warisnya hanya membayar fidyah. Namun begitu, di sisi mazhab Syafie, disunatkan bagi waris untuk mengqadakan puasanya. Inilah fleksibeliti dalam ibadah dan ia memudahkan kita, dengan syarat kita memahami caranya.
3. Bagaimana cara untuk lakukan ibadat tersebut?
Tayamum misalnya, hendaklah diambil wudhuk setakat yang termampu. Katakanlah si A luka di lengan kanannya, maka ratakan air di lengan kanan setakat termampu, yakni tidak dipaksa air sampai ke tempat yang luka itu, kemudian secara tertib basuhlah tangan kiri, kepala dan kaki. Setelah itu, bertayamumlah dengan niat menggantikan air yang tidak sampai ke atas lengan yang tidak dapat diratakan dengan air wudhuk tadi.
Namun ada juga pandangan yang menyatakan, boleh sahaja ‘dilalukan’ tangan sebagai ‘isyarat’ meratakan air ke atas bahagian yang luka dan selepas itu, tidak perlu lagi diikuti dengan tayamum.
Bahkan ada juga pandangan fikah, orang yang luka anggota wudhuknya boleh terus melakukan tayamum tanpa perlu berwudhuk lagi. Walau apa sekalipun pandangan fikah, kita hendaklah belajar agar kelak kita melakukannya dengan ilmu.
Ada juga orang yang ditimpa masalah kencing tidak lawas, sakit yang sentiasa perlu membawa beg najis di badannya atau wanita yang mengidap istihadah (darah penyakit yang terus keluar dari kemaluannya), maka hendaklah mereka mengambil wudhuk apabila masuk waktu solat dan terus dikerjakan solatnya, yakni tidak diselangi dengan sebarang perbuatan lain. 
Andainya semasa dia sedang solat dan najisnya terkeluar, dimaafkan kerana sudah darurat. Apa yang penting, jangan tidak solat.
Jika puasa, maka setiap hari yang ditinggalkan itu, hendaklah dibayar fidyahnya satu cupak (kira-kira 675 gram) makanan asasi atau beras. 
Demikianlah juga dalam bab haji, jika kebetulan sakit, maka kita boleh mewakilkan orang untuk membuat lontaran di jamrah atau diusung melakukan tawaf dan sai’e. Bahkan jika perlu, waris boleh membuat badal haji ke atas orang yang sakit dan tiada tanda-tanda akan sembuh sehingga dia meninggal dunia. Inilah indahnya ibadah dalam Islam.
4. Adakah ibadah itu lebih ringan dilakukan berbanding ketika sihat?
Sudah pasti ada keringanannya. Misalnya, dalam bab solat, solat orang sakit yang dalam keadaan baring pasti lebih ringan daripada berdiri. 
Bahkan ulama membahaskan banyak aspek, misalnya jika dalam keadaan tertentu yang tiada air dan tiada debu untuk bertayamum atau memang tidak boleh menggunakan kedua-duanya, atau dalam keadaan sedang terbang di udara dan sebagainya, maka orang itu masih wajib bersolat biarpun tanpa wudhuk dan ia dinamakan solat menghormati waktu. 
Dalam situasi tertentu juga, orang lain boleh membantu orang yang sakit untuk berwudhuk.
5. Bagaimana nak buang tanggapan bahawa ketika sakit tidak boleh lakukan ibadat?
Pertamanya, kena ada ilmu. Saya pernah berhadapan dengan soalan, seorang pesakit yang sentiasa membawa beg najis kerana masalah usus besar, dan pesakit itu tidak solat sudah lama. Ia berpunca kerana dia menganggap dirinya bernajis, sedangkan dia dalam keadaan darurat.Islam tidak mebebankan manusia, seperti mana Allah menyatakan:
 Allah tidak meletakkan beban atau sesuatu tanggungjawab ke atas diri manusia, melainkan sekadar dengan kemampuannya,” (al-Baqarah: 286)
Keduanya, buang persepsi ibadah itu payah. Sebaliknya, tanam dalam minda bahawa ibadah itu mudah. Untuk mengetahui betapa mudahnya ibadah,kenalah belajar fikah. 
Misalnya, jika kita dalam keadaan cuaca sejuk dan berada dalam cuaca dingin yang amat dahsyat, maka Islam mengharuskan kita untuk menyapu di atas khuf (sejenis kasut daripada kulit) sebagai ganti membasuh kaki. 
Jarir bin Abdullah r.a pernah melihat nabi berwudhuk dan menyapukan air ke atas kedua-dua khufnya (hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Jadi, apabila kita faham, maka tidak payahlah kita rasa tertekan dalam ibadah, walaupun kita sedang sakit.
Ketiga, buang sikap malas beribadah. Ingatlah, ibadah adalah medan kita berkomunikasi dengan Allah, khususnya dalam solat. Zaman dahulu, para sahabat akan merintih dan merayu dalam solatnya, sehinggakan solat itu menjadi terapi jiwa buat mereka. Apabila jiwa sudah sihat, ia memudahkan kesembuhan fizikal manusia.
6. Adakah sakit itu sebagai balasan atas dosa dilakukan atau ujian daripada Allah?
Memang dalam hal sakit ini, ia adalah ujian yang didatangkan oleh Allah SWT. Dalam bahasa Arab disebut bala atau ibtila’. Bala ini maknanya ujian; yang mana ujian ini antaranya untuk menguji dan mengangkat martabat manusia agar lebih dekat kepada Allah. Bukan sakit sahaja ujian, bahkan kesenangan juga ujian. Allah nyatakan: 
Dan Kami (Allah) menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai ujian,” (al-Anbiya’: 35). 
Tetapi kebiasaannya dalam bahasa Melayu, bala dianggap sesuatu yang tidak baik sehingga ada doa untuk tolak bala. Sedangkan zaman silam, ada sahabat nabi menangis bila diri mereka sudah lama tidak diuji Tuhan, kerana bimbang sudah dilupakan.
Maka, dalam bab sakit, ia memang bala atau ujian ke atas manusia. Allah beri, antaranya untuk menghapuskan dosa.
Andai bersabar, pasti akan diangkat darjatnya. Ada kes yang pernah saya saksikan sendiri, seorang lelaki itu semasa sihat, malas solat dan suka buat maksiat. Bila dia sakit, dia pun bertaubat dan dengan Allah semakin dekat. Solat tidak ditinggalkan lagi dan selalu membaca al-Quran. Manakan tidak, kaki sudah tergantung, apa lagi yang dia mampu buat selain mengadu kepada Tuhan siang dan malam. Saya terfikir, itulah hikmah sakit buat dirinya.

Maka orang yang ditimpa ujian sakit, jika mereka berfikiran positif, maka tidak mustahil mereka lebih dekat dan mesra dengan Allah. 
Dalam seerah nabawiah pun kita lihat, Nabi Muhammad s.a.w. tetap menjaga ibadahnya sehinggalah hampir sangat dengan kematian, Nabi masih mendirikan solat. 
Bahkan, tiada seorang pun sahabat Nabi yang culas dan malas. Balasannya, mereka dijanjikan syurga Allah. Allah reda kepada mereka dan mereka pun reda kepada Allah. Alangkah bahagianya hidup mereka.
7. Boleh kah orang lain melakukan ibadat bagi pesakit tersebut?
Dalam hal ini, umumnya ibadah adalah tertakluk kepada individu. Selagi mana mereka terdaya, maka orang lain tidak boleh melakukannya bagi pihak mereka. 
Misalnya solat, orang yang sakit wajib solat sehinggalah dia sudah tidak mampu. Jika sampai sudah tahap koma atau menjadi gila (hilang akal), maka tidaklah wajib atasnya solat. 
Namun jika pengsan atau hilang akal yang sementara dan selepas itu dia sedar kembali, maka wajiblah dia mengqadakannya. Andai kata dia meninggal dunia dalam keadaan koma, maka dia tidak berdosa.
Fuqaha membahaskan, ada beberapa ibadah yang boleh dilakukan atau digantikan oleh orang lain. Misalnya, ibadah haji jika tidak ada kemampuan, maka boleh dilakukan oleh orang lain sebagai badal haji. 
Manakala ibadah puasa, orang yang uzur berkekalan sehingga tidak mampu mengqada puasanya, maka dia boleh digantikan dengan fidyah (sila rujuk al-Baqarah, ayat 184). 
Dalam bab zakat lagi mudah, tidak perlu tunggu sakit, dalam keadaan sibuk pun ia boleh diwakilkan untuk ditunaikan zakatnya.
8. Apakah kelebihan melakukan ibadah ketika sakit yang tidak boleh dilakukan orang sihat?
Sebenarnya, rukshah atau keringanan dalam ibadah, adalah suatu anugerah daripada Allah s.w.t.. Orang yang sakit sehingga tidamampu berdiri untuk solat, namun semasa sihatnya dia sering ke masjid untuk berjamaah, maka di sisi Allah dia tetap diberikan pahala yang sama. Dengan syarat, orang itu tidak mempermudah-mudahkan urusan ibadahnya. 
Sebab itu kena jelas, ibadah itu mudah; tetapi jangan dipermudah-mudah. Ia menjadi mudah dengan syarat kenalah ikut kaedah syarak, bukan ikut nafsu dan kehendak.
Dalam konteks kelebihan dan pahala, memang Allah s.w.t. menjanjikan pahala yang besar bagi orang yang sabar dalam ibadahnya. 
Allah SWT menyatakan:
“Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahajalah yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira,” (az-Zumar: 10)
Memang tidak dinafikan, Syaitan akan tetap berperanan mempengaruhi orang yang sakit agar merasa malas melakukan ibadah. Nabi mengingatkan kita:
“Syurga itu dikelilingi dengan perkara yang tidak disukai (oleh hawa nafsu); sedangkan neraka dikelilingi oleh syahwat,” ( HR : Muslim)
Ibadah memang menjadi kesukaran, kecuali bagi orang yang sabar dan kusyuk, pesan Allah lagi:
“Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Yakni) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya” [Surah Al-Baqarah : ayat 45-46].
Maka, sebab itulah orang yang sakit kena dikelilingi oleh perkara-perkara yang mendorong minda dan jiwanya untuk ingat kepada Allah s.w.t. 
Perbanyakkan zikir, mendengar alunan bacaan al-Quran, menerima kunjungan daripada orang-orang soleh dan melazimi membaca bahan-bahan pembangun jiwa.
Dalam seerah nabi juga, baginda s.a.w. pernah menziarahi seorang Yahudi yang anaknya sakit. Lalu dengan penuh santun dan hormat, Nabi meminta keizinan daripada bapa si anak untuk mendoakan anaknya. Dengan izin Allah, anak itu pun sembuh dan perbuatan nabi ini akhirnya menjadi kunci bagi membuka jendela hati si Yahudi kepada cahaya Islam. Inilah barakahnya doa orang yang soleh kepada si pesakit.
Ibadah adalah satu kewajipan bagi setiap orang yang mukallaf (yakni berakal dan baligh) dan mampu melaksanakannya, sesuai dengan keadaan diri. Jangankan waktu sakit kita masih wajib beribadah, seperti solat, hatta dalam suasana peperangan sekali pun kita wajib bersolat dan ia dinamakan solat khauf. 
Luaskanlah horizon pemikiran kita bahawa ibadah itu mudah. Ini kerana, realitinya ia memang wajib dan mudah, demi memudahkan kita mencapai reda Allah.
Sememangnya selama hampir setahun isteri saya menjalani rawatan dialysis. Banyak perkara yang perlu dipelajari semula tentang cara beribadat sebagai seorang pesakit ginjal kronik.
Saya masih ingat pada pertama kali isteri menjalani dialisis. Kami pulang ke rumah lebih kurang pukul 7.30 malam. Waktu solat isya’ pada jam 8.05 malam. Isteri bila sampai di rumah kelihatan letih dan kurang bertenaga. Sememangnya keadaan pesakit ginjal akan letih selepas menjalani dialisi selama 4 jam.
“ Abang, ayang tidak larat lah hendak lakukan solat magrib, badan penat sangat ni”
“ Kalau macam tu, ayang niat solat jamak maghrib dalam waktu isya’” saya menasihati isteri.
“ Boleh ke buat macam tu?” isteri kelihatan tercengan.
“ Eh kenapa tidak boleh, ingat tak semasa kita berada di Minar semasa mengerjakan haji, semua orang lakukan solat jamak kerana  kesukaran untuk mendapatkan air, kita beratur berjam-jam untuk ke tandas”
 
 
Keesokannya selepas solat subuh di masjid saya berjumpa dengan ustaz Imam Muda masjid untuk pendapat penjelasan dari segi hokum fikah untuk jamak solat kerana keuzuran.
Ustaz memberi penjelasan bahawa sememangnya boleh melakukan solat secara jamak bagi pesakit kronik yang memerlukan masa yang lama untuk melakukan rawatan. Ustaz menasihati saya supaya merujuk kepada laman sesawan Jabatan Mufti Negeri Selangor.
Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (FATWA) Negeri Selangor  telah meneliti permasalahan pesakit ginjal kronik yang menjalani rawatan dialysis mempunyai situasi seperti berikut:
Bolehkah orang yang menjalani rawatan hemodialisis dan seumpamanya menunaikan sembahyang Zohor dengan Asar - Jamak Takhir disebabkan oleh rawatan berkenaan?
(i) Bagi pesakit yang mengambil syif rawatan pertama iaitu jam 6.00 pagi - 12.00 tengahari, dalam tempoh rawatan ini tidak menimbulkan masalah dari segi waktu sembahyang fardhu kerana rawatan itu telah selesai sebelum waktu Zohor.
(ii) Bagi pesakit yang mengambil syif rawatan kedua iaitu jam 11.00 pagi - 6.00 petang, menimbulkan implikasi hukum mengenai sembahyang. Ini menyebabkan waktu sembahyang Zohor luput.
Sementara itu sekiranya pesakit mengambil wuduk sebelum rawatan dibuat, ia boleh membatalkan wuduk disebabkan persentuhan dengan jururawat wanita bagi pesakit lelaki atau disebabkan keluar angin daripada dubur.
(iii) Bagi mereka yang mengambil syif rawatan ketiga iaitu jam 3.00 petang - 9.00 malam, menimbulkan masalah kerana melibatkan sembahyang Asar dan Maghrib. Apakah boleh bagi pesakit berkenaan sembahyang Jamak Takdim - Sembahyang Zohor dan Asar dan Jamak Takhir - Sembahyang Maghrib dan Isyak?
Mengikut kitab Ahsan al-Kalam Fi al-Fatawa Wa al-Ahkam oleh Fadhilah Syeikh Atiyyah Saqr, juzu’ 3 hal. 421 - 422 menyatakan mengenai pendapat-pendapat ulama’ bagi empat mazhab.
(i) Menurut pendapat Mazhab Maliki, harus jamak sembahyang ketika bermusafir jauh atau dekat. Begitu juga bagi orang yang sakit yang pitam atau sakit di kepala yang boleh menghalangnya daripada menunaikan sembahyang ketika masuk waktu kedua, maka harus baginya mentakdimkan sembahyang tersebut. Begitulah juga harus jamak sernbahyang kerana hujan lebat, ribut pasir, kegelapan malam, maka harus dijamak secara takdim sembahyang maghrib dan isyak dengan syarat sembahyang tersebut dilakukan di masjid secara berjamaah.
(ii) Mengikut pendapat Mazhab Syafie, harus jamak sembahyang kerana musafir yang lama perjalanannya dengan sebab hujan secara jamak takdim sahaja, apabila dilakukan sembahyang itu secara berjemaah di masjid yang jauh daripada rumahnya, mengelakkan kesusahan untuk pergi ke sana, maka ia harus menjamakkan sembahyang walaupun tidak kerana hujan dan harus jamak sembahyang sama ada takdim atau takhir bagi orang yang sakit.
(iii) Sementara Mazhab Hanafi pula tidak harus jamak sembahyang secara takdim kecuali bagi orang yang mengerjakan haji di Arafah dengan syarat berjamaah berserta Imam atau naibnya dan tidak harus mentahlulkan sembahyang kecuali di Muzdalifah bagi orang yang mengerjakan haji, maka ia boleh sembahyang Asar dalam waktu Zohor di Arafah dan sembahyang Maghrib dalam waktu Isyak di Muzdalifah.
(iv) Mengikut Mazhab Hambali, harus bagi orang yang sakit menjarakkan sembahyang ketika timbulnya kesusahan mendirikan sembahyang apabila masuknya waktu. Harus juga menjamakkan sembahyang bagi orang yang lemah daripada mengetahui awal waktu sembahyang bagi orang yang buta dan begitu juga bagi orang yang takut berlaku kemudaratan ke atas dirinya, harta atau maruahnya atau takut kemudaratan yang bersangkutan dengan kehidupannya dengan meninggalkan sembahyang dan yang lebih utamanya ialah memilih yang paling mudah ke atasnya sama ada untuk jamak takdim atau takhir dengan mematuhi syarat-syarat takdim dan takhir seperti tertib, niat jamak dan berterusan uzur.
Jawatankuasa Fatwa Kali Ke 14 pada 22 - 23 Oktober 1985 menyatakan bahawa dalam Islam uzur syarie adalah diertikan seperti berikut:
(i) Keuzuran yang di luar kuasa seseorang untuk mengatasinya seperti penyakit kronik, menghadapi hujan, ribut dan taufan.
(ii) Keuzuran yang bersabit dengan keluarga atau saudara yang sakit tenat yang tiada harapan untuk hidup yang perlu diziarahi.
(iii) Keuzuran berkenaan dengan berkemungkinan berlaku kerosakan bahan perusahaan yang ditinggalkan semasa menunaikan fardhu Jumaat.
Daripada kesimpulan di atas dapatlah dirumuskan bahawa menjalani rawatan penyakit-penyakit kronik seperti hemodialisis bagi penyakit buah pinggang dan seumpamnya adalah dikira uzur syarie yang di luar kuasa seseorang untuk mengatasinya.

No comments:

Post a Comment

Thanks for your comments, I will reply soon.