Sempena bulan Ramadan Kareem yang penuh keberkatan ini,
penghulu segala bulan dan pada bulan
inilah Al- Quran di turunkan kepada Nabi Muhammad SAW untuk dijadikan
panduan dan pedoman kehidupan manusia di dunia yang fana ini. Sehubungan itu
saya akan berkongsi bersama anda semua tentang i rahsia kehebatan al-Quran
sebagai ejen penyembuh penyakit.
Ramai pesakit bertanya, mampukah al-Quran mengubati
penyakit? Bagaimana hanya dengan membaca rangkaian ayat al-Quran, sakit
dihidapi mampu sembuh?
Percayalah! Al-Quran adalah mukjizat terbesar yang diberikan
kepada Rasulullah SAW dan kepada kita sebagai umat baginda.
Al-Quran merupakan kalam Allah dan sememangnya kuasa
penyembuh itu adalah milik Allah. Kerana dialah Yang Maha Pencita dan Maha
Berkuasa. Jika dikehendakiNya “Kun Fayaku” maka jadilah.
Bukanlah sesuatu yang janggal apabila al-Quran dikatakan
mampu menjadi ejen penyembuh penyakit. Firman Allah di dalam surah Al-Israa, ayat 82: yang bermaksud : “Dan Kami turunkan dari Al Quran
suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman."
Kita perlu meyakini
mukjizat al-Quran sebagai ejen penyembuh. Bagi saya, jika bukan kita sebagai
orang Islam, siapa lagi mahu mengangkat martabat mukjizat agung ini.
Di sini, saya mahu menjelaskan kaedah utama rawatan Islam.
Secara umum, rawatan bermula dengan melafazkan dua kalimah syahadah. Kalimah
mulia ini sebagai pembuka pintu kepada setiap sesi rawatan bagi pesakit.
Kalimah ini membezakan muslim dan bukan muslim.
Kalimah inilah sebagai penyaksian sewaktu lahir dan sebelum
kematian. Maka, kita memulakan rawatan dengan lafaz dua kalimah syahadah. Ini
menunjukkan tawakal dan kebergantungan kita kepada zat yang Maha Penyembuh,
iaitu Allah.
Seterusnya, kita hendaklah membaca surah Al-Fatihah. Surah
ini bukanlah hanya boleh digunakan semasa solat, sebaliknya surah Al-Fatihah
turut terbukti sebagai ejen penyembuh penyakit yang luar biasa mujarabnya.
Kerana itu surah ini digelar ibu segala surah dan dimuliakan menjadi surah
pembukaan di dalam mushaf al-Quran.
Di dalam sebuah hadis daripada Abu Said al-Khudri r.a., ia menjelaskan
adanya satu kumpulan sahabat Rasulullah keluar bermusafir. Di tengah perjalanan
mereka singgah di sebuah perkampungan Badwi.
Mereka meminta makanan, tetapi penduduk kampung enggan
memberinya. Dengan takdir Allah, salah seorang penduduk kampung disengat
binatang berbisa.
Salah seorang sahabat Rasulullah bersedia untuk
mengubatinya. Lalu membaca sesuatu dan ditiupkan ke tempat luka lelaki tadi.
Dengan kuasa Allah, lelaki itu sembuh.
Para sahabat lain hairan, apakah ayat yang dibacakan oleh
sahabat tadi? Sedangkan sahabat mereka bukan seorang tabib atau pernah mengubati penyakit.
Sahabat itu menyatakan, dia hanya membaca surah Al-Fatihah. Berita ini sampai
kepada Nabi Muhammad saw dan baginda mengesahkan perbuatan lelaki tersebut.
Riwayat ini membawa pengajaran kepada kita mengenai betapa
besar fadhilat surah Al-Fatihah.
Kalau difikirkan dari sudut logik akal, mustahil hanya
dengan membaca ayat, bisa daripada binatang boleh sembuh.
Ini yang dikatakan kuasa penyembuh milik mutlak Allah dan
kita harus berikhtiar.
Apa yang pasti, kisah ini membawa pengajaran berguna, bahawa
ayat suci al-Quran bukan sahaja bertindak sebagai panduan hidup, malah sebagai
ejen penyembuh penyakit yang sangat mujarab.
Di kalangan masyarakat Melayu khususnya di Malaysia, ramai
meyakini ayat suci al-Quran mampu menjadi penawar, namun hanya bagi penyakit
bersifat spiritual atau penyakit kerohanian. Misalnya sihir, santau, saka,
rasukan, jin dan lain-lain.
Masyarakat kita masih ramai yang kurang yakin bahawa ayat
suci al-Quran mampu malah berkesan merawat penyakit bersifat fizikal seperti
kencing manis, darah tinggi, tiroid, ketumbuhan dalam otak dan kanser.
Contohnya surah Al-Isra ;ayat
40 hingga 55 untuk menyembuhkan penyakit berkaitan jantung, surah Qaf ayat 16
hingga 45 untuk menyembuhkan penyakit berkaitan urat saraf dan tulang manakala
surah Muhammad ayat 21 hingga 32 untuk menurunkan stres pesakit.
Rata-rata kita tidak melihat proses" penyembuhan
melalui ayat al-Quran. Sukar diterima akal, hanya dengan membaca ayat suci
al-Quran, penyakit fizikal sembuh tanpa ubat atau pembedahan.
Ramai di antara kita lebih mempercayai perubatan moden, yang
jelas kelihatan proses penyembuhan dan rawatan seperti pembedahan, ubat,
suntikan dan sebagainya.
Secara peribadi, saya tidak menolak rawatan moden, malah
menggalakkan pesakit merujuk kepada doktor atau menjalani rawatan moden.
Firman Allah yang bermaksud “Hai manusia, sesungguhnya telah
datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit (yang
berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman..."
(Surah Yunus, ayat 57)
Bagaimana al-Quran boleh bertindak sebagai ejen penyembuh?
Persoalan ini tidak dapat dijelaskan oleh logik akal manusia, namun sebagai
sedikit gambaran kepada pembaca, pertama sekali kita harus yakin bahawa
al-Quran adalah mukjizat agung dan firman Allah sendiri menyatakan di dalamnya
mempunyai syifa’ atau penyembuh. Ayat al-Quran mempunyai aura tersendiri yang
sepadan dengan jenis penyakit.
Misalnya, sakit kanser, ayat al-Quran yang selari dengannya
adalah surah Al-Mukminun ayat 91 hingga 100 dan surah Al-Hajj ayat 31 hingga
55. Ada lagi ayat lain yang berkaitan dengan penyakit kanser.
Begitu juga dengan sakit lain, terdapat ayat al-Quran, yang
fungsinya sebagai penyembuh untuk sakit tersebut. Apabila ayat ini dibaca oleh
pesakit, maka aura ayat suci ini akan bertindak terhadap penyakit yang dihidapi
dengan izin Allah.
Dalam erti kata lain, rawatan menggunakan ayat suci al-Quran
ini bertindak umpama rawatan moden, namun prosesnya tidak mampu dilihat dengan
mata kasar dan dijelaskan dengan logik akal.
Alhamdulillah, dengan izin Allah, sudah ramai pesakit yang
mengamal perubatan Islam, sembuh daripada penyakit seperti jantung, buah
pinggang, saraf, kanser, gangguan sihir dan saka dan sebagainya, selepas
pesakit tekun mengamalkan ayat al-Quran yang diberikan mengikut jenis penyakit.
Selain amalan pembacaan al-Quran secara istiqamah dan
konsisten, doa kepada Allah dan keyakinan tinggi terhadap mukjizat agung
al-Quran sebagai ejen penyembuh turut diamalkan oleh pesakit.
Mengenai mukjizat al-Quran dalam menyembuhkan penyakit
kanser telah dibukukan dalam buku bertajuk Perubatan Al-Quran Rawatan Kanser
(Quranic Medicine in Healing Cancer; terbitan MustRead Sdn. Bhd.) yang boleh
didapati di kedai buku bermula 1 Mac 2013.
Kesimpulannya, al-Quran adalah mukjizat agung yang
diturunkan Allah untuk umat Nabi Muhammad dan kalau bukan kita, siapa lagi yang
patut mendaulatkan al-Quran?
Rugi besar jika orang Islam mensesiakan al-Quran dan tidak
meyakininya. Yakinlah dengan al-Quran, bukan sahaja sebagai kitab yang dibaca
sebagai pertunjuk, tetapi sebagai ubat yang diamal setiap hari sebagai
penyembuh.
Akhir sekali, harapan kita agar suatu hari nanti, ramai
doktor Muslim dapat menerima al-Quran sebagai medium penyembuh penyakit serta
menggunakannya bersama rawatan perubatan moden mereka. Yakinlah dengan firman
Allah bahawa Al Quran adalah penyembuh pelbagai penyakit .
Wallahu’alam.
Sumber: Pusat
Rawtan Islam Al Hidayah
No comments:
Post a Comment
Thanks for your comments, I will reply soon.