RAIHANPAHIMI

publish your book for free?AFF=9142

Thursday, 23 April 2015

APA PANDANGAN ULAMAK TENTANG SAMBUTAN MAULID RASUL SAW

Pandangan Ulamak Berkaitan Sambutan Maulid Rasul SAW


Saat kelahiran pembawa rahmat buat seluruh alam, selepas hari-hari berlalu tanpa panduan ilahi, selepas wanita-wanita hidup sebagai hamba pemuas nafsu, pihak yang lemah sentiasa ditindas, agama samawi disonsangkan mengikut hawa dan cita rasa, ditambah penyakit-penyakit kefasadan meratapi tubuh masyarakat, seolah tiada solusi buat mereka. Masyarakat ketika ini umpama liabiliti tiada empayar yang mahu menawan negara ini, kerana tiada kebaikan jika menjajah mereka.
Tanda cinta dan kasih Sang Pencipta pada manusia diutuskan seorang Rasul pembawa risalah ilahi, penyebar cinta buat insani, Pada bulan Rabie’ Al-Awal, Rasulullah SAW dilahirkan dari sebuah keluarga yang mashur akan kebaikannya dari generasi ke generasi. Kelahiran ini mengembirakan bumi dan seisinya malah Abu Jahal yang menjadi musuh Islam adalah orang yang paling gembira dalam menyambut kelahiran Rasulullah SAW. Inilah tanda kasih ilahi tidak membiar masyarakat terpesong dari pedoman lalu mengutus Nabi sebagai utusan.

Rasulullah SAW Lahir Berapa Hari Bulan?:
Ahli sejarah dan para ulamak bersepakat bahawa Rasulullah SAW dilahirkan pada hari Isnin, bulan Rabie’ Al-Awal dan pada tahun gajah, tetapi berselisih dalam menetapkan hari bulan kelahiran baginda, ada pendapat yang mengatakan 2,8,10,12,17 atau 22. Mashur masyarakat mengatakan 12 hari bulan,tetapi ahli falak membuat pengiraan bahawa hari Isnin pada bulan Rabie’ Al-Awal ketika tahun itu bersamaan dengan 2,9,16 dan 23 hari bulan, bukanlah 12 hari bulan.
Walaubagaimana pun, perbezaan tarikh ini bukan satu isu pokok yang menjadi perbalahan malah perbahasan dan perdebatan berkenaannya tidaklah membuahkan amal, ditambah pula tiada dalil atau asas yang kukuh bagi setiap pendapat yang dikemukakan. Maka terpulang kepada sesiapa sahaja untuk menerima mana-mana tarikh dan menolaknya.

Ia Juga Bulan Kewafatan Baginda SAW.
Bulan Rabie’ Al-Awal juga bulan kewafatan nabi saw, selepas selesai melaksanakan tugas yang ditaklifkan oleh Allah swt. Semua para sahabat tidak mampu menahan linangan air mata kesedihan daripada jatuh membasahi janggut apabila kekasih dipanggil pulang bertemu Pencipta. Tergiang-giang dibenak sahabat akan kebaikan dan kecintaan Rasulullah SWT terhadap mereka. Sehingga ada atsar dari sahabat menyebut “Laula Murabbi Ma ‘araftu Rabbi”- Sekiranya tiada murabbi aku tidak kenali Rabbku.
Malah ada sahabat ketika mengajar para tabien tentang hadis nabi, apabila menyebut sahaja “Qala Al-Habib Rasulullah SAW”- telah berkata Kekasihku Rasulullah SAW, lalu jatuh pengsan kerana kecintaan terhadap baginda. Baginda wafat pada hari Isnin bersamaan dengan 12 Rabie’ Al-Awal pada tahun 11 Hijrah.

Sambutan Maulid Nabi SAW Bid’ah?
Sebahagian daripada para ulamak mengharamkan sambutan maulid Rasulullah SAW secara mutlak tertutamanya ulamak daripada Hijjaz antaranya Imam Ibn Bazz, Sheikh Hassan, Ibn Utsaimin dan lain-lain ulamak.
Mereka berpendapat sambutan ini adalah bid’ah kerana berdalilkan beberapa tafsiran:
1. Sambutan ini tiada asas dalam Islam, malah tidak dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat RA seperti mana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW maka perkara ini adalah bid’ah yang ditolak dan menyesatkan:
“Ke atas kamu sunnahku dan sunnah khulafa’ ar-rasyidin yang diberi petunjuk selepas aku, berwaspadalah kamu akan perkara-perkara baru (dalam agama), maka setiap perkara baru itu bida’ah dan setiap bid’ah itu adalah kekesatan” (Riwayat Ahmad 4/126, Tirmizi bil. 2676)
2. Sambutan maulidul rasul menyerupai penganut Kristian, penganut kristian mempunyai perayaan tersendiri dalam menyambut sambutan kelahiran Nabi Isa AS, sedangkan Rasulullah SAW melarang umatnya menyerupai kaum kafir malah mengarahkan agar berbeza dengan mereka. Rasullah menyebutkan dalam dua buah hadis:
“Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia sebagian daripada mereka” (Riwayat Imam Ahmad 2/50, Abu Daud 4/314)
“Berbezalah kalian dengan orang-orang musyrik” (Riwayat Muslim Bil. 259, 1/222)
3. Mereka juga berpendapat bahawa menghidupkan bid’ah dalam sambutan maulud akan membuka pintu untuk melaksanakan bid’ah-bid’ah yang lain serta membuatkan umat islam bermalasan dalam sunah-sunah rasululullah saw.

Dibenarkan Sambut Maulid Rasul SAW:
Terdapat juga beberapa ulamak yang menganggap sambutan ini bukanlah bid’ah dholalah tetapi adalah  harus dalam islam antara yang berpandapat seperti ini ialah Ibn. Hajar Al-Asqolani, Dr. Ahmad Toyyib, ulamak-ulamak azhari, Habib Umar dan ramai lagi.
Para ulamak yang berpandangan boleh juga mempunyai beberapa hujah, antaranya:
1. Berdalilkan beberapa hadis yang menunjukkan betapa pentingnya untuk mencintai Rasulullah SAW dan sambutan maulidur rasul merupakan salah satu cara mengesprasikan kecintaan terhadapa baginda SAW:
“Demi Zat yang diriku berada dalam kekuasaan-Nya, tidak sempurna iman seseorang daripada kalangan kamu sehinggalah aku lebih dia cintai daripada orang tua dan anak-anaknya” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam riwayat yang lain:
“Tidak beriman seseorang itu sehinggalah ia mencintai aku lebih daripada orang tuanya, anak-anaknya dan manusia seluruhnya” (Riwayat Bukhari)
2. Terdapat hadis menceritakan berkenaan Rasulullah SAW berpuasa pada hari Isnin, apabila ditanya oleh para sahabat lalu baginda berkata pada hari itu aku dilahirkan dan turunnya wahyu pertama. Hal ini mengambarkan bahawa Rasulullah saw sendiri memperingati hari-hari kelahirannya dengan berpuasa pada hari Isnin.
“Dari Abi Qatadah al-Ansori RA, sesungguhnya Rasulullah SAW ditanya mengenai puasa isnin, lalu baginda menjawab: pada hari itu aku dilahirkan dan wahyu diturunkan kepadaku.”
3. Sambutan maulidur rasul telah pun dilaksanakan oleh ulamak-ulamak yang terdahulu malahan berlalu generasi ke generasi, sekiranya sebahagian mengatakan bid’ah yang sesat, maka sebahagian itu telah menyesatkan beberapa generasi yang sebelum ini. Amalan ini adalah selaras dengan apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:
“Apa-apa yang dipandang oleh umat Islam sebagai suatu amalan yang baik, maka ia adalah baik di sisi Allah, dan apa-apa yang dipandang keji oleh umat Islam sebagai suatu amalan yang keji maka ia adalah keji disi Allah” 

Kesimpulan: Jangan Biar Bermusim
Setelah diteliti kedua-dua pendapat, saya secara peribadi melihat bahawa pendapat yang mengharamkan secara mutlak melihat isu ini sebagai isu akidah dan ibadah selaras dengan sebuah kaedah fikhiyah Al-Aslu fi Ibadah Muharamah (Asal dalam Ibadah Haram) manakala pendapat yang bertentangan melihat hukum ini dari sudut cara memperingati Rasulullah saw. Isu ini sudah lama dibincangkan oleh para ulamak, kebanyakkan membenarkan.
Secara peribadinya juga, saya melihat sambutan ini dibenarkan dalam Islam dan memperingati kekasih SAW sepatutnya dijalankan setiap hari dengan kita mengamalkan sunnah-sunnah Rasulullah SAW, tetapi dalam menghadapi zaman yang penuh dugaan dan serangan jahiliyah, sambutan-sambutan ini dilihat sebagai satu stesyen kepada umat Islam dalam memperingati Rasulullah SAW agar umat islam terus sedar.
Tambahan juga perlu dilihat apa yang diisi dalam sambutan tersebut sekiranya syarie tidak bertentangan dengan syara’ maka ia dibenarkan, tetapi jika ia diisi dengan kemaksiatan seperti percampuran antara lelaki dan perempuan maka haram sambutan tersebut. Sebagai penutup, seorang muslim sepatutnya hari-hari adalah hari memperingati kelahiran Rasulullah SAW, tidak bermusim, kecintaan terhadap nabi sentiasa berkembang mekar dalam jiwa sanubari.  Sesungguhnya Allah dan para malaikat berselawat ke atas Nabi, Wahai orang-orang beriman berselawatlah ke atas Nabi. Allahumma Solli ‘ala Muhammad. Wallahu ‘Alam.
Rujukan:
  1. Ar-Rahiq Al-Makhtum, Imam Mubarakfuri
  2. Fil Bidayah Wa An-Nihayah, Imam Ibn Katsir
  3. Al-Hawi li Al-Fatawa, Imam As-Suyuthi
  4. Sulthon Al-Ulamak, Syeikh Izz Ad-Din Bin Abd. Salam
  5. Fatawa Ibn Bazz

No comments:

Post a Comment

Thanks for your comments, I will reply soon.