Hikmah Di Sebalik Musibah Penyakit
Penyakit yang menimpa adalah antara ujian dari Allah SWT. Namun dalam tidak sedar, ujian penyakit yang kita hadapi itu adalah guru yang mengajar dan mendidik kita agar kita menjadi manusia yang lebih baik. Jangan sesekali kita berburuk sangka kepada Allah SWT di atas musibah yang menimpa.
Kita seringkali mendengar keluh kesah pesakit yang menderita penyakit-penyakit kronik. Ada yang bertanyakan kenapa agaknya suratan kehidupan mereka sebegitu. Sudahlah jatuh, ditimpa tangga. Penyakit yang dideritai hadir di saat kehidupan mereka yang kian kesempitan. Ada antaranya menyatakan rasa iri hati dengan keadaan orang lain yang ditakdirkan memperolehi kesenangan dan kesihatan secara berterusan.
Hakikatnya, inilah asam garam kehidupan yang harus diterima dengan hati terbuka. Sebagai khalifah di muka bumi, perlulah kita membuat analisis dan muhasabah. Berfikir secara waras bahawa ketentuan Allah SWT mempunyai seribu satu sebab yang terkandung hikmah dan pengajaran. Sebagai hamba-Nya, harus bersabar andai diuji dengan dugaan demi dugaan. Setiap sesuatu ketentuan dan musibah perlu dihadapi dengan bijak, tenang serta berserah tanpa kompromi kepada Allah SWT.
\
Firman Allah Taala yang bermaksud :
“Dan sesungguhnya kami akan berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, Innalillahi Wainna Ilaihi Rajiun, maka itulah mendapat berkat dan rahmat daripada Tuhannya dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.” - Surah al-Baqarah : 155-157
Oleh itu, sehebat mana ujian yang dihadapi hendaklah ditempuhi dengan sabar, redha dan bertawakal kepada-Nya. Terus menerus berusaha mencari penawar dan berdoa supaya Allah memberikan petunjuk dan rahmat agar keadaan penyakit yang dihadapi akan lebih baik daripada sebelum ini.
DERITA NABI AYYUB A.S
Di dalam Al-Quran ada merakamkan kisah penderitaan penyakit yang terpaksa ditanggung oleh Nabi Ayyub. Di dalam Kitab Duratun Nasihin, pada bab kisah kesabaran Nabi Ayyub. Secara ringkasnya, Nabi Ayyub a.s merupakan seorang Nabi Allah yang dikurniakan nikmat kekayaan, kesihatan serta anak pinak. Beliau tidak pernah lupa untuk mensyukuri atas segala nikmat yang telah Allah SWT kurniakan.
Dengan izin Allah, kesabaran Nabi Ayyub a.s. diuji apabila Iblis membakar rumah, harta benda dan anak-anak Nabi Ayyub a.s. Iblis belum berpuas hati lantaran melihat ketabahan dan kesabaran Nabi Allah Ayyub. Lalu sekali lagi Nabi Ayyub di uji dengan jangkitan penyakit kulit yang kronik sehinggakan masyarakat di sekeliling merasa jijik melihatnya. Isteri-isterinya meninggalkan beliau kerana tidak mampu lagi menanggung malu dan kesengsaraan hidup. Yang tinggal hanyalah Nabi Ayyub bersama Siti Rahmah salah seorang dari isterinya yang solehah menemaninya walaupun keadan beliau yang serba dhaif. Selama 7 tahun Nabi Ayyub menderita, namun tidak lekang dari mulutnya berzikir memuji Allah SWT. Siti Rahmah juga akhirnya berjaya dihasut oleh iblis seterusnya meninggalkan Nabi Ayyub keseorangan.
Dalam pada itu, bermunajat Nabi Ayub a.s merintih pada Allah SWT sebagaimana firman-Nya :
"(Ya Tuhanku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang". - Surah Al-Anbiya’: 83
Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, Allah tidak membiarkan Nabi-Nya sepi sendirian. Maka Allah mengabulkan rintihan Nabi Ayub. Allah menyuruhnya agar menghentakkan kaki ke tanah, lalu keluarlah air yang sejuk dingin lalu diminum, dimandikan sebagai penawar. Firman Allah SWT :
“Maka kami pun memperkenankan seruannya itu, lalu Kami lenyapkan penyakit yang ada padanya dan Kami kembalikan keluarganya kepadanya, dan Kami lipat gandakan bilangan mereka, sebagai suatu rahmat dari sisi Kami dan untuk menjadi peringatan bagi semua yang menyembah Allah”. - Surah Al-Anbiya’: 84
Dengan izin Allah SWT, Nabi Ayub a.s telah kembali sihat seperti sedia kala, bahkan Allah mengurniakan zuriat lagi ramai, berganda-ganda dari yang hilang dan Allah juga mengembalikan kemewahan kepada Nabi Ayub a.s. sebagai tanda rahmat dan kasih sayang Allah.
Cebisan kisah Nabi Ayyub a.s. ini memberi pengajaran kepada kita bahawa musibah penyakit adalah ujian dari-Nya sebelum Allah mengurniakan rahmat kasih sayang-Nya. Allah SWT ingin menilai kesabaran dan keteguhan iman dan cinta kita kepada-Nya. Jangan sesekali berputus asa dengan rahmat Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar rintihan hamba-hambanya yang soleh. Percayalah, akan tiba masanya jika tidak di dunia, pasti di akhirat kelak akan terbit sinar kebahagiaan dan rahmat-Nya menerangi kehidupan, berkat kesabaran serta keimanan menempuhi ujian demi ujian.
Di sebalik setiap musibah yang menimpa manusia itu sebenarnya mempunyai hikmah yang tertentu. Musibah bukan sahaja datangnya sesuatu penyakit tetapi apa-apa dugaan yang Allah SWT menduga kita seperti masalah rumah tangga, masalah kewangan, masalah di tempat kerja, masalah pembelajaran anak-anak, masalah politik negara, banjir besar, tsunami, gempa bumi, kemarau dan sebagainya. Antara hikmah yang boleh kita ambil dari musibah yang dihadapi antaranya :
Musibah yang menimpa seseorang merupakan jalan untuk Allah SWT meninggikan darjat seorang hamba-Nya. Kisah Nabi Ayub merupakan contoh yang terbaik. Nabi Ayub mempunyai kedudukan mulia di sisi Allah SWT, namun masih mampu berbaik sangka kepada-Nya . Sudahlah dirinya ditimpa penyakit. Isteri-isterinya juga menjauhkan diri. Namun Nabi Ayub tetap bersabar menerimanya sehinggalah Allah SWT mengembalikan semula kesihatan dan ditinggikan pula darjat di sisi-Nya. Sesungguhnya, kesabaran Nabi Ayub dalam melalui ujian Allah berkenaan mempunyai hikmah yang besar. Ujian dari Allah SWT datang kepada manusia-manusia yang Allah pilih sahaja. Kita hendaklah bersyukur sekiranya musibah datang kepada kita sebab kita di antara hamba-hamba Nya yang Allah SAW pilih untuk diduga.
Musibah adalah tanda kecintaan Allah SWT kepada hamba-Nya, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya besarnya pahala yang kita perolehi bergantung besarnya dugaan, dan Allah SWT apabila mencintai suatu kaum, maka Allah akan menguji mereka. Barang siapa yang redha, maka ia akan mendapatkan keredhaan-Nya dan barang siapa yang kesal terhadapnya, maka ia akan mendapatkan kemurkaan-Nya.” - (HR. Ahmad dan Tirmidzi).
Justeru itu, janganlah disesali akan musibah yang dihadapi, malah seharusnya disyukuri.
Yakinlah bahawa Allah tidak membebani seseorang kecuali sesuai dengan kesanggupannya dan kemampuannya. Ketahuilah sesungguhnya Allah SWT mencintai orang-orang yang sabar dan sentiasa bersama-sama mereka, sebagaimana firman-Nya :
“Dan ingatlah Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar". - Surah Ali 'Imran : 146
Sebagai manusia biasa, sudah tentu kita tiada terlepas daripada melakukan kesalahan sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. Hakikatnya iblis dan syaitan senantiasa menggoda nafsu kita agar terus menerus melakukan dosa. Sedangkan dosa itu menjauhkan diri kita dengan Allah SWT. Hikmah diturunkan kesakitan itu adalah sebagai cara untuk membersihkan diri kita terhadap dosa-dosa lalu. Ia bersesuaian dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya." - (HR. Bukhari dan Muslim)
Kita mesti bersyukur segala nikmat kesenangan yang diberi oleh Allah SWT. Dengan kehendak-Nya juga, nikmat kesenangan itu boleh hilang dalam sekelip mata. Janganlah dicela andai musibah menimpa. Ketahuilah bila anda sakit atau ditimpa sesuatu musibah, hakikatnya Allah SWT sedang memberikan perhatian kepada anda. Bukankah itu satu kemuliaan?
Pengubat Kepada "Ego"
Sakit menjadikan kita beringat akan nikmat sihat yang Allah SWT kurniakan hanyalah pinjaman semata-mata. Segala yang kita miliki adalah milik mutlak Allah SWT. Sakit adalah petanda bahawa kita adalah makhluk yang lemah. Didatangkan sakit atau apa-apa musibah, adalah untuk kita beringat bahawa kita ini hamba Nya dan kita tidak patutbersifat sombong dan bongkak kepada Allah SWT. Sesungguhnya musibah itu adalah pengubat kepada “ego” kita.
Dalam keadaan sakit, kita lebih mudah mengingati Allah. Merasa kelemahan dan ketidakmampuan di hadapan-Nya. Bila kita sakit kita akan bersungguh-sungguh memohon perlindungan kepada Allah SWT. Mungkin selama ini kita lalai. Keadaan ini akan mengingatkan kita kepada nikmat kesihatan yang dikurniakan oleh Allah. Jarang orang merasakan nikmat ketika sakit. Namun, bagi orang yang banyak bersyukur dan bersabar dalam menghadapi kesakitan, ia akan memperoleh nikmat.
Bila kita terlalu leka dalam hal-hal duniawi, kita selalu lupa kewajipan kita untuk beribadah kepada Allah SWT. Hal-hal duniawi lebih penting dari hal-hal akhirat. Turunnya penyakit memberi keinsafan dan mula mendekatkan diri dengan Allah SWT. Sakit adalah ‘signal’ yang Allah SWT sangat mengasihi kita agar menjadi hambanya yang bertaqwa dan tidak terus lalai dan leka kerana matlamat sebenar kita adalah kehidupan abadi di akhirat kelak, bukan kehidupan dunia yang bersifat sementara.
Manusia yang tidak diuji dengan musibah menjadikan ia ujub dan takabbur. Hatinya menjadi kasar dan jiwanya beku. Musibah dalam bentuk apapun adalah rahmat Allah SWT. Ia dapat membersihkan jiwa dan menyucikan iman seseorang. Itulah ubat dan penawar kehidupan yang diberikan Allah SWT kepada setiap orang beriman. Ketika hati menjadi bersih dan suci maka sirnalah penyakitnya, martabatnya diangkat dan jiwanya dimuliakan.
Sesungguhnya nikmat kesihatan yang kita perolehi pada ketika ini wajiblah kita syukuri. Seandainya ditimpa musibah penyakit maka mohonlah kesembuhan kepada-Nya. Perbanyakkan amal ibadah, dekatkan diri dengan Al-Quranul Kareem kerana di situ ada penawar kesembuhan dari segala macam penyakit dengan Izin Allah. Firman Allah SWT :
“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.” - Surah Al-Isra’:82
Di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, kami hanya boleh memberi panduan rangkaian ayat-ayat Al-Quranul Kareem untuk pesakit-pesakit amalkan tetapi kuasa penyembuhan mutlak adalah dari Allah SWT. Setiap rangkaian ayat yang diamalkan itu ibarat sebagai ubat panawar kepada penyakit yang dialami. Maka berdoalah kepada Nya dan mohon keredhan dan keampunan semoga segala musibah penyakit yang diturunkan akan segera sembuh kembali, Inshallah.
Wallahu'alam
|
No comments:
Post a Comment
Thanks for your comments, I will reply soon.