RAIHANPAHIMI

publish your book for free?AFF=9142

Saturday, 7 November 2015

Nafsu Mutmainnah : Dimana kita ?




Sebagai seorang yang beriman kita amat bersyukur di atas rahmat Allah yang telah melahirkan kita dikalan orang Islam yang beriman dan bertaqwa. Sungguhpun begitu perjalanan  hidup manusia di dunia ini penuh dengan pancaroba. Terlalu banyak dugaan yang perlu dihadapi untuk mecapai matlamat yang dikehendaki lebih-lebih lagi mencari redha Allah.
Sebelum kita lahir ke dunia ini, ada banyak lapisan alam yang kita tempuhi  sehinggalah lahir ke dunia bernama alam Insan. Alam Insan ini adalah alam kesempurnaan kejadian dan memikul tanggungjawab yang berat untuk memulangkan kembali amanah yang diikrar dahulu.
Setelah kita lahir ke dunia, kita terpesona dengan warna-warni dan keindahan dunia yang membuatkan kita lupa akan ikrar dan tanggungjawab tersebut. Lalu kita terpaksa mengharungi tujuh tingkat nafsu untuk kembali mencapai kesempurnaan. Nafsu-nafsu tersebut menurut ilmu tasauf ialah :
1.       Nafsu Ammarah
2.       Nafsu Lawwamah
3.       Nafsu Mulhimah
4.       Nafsu Mutmainnah
5.       Nafsu Radhiah
6.       Nafsu Mardhiah
7.       Nafsu Kamil

Saya tidak berminat untuk mengupas secara lengkap akan ketujuh-tujuh nafsu tersebut. Saudara bolehlah merujuk buku-buku yang berkaitan atau berjumpa dengan orang yang arif mengenainya. Apa yang ingin saya bincangkan di sini ialah mengenai tahap nafsu yang ke-4 iaitu nafsu Mutmainnah. Nafsu Mutmainnah ini merupakan nafsu pertengahan yang sekurang-kurangnya kita perlu duduk. Allah Taala telah berfirman dalam al-Quran Surah al-Fajr ayat27-30 :

Maksudnya:

“Wahai nafsu Mutmainnah, kembalilah kepada Tuhan engkau sambil berhati suka ria serta diredhai Tuhan maka masuklah olehmu dalam golongan hamba-hamba-Ku yang soleh dan masuklah ke dalam syurga-Ku.”

Sekirannya kita bercita-cita untuk kembali menemui Allah degan keredaannya, maka kedudukan nafsu pada diri kita ditahap yang paling selamat adalah bermula dari Nafsu Mutmainnah, Nafsu Radhiah, Nafsu Mardhiah dan Nafsu Kamil.
Bagi mereka yang tergolong sebagai insan yang mempunyai Nafsu Mutmainnah ianya mempunyai ciri-ciri insan mulai seperti berikut:-

1.       Murah hati dan tak lekang wang di tangan kerana bersedekah
2.       Tawakkal yang benar
3.       Bersifat arif dan bijaksana
4.       Kuat ibadat
5.       Syukur yang benar
6.       Redha pada segala hukuman Allah
7.       Taqwa yang benar
8.       Dan lain-lain lagi daripada sifat-sifat hati yang terpuji.

Nilai dan hisbahlah diri kita adakah sudah mempunyai ciri-ciri di atas, kalau belum maka kita hendaklah tingkatkan ilmu dan tambahkan amal ibadat untuk mendekati diri kepada Allah SWT. Jika iman kita lemah atau nafsu masih di tahap Ammarah, Lawwamah atau Mulhimah nescaya pertolongan daripada Allah lambat dimakbulkan. Sebab itulah kita ada mendengar seseorang yang menipu orang, mengambil kesempatan ke atas  wanita dan sebagainya.. Puncanya, tidak lain dan tidak bukan ialah kerana  nafsunya belum sampai ke tahap nafsu Mutmainnah.  Cara mengatasinya ialah dengan berguru dengan guru yang mursyid, tekun menjalankan solat tahajjud,  wirid,  zikir dan membaca serta memahami dan menghayati isi Al- Quran dan sebagainya. Selain itu, kita perlu sentiasa berzikir atau ingat  kepada Allah dengan berkekalan  sama ada bersendirian ataupun berada  di khalayak ramai. Kebiasaannya orang yang berada pada tahap nafsu mutmainnah ini doanya mudah dimakbulkan oleh Allah kerana hatinya sudah menjadi suci dan bersih.

Wallahu’alam.


 Sumber rujukan :
Mengenal Diri dan Wali Allah oleh Mustafa Muhamad Jayasi (Al-Ahmadi) ,Pustaka Aman Press , 1981.

No comments:

Post a Comment

Thanks for your comments, I will reply soon.