SEDUTAN KHUTBAH JUMAAT : "JANGAN TINGGAL SOLAT"
SEDUTAN KHUTBAH JUMAAT:
‘JANGAN TINGGAL SOLAT”
اَلْحَمْدُ ِللهِ الْعَلِيِّ الْكَبِيْرِ، اَللَّطِيْفِ الْخَبِيْرِ، اَلْحَسِيْبِ عَلَى كُلِّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ وَالْمُجَازِى لَهَا بِمَا عَمِلَتْ، َأَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، أَلاَ لَهُ الْخَلْقُ وَالأَمْرُ تَبَارَكَ اللهُ رَبُّ الْعَالَمِيْنَ. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. بَعَثَهُ شَاهِدًا وَمُبَشِّرًا وَنَذِيْرًا، وَدَاعِيًا إِلَى اللهِ بِإِذْنِهِ وَسِرَاجًا مُنِيْرًا. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللهَ أُوصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
قال الله تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،
( الحشر 18 )
Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan kita mentaati segala titah perintahNya, dan dalam masa yang sama kita meninggalkan setiap larangan dan tegahanNya. Mudah-mudahan kita diberikan kejayaan dan keselamatan hidup di dunia dan juga di akhirat.
Firman Allah dalam ayat 1 dalam Surah Al-Isra’;
Yang bermaksud : Maha suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami, Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.
Peristiwa Isra’ dan Mi’raj adalah merupakan satu peristiwa agung yang berlaku ke atas diri Baginda Nabi Muhammad SAW. Baginda Nabi SAW telah diisra’kan dengan jasad Baginda menurut pendapat yang sahih bermula dari Masjid Al-Haram di Makkah ke Bait Al-Maqdis di Palestin dengan menunggang Buraq serta ditemani oleh Jibril AS. Kemudiannya Baginda SAW dimi’rajkan pada malam itu juga dari Bait Al-Maqdis ke langit dunia sehinggalah Baginda naik mengadap Allah SWT. Lalu hampirlah Baginda dengan Allah SWT seolah-olah hampirnya dua busur panah atau lebih hampir dari itu.[1][1]
[1]
Lalu Allah mewahyukan kepada hambaNya apa yang mahu diwahyukan. Difardhukan kepadanya 50 solat. Setelah itu Baginda Nabi pun pulang sehingga bertemu dengan Nabi Musa AS, lalu Nabi Musa AS bertanya kepada Baginda;
“Apakah yang disuruh kepadamu?”, Baginda menjawab, “50 waktu solat”, kata Musa AS,“Sungguh umat kamu itu tidak mampu melakukannya, kembalilah dan mintalah kepada Tuhanmu agar diberi keringanan kepada umatmu”, lalu Nabi pun berpaling kepada Jibril AS seolah-olah meminta pandangan darinya, lalu Jibril AS mengiakan cadangan Nabi Musa AS. Lantas mereka berdua pun naik bertemu dengan Allah SWT lalu Allah mengurangkan sepuluh darinya.
Kemudian turunlah Nabi Muhammad SAW sehingga bertemu kembali dengan Nabi Musa AS lalu diceritakan kepada Musa AS tentang apa yang diperolehinya. Lalu Musa AS berkata, “Kembalilah kepada Tuhanmu dan mintalah keringanan dariNya”. Lalu sentiasalah Nabi berulang alik antara Nabi Musa dan Allah SWT sehingga akhirnya Allah menetapkan hanya 5 waktu sahaja sehari semalam ke atas kita umat Nabi Muhammad SAW. [2][2]
Syeikh Daud Abdullah Al-Fathoni RH di dalam kitabnya “Munyatul Musolli” pada “Bab Meninggal Sembahyang Lima Waktu Dosa Besar” menjelaskan bahawa,
“Meninggalkan sembahyang adalah semungkar-mungkar perkara yang mungkar, sebesar-besar dosa yang ada dan sekeji-keji benda yang haram. Pihak pemerintah menanggung beban kerja yang berat dan dosa yang besar jika rakyat jelata tidak menghiraukan pekerjaan agama lebih-lebih lagilah sembahyang lima waktu dan sembahyang Jumaat sebagaimana yang diperintahkan oleh syara’”.[3][3]
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Muddassir ayat 42-45,
Yang bermaksud : (setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): "Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?", orang-orang yang bersalah itu menjawab: "Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang;, "Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin;, "Dan Kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya.
Sebahagian ulama’ mengatakan bahawa orang-orang yang meninggalkan solat akan dikumpulkan di akhirat nanti bersama tokoh-tokoh penderhaka kepada Allah. Jika dia meninggalkan solat kerana disibukkan oleh harta kekayaannya, maka dia akan dikumpulkan bersama-sama Qarun. Jika dia meninggalkan solat kerana sibuk dengan kekuasaan atau pemerintahannya atau kerajaannya maka dia akan dikumpulkan bersama-sama dengan Firaun. Jika dia meninggalkan solat kerana sibuk dengan urusan pentadbiran atau parlimennya maka dia akan dikumpulkan bersama-sama dengan Haman. Jika dia meninggalkan solat kerana sibuk dengan urusan perdagangannya, maka dia akan dikumpulkan bersama-sama dengan Ubay bin Khalaf yang merupakan seorang pedagang kafir yang berjaya di Makkah. [4][4]
Sebahagian ulama’ mengatakan bahawa tersebut di dalam keterangan hadis bahawa orang yang mengerjakan solat, maka Allah SWT akan memuliakannya dengan lima perkara;
1. Dibebaskannya daripada kehidupan yang susah
2. Dibebaskannya dari seksaan kubur
3. Buku catatan amalnya diberikan Allah dan diterima olehnya dengan tangan yang kanan
4. Dia akan melalui titian sirath laksana kilat
5. Dia akan masuk ke syurga tanpa hisab
Manakala mereka yang meninggalkan solat maka Allah SWT menjanjikan untuknya lima belas seksaan. Lima seksaan dikenakan ketika di dunia iaitu;
1. Dicabut keberkatan umurnya
2. Tidak ada tanda-tanda orang yang soleh di wajahnya
3. Segala amal lain yang dilakukannya tidak akan diberi pahala
4. Doanya tidak diangkat ke langit
5. Dan tidak ada untuknya bahagian dari doa-doa orang yang soleh
Kemudian tiga jenis seksaan menjelang kematiannya;
1. Matinya dalam keadaan yang hina
2. Matinya dalam keadaan lapar
3. Matinya dalam keadaan dahaga dan jika diberi minum kepadanya sebanyak air di lautan sekalipun pasti tidak akan dapat menghilangkan dahaganya
Kemudian tiga jenis seksaan ketika di dalam kuburnya;
1. Kuburnya menjadi sempit sehingga remuk tulang-tulang rusuknya
2. Dibakar di dalam kuburnya siang dan malam
3. Akan diserahkannya kepada seekor ular yang bernama ‘Syuja’ Al-Aqra’’ , mata ular tersebut menyemburkan api, suaranya kuat laksana petir yang menyambar dan dia akan berkata, “Aku mendapat perintah dari Tuhan untuk mengajarmu kerana kesalahan kamu mensia-siakan solat Subuh sehingga terbit matahari. Aku diperintah menyeksamu kerana kamu telah mensia-siakan solat Zohor sehingga Asar. Aku diperintah menyeksamu kerana kamu mensia-siakan solat Asar hingga Maghrib. Aku diperintah menyeksamu kerana kamu telah mensia-siakan solat Maghrib hingga Isya’. Aku diperintah menyeksamu kerana kamu telah mensia-siakan solat Isya’ hinggalah terbitnya Fajar”. Setiap kali dipatuk oleh ular tersebut maka terbenamlah dia ke dalam perut bumi sedalam 70 hasta. Maka diseksa dia di dalam kubur sehinggalah kepada hari kiamat.
Manakala seksa ketika bangun dari kubur;
1. Dia akan melalui suasana hisab atau perhitungan yang amat berat
2. Dia akan mendapat kemurkaan Allah SWT
3. Allah tidak memandangnya dengan pandangan rahmat
4. Akhirnya diseret dia untuk dihumban ke dalam api neraka
Diceritakan oleh sebahagian ulama’ dahulu bahawa ada seorang perempuan yang mati lalu dikebumikan oleh saudaranya. Semasa pengkebumian tersebut, saudaranya tidak sedar bahawa kantung yang berisi duitnya atau dompetnya telah terjatuh ke dalam kubur tersebut sehinggalah setelah semua orang bersurai barulah saudaranya tersebut sedar bahawa dompetnya telah terjatuh ke dalam kubur tersebut. Lalu saudaranya kembali ke kubur tersebut dan menggalinya semula kubur tersebut. Belum pun dalam dia menggali, tiba-tiba terkeluar semburan api dari dalam kubur saudara perempuannya itu. Lalu dia membatalkan niatnya untuk terus menggali, dan dia terus pulang ke rumah untuk bertemu dengan ibunya. Dia bertanya kepada ibunya, “Wahai ibu, ceritakan kepadaku tentang saudara perempuanku yang meninggal itu. Apakah yang telah dia lakukan semasa dia hidup dahulu?”. Lalu ibunya bertanya, “Kenapakah kamu bertanya sedemikian?”, lalu dia berkata, “wahai ibu, aku melihat semburan api keluar dari lubang kuburnya sewaktu aku pergi untuk menggali semula kuburnya”. Lalu ibunya berkata sambil menangis, “wahai anakku, saudara perempuanmu itu selalu meringan-ringankan solatnya sehingga kadang-kadang terkeluar dari waktunya”. [5][5] Firman Allah SWT,
Yang bermaksud : Maka kecelakaan besar bagi orang-orang ahli sembahyang , (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya;
Berkata Ibnu Abbas RA,
“Adapun yang dimaksudkan dengan ‘wail’ itu ialah satu wadi yakni kawasan yang dalam antara dua gunung di dalam neraka jahannam. Wadi ini menjadi tempat kediaman buat mereka yang melewat-lewatkan solat dari waktunya”. [6][6]
Demikianlah balasan untuk mereka yang sengaja melewat-lewatkan atau menangguh-nangguhkan solatnya sehingga terkeluar daripada waktunya. Bagaimanakah pula balasan azab seksaan untuk mereka yang langsung tidak menunaikan solat?, sudah tentulah jauh lebih berat dan jauh lebih dahsyat dari itu. Oleh yang demikian, jagalah solat dalam kehidupan kita dan juga ahli keluarga kita. Letakkan solat ini sebagai satu urusan yang terpenting dalam hidup kita. Jangan kerana sibuk dengan urusan dunia maka solat diabaikan.
Wahai saudara-saudaraku yang beriman!, beranikah lagi saudara meninggalkan atau mengabaikan solat lima waktu dengan gambaran seksaan yang telah diceritakan di dalam Al-Quran dan Hadis-hadis Nabi SAW?. Tidak seorang pun yang berani meninggalkan solat lima waktu melainkan orang itu tidak mempunyai iman. [7][7]
Syeikh Daud Abdullah al-Fathoni di dalam kitabnya ‘Munyatul Musolli’ menyatakan bahawa;
“Ada beberapa orang Sahabat dan Salafus Soleh (yakni generasi awal orang-orang soleh) berkata;
“Aku tidak terdengar mana-mana Sahabat yang berkata jika meninggalkan sesuatu amalan menjadi kafir, melainkan meninggalkan solat”
Kata Syeikh Daud Abdullah Fathoni lagi,
“Kita wajib memaksa ahli keluarga, anak-anak dan orang-orang di bawah jagaan kita supaya mendirikan solat dan jangan biarkan mereka menguzurkan diri. Dan bagi mereka yang tidak mematuhi suruhan maka hendaklah kita menakutkan mereka, memaksa dan memarahi mereka dengan bersungguh-sungguh seolah-olah mereka telah merosakkan harta benda milik kita. Jika kita tidak bertindak demikian maka kita dikira sebagai orang yang meringan-ringankan tuntutan Allah dan RasulNya. Sesungguhnya orang yang mengabaikan tuntutan Allah lebih-lebih lagilah solatnya, maka orang ini tidak ada kebajikan darinya serta tidak ada keberkatan untuk kita hidup bersama-sama dengannya kerana mereka ini telah melanggar perintah Allah dan rasulNya”. [8][8]
[1]
Yang bermaksud : dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa. (Thahaa 132)
sumber :MAIK
No comments:
Post a Comment
Thanks for your comments, I will reply soon.