Tanggungjawab Suami Melayan Isteri Dengan Baik
Tanggungjawab seorang suami yang paling utama ialah melayan isteri dengan penuh kebaikan. Seorang suami wajib melayani isterinya dengan tingkah laku yang baik dan menuruti kehendak isteri dalam perkara yang sesuai dan munasabah mengikut syarak.
Terdapat banyak arahan dan suruhan di dalam ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW mengenai kewajipan ini. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.” – surah al-Nisa’ ayat 19.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu semua adalah orang yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang terbaik antara kamu semua (dalam membuat kebaikan) terhadap isteriku.” - hadis riwayat al-Tirmizi.
Rasulullah SAW bersabda lagi yang bermaksud: “Orang yang paling sempurna imannya adalah yang terbaik akhlaknya antara mereka dan yang paling baik adalah yang paling baik akhlaknya terhadap isteri-isterinya.” - hadis riwayat al-Tirmizi.
Setiap suami juga dituntut agar berlaku adil terhadap isterinya dengan menunaikan segala haknya dalam setiap perkara selari dengan kehendak syarak.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat, melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini) supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya.” – surah al-Nahl ayat 90.
Allah SWT menjanjikan ganjaran yang hebat kepada suami yang berlaku adil terhadap isterinya seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang-orang yang berlaku adil di sisi Allah nanti akan ditempatkan di atas mimbar-mimbar yang diperbuat daripada cahaya dari sebelah kanan al-Rahman 'Azza wa Jalla (Allah) lalu Nabi mengangkat tangan kanannya. Orang-orang yang termasuk golongan itu (sebelah kanan Nabi) adalah orang yang adil dalam pemerintahannya, adil terhadap isterinya dan tidak menyimpang.” - hadis riwayat Muslim.
Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin terhadap kaum perempuan.” – surah al-Nisa’ayat 34.
Setiap suami juga dituntut agar berlaku adil terhadap isterinya dengan menunaikan segala haknya dalam setiap perkara selari dengan kehendak syarak.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat, melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini) supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya.” – surah al-Nahl ayat 90.
Allah SWT menjanjikan ganjaran yang hebat kepada suami yang berlaku adil terhadap isterinya seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang-orang yang berlaku adil di sisi Allah nanti akan ditempatkan di atas mimbar-mimbar yang diperbuat daripada cahaya dari sebelah kanan al-Rahman 'Azza wa Jalla (Allah) lalu Nabi mengangkat tangan kanannya. Orang-orang yang termasuk golongan itu (sebelah kanan Nabi) adalah orang yang adil dalam pemerintahannya, adil terhadap isterinya dan tidak menyimpang.” - hadis riwayat Muslim.
Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin terhadap kaum perempuan.” – surah al-Nisa’ayat 34.
Saya yakin ramai yang arif dan maklum dengan maksud ayat ini. Ya! Lelaki merupakan pemimpin bagi wanita. Namun begitu, perlu diingat!! Allah SWT menetapkan suami sebagai pemimpin bukan sebagai tiket atau lesen bagi para suami untuk bersikap seperti seorang diktator, zalim, sombong serta berkeras terhadap isteri.
Hakikat sebenarnya, kekuasaan yang diberi oleh Allah SWT itu menuntut agar seorang suami bersikap bertanggungjawab, bijaksana, adil, sabar dan mampu untuk mengendali segala permasalahan atau bebanan yang timbul di dalam rumahtangga. Dalam erti kata lain, status kepimpinan suami itu adalah dalam rangka untuk merealisasikan perintah Allah SWT bagi melayan isteri dengan sebaik mungkin.
Maksud layanan yang baik bukan sekadar tidak memukul atau menampar tetapi layanan yang baik seperti yang dikehendaki di dalam Islam malah undang-undang perkahwinan agama lain juga ialah suami perlu menjaga hati dan perasaan isteri agar tidak dilukai dan disakiti. Isteri berhak dilayan dengan penuh kemesraan, kelembutan dan dengan penuh kasih sayang. Suami juga perlu berusaha memupuk kasih sayang isteri seperti di dalam kes perkahwinan paksa.
Saya teringat ulasan seorang hakim ketika saya mengendalikan kes fasakh seorang klien: menjadi tanggungjawab suami untuk memupuk kasih sayang isteri yang dikahwininya secara paksaan oleh ibu bapa si gadis. Sekiranya memujuk kasih isteri adalah kewajipan suami apatah lagi memupuk dan menyuburkan kasih yang sedia ada.
Layanan yang baik juga bermakna isteri perlu diperlakukan seperti seorang manusia merdeka, bukannya hamba yang menurut segala arahan tuannya yang membabi buta. Seorang isteri perlu dipanggil dengan ucapan yang menunjukkan kasih sayang seperti nama manja isteri ataupun apa jua panggilan yang menggambarkan betapa suami menyintai dan menghargai isteri.
Seorang isteri tidak berhak menerima kata-kata seperti bodoh, otak singkat atau apa juga panggilan yang menyakitkan hati. Fikirkan, sekiranya kata-kata tersebut dikembalikan kepada suami, apa pulak yang suami akan rasa? Bukan sahaja isteri atau suami malahan tidak ada seorang pun yang bernama manusia yang waras di dunia ini, suka dipanggil sebegitu.
Sebenarnya, panggilan di dalam sesebuah perkahwinan juga merupakan faktor penyumbang ke arah kebahagiaan atau sebaliknya. Sekiranya kita memanggil isteri atau suami dengan panggilan yang elok maka baiklah jadinya. Begitu juga sekiranya kita menggunakan panggilan yang tak elok maka buruklah jadinya. Saya akan bincangkan dengan lebih terperinci di dalam bab Komunikasi Unggul.
Layanan yang baik juga bererti isteri berhak mengetahui ke mana perginya suami sekiranya di luar waktu kerja. Bukan memohon izin isteri tetapi sebagai makluman dan pengetahuan. Bayangkan sekiranya seorang isteri tidak tahu ke mana suaminya pergi. Tiba-tiba, semasa ketiadaan suami di rumah, isteri menerima berita penting yang perlu disampaikan segera kepada suami ataupun seseorang mencari suami, bagaimana? Tentu terpalit muka apabila terpaksa mengatakan tak tahu suami ke mana.
Saya akui, sememangnya kita mempunyai sistem telekomunikasi canggih dan terkini tetapi bukankah lebih berbahasa dan menyenangkan hati isteri apabila mengetahui ke mana suaminya pergi. Takkan gugur keegoan suami hanya dengan memberitahu isteri ke mana anda pergi. Yang peliknya, semasa bercinta, segalanya ingin diceritakan hatta makan apa pun, ingin dicakapkan kepada teman wanita. Kenapa bila dah dimiliki, sering saja hatinya kau sakiti dan kau lukai?
Apakah kerana anda dah dapat cintanya? Wajarkah berubah bila dah dapat? Teringat saya kata-kata Shahruk Khan, hero Hindi yang terkenal di dalam filem Chalte Chalte ketika ditegur oleh Rani, si isteri yang menegur sikap suaminya yang berubah: “dahulu kita bercinta tetapi sekarang kita dah berkahwin...”, cam tu ler lebih kurang maksud ayatnya. Perkara yang nak saya tekankan di sini ialah memang kebanyakan suami berpendirian sedemikian. Waktu bercinta, boleh ler nak romantik, nak kasi hadiah, nak selalu ucap sayang. Dah kawin, memang dah confirm si dia aku yang punya, tak perlu lagi ler semua tu. Benarkah? Jangan lupa, sebelum ada adalah tiada dan selepas ada juga boleh ada tiada. Faham maksud saya?
Sebenarnya, cinta dan kasih sayang bukan sesuatu yang tegar dan keras seperti batu malah batu juga boleh pecah dan hancur hanya oleh titisan air yang berulang kali. Sama juga dengan cinta dan kasih sayang. Seorang lelaki dan seorang perempuan perlukan cinta untuk bersama sebagai suami isteri. Untuk terus kekal sebagai suami isteri juga perlukan cinta.
Cinta bukan sekadar perasaan yang disimpan lama tetapi cinta perlu dihangatkan setiap masa dan ketika. Jika hanya mengharapkan luahan cinta sejati di awal percintaan atau di awal perkahwinan, memang tidak memadai. Kerana itulah tidak pelik atau hairan kenapa pasangan yang berkahwin atas dasar cinta atau suka sama suka boleh berpisah akhirnya. Puncanya, cinta yang ada dibiarkan membeku dengan pendirian cinta tersebut akan tetap hangat dan mekar walau tanpa siraman kasih dan belaian sayang.
Sebagai suami malah isteri juga, rasa cinta perlu ditunjukkan setiap masa dan ketika. Pakar psikologi pernah mengatakan, pengucapan cinta satu kali sehari akan memanjangkan usia. Kenapa? Apa kaitan pengucapan cinta dengan panjangnya usia? Sebenarnya, maksud pendapat tersebut ialah dengan ucapan cinta akan membuatkan diri orang yang menerima ucapan tersebut rasa disayangi dan dihargai lantas akan membuahkan seribu rasa kegembiraan dan kebahagiaan. Rasa gembira dan bahagia pula membuatkan seseorang ingin terus hidup bagi terus menikmati kebahagiaan tersebut.
Kepada para isteri yang suaminya berubah sikap selepas perkahwinan malahan kepada para suami juga yang isterinya berubah sikap… ada juga kes sebegini dan biasanya isteri berubah dari segi penampilan… bila menyedari perubahan tersebut berlaku… luahkan rasa tidak suka anda dengan perubahan tersebut.
Contohnya jika semasa bercinta suami sanggup menunggu lama tetapi selepas kahwin terlambat seminit dah macam-macam bunyinya… luahkan kenapa masa bercinta janji pukul 5, jam 4.30 dah sanggup tunggu depan tangga? Jika masa bercinta tudung kelepet sikit dah kecoh nak betulkan di bilik air, kenapa lepas kahwin berpakaian selekeh mengalahkan mak tani kat sawah… persoalkan perubahan ini?
Kenapa perlu dipersoalkan? Kerana pendirian ‘dah dapat dah, ok lah’ tidak wajar dipegang oleh sesiapa pun jua tak kira suami atau isteri. Sebaliknya setiap suami dan isteri perlu menjadikan prinsip ‘dah dapat, akan kupastikan kau milikku selamanya’ dan bagi memastikan dirinya yang kau cintai dan sayangi menjadi milikmu selamanya, sewajarnyalah segala usaha sebelum memilikinya dulu diteruskan malah sebaiknya ditambah lagi. Jika sebelum dapat, sanggup habiskan ratusan ringgit sebulan untuk berbual dan menyatakan cinta, bila dah di depan mata dan segalanya percuma, gunakan setiap ruang dan masa yang ada untuk berkomunikasi dengannya. Jika masa bercinta sanggup belikan hadiah untuk ulangtahun kelahirannya, bila dah sah menjadi milikmu, bawalah pula bercuti ke mana-mana.
Ini bukan cadangan nak menghabiskan kewangan sesiapa tetapi semua orang tahu, cinta perlukan pengorbanan dan pengorbanan cinta tidak tamat selepas kahwin sahaja. Pengorbanan cinta juga bukan bererti perlu izinkan suami menambah ‘cawangan’ semata. Pengorbanan cinta yang sebenarnya adalah sanggup melakukan apa sahaja yang tidak melampaui batas syarak dan tatasusila moral asalkan si dia tercinta tetap menyintai kita. Sesungguhnya, segalanya akan indah belaka asalkan dapat bersama si dia tercinta dan ingatlah juga cintanya akan malap jika kau terlupa menggilapnya!
Wallahu'alam
Sumber Charmaine Nas
No comments:
Post a Comment
Thanks for your comments, I will reply soon.