HIDAYAH ADALAH HAK ALLLAH : dia
berhak untuk anugerahkan kepada sesiapa
sahaja .
ALLAH berfirman yang bermaksud: “Sesiapa yang Allah kehendaki
mendapat hidayah nescaya dilapangkan dadanya untuk menerima Islam dan sesiapa
yang dikehendaki sesat nescaya dijadikan dadanya sempit dan sesak seolah-seolah
naik ke langit. Demikianlah Allah menimpakan kehinaan kepada orang yang tidak
beriman.” (Surah al-An’am, ayat 125).
Allah Maha Berkuasa untuk mengurniakan petunjuk dan hidayah-Nya
kepada yang dikehendaki-Nya. Hanya dengan petunjuk dan hidayah Allah saja dapat
mengubah manusia dan kehidupannya dari kekufuran kepada keimanan, kemaksiatan
kepada ketakwaan, kezaliman kepada keadilan, kegelapan kepada cahaya kebenaran
dan kegelisahan kepada ketenangan jiwa.
Hidayah itu ialah
petunjuk yang dikurniakan Allah kepada manusia untuk mencapai kesejahteraan
serta kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Islam menganjurkan umatnya supaya
sentiasa memohon hidayah petunjuk daripada Allah ke arah jalan yang benar.
Lebih-lebih lagi perjalanan hidup berliku yang ditempuhi setiap
insan menuntut ketabahan, kesabaran dan pertolongan Ilahi supaya dia berjaya
dalam hidup. Oleh itu, Islam mensyariatkan amalan berdoa dan memohon petunjuk
daripada Allah.
Hidayah petunjuk yang dianugerahkan Allah sebenarnya tidak boleh
diukur berdasarkan keadaan lahiriah semata-mata. Sebaliknya, ia bergantung
kepada keimanan dan ketakwaan yang bertapak kukuh dalam jiwa. Dalam erti kata
lain, Allah mengurniakan hidayah kepada hamba yang beriman dan bertakwa.
Hidayah Allah tidak ada kaitan dengan hubungan pertalian darah
atau kekeluargaan. Seseorang yang taat dan hidup bahagia dengan hidayah Allah,
tidak semestinya anaknya juga begitu. Contohnya, Nabi Nuh dan anaknya serta
Nabi Muhammad SAW dengan bapa saudaranya, Abu Lahab.
Ada juga orang fasik yang sentiasa bergelumang dosa tetapi
anaknya seorang yang salih dan patuh ajaran Islam. Ini berlaku kepada Nabi
Ibrahim dengan ayahnya, pengukir patung berhala.
Oleh sebab itu, kita tidak boleh menyangka orang yang selalu
melakukan kejahatan tidak akan mendapat hidayah Allah kerana hanya Allah yang
berkuasa memberi hidayah kepada sesiapa dikehendaki-Nya.
Nabi dan rasul, tugasnya menyampaikan kerana tidak ada siapa
yang dapat memberi petunjuk melainkan Allah.
Firman Allah yang bermaksud: “Tidaklah kamu diwajibkan (wahai
Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk, (kerana kewajipanmu
hanya menyampaikan petunjuk) akan tetapi Allah juga yang memberi petunjuk
(dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut
undang-undang peraturan-Nya). Dan apa juga harta halal yang kamu belanjakan
(pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu
sendiri. Dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut
keredaan Allah. Dan apa juga yang kamu dermakan dari harta yang halal akan
disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu
pula) tidak dikurangkan.” (Surah al-Baqarah, ayat 272)
Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Quran al-Azim ada
menyebut sebab turunnya ayat kerana ada beberapa orang Islam yang bersedekah
kepada fakir miskin penduduk Madinah, kemudian setelah ramai bilangan yang
masuk Islam, maka Rasulullah SAW menegah memberi sedekah kepada orang
musyrikin.
Tujuannya ialah untuk menarik mereka supaya menganut Islam
kerana Rasulullah SAW sangat mengambil berat akan hal ehwal mereka. Lalu
turunlah firman Allah yang memerintahkan Baginda supaya terus memberikan
sedekah kepada mereka.
Biarpun hidayah menjadi milik mutlak Allah, namun umat Islam
dituntut untuk menyampaikan dakwah Islam kepada bukan Islam supaya beriman
kepada Allah.
Dakwah yang baik dan berkesan hendaklah berpaksikan kepada tiga
kaedah iaitu berdakwah secara hikmah atau bijaksana, memberi pengajaran atau contoh
teladan baik dan bertukar fikiran atau berdialog dengan cara lebih baik.
Oleh itu, setiap Muslim perlu mempergiatkan usaha untuk
berdakwah dan bersabar dalam menjalankan usaha dakwah Islamiah kepada bukan
Islam supaya ia mencapai matlamat yang disasarkan iaitu keadilan Islam,
keharmonian hidup serta kecemerlangan dalam hidup.
Hidayah dan petunjuk Allah akan sentiasa mengiringi setiap
langkah dan jalan diterokai orang beriman dan bertakwa kepada-Nya dalam rangka
untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini.
Walahu’alam.
No comments:
Post a Comment
Thanks for your comments, I will reply soon.